Utusan Online - Kota |
- KUW1M catat lebih 40,000 penyertaan
- Hadir kuliah awal petua Fauzan terpilih graduan cemerlang KLMUC
- Bertanding calon Bebas, pembangkang syok sendiri
KUW1M catat lebih 40,000 penyertaan Posted: 13 Apr 2013 11:26 AM PDT Oleh NUR HANANI AZMAN Ribuan peserta yang menghadiri Klinik Usahawan Warga Industri 1Malaysia (KUW1M) di Dewan Wawasan, Menara PGRM, Cheras, bagi mendengar tip untuk menjadi seorang usahawan berjaya, di Kuala Lumpur, semalam. KUALA LUMPUR 13 April - Klinik Usahawan Warga Industri 1Malaysia (KUW1M) yang diilhamkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mendapat sambutan luar biasa dengan lebih 40,000 penyertaan sejak dilancarkan akhir Mac lalu. Program berbentuk keusahawanan bersama pakar pemasaran, Dr. Azizan Osman telah mencatat rekod paling ramai pengunjung iaitu sebanyak 3,500 peserta di lokasi ketiga terakhir iaitu Kuala Lumpur. Pengerusi Sekretariat Pekerja Muda Barisan Nasional (BN), Nazir Hussin Akhtar Hussin berkata, pendaftaran secara dalam talian di Kuala Lumpur juga mencatat pendaftaran tertinggi iaitu 6,219 orang. "Jumlah kehadiran pada hari ini membuktikan peserta yang hadir bukanlah kerana suka-suka tetapi serius untuk menceburi bidang perniagaan secara sepenuh masa atau separuh masa. "Program ini bertujuan menaik taraf kehidupan masyarakat dan peniaga, sekali gus menyuntik semangat daya saing yang tinggi," katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini. Menurut Nazir Hussin, penganjuran tersebut turut melibatkan agensi-agensi kerajaan melalui kaedah 'bukan berkaitan politik'. "Peserta didedahkan dengan penglibatan pelbagai agensi kerajaan untuk mendapatkan maklumat berkenaan peluang yang disediakan oleh kerajaan melalui agensi tersebut. "Agensi seperti Perbadanan Usahawan Nasional Bhd. (PUNB), Majlis Amanah Rakyat (Mara) dan Agro Bank menyediakan khidmat nasihat secara percuma kepada peserta tentang bantuan kewangan untuk memulakan perniagaan," katanya. Bagi mereka yang berminat bolehlah mendaftar dan memilih lokasi KUW1M yang akan diadakan pada 14 April di The Zon Expo, Johor Bahru dan 18 Mei (Kota Kinabalu, Sabah). Pendaftaran dan maklumat lanjut boleh diperoleh dengan melayari laman web www.beraniberniaga.com. |
Hadir kuliah awal petua Fauzan terpilih graduan cemerlang KLMUC Posted: 13 Apr 2013 11:26 AM PDT Tiga kakitangan Kosmo, (dari kanan) Nurzalikha Harris Fadilah, Mohd Ardie Putra Suhaimi dan Aimi Ahmad Mazelan masing-masing memegang Diploma daripada Cosmopoint pada Majlis Graduasi KLMUC ke-5 dan Cosmopoint ke-18 Tahun 2013 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya, semalam. PUTRAJAYA 13 April - Hadir ke kuliah sebelum pensyarah dan jangan lewat masuk ke kelas menjadi petua kepada Mohd. Fauzan Muhammade Rapitar dipilih menerima Anugerah Naib Canselor Kolej Universiti Metropolitan Kuala Lumpur (KLMUC) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) hari ini. Graduan Ijazah Sarjana Muda Perniagaan dan Pembangunan Usahawan yang berusia 26 tahun dan menuntut di institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) itu sejak 2010 berkata, amalan tersebut perlu diamalkan oleh setiap pelajar untuk mendisiplinkan diri. "Selain dapat hadir ke kelas lebih awal, pelajar sepatutnya membaca terlebih dahulu topik yang akan dibincangkan pensyarah pada hari berkenaan. "Paling penting, bertanya kepada pensyarah sekiranya tidak memahami sesuatu perkara dan jangan bertangguh untuk bertanya sekiranya tidak faham,'' katanya kepada pemberita ketika ditemui dalam Majlis Konvokesyen KLMUC Kelima dan Kolej Teknologi Cosmopoint Ke-18, di sini hari ini. Menurutnya, mereka juga perlu memperbanyakkan bertanya perkara di luar kotak pemikiran kerana amalan itu melatih mereka berfikir secara kreatif dan kritis. Mohd. Fauzan merupakan antara 1,000 graduan IPTS tersebut yang menerima ijazah dan diploma masing-masing pada majlis konvokesyen tersebut. Anugerah berkenaan disampaikan Naib Canselor KLMUC, Prof Dr. Abdul Rahim Abdul Rahman. Graduan cemerlang yang mendapat Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 3.83 itu berkata, sepanjang melanjutkan pengajian, dia mengamalkan sikap berjimat cermat dan gemar berdikari. "Bagi saya, jika kerap meminta-meminta terutama wang daripada ibu bapa untuk tujuan tidak berfaedah, sikap berkenaan menyebabkan pelajar terlalu alpa dengan kemewahan. "Jadi, saya melakukan pelbagai kerja sambilan dan pendapatan yang diperoleh digunakan untuk keperluan dan kegunaan belajar," kata anak jati Kuala Lumpur itu. Sementara itu, bagi penerima Anugerah Dekan, M Kalai Arasi, 24, anugerah yang diterima merupakan hadiah istimewa kepada ibu bapanya kerana berusaha memastikan adik-beradiknya mendapat peluang pendidikan terbaik. ''Saya anak kesembilan daripada 10 beradik dan kami bukanlah berasal dari golongan berada. ''Selepas ayah bersara, dia bekerja sebagai pengawal keselamatan memandangkan saya dan adik masih belajar," kata graduan Diplomasi Farmasi yang memperoleh keputusan PNGK 3.73 itu. Menurutnya, kejayaan memperoleh Anugerah Dekan itu cukup menggembirakan ibu bapanya. Sementara itu, graduan Kolej Teknologi Cosmopoint, Su Atiqah Faznur Jaafar, 24, yang menerima Anugerah Bestari berkata, dia banyak berbincang bersama rakan dan pensyarah sekiranya tidak memahami topik yang dipelajari. "Jangan sesekali berasa malu untuk bertanya perkara yang tidak difahami. "Selain itu, saya mengamalkan ulang kaji sesuatu topik sebelum masuk ke kelas bagi memudahkan untuk bertanyakan soalan kepada pensyarah," kata graduan Diploma Aplikasi Multimedia yang mendapat PNGK 3.80. |
Bertanding calon Bebas, pembangkang syok sendiri Posted: 13 Apr 2013 11:26 AM PDT KUALA LUMPUR 13 April - Kerjasama antara pakatan pembangkang yang kononnya dikatakan erat disifatkan sekadar 'syok sendiri' apabila ramai ahli mereka bertindak menjadi calon Bebas selepas tidak dipilih untuk bertanding dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 nanti. Setiausaha Barisan Nasional (BN) Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Syed Ali Alhabshee berkata, situasi ini membuktikan keutuhan mereka dalam mentadbir negara bersama ibarat telur di hujung tanduk kerana tiada kesepakatan. Menurutnya, tiada kata sepakat di kalangan pembangkang itu ketara dilihat dalam pemilihan calon di sesetengah kawasan seperti di Sabak Bernam, Telok Kemang, dan Alor Setar. "Jika mereka ini dipilih, semestinya negara akan menjadi huru-hara. "Mereka akan berperang antara satu sama lain untuk merebut jawatan dalam kerajaan, sekali gus mendatangkan kesan buruk terhadap masa depan negara," katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini. Beliau berkata demikian selepas menyampaikan bantuan barangan permulaan perniagaan kepada 42 peserta 1Azam dan Bantuan Kebajikan Rakyat 1Malaysia (Karis1ma) kepada 28 orang kurang upaya (OKU) kawasan Cheras. Sebanyak 13,693 penerima dari Kuala Lumpur telah terpilih di bawah Karis1ma bagi tahun ini melibatkan peruntukan RM3.02 juta manakala 2,414 peserta lagi terpilih menyertai program Teman 1Azam dengan peruntukan RM13 juta. Syed Ali turut mengingatkan peserta bantuan Teman 1Azam agar tidak menyalahgunakan bantuan yang diberikan dengan mengambil langkah mudah iaitu menjual barangan diterima kepada pihak ketiga. "Saya beri amaran, jika ada antara penerima yang berbuat demikian, tindakan undang-undang akan diambil, seterusnya nama peserta berkenaan akan disenaraihitamkan dari menerima sebarang bantuan daripada kerajaan. "Peserta tidak seharusnya bergantung selama-lamanya dengan bantuan kerajaan, sebaliknya, mereka harus membantu diri sendiri untuk maju ke hadapan dan keluar daripada paras kemiskinan," ujarnya. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Kota To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan