Ahad, 14 April 2013

Utusan Online - Rencana


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Rencana


Menjelang hari mengundi, ‘kilang fitnah’ dan kilang poster sama-sama sibuk

Posted: 14 Apr 2013 12:20 PM PDT

Oleh Hassan Mohd. Noor

DEBARAN siapa yang bakal menjadi calon Barisan Nasional (BN) dijangka terjawab hari ini atau selewat-lewatnya esok. Berapa ramaikah bekas Yang Berhormat akan dikekal atau digugurkan? Siapa pula muka baru? Kita juga akan tahu sama ada nama-nama yang meniti di bibir orang politik di seluruh negara yang kononnya akan dicalonkan hanya sekadar spekulasi atau kenyataan. Bagi yang dipilih semula, selamat berjuang. Kepada yang menaruh harapan tetapi tidak terpilih diharapkan dapat sama-sama turun padang membantu calon pilihan pucuk pimpinan. Bersabar, jangan merajuk dan kecewa. Ingat kata-kata Perdana Menteri, Najib Tun Razak, kalau kecewa pun, cukuplah sehari, kemudian kembali ke gelanggang. Seperti diselak minggu lalu, ingatlah juga ikrar setia di Dewan Merdeka semasa Perhimpunan Agung UMNO lalu. Utamakan kemenangan parti.

Berikutan banyak nama yang sudah disahkan oleh parti politik terutama pakatan pembangkang, maka kempen tidak rasmi juga semakin panas. Gambar calon serta pelbagai poster dan bendera sudah dinaikkan. Menjelang hari penamaan calon hujung minggu ini, kempen semakin rancak. Sebenarnya kempen menghadapi pilihan raya umum (PRU) ini sudah bermula sejak kira-kira empat tahun lalu. Sebaik sahaja PRU 2008 selesai, kempen untuk berkuasa sudah bermula. Lihat sahajalah bagaimana pakatan DAP-Pas-PKR mencanangkan mereka akan menubuhkan kerajaan pada 16 September 2008. Begitu ghairah mereka berkempen untuk berkuasa tanpa menunggu PRU-13. Begitu juga sebagai persiapan untuk melantik pemimpin mereka sebagai Perdana Menteri, maka satu pilihan raya kecil (PRK) sengaja diadakan di kawasan Parlimen Permatang Pauh pada 26 Ogos 2008. Penyandang kerusi itu, Dr. Wan Azizah Wan Ismail mengosongkan kerusi itu selepas kira-kira lima bulan diberi mandat baru pada PRU-12. Tindakannya semata-mata mahu memberi laluan kepada suaminya, Anwar Ibrahim bertanding di situ. Semuanya ini sebagai persediaan untuk Anwar ke Putrajaya. Sejak itu bermulalah kempen tidak rasmi pilihan raya dengan matlamat pakatan pembangkang mahu menguasai Putrajaya.

Bagi rakyat biasa (bukan orang politik) sudah tentu tempoh kempen PRU selama 15 hari terlalu lama, lebih-lebih lagi masa antara pembubaran (3 April) sehingga hari pembuangan undi menjangkau tempoh sebulan. Apa pun, itu hak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) walaupun ada parti politik yang tidak puas hati dengan tempoh itu. Ya lah, mereka ini ahli politik yang kerjanya hanya berpolitik sedangkan banyak pihak yang sudah bosan dengan kecelaruan dalam kempen politik ini. Kebanyakan orang lega jika ceramah atau sebarang bentuk kempen politik dikurangkan. Mereka sudah muak dengan ceramah berbentuk fitnah, caci maki dan macam-macam lagi yang menyakitkan hati dan telinga yang mendengarnya.

Apakah yang akan berlaku dalam tempoh sekarang sehingga hari pembuangan undi? Apa yang pasti, sebaik sahaja nama calon diumumkan, maka kilang poster akan beroperasi 24 jam tanpa henti. Mereka bertungkus lumus mencetak bendera, poster calon, risalah, manifesto dan macam-macam lagi sebagai bahan kempen.

Pada masa yang sama kilang fitnah juga sibuk mereka bentuk mencetak pelbagai propaganda untuk dijadikan kempen pada PRU ini. Kilang fitnah ini akan beroperasi 24 jam menjaja pelbagai perkara yang matlamatnya hanya mahu mencari keuntungan politik. Fitnah yang direka untuk memburukkan orang lain memang sedap didengar lebih-lebih lagi bagi yang tidak berminat untuk berfikir mengenai kesahihannya.

Seorang pemimpin pembangkang baru-baru ini berkata, rakyat sudah muak dengan politik caci maki, fitnah dan mengaibkan orang lain ini. Baguslah jika sudah ada kesedaran itu. Tetapi sejak dulu, siapakah yang menjadi juara ceramah maki hamun ini? Adakah mereka yang melontarkan kata-kata itu tidak akan melakukan fitnah lagi? Kata orang cakap tidak serupa bikin. Kini parti yang dulunya hanya bertahan tidak sanggup mengikut rentak yang dibawa pihak lawan sudah mula mengikut jejak itu. Sesiapa pun jika diasak bertubi-tubi tidak mampu bertahan dan akan membalasnya.

Dalam hal ini kelebihan berpihak kepada pembangkang kerana apa juga musibah atau fitnah yang melanda mereka akan dikaitkan dengan UMNO atau BN. Puak pembangkang biasanya akan cuci tangan menuding jari ke arah orang lain. Inilah kelebihan di pihak pembangkang. Mereka boleh caci maki, mengeluarkan pelbagai fatwa yang mengelirukan serta memfitnah dan mengaibkan orang lain tetapi tidak sanggup menerima serangan balas pihak lawan. Apabila pihak lain membongkar kelemahan mereka, maka jawapan yang paling pantas diberi ialah semuanya angkara permainan politik UMNO/BN. Ini termasuklah penyebaran video seks yang mirip kepada seorang pemimpin pembangkang. Ekoran tersebarnya video itu, pelbagai bahan lain yang menunjukkan kreativiti berpolitik rakyat Malaysia muncul. Setiap hari ada sahaja sesuatu yang baharu muncul. Adakah semua ini kerja orang UMNO atau BN?

Dalam laporan berkaitan bendera Pas berwarna hitam di Kedah, ada pihak yang mengatakan itu kerja puak UMNO/BN sedangkan kemunculan bendera itu disebabkan dua faktor. Pertama dilihat sebagai protes terhadap Menteri Besar, Azizan Razak dan kedua peringatan kepada penyokong Pas supaya tidak buta warna semasa mengundi. Simbol parti di kertas undi adalah hitam putih, tidak ada hijau dan putih.

Baru-baru ini, Pengasas Pondok Geting di Kelantan Abdullah Saamah juga menjadi mangsa politik kilang fitnah ini. Disebabkan kelantangannya mengkritik Pas, pondok yang sedang dibina disita. Kenapa sekarang baru disita? Soalan ini samalah dengan persoalan kenapa sekarang baru muncul video aksi seks itu? Seperkara lagi, terdapat kilang fitnah yang mencetak poster Abdullah Saamah sebagai calon BN N1 Pengkalan Kubur pada PRU nanti sedangkan hari penamaan calon belum tiba.

Seorang sahabat di Kelantan pula memberitahu, Pas juga menganjurkan satu ceramah dengan tajuk Pendedahan siapa pencemarah ulamak UMNO. Apakah tujuan mengadakan ceramah seperti ini? Adakah mereka mahu berhujah atau mendedahkan peri laku manusia? Dalam suasana kempen PRU ini juga, adakah wajar syurga, neraka, pahala, dosa, halal dan haram dikaitkan dengan undi parti politik? Ada juga pihak yang memanipulasikan ucapan atau kenyataan termasuk titah Pemangku Raja Perak, Raja Dr. Nazrin Shah dan bekas Timbalan Perdana Menteri, Musa Hitam. Jika sebelum ini, orang yang meninggal dunia juga sanggup dipolitikkan, maka apa lagi orang yang masih hidup.

Semoga, kita sebagai orang Melayu yang beragama Islam tidak terperangkap dengan peranan kilang fitnah seumpama ini. Jangan menjadikan kempen PRU sebagai pesta mencipta dosa. Maka selidikilah dahulu fitnah itu. Jangan cepat kita menghukum itu betul atau menafikannya bulat-bulat. Patuhilah adab berpolitik, hentikan serangan terhadap peribadi calon.

'Takkan saya hendak biarkan ...'

Posted: 14 Apr 2013 12:20 PM PDT

SEBAGAI orang yang pernah terlibat secara aktif dalam gerakan Angkatan Belia Islam (ABIM), DATUK AIDIT GHAZALI, kebanyakan ahlinya tidak dapat lari dari bayang bekas pemimpinnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Sebagai bekas pengasas ABIM United Kingdom, beliau mengakui pernah terpengaruh dengan lakonan Ketua Pembangkang itu.

Menurut beliau, apabila ABIM membuat pendirian mereka dalam menyokong Anwar, maka beliau sebagai yang pernah melalui proses tarbiah ABIM tertanya-tanya panduan hukum apa yang mereka guna dalam Islam untuk membawa pada pendirian mereka.

Ketika Anwar mengambil keputusan untuk masuk politik melalui UMNO, saya antara yang tidak setuju ABIM diheret sekali sebagai merestui keputusan beliau sebab pada saya, jangan disebabkan keputusan Anwar, ABIM nanti akan hilang sifat sebagai jurucakap umat yang non-partisan,".

Kepada wartawan Mingguan Malaysia, HAFIZAHRIL HAMID, Aidit yang juga Timbalan Presiden JATI meluahkan perasaan dan pengalamannya bersama ABIM dan Anwar selain berkongsi pendirian mengenai hala tuju politik negara.

UTUSAN: Datuk pernah menjadi pengasas penubuhan ABIM UK. Apa pandangan Datuk mengenai kepimpinan Anwar Ibrahim pada waktu itu?

AIDIT: Saya memulakan pengajian di United Kingdom pada 1978. Ketika itu adalah era di mana penuntut kita di Malaysia dan di luar negara mencari-cari jawapan pada pelbagai persoalan, termasuklah bagaimana untuk berjuang supaya tahap keIslaman di Malaysia dapat dipertingkatkan.

Justeru wujud pelbagai jemaah Islam yang menjadi pilihan alternatif: Yang sempat saya nilai adalah jemaah Tabligh tetapi golongan ini tidak bersungguh dalam urusan politik, ekonomi dan aspek pentadbiran Islam. Ada juga Suara Al-Islam tapi saya tidak setuju dengan cara mereka yang kurang bijaksana dan agresif tak kena pada tempat. Kemudian IRC yang terbawa-bawa dengan model Ikhwanul Muslimin yang belum tentu sesuai dengan realiti di Malaysia. Kemudian adanya golongan yang mewakili pendekatan ABIM yang ketika itu seimbang dalam pendekatan dakwah serta aktiviti mereka, bertekad untuk menjadi non-partisan dalam hal politik, komited menjadi jurucakap umat yang hendak pada Islam dan yang jelas dengan pendirian Islam berasaskan Ahlus Sunnah wal Jamaah. Ketika itu Anwar Ibrahim memegang jawatan sebagai Presiden ABIM. Dan ketika itu, Anwar dilihat sebagai harapan anak-anak muda untuk menjadi penjana pada aspirasi yang dibawa oleh ABIM.

Namun, ketika Anwar mengambil keputusan masuk politik melalui UMNO, saya antara yang tidak setuju ABIM diheret sekali sebagai merestui keputusan beliau sebab pada saya, jangan disebabkan keputusan Anwar, ABIM nanti akan hilang sifat sebagai jurucakap umat yang non-partisan. Tetapi terhadap Anwar sebagai individu, saya mendoakan kejayaannya. Saya juga berharap agar beliau tidak lupa pada perjuangan ABIM. Saya telah mendoakan agar beliau tak akan menjadi mangsa pada hedonisme dan kerakusan nafsu yang sering memerangkap mereka yang masuk politik tanpa bekalan iman. Daya kepimpinan Anwar memang mengkagumkan. Hubungan manusianya (public relations) sangat baik. Hanya kini saya sedar bahawa mempunyai kemahiran ini tanpa seseorang itu guna untuk tujuan yang murni dari segi agama boleh makan balik diri sendiri. Dan jika kita mudah termakan dengan kemahiran yang beliau ada, maka kita akan mudah menjadi manusia yang taksub pada karisma beliau. Alhamdulillah sifat saya yang sentiasa memperingatkan diri bahawa Allah dan Rasul mengatasi segala-galanya banyak membantu daya untuk sedar siapa Anwar Ibrahim sebenarnya.

Setelah sekian lama Datuk mengkagumi Anwar, mengapa akhirnya Datuk berubah?

AIDIT: Kagumnya saya atau setianya saya terhadap sesiapa adalah bersyarat. Ringkasnya, saya pandang jijik terhadap manusia yang susah nak lafazkan minta maaf jika ia buat kesilapan. Saya pandang keji terhadap sesiapa yang berani ambil hak Allah. Saya pandang hina terhadap sesiapa yang bersekongkol dengan musuh-musuh Islam, seteru umat Islam, pengancam kedaulatan negara, penghina institusi raja dan pendokong musuh-musuh kita seperti penyokong Zionis dan pengamal aliran songsang. Anwar nampaknya semakin hilang pertimbangan. Beliau tidak nampak tegas dan tidak nyata tegas dalam hendak memelihara asas-asas yang saya yakini mesti diperjuangkan oleh seseorang yang hendak memimpin negara Islam seperti Malaysia.

Rumusan saya bukan sesuatu yang saya tetapkan semalaman. Ia mengambil masa yang lama untuk selidik, dapat maklumat dan pandangan daripada insan-insan yang saya yakini tahap kejujuran mereka serta proses pembersihan jiwa saya supaya saya tak disuburi dengan sifat-sifat mazmumah seperti dengki, dendam, marah, emosi luar kawalan, fikiran cetek dan mudah dipengaruhi oleh puak-puak yang ada agenda udang di sebalik batu. Saya bukan mudah untuk diajak bersetuju. Tapi saat di mana saya yakin saya adalah betul, maka saya tidak akan henti berjuang sehingga Allah ambil nyawa saya. Saya serah bulat-bulat kepada Allah bila hasil perjuangan saya akan mendatangkan hasil. Namun, setelah mengalami pahit manis empat tahun kebelakangan ini untuk meyakinkan pihak-pihak lain yang masih taksub pada Anwar dan mereka yang sama kategori agenda beliau, saya dapati bahawa selagi Allah tidak buka pintu hidayah yang lebih luas bagi mereka, maka mereka akan terus hidup dalam kepalsuan.

Apa pandangan Datuk mengenai sikap partisan ABIM terhadap Anwar ?

AIDIT: Saya masih lagi berjumpa dengan beberapa rakan ABIM, sama ada sezaman saya ataupun yang selepasnya. Oleh sebab mereka tahu bahawa saya bukan insan yang mudah termakan kata tanpa bukti kukuh, maka hubungan kami masih sihat, walaupun ada di antara mereka yang terlibat dalam parti politik pembangkang. Ini menunjukkan kematangan yang tinggi berbanding dengan pendirian tokoh-tokoh ABIM yang telah menggadai prinsip, meritokrasi, imej dan kredibiliti mereka apabila membuat pendirian untuk menyokong Anwar walaupun beliau telah membuat pendirian yang jelas salah di sisi Islam, seperti pluralisme, LGBT, penggunaan nama Allah untuk Tuhan dalam Bible berbahasa Malaysia, pendekatan politik yang memudaratkan dan berkawan rapat dengan golongan dalam serta luar negara yang dikenali tidak menyokong pelaksanaan hukum-hukum Islam tertentu.

ABIM sepatutnya bersifat non-partisan supaya ia boleh menjadi tempat rujukan dan berpautnya umat yang perlu kita menyatupadukan. Bila ABIM membuat pendirian mereka dalam menyokong Anwar, maka saya sebagai yang pernah melalui proses tarbiah ABIM tertanya-tanya panduan hukum apa yang mereka guna dalam Islam untuk membawa pada pendirian mereka? Akhirnya saya berpendapat bahawa pertimbangan mereka lebih bersifat politik dan dijana pula oleh minda tokoh-tokoh veteran tertentu dalam ABIM yang menjadi penentu pendirian ABIM.

Ada tuduhan berat kepada Datuk Dr. Sidek Baba bahawa dia menerima RM15,000 sebulan untuk menjatuhkan Anwar, menerima kurniaan tanah oleh kerajaan Negeri Selangor dan menjualkannya balik kepada seorang Cina dan melakukan konspirasi dengan Datuk Alies Anor untuk menjatuhkan Anwar.

AIDIT: Saya telah berjumpa dengan Dr. Sidek dan meminta penjelasan walaupun beliau sahabat rapat saya. Saya telah lihat bukti-bukti kukuh yang menunjukkan bahawa ini semua fitnah. Saya mendapati daripada beliau bahawa tarikh mesyuarat yang didakwakan oleh pemfitnah itu jatuh pada tarikh beliau di luar Kuala Lumpur. Namun, tanpa bukti-bukti ini pun, saya yakini Dr. Sidek bukan seperti yang difitnah. Saya mengenali beliau sebagai manusia yang berakhlak baik, tidak berminat untuk menggadai maruah dengan cara-cara meraih keuntungan singkat tapi dosa berpanjangan. Namun, beliau adalah seorang pejuang. Memang fitrah hidup pejuang juga akan mendedahkan beliau pada fitnah dan mehnah. Justeru, lakukan apa yang dituntut oleh agama Islam iaitu, selidik dan tanya. Jangan jadi seperti sebahagian pihak di mana atas sifat taksub dan gila kuasa, menolak bukti nyata dan khabar tanpa usul periksa.

Datuk adalah Timbalan Presiden JATI dan memperjuangkan Islam, Umat Melayu dan institusi raja. Mengapa datang perjuangkan perkara-perkara ini?

AIDIT: Kewujudan JATI bukan sesuatu yang dirancang tetapi sesuatu yang ditakdirkan Allah berlaku apabila keadaan menjadi runcing, dalam erti kata, ada pihak-pihak yang berani mempertikai kedudukan Islam sebagai agama negara di Malaysia, hak-hak umat Islam hendak dirampas, Institusi Raja diperlekeh sebagaimana berlaku di Perak beberapa tahun lalu dan ada pihak yang pertikai kuasa Sultan Selangor, serta berlakunya perpecahan Melayu khususnya. Islam, umat Islam, institusi raja serta tonggak-tonggak lain seperti PDRM, ATM, SPRM, SPR dan tonggak lain adalah asas pada kelangsungan, penyuburan dan pemeliharaan Malaysia sebagai negara Islam.

Tahap keIslaman di Malaysia memang belum sempurna tetapi JATI melihat bahawa ketika ini, Kerajaan Persekutuan di bawah BN tidak pernah menyatakan bahawa tidak akan mempertahankan Islam. Malah mereka menunjukkan kesediaan untuk dinasihati ke arah tahap keIslaman yang lebih mantap. Justeru, JATI ditubuh untuk membantu agenda ini dan masih terbuka jika Pas, PKR dan DAP ingin belajar daripada pakar-pakar JATI. Kami terbuka. Tetapi jika kami buat sesuatu pendirian, maka asas kami bukan dengan daya fikir yang cetek tetapi jelas dengan apa yang dituntut oleh Islam. Wala dan taksub kami hanya pada Allah dan Rasul.

Datuk amat kritikal terhadap Datuk Nik Abdul Aziz mengenai kenyataan-kenyataannya yang kontroversial. Mengapa kenyataan beliau dianggap menjejaskan imej Islam?

AIDIT: Nik Abdul Aziz juga adalah manusia biasa. Beliau bukan maksum. Beliau bukan bebas dari melakukan kesilapan dan dosa. Beliau juga tidak akan muda selama-lamanya dan pasti akan hadapi cabaran kecerdasan minda apabila umur meningkat. Ilmu beliau juga bukan muktamad. Tetapi saya sudah lama bersabar, bersangka baik, bertoleransi dengan lafaz serta pendirian beliau yang semakin diambil kesempatan oleh musuh-musuh Islam dan membawa pada kekeliruan dan perpecahan di kalangan umat Melayu dan Islam. Saya juga dapati bahawa tidak ramai yang berani menegur beliau secara berhikmah, berasas dan tegas. Bagi saya, takkan kita hendak tunggu nasi menjadi bubur? Takkan kita nanti hendak menangis tak berlagu bila negara kita tergadai akibat umat berpecah? Apa yang saya hendak jawab dengan Allah apabila saya yakini bahawa keceluparan beliau boleh menjemput mudarat di kalangan umat tetapi saya berdiam diri pula?

Jika saya ada sedikit kudrat untuk membetulkan sikap beliau dan sikap mereka yang taksub pada beliau, biarlah saya guna kudrat ini untuk berjihad di jalan Allah. Biarlah manusia marah saya asalkan Allah tidak murka dengan saya. Takkan saya hendak membiarkan sahaja lafaz-lafaz yang merosakkan untuk terus mengelirukan kefahaman umat dan mungkin hingga akidah umat rosak apabila melihat tidak ada siapa yang berani menegur manusia yang merampas hak Allah?

Dari sudut senario pilihan raya, apa pandangan Datuk pilihan yang terbaik patut dilakukan rakyat dan apa pertimbangan Datuk dari sudut fiqah Islam segi keputusan bijaksana yang patut dilakukan demi maslahah umat Islam di Malaysia?

AIDIT: Saya berpandukan pada apa sedikit sebanyak yang saya telah pelajari daripada pakar-pakar fiqah dan berikut adalah asas-asas saya segi mengapa bagi PRU13, saya menegaskan wajib untuk masyarakat Malaysia mengundi BN:

1. Untuk mencapai mana-mana matlamat, Islam tidak mengizinkan sebarang cara kerana cara juga mesti sesuatu yang dalam lingkungan syarak. Justeru, usaha pembangkang memperolehi kejayaan walaupun dengan mengkufur nama Allah, membawa pada perpecahan umat, mengabdikan diri pada pendirian pihak yang menentang kewujudan negara Islam dan pelaksanaan hukum hudud, serta merestui ideologi pluralisme, liberalisme, sekularisme dan LGBT jelas menunjukkan bahawa pembangkang sanggup mengorbankan prinsip dan nilai Islam demi mencapai matlamat politik mereka.

2. Jika dengan menerima sesuatu itu membawa kebaikan yang dijanji dan juga keburukan yang diketahui boleh berlaku, maka mesti ditolak perkara itu. Pembangkang membuat pelbagai janji tetapi pakatan mereka yang rapuh dan juga menyetujui pendirian-pendirian yang bercanggah dengan Islam menuntut kita supaya menolak pembangkang kerana wujudnya risiko yang nyata bahawa menerima mereka juga bermaksud menerima berlakunya perkara-perkara yang tidak diingini segi Islam.

3. Dalam berhadapan dengan dua pilihan di mana kelemahan wujud dalam kedua-duanya, maka kita mesti pilih yang kurang mudaratnya. Walaupun dalam BN masih wujud ruang untuk memperkasakan pelaksanaan syariah dan akhlak yang lebih mulia, tetapi ancaman pada bab akidah Islam tidak ada. Ini berbeza dengan pembangkang yang menyokong pluralisme, liberalisme, sekularisme, LGBT dan aliran pemikiran yang terkeluar dari landasan Islam yang tepat, di mana ini semua mengancam kekuatan akidah umat Islam.

4. Untuk menyelamatkan Islam, umatnya serta martabat Malaysia sebagai negara Islam, maka perlu dijayakan pihak BN yang jelas tidak mempunyai agenda negatif terhadap Islam. Ini berbanding dengan ketiadaan pemimpin berwibawa dalam parti pembangkang bersamaan dengan pendirian mereka yang jelas tidak meletakkan Islam sebagai berstatus agama negara.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved