Khamis, 4 April 2013

Utusan Online - Rencana


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Rencana


Kuasa memilih di tangan rakyat

Posted: 04 Apr 2013 12:56 PM PDT

Oleh NURUL ANUAR KARI
anuar.kari@utusan.com.my

AKHIRNYA pertarungan 'hidup dan mati' Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) bermula apabila Parlimen dibubarkan genap empat tahun selepas Datuk Seri Najib Tun Razak mengambil alih teraju pimpinan negara.

Detik ini sebenarnya sudah lama dinanti-nantikan, bukan sahaja dalam kalangan penyokong tegar mahupun yang taksub parti politik tertentu, malahan dalam kalangan rakyat jelata sendiri.

Zaman pasca PRU pada 2008 menyaksikan lima tahun hidup rakyat dibebani 'kempen politik' setiap hari dengan semua isu dan perkara harian dijadikan modal politik khususnya dalam kalangan mereka yang mahu merebut kuasa.

Rakyat yang majoritinya pengundi atas pagar terus bersabar selama ini dengan pelbagai kerenah parti dan orang politik, dalam diam menilai dan memerhati setiap perbuatan dan percakapan mereka.

Walaupun ada orang politik yang menganggap kumpulan pengundi atas pagar ini mudah dipengaruhi, rata-rata rakyat masih menggunakan akal yang waras dalam menilai semua aspek untuk memilih wakil rakyat mereka, bukan hanya mendengar omong dan janji kosong.

Kini, rakyat sekali lagi mendukung tanggungjawab memilih kepimpinan negara dengan melantik suara rasmi mereka di dalam Dewan Rakyat dan Dewan Undangan Negeri bagi memastikan kelangsungan bumi bertuah Malaysia sehingga ke anak cucu mereka kelak.

Bagi pemerhati politik, Mohamad Faisol Keling, rakyat perlu menggunakan ruang memilih wakil rakyat mereka sebaik mungkin agar kemakmuran dan keamanan negara dapat dikekalkan.

"Janganlah terpengaruh dengan dakyah dan janji manis golongan tertentu yang belum tentu dapat ditunaikan.

"Amat malang jika mengambil risiko keruntuhan dengan tindakan kita sendiri. Lihat sahaja contoh di Asia Barat sebagai teladan untuk menilai hala tuju kita ke hadapan," katanya.

Tegasnya, risiko pilihan rakyat itu juga menyebabkan kemakmuran boleh runtuh dalam sekelip mata sahaja seperti masalah rakyat di Asia Barat yang masih belum selesai sehingga kini.

Beliau juga mengingatkan masyarakat Islam memilih berlandaskan Islam agar melindungi kesucian Islam dan mengelak agama diperkotak katik sesiapa sekalipun.

Mengambil contoh pembangunan institusi Islam yang berterusan sejak negara merdeka, beliau meminta rakyat melihat bagaimana Islam tidak pernah terabai di bawah kepimpinan negara selama ini.

"Selain agama, kerajaan juga menjaga pembangunan masyarakat tanpa mengira bangsa dan kerana itulah kemakmuran dapat dinikmati semua rakyat selama ini.

"Orang bukan Islam juga tidak ditindas dasar-dasar yang dilaksanakan kerana kerajaan mahukan semua merasai kemakmuran di negara ini," katanya.

Beliau mengambil contoh perkongsian kuasa, melindungi hak dan mengambil kira pandangan semua kaum di samping menjaga kebebasan beragama orang bukan Islam serta pembangunan setara dalam aspek pendidikan dan sosial.

Mohamad Faisol berharap rakyat melihat secara positif kebaikan yang dilakukan kerajaan kepada segenap anggota masyarakat selama ini kerana sukar untuk membina sebuah negara seperti Malaysia tetapi amatlah mudah untuk meruntuhkannya.

"Kerjasama sejak 1957 perlu menjadi kayu ukur keikhlasan kerajaan membangunkan negara yang berbilang kaum ini.

"Malaysia majmuk berbilang bangsa tetapi rakyatnya hidup makmur dan tiada masalah pembersihan etnik, pengabaian dan sebagainya berbanding negara lain," jelasnya.

Oleh itu tegasnya, perlu ada rasa syukur dilahirkan dan hidup di negara yang aman makmur seperti Malaysia kerana jika tidak bersyukur, semuanya akan nampak tidak baik dan banyak kekurangan.

Beliau turut menasihatkan mereka yang berterusan tidak berpuas hati dan gemar menyalahkan orang agar melihat sama ada rakyat di negara-negara lain seperti Myanmar, Indonesia dan sebagainya menikmati kemakmuran bersama seperti di bumi Malaysia.

Pemerhati politik, Profesor Datuk Dr. Zainal Kling turut menasihatkan pengundi atas pagar agar tidak memilih mengikut emosi akibat fitnah dan tohmahan tanpa fakta pihak tertentu bagi menjaga kemakmuran dan kemananan negara kelak.

"Penyokong parti dah tetap, yang tegar dan taksub lagilah tidak boleh ubah. Namun, pengundi atas pagar perlu faham rasional pembangunan dan kebajikan yang disampaikan kerajaan.

"Jika tersalah pilih kerana menerima janji mentah, kita juga yang akhirnya akan terlibat dalam suasana kacau bilau," katanya.

Mengambil contoh Selangor dan Pulau Pinang, beliau menjelaskan keinginan pembangkang membuat perubahan radikal menyebabkan masalah timbul hampir setiap hari. Tambahnya, perbuatan memainkan emosi rakyat itu demi kepentingan politik sahaja dan bukan untuk kemakmuran rakyat jelata.

"Maka, jadilah pemerintahan kuku besi, sampaikan kebebasan media pun tiada. Halang tugas petugas media sedangkan dahulu kata mahu media bebas. Pengundi perlu lihat semua aspek ini, jangan lihat tohmahan dan fitnah sahaja.

"Orang menuduh tanpa fakta tetapi kerajaan sudah dedahkan fakta sebenar. Kita mahu lihat rakyat berakal dan rasional dalam meneruskan pembangunan pesat negara ini demi generasi akan datang," ujarnya.

Beliau juga menganggap pilihan Najib membubarkan Parlimen selepas empat tahun menjalankan tugas Perdana Menteri kena pada masanya kerana telah menunjukkan keupayaan, kemampuan dan kekuatannya mentadbir negara.

"Sepanjang empat tahun, bermacam program pembangunan dan transformasi telah dilaksanakan, diterima baik bukan sahaja di dalam malahan di luar negara.

"Berbilion pelaburan masuk sementara berbilion dana disalur ke Sabah dan Sarawak bagi memastikan semua rakyat di sana terlibat dengan pembangunan nasional," jelasnya.

Tambahnya, Najib telah laksanakan demokrasi ikut serta (participative democracy), mengajak belia, wanita dan semua etnik turut serta melalui pertemuan dan program interaksi yang dilaksanakan selama ini.

Zainal turut yakin MCA dan MIC turut menerima kesan positif projek-projek yang dijalankan itu yang rata-rata telah menampakkan hasilnya dengan jangkaan banyak hasil lebih baik dalam tahun-tahun berikutnya.

"Pencapaian empat tahun di bawah pemerintahan Najib lebih baik daripada apa yang dijanjikan pembangkang, lebih daripada hanya sebut di mulut tetapi tidak berbuat apa-apa.

"Jika mahu dicanang janji 'negara berkebajikan', Najib juga sudah banyak membantu rakyat dalam segala segi di bawah jenama 1Malaysia," tegasnya.

Tambah beliau, secara peribadi juga Najib utuh dan bersih, tiada' beli membeli' orang, tidak terlibat dengan kecelaan sehingga masuk mahkamah walaupun sering difitnah pihak lawan.

"Semua faktor ini memberi keyakinan kepada rakyat untuk terus memberi mandat kepada Najib mentadbir negara kelak," katanya.

Pas dibadai tsunami pondok

Posted: 04 Apr 2013 12:56 PM PDT

Oleh NIZAM YATIM
nizam.yatim@utusan.com.my

SEPERTI selalu disebut pengkaji sejarah politik negara ini, walaupun Pas ditubuhkan di Pantai Barat tetapi ia berkembang pesat di Pantai Timur khususnya Kelantan dan Terengganu, kerana di sana terdapat banyak institusi pondok yang mengajar agama.

Sokongan tok guru pondok inilah yang 'memberi nyawa' pada saat-saat awal penubuhan Pas dan menarik minat rakyat untuk beralih menyokong parti itu.

Antara ulama pondok ini ialah Tuan Guru Haji Daud dari Pondok Meranti, Pasir Mas dan Tuan Guru Haji Hussein Rahimi dari Madrasah Al-Ahmadiah Bunut Payung di Kelantan serta Pondok Haji Shafie Sulong di Durian Guling, Marang, Terengganu.

Sokongan tok guru berkenaan telah dijadikan modal kempen pilihan raya Pas pada ketika itu. Salam dan pesanan tok guru menjadi modal untuk memenangi hati pengundi yang selalu percaya bahawa guru-guru mereka ialah orang baik.

Bagaimanapun, segala-galanya berubah selepas Pilihan Raya Umum 2008, apabila para tok guru yang selama ini menyokong Pas mula beralih arah dan membuat teguran keras bertujuan menyedarkan kepimpinan parti itu bahawa mereka tidak lagi berada di landasan yang betul.

Malangnya, teguran itu tidak disambut dengan hati yang terbuka oleh kepimpinan Pas. Cukup menyedihkan lagi apabila para tok guru ini dilabelkan sebagai ejen UMNO atau ulama upahan untuk merosakkan parti itu.

Sikap angkuh Pas ini menyebabkan ulama pondok melihat parti itu sudah tidak relevan untuk memperjuangkan Islam.Ia sekarang sama seperti Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP yang dahagakan kuasa dan hanya tertumpu kepada cita-cita untuk ke Putrajaya.

Sebagai jalan terakhir untuk menyelamatkan Islam, ulama pondok ini menubuhkan Minda Pondok iaitu sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang kemudiannya bersama-sama beberapa NGO Islam lain membuat pengisytiharan bahawa wajib mengundi UMNO dan Barisan Nasional (BN) serta haram memberi undi kepada Pas, DAP dan PKR pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13).

Dalam satu pertemuan dengan beberapa peneraju Minda Pondok baru-baru, penulis dapat merasakan wujudnya satu kebangkitan menentang Pas dalam kalangan ulama pondok yang sudah tidak mampu dibendung lagi. Umpama tsunami ia hanya menunggu masa untuk membadai parti itu menjadi puing yang hancur berkecai.

Boleh dikatakan 99 peratus tok guru pondok berada di belakang Minda Pondok dan perkara itu terbukti apabila tiada sambutan diberikan ketika Pas menaja penubuhan satu NGO lain yang terdiri daripada kalangan ulama pondok yang menyokong mereka.

Ahli Jawatankuasa pertubuhan itu, Mohd. Zainal Abidin Awang yang juga Ketua Pondok Pulau Ular, Pengkalan Kubor, Kelantan yang diminta mengulas kebangkitan ulama pondok itu, menjelaskan pihaknya mengkritik Pas atas kesedaran diri sendiri dan ia tiada kaitan dengan UMNO.

"Kita nak lawan tidak ada jalan, tidak ada gunanya kita tubuhkan parti baharu kalau hanya untuk lebih pecahkan Melayu kerana kita akan makin lemah.

"Maka kita terima UMNO kerana kita melihat dalam Perlembagaan UMNO ada menyebut untuk menegak, mempertahan dan mengembangkan Islam. Kita bukan UMNO tapi kita bersatu dengan UMNO," katanya.

Menurutnya, antara perkara yang membangkitkan perasaan tidak puas hati tok guru pondok adalah tindakan Pas yang lebih mengutamakan parti berbanding Islam.

"Habis dipusing segalanya, takde dalil dah, takde Quran dah, ikut sedap mereka nak kata apa pun. Inilah asabiyah yang paling dahsyat apabila mereka hanya membela puak dan penyokong mereka. Tak kira dah mereka berzina ke, berkhalwat ke, mereka akan bela," katanya.

Dalam pada itu, Pengerusi Biro Bertindak Agama Minda Pondok, Mohd. Syamsul Mohd. Yusoff Al-Hafiz berkata, antara faktor lain penolakan golongan pondok itu kerana Pas telah menggadaikan akidah Islam.

"Pemimpin Pas sanggup membenarkan bukan Islam menguna kalimah Allah dalam Injil versi Melayu yang diguna pakai di gereja-gereja," katanya.

Beliau turut tidak bersetuju dengan sikap Pas yang hanya menjadi pengikut DAP dan ini terbukti apabila ia memecat bekas Exco Selangor, Datuk Dr. Hasan Ali setelah beliau mengakibatkan DAP marah kerana merampas arak yang dijual secara terbuka.

"Maknanya, DAP imam, Pas menjadi makmum. Yang jelas hari ini Pas sudah tersasar jauh daripada matlamat yang sebenar dan kalau kita duduk bersama pakatan pembangkang, masa depan agama kita akan hancur," katanya.

Sementara itu, Pengasas Pondok Geting, Abdullah Saamah yang juga Penasihat Minda Pondok berkata, antara kesilapan terbesar Pas adalah bersikap terlalu taksub untuk menjatuhkan UMNO sehingga rela melihat orang Melayu dan Islam berpecah.

"Saya tidak bersetuju dengan dasar kesamarataan pihak pembangkang yang dipersetujui Pas yang jelas bercanggah dengan al-Quran. Kita tak terima kesamarataan. Islam lebih tinggi," katanya.

Apa yang jelas para tok guru pondok telah menyatakan pendirian mereka. Sama-samalah kita lihat adakah kebangkitan ini akan menjadi tsunami melemaskan Pas.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved