Utusan Online - Johor |
Posted: 13 Apr 2013 11:26 AM PDT Oleh ZULHISHAM ISAHAK ABDUL Ghani Othman menyampaikan geran tanah kepada salah seorang penerima di Balai Raya Kampung Melepang. Ledang, Johor, semalam. LEDANG 13 April - Penantian lebih 60 tahun 20 penduduk untuk mendapatkan sebidang tanah di Kampung Kurnia, Sagil, dekat sini, akhirnya berakhir apabila dikurniakan sebidang tanah seluas 2.4 hektar, semalam. Berita gembira itu diumumkan Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman sebelum menyerahkan geran hak milik kepada 20 peserta berkenaan dalam satu majlis ringkas di Balai Raya Kampung Melepang, dekat Sini. Seorang penduduk, Majuli Marto, 41, berkata beliau amat gembira kerana akhirnya mendapat hak ke atas tanah berkenaan yang dimohon arwah bapanya, Marto Marjono pada sekitar 60-an. "Saya adalah generasi kedua dan ayah juga sudah meninggal dunia, kini saya yang mengusahakan tanah peninggalan ini yang sudah ditanam semula dengan getah," katanya ketika ditemui selepas menerima geran tersebut. Majuli yang berasal dari Sagil namun kini menetap di Jasin, Melaka berkata, beliau amat gembira dan berterima kasih kepada kepemimpinan kerajaan daripada segenap peringkat yang sentiasa berusaha membantu penduduk mendapatkan tanah berkenaan. Beliau yang juga seorang pengurus ladang berkata, keluarganya akan menguruskan kebun itu sebaik mungkin dan kini sering berulang-alik dari rumah mereka untuk menjaganya. Seorang lagi penerima, Ismail Baba, 73, berkata, tanah berkenaan akan diserahkan kepada anaknya, Mahadi Ismail, 30-an, untuk diusahakan selepas menerima geran hak milik. Beliau yang juga seorang bekas tentera berasal dari Kampung Paya Mas, dekat Tangkak berkata, tanah berkenaan sudah ditanam dengan getah dan mengeluarkan hasil. "Saya amat berterima kasih kepada kerajaan kerana mengurniakan hak milik atas tanah ini, ia boleh digunakan untuk menampung keperluan enam anak saya," katanya. Sementara itu, Ketua Kampung Hang Tuah, Melepang dan Termil, Basri Siron berkata, usaha mendapatkan hak milik ke atas tanah itu sudah dilakukan sejak 2006 tetapi wujudnya masalah pertindihan tuntutan sejak sekian lama yang perlu diselesaikan terlebih dulu. "Seramai 33 penduduk memohon untuk mendapatkan tanah berkenaan yang termasuk dalam rangkaian Kampung Parit Babok. Ketika ini kerajaan menyerahkan sejumlah 48.5 hektar tanah yang akan diberikan sama rata kepada 20 pemohon, 13 lagi pemohon sedang menunggu kelulusan," katanya. Abdul Ghani pula menjelaskan, kerajaan negeri mengambil keputusan untuk mengurniakan tanah berkenaan sama seperti dilakukan di Sungai Balang, Muar iaitu seramai 1,000 penduduk diberikan geran di atas tanah seluas 809.4 hektar. "Saya tumpang gembira bukan kerana setiap seorang dapat tanah yang luas iaitu kira-kira enam ekar tetapi lebih daripada itu ia seperti juga di FELDA kerana penduduk boleh mengusahakannya dan mampu memperoleh pendapatan antara RM2,000 hingga RM3,000 sebulan. "Memang tanah itu paling besar kita berikan kepada setiap pemohon dan ia pula adalah kawasan kebun, saya mengucapkan terima kasih kerana sabar menunggu sejak sekian lama, jadi sekarang tanah itu perlulah diusahakan," katanya. |
Pembentukan jati diri belia penting Posted: 13 Apr 2013 11:26 AM PDT KOTA TINGGI 13 April - Usaha membentuk nilai dan jati diri belia merupakan perkara penting yang perlu diberikan perhatian kerana golongan itu merupakan pelapis yang akan meneruskan legasi kepimpinan negara di masa hadapan. Ketua UMNO Bahagian Tenggara, Datuk Baderi Dasuki berkata, semua pihak perlu bersatu mempergiatkan penganjuran program-program yang boleh membentuk disiplin, akhlak dan nilai-nilai murni golongan belia. "Kita perlu memastikan golongan belia mempunyai personaliti seimbang dan jati diri kukuh kerana mereka akan menentukan hala tuju negara di masa depan. Pada masa sama, belia juga harus menyedari kepentingan menghayati semangat perjuangan yang sebenar agar kemakmuran agama, bangsa dan negara dijaga serta dihormati. "Semangat dan azam membara anak muda harus disalurkan ke arah aktiviti-aktiviti bermanfaat untuk membangunkan jati diri mereka," katanya ketika berucap dalam majlis penutup program Konvoi Bermotor Bersama Membina Bangsa anjuran Gerakan Belia 4B Tenggara di Mutiara Beach Resort, Tanjung Sedili dekat sini, baru-baru ini. Konvoi dua hari sejauh lebih 150 kilometer itu melibatkan laluan Felda Sungai Sibol, Felda Penggeli Timur, Felda Sungai Sayong, Felda Bukit Besar, Felda Bukit Ramun, Kampung Semanggar, Kampung Mawai, Kampung Batu Ampat dan berakhir di Bandar Tenggara, KulaiJaya, tempat mereka bermula. Seramai 1,000 golongan belia dengan lebih 500 kenderaan motosikal dan kereta mengambil bahagian dalam konvoi berkenaan yang terlebih dahulu dirasmikan oleh penyandang kerusi Parlimen Tenggara, Datuk Halimah Mohamed Sadique. Sementara itu, Pengerusi Belia 4B Tenggara, Mohd Safiee Salam berkata, pihaknya akan cuba menjadikan program jelajah berkenaan sebagai aktiviti tahunan. "Matlamat kita adalah bagi menerapkan nilai-nilai positif dalam memperkukuhkan jati diri golongan belia supaya tidak mudah terpengaruh dengan anasir luar yang boleh merosakkan pemikiran mereka, seterusnya meningkatkan kesedaran golongan belia agar tidak terlibat dengan aktiviti tidak berfaedah," ujarnya. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Johor To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan