Utusan Online - Utara |
Posted: 13 Apr 2013 11:26 AM PDT Oleh ABDUL MUIN SAPIDIN Zambry Abd. Kadir disambut oleh ribuan penyokong Barisan Nasional (BN) dalam Majlis Pelancaran Jentera PRU-13 BN Perak di Stadium Indera Mulia, Ipoh, kelmarin. IPOH 13 April - Stadium Indera Mulia, di sini gegak gempita dengan laungan penuh bersemangat lebih 8,000 anggota jentera pilihan raya Barisan Nasional (BN) yang bertekad berjuang habis-habisan bagi mempertahankan Perak pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13). Para pejuang 'Gelombang Biru' yang menghadiri Majlis Pelancaran Jentera PRU-13 BN Perak malam tadi turut berikrar akan memberi sokongan padu kepada semua calon BN yang akan bertanding di 24 kerusi Parlimen dan 29 Dewan Undangan Negeri (DUN) pada 5 Mei ini. Dalam ucapan perasmiannya, Pengerusi BN Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir membakar semangat anggota jentera supaya mengumpul segala kekuatan bagi menggempur pembangkang habis-habisan dalam pilihan raya yang dianggap paling sengit dalam sejarah. Sambil menekankan perlunya perpaduan BN, Zambry turut mengingatkan jentera parti tersebut supaya mengambil iktibar daripada kekalahan pada pilihan raya 2008. "Jangan kita ulang kesilapan kita, jangan. Ini masa untuk menebus kesilapan. Pastikan siapa juga calon, kita akan sokong dan memastikan kemenangan BN," katanya sambil disambut dengan laungan bersemangat 'Hidup BN'. Yang turut hadir ialah Timbalan Pengerusi BN negeri, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah; mantan Menteri Besar, Tan Sri Mohd. Tajol ROsli Ghazali; Timbalan Presiden Gerakan; Setiausaha Agung MCA, Datuk Seri Kong Cho Ha; Datuk Chang Kon Youn; Timbalan Pengerusi MIC negeri, Datuk R. Ganesan serta para pemimpin parti komponen BN Perak. Majlis itu dimulakan dengan sesi taklimat kejayaan pentadbiran kerajaan BN Perak sejak tahun 2009 yang disampaikan Ketua Penerangan UMNO Perak, Datuk Saarani Mohamad. Zambry dalam ucapannya berkata, seluruh jentera di semua peringkat perlu memastikan siapa juga calon yang dipilih pucuk pimpinan akan dibantu habis-habisan bagi memastikan kemenangan BN termasuk di kawasan yang dianggap kubu pembangkang. "Kita mesti bersatu hati, bersatu tenaga. Siapa juga calon yang dipilih, itulah calon BN, itulah calon yang mesti kita beri kemenangan," katanya. Menurut beliau, jentera BN tidak seharusnya terikut-ikut dengan sikap pemimpin pembangkang yang terus bertelagah sesama sendiri secara terbuka gara-gara berebut kerusi pilihan raya. Dalam konteks BN, jelas beliau, setiap parti komponen mempunyai azam yang sama sehingga sanggup berkorban kerana menjadi kemenangan parti sebagai perkara paling utama. "Itulah hebatnya BN, itulah indahnya BN. Kita tidak berpura-pura baik, itu bukan cara BN. Kalau kita pegang tangan, kita ikhlas antara satu sama lain," katanya sambil memegang dan mengangkat tangan bersama Ahmad Husni sebelum menerima tepukan gemuruh hadirin. |
Posted: 13 Apr 2013 11:26 AM PDT IPOH 13 April - Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, Datuk Hee Yit Foong mengesahkan tidak akan bertanding dalam Pilihan Raya Umum Ke-13. Yit Foong yang juga penyandang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jelapang berkata, meskipun ada cadangan supaya mewakili Barisan Nasional (BN) beliau tetap dengan pendirian tidak bertanding. "Saya tidak akan bertanding di Jelapang sama ada atas tiket Barisan Nasional (BN) mahupun sebagai calon Bebas. Bukan budaya saya berebut-rebut menjadi calon kerana tanpa bertanding pun saya masih boleh berbakti. "Yang lebih penting, saya mahu membalas budi BN yang telah melindungi saya semasa saya 'menumpang' dahulu. Mereka juga menjaga kawasan dan penyokong-penyokong saya dengan baik sekali," katanya ketika dihubungi Mingguan Malaysia di sini hari ini. Yit Foong bersama dua ADUN Parti Keadilan Rakyat (PKR) iaitu Jamaluddin Mohd. Radzi (Behrang) dan Mohd. Osman Mohd. Jailu (Changkat Jering) pernah menggemparkan negara selepas mengisytiharkan keluar parti itu dan menjadi wakil rakyat Bebas sehingga membawa kepada kejatuhan kerajaan pembangkang Perak pada 2009. Menurut Yit Foong, melalui pemerhatiannya, sokongan rakyat di Jelapang terhadap BN semakin meningkat kerana parti itu banyak membantu 'menjaga' kawasan tersebut setelah beliau menjadi wakil rakyat Bebas. "DAP dalam ceramah pernah berkata kalau letak binatang seperti anjing dengan kucing pun di sana mereka pasti menang. Ini amat mengguris perasaan pengundi dan rakyat Jelapang. "Saya sendiri amat sakit hati dengan perbuatan mereka yang merendah-rendahkan martabat pengundi Jelapang. Saya akan buktikan dan bekerja keras untuk membantu calon BN yang akan diletakkan di sana nanti untuk capai kemenangan," katanya. |
Koo Ham jangka saingan sengit di Beruas Posted: 13 Apr 2013 11:26 AM PDT IPOH 13 April - Pengerusi DAP negeri, Datuk Ngeh Koo Ham menjangkakan tentangan sengit daripada calon Barisan Nasional (BN) dalam usahanya mempertahankan kerusi Parlimen Beruas pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13). Koo Ham berkata, peluangnya untuk menang sekali lagi menentang Timbalan Presiden Gerakan, Datuk Chang Ko Youn yang dijangka dicalonkan semula di kerusi tersebut adalah 50-50. "Saya rasa peluang saya untuk menang di Parlimen Beruas adalah 50-50. Saya harap rekod perkhidmatan saya selama ini akan tolong saya," katanya dalam sidang akhbar di Wisma DAP Perak di sini hari ini. Beliau menyatakan demikian ketika ditanya sama ada beliau yakin untuk menang sekali lagi di kerusi Parlimen Beruas berikutan kerja kuat yang dilakukan oleh jentera BN dan Ko Youn yang merupakan Pengerusi Gerakan negeri. Pada PRU-12, Koo Ham mengalahkan Ko Youn dengan majoriti sebanyak 1,828 undi di kerusi Parlimen Beruas yang mempunyai pengundi Cina seramai 54.14 peratus. Kerusi Beruas pernah dianggap sebagai kubu kuat BN kerana bekas Presiden Gerakan, mendiang Tun Dr. Lim Keng Yaik menang di situ sejak 1986 sebelum mengumumkan tidak bertanding pada PRU-12. Sementara itu, Setiausaha DAP negeri, Nga Kor Ming berkeyakinan mampu mempertahankan kemenangan di kerusi Parlimen Taiping walaupun BN dijangka kembali meletakkan calon dari Gerakan iaitu Datuk Tan Lia Hoe. "Pengundi di Taiping kini bijak. Kita tunggu saat pengumuman keputusan penuh nanti. Saya ada keyakinan penuh kepada pengundi di Taiping," katanya. Terdahulu, dalam sidang akhbar itu, Koo Ham dan Kor Ming membawa puluhan fail dan para petugas pusat khidmat di kawasan diwakili kedua-duanya bagi menunjukkan bahawa mereka telah menjalankan tugas selama lima tahun menjadi wakil rakyat. Menurut Koo Ham dan Kor Ming, mereka terpaksa berbuat demikian kerana ada dakwaan bahawa kedua-duanya tidak buat kerja dan jarang menunjukkan muka di kawasan mereka terutamanya di Parlimen Beruas dan Taiping. Dalam pada itu, mereka enggan mengulas ketika ditanya mengenai dakwaan terdapat dua senarai bakal calon DAP di Perak iaitu satu senarai dikemukakan oleh DAP negeri dan satu lagi oleh Naib Presiden DAP, M. Kulasegaran. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Utara To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan