Khamis, 4 April 2013

Utusan Online - Timur


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Timur


Lagi produk 1Malaysia tabur jasa

Posted: 03 Apr 2013 12:24 PM PDT

Oleh NIK JASNI CHE JAAFAR
utusanterengganu@utusan.com.my

PUSAT Rehabilitasi 1Malaysia DUN Seberang Takir Kampung Telaga Daing Kuala Terengganu.

KUALA TERENGGANU 3 April - Sepanjang perkhidmatannya sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri Seberang Takir, Datuk Ahmad Razif Abdul Rahman (gambar) yang sering menjenguk kehidupan masyarakat di kawasannya mendapati ramai daripada mereka yang uzur dan terlantar merupakan penghidap angin ahmar.

Mereka yang kebanyakannya lanjut usia tidak mampu berulang-alik ke hospital untuk menjalani proses rawatan dan pemulihan yang menuntut tempoh masa panjang di samping cenderung mendapatkan khidmat bomoh dan mengelak rawatan klinikal.

Beliau turut menyedari tahap kesedaran mengenai strok belum begitu meluas termasuk risiko tekanan darah tinggi, kencing manis, keadaan kolesterol dan tabiat merokok di samping amalan penjagaan kesihatan seperti senaman agak terbatas.

Sehubungan itu, beliau berusaha mewujudkan Pusat Rehabilitasi 1Malaysia di Bangunan Penyelaras UMNO Seberang Takir membabitkan kos keseluruhan bernilai kira-kira RM350,000 yang akan memulakan operasi harian sepenuhnya bulan ini.

Ahmad Razif berkata, mengikut jadual, operasi asal itu sepatutnya bermula Mac lalu menggunakan khidmat pegawai daripada Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu khususnya dalam bidang fisioterapi.

"Walau bagaimanapun, kita tetapkan operasi harian mengikut waktu pejabat hanya akan bermula bulan ini. Sehubungan itu, kita berharap penduduk setempat akan mendapat manfaat kemudahan rawatan yang disediakan secara percuma ini.

"Kita juga menyediakan kenderaan bagi khidmat pengangkutan secara percuma bagi pesakit yang kurang berkemampuan dan sukar datang supaya mendapatkan rawatan dan menjalani pemulihan di sini," katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

Pusat yang akan memberi fokus terhadap pesakit strok itu merupakan pusat melibatkan peranan komuniti pertama di Semenanjung.

Difahamkan sebuah lagi pusat serupa terdapat di Sibu, Sarawak melibatkan peranan bersama pemimpin masyarakat dan penduduk setempat yang beroperasi dengan dana sumbangan pelbagai pihak.

"Kita harap pusat ini mampu memberi pendedahan dan pengetahuan kepada pesakit serta waris yang menjaga mereka dengan harapan pesakit akan menerima rawatan secara menyeluruh," katanya.

Jelas Ahmad Razif, buat permulaan, pihaknya menempatkan empat pegawai terdiri daripada dua kakitangan tetap dan sambilan untuk mengendalikan pusat berkenaan dengan dibantu para sukarelawan berpengalaman.

Beliau memberitahu, pusat itu juga akan menyediakan khidmat nasihat daripada pakar perubatan daripada beberapa hospital setiap Sabtu bagi kemudahan penduduk merujuk pelbagai kes mereka.

"Tidak mudah menjadikan ini kenyataan, namun bagi saya ini suatu tanggungjawab sosial yang perlu dipenuhi, suatu jihad dalam memulih kesihatan mereka dengan sasaran awal kepada pesakit berdasarkan rekod di Klinik Kesihatan Seberang Takir," katanya.

Menurutnya, Jabatan Kesihatan negeri bertindak sebagai penasihat dalam pemilihan peralatan dan turut bertanggungjawab menguruskan pembelian kelengkapan itu.

"Kerajaan negeri menyediakan peruntukan sebanyak RM150,000 manakala Kerajaan Persekutuan memperuntukkan sebanyak RM200,000 untuk pusat ini, selain sumbangan para dermawan untuk melengkapi pelbagai kemudahan," katanya.

Tambahnya, beberapa pihak seperti Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) dan syarikat ExxonMobil juga bersedia menghulurkan bantuan bagi memastikan matlamat penubuhan pusat itu tercapai.

"Selain untuk pesakit strok, kita juga akan bantu pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) dalam kawasan ini dan pelajar Pendidikan Khas di Sekolah Menengah dan Sekolah Kebangsaan Kompleks Sebarang Takir," katanya.

Tambah beliau, pihaknya juga memohon geran tahunan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat selain merancang mewujudkan kemudahan hemodialisis di pusat itu pada masa depan.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Kesihatan negeri, Dr. Mohammad Omar menyifatkan penubuhan pusat berkenaan usaha murni yang wajar dikembangkan.

Katanya, inisiatif itu digerakkan melalui kerjasama pintar antara pemimpin masyarakat dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dengan kerjasama Hospital Sultanah Nur Zahirah dan Klinik Kesihatan Seberang Takir.

"Langkah ini juga dapat menarik penglibatan para sukarelawan membantu sekali gus memperlihatkan tanggungjawab dalam aspek penjagaan kesihatan rakyat tidak terserah kepada kementerian semata-mata.

"Ini juga salah satu pendekatan Strategi Lautan Biru dan pihak jabatan akan membantu memberikan nasihat kepakaran dan penyelarasan operasi," katanya.

Bangunkan semula qariah Kelantan

Posted: 03 Apr 2013 12:24 PM PDT

Oleh ASMA HANIM MAHMOOD
utusankelantan@utusan.com.my

Faridah

KOTA BHARU 3 April - Banyak usaha perlu dilakukan untuk membangunkan semula qariah Kelantan setelah terbantut akibat tindakan Kerajaan Pas Kelantan melarang wanita menyertai majlis tilawah al-Quran sejak pentadbirannya bermula pada 1990.

Legenda kariah negara, Faridah Mat Saman, 64, berkata, larangan kerajaan Pas Kelantan selama ini menyebabkan perkembangan seni tersebut dalam kalangan wanita termasuk dari segi suara jauh ketinggalan berbanding prestasi qari dan rakan seperjuangan mereka di negeri lain.

Faridah yang pernah menjadi johan majlis tilawah antarabangsa sebanyak lapan kali dari tahun 1960-an sehingga awal era 90-an berkata, beliau yakin zaman kegemilangan qariah dari Kelantan itu akan muncul kembali dalam tempoh sedikit masa lagi.

"Tahun terakhir saya bertanding dan menang majlis tilawah peringkat negeri pada 1989, selepas itu tidak ada lagi peserta wanita Kelantan dapat bertanding mengisi tempat wakil negeri dan saya sendiri hanya mara ke peringkat kebangsaan dan antarabangsa pada 1990 dan 1991 hanya atas tiket juara menunggu.

"Sekarang, setelah pintu ditutup selama 22 tahun, kita berpeluang bermula semula, banyak benda perlu diperbaiki kerana kita baru hendak memanaskan enjin tetapi Insya-Allah saya yakin kita boleh berjaya," katanya.

Beliau ditemui Utusan Malaysia dalam Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Negeri Kelantan kali ke-56 di Kompleks Islam Jubli Perak Sultan Ismail Petra, di sini malam tadi.

Penganjuran majlis tilawah tahun ini mencatat sejarah selepas 11 qariah termasuk juara menunggu, Zainab Che Daud memperdengarkan bacaan mereka di hadapan khalayak termasuk lelaki selepas kerajaan Pas Kelantan menarik balik larangan menyekat wanita menyertai acara tersebut.

Tahun lalu, Zainab, 68, yang buta sebelah mata kiri, memenangi majlis tilawah peringkat negeri tetapi dalam satu pemilihan tertutup untuk wanita dan tidak berpeluang mewakili negeri ke peringkat kebangsaan.

Selain 11 qariah itu, sebanyak 10 qari turut menyertai majlis tilawah itu yang berlangsung bermula 1 April hingga esok, sekali gus berpeluang menempa sejarah mengharumkan nama negeri dalam majlis tilawah peringkat kebangsaan pada Mei ini di tempat sendiri selepas Kelantan bakal menjadi tuan rumah buat julung kalinya.

Dalam pada itu, Faridah menyatakan kekesalan dan menegur penganjuran majlis tilawah yang disifatkannya bagai melepaskan batuk di tangga kerana tiada promosi besar-besaran dibuat untuk program yang memartabatkan bacaan al-Quran sehingga ramai tidak mendapat makluman.

Qariah gembira dapat sertai tilawah al-Quran peringkat negeri

Posted: 03 Apr 2013 12:24 PM PDT

KOTA BHARU 3 April - Tiada kata yang dapat mengungkapkan keceriaan pada wajah para qariah yang memperdengarkan bacaan mereka pada malam pertama Majlis Tilawah al-Quran Peringkat Negeri Kelantan Ke-56 yang berlangsung di Kompleks Islam Jubli Perak Sultan Ismail Petra, di sini malam tadi.

Sebanyak 11 qariah itu menyertai l0 qari dalam majlis tersebut tahun ini yang menyaksikan penyertaan semula peserta wanita sejak sekian lama disekat Kerajaan Pas Kelantan.

Peserta, Kamilah Ab. Rahman, 56, yang mewakili daerah Tumpat berkata, dia amat gembira kerana dapat memperdengarkan bacaan al-Quran di hadapan hadirin yang ramai sekalipun berhadapan masalah suara serak.

Kamilah yang juga seorang guru dan pernah menduduki tempat ketiga pertandingan tilawah anjuran Astro Oasis pada 2009 berkata, dia tidak begitu memikirkan mengenai markah bacaan kerana sedar ini adalah satu permulaan.

"Kebanyakan peserta malam ini pun memberitahu tidak dapat melontar suara terbaik kerana sudah begitu lama tidak mendapat peluang begini, maklumlah suara kami terkunci begitu lama dan perlu sedikit masa untuk diasah dengan lebih sempurna," katanya kepada Utusan Malaysia selepas menjadi peserta keempat memperdengarkan bacaan malam tadi.

Sementara itu, johan menunggu, Zainab Che Daud, 68, yang tahun lalu mengungguli tempat pertama majlis tilawah tertutup untuk wanita berkata, dia juga tidak berasa berdebar sebaliknya gembira diberi peluang tersebut bersama peserta lain.

"Tidak berdebar sedikitpun, saya cuma kurang selesa sebab suara serak, terfikir juga sebelum sampai giliran tadi tidak mahu membaca, tetapi takut pula dimarah orang," katanya sambil menyatakan keyakinan mendapat keputusan yang baik sekiranya ada rezeki.

Dalam pada itu, peserta termuda, Wan Sofea Aini Wan Mohd. Zahidi, 19, yang mewakili daerah Jeli berharap penyertaannya dapat mencetuskan minat golongan wanita muda negeri ini yang semakin kurang menceburi bidang seni bacaan al-Quran.

Wan Sofea Aini yang juga pelajar program Diploma Fakulti Pengajian Kontemporari Islam Universiti Sultan Zainal Abidin (Unisza) berpendapat, tidak menjadi kesalahan untuk wanita memperdengarkan bacaan al-Quran di hadapan lelaki bahkan merupakan perkara itu merupakan pendekatan dakwah yang menjadi milik semua pihak.

"Apa salahnya mengaji al-Quran di khalayak ramai? Ini adalah satu kaedah dakwah yang semua orang boleh guna terutama untuk mengajak masyarakat ke arah kebaikan," katanya.

Tiga qariah lagi yang turut mengambil bahagian malam tadi ialah Fatimah @ Norma Deraman, 52, (Kuala Krai); Wan Yah Wan Ali, 63, (Pasir Mas) dan Mariam Jusoh, 66, (Machang).

Enam qari yang selesai memperdengarkan bacaan pula ialah Khairussaleh Mohd. Nor, 48, (Bachok); Mohd. Nazri Daud, 33, (Tumpat); Mohd. Shaufee Ismail, 48, (Machang), Mohd. Khairi Ismail, 25, (Gua Musang) dan Zulkifli Haron, 54, (Pasir Mas).

Sebanyak lima qari dan lima qariah lagi bakal memperdengarkan bacaan mereka malam ini.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved