Utusan Online - Selatan |
Posted: 13 Apr 2013 11:26 AM PDT Oleh FADZLY IZAB MOHD. Ali Rustam bersalaman dengan sebahagian daripada ketua jabatan termasuk kakitangan PBT yang menghadiri Majlis Perhimpunan Bersama Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di Melaka. kelmarin. MELAKA 13 April - Penjawat awam di negeri ini khususnya warga pihak berkuasa tempatan (PBT) diseru mengukuhkan sokongan terhadap kerajaan Barisan Nasional (BN) yang selama ini banyak berjasa kepada rakyat dan negara. Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam berkata, pembangunan serta kemakmuran yang telah dan sedang dinikmati pada masa ini perlu dikekalkan malah harus dipertingkatkan lagi pada masa hadapan. "Oleh itu, saya berharap seluruh kakitangan PBT dari seluruh negeri dapat terus memainkan peranan serta mendokong kerajaan BN bagi membolehkan apa yang kita peroleh ini kekal berterusan sampai bila-bila," katanya. Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Perhimpunan Bersama PBT Negeri di Dewan Seri Negeri, Ayer Keroh di sini, semalam. Yang hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Omar Kaseh dan Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Md. Yunos Husin. Perhimpunan tersebut disertai kira-kira 1,000 warga PBT terdiri daripada Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG), Majlis Perbandaran Jasin (MPJ) dan Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ). Menurut Mohd. Ali, kesinambungan usaha penjawat awam perlu selari dengan kesinambungan kerajaan BN malah banyak lagi perkara perlu dilakukan demi menjamin kelangsungan kerajaan dalam Pilihan Raya Ke-13 ini. "Penjawat awam memainkan peranan penting dalam menentukan kelangsungan kerajaan sedia ada serta keistimewaan yang dikecapi di bawah kepimpinan BN selama ini," ujarnya. Tambah beliau, interaksi dan perkongsian pintar sesama penjawat awam adalah wajar dalam menjadikan mereka lebih fokus bagi membolehkan gagasan, hasrat dan jangkaan kerajaan dapat dihayati serta dikongsikan secara telus. "Komitmen yang telah ditunjukkan oleh warga PBT perlu diteruskan dan diperkukuhkan lagi dalam semua aspek bagi merealisasikan wawasan menjadi negara maju pada 2020," jelasnya. |
Penularan penyakit tibi membimbangkan Posted: 13 Apr 2013 11:26 AM PDT SEREMBAN 13 April - Pejabat Kesihatan daerah digesa bergerak lebih agresif bagi menjalankan ujian saringan penyakit tibi yang kini semakin menular di negara ini. Timbalan Pengarah Kesihatan negeri, Dr. Zainuddin Mohd. Ramli berkata, usaha tersebut bertujuan membolehkan rawatan segera dilakukan terhadap individu yang dijangkiti sekali gus membendung penyakit berjangkit itu menular dalam masyarakat. ''Berdasarkan statistik Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), sebanyak 8.7 juta kes tibi dikesan melibatkan 1.4 juta kes kematian meliputi 500,000 kes baru dan 64,000 kematian yang terdiri daripada kanak-kanak pada 2011. ''Malah pada tahun lalu, penyakit tibi dikategorikan sebagai penyakit berjangkit utama di Malaysia dengan jumlah kes berdaftar sebanyak 22,710 kes," katanya pada majlis sambutan Hari Tibi Sedunia peringkat Negeri Sembilan di Auditorium Perdana, Kolej Pembantu Perubatan Seremban di sini, hari ini. Menurut Zainuddin, program pencegahan tibi untuk mengesan pesakit serta penentuan kes tibi di sesuatu kawasan itu diukur melalui Kadar Pengesanan Kes (CDR) di negara ini dan kadarnya tidak berubah sejak 10 tahun lalu. ''Walaupun bilangan orang yang disaring kes tibi pada 2010 meningkat daripada 8,900 orang kepada kira-kira 13,000 orang pada 2012, jumlah tersebut masih lagi tidak dapat mencapai CDR yang disasarkan kementerian. ''Bagi mencapai sasaran CDR tahunan yang ditetapkan, kita perlu meningkatkan ujian saringan kes tibi kepada kira-kira 30,000 hingga 50,000 orang setahun," katanya. |
Lima papan tanda BN ditumbangkan Posted: 13 Apr 2013 11:26 AM PDT Mohd. Sani Yunus (kiri) bersama beberapa penduduk melihat papan tanda BN yang dipercayai ditumbangkan oleh pihak tidak bertanggungjawab di Felda Lui Selatan, Jempol, kelmarin. JEMPOL 13 April - Kempen Pilihan Raya Umum Ke-13 belum bermula namun sudah ada pihak yang cuba 'bermain kotor' apabila merosakkan bahan kempen yang mungkin tidak menyenangkan mereka. Jika sebelum ini terdapat bendera-bendera yang dicabut dan poster dirosakkan, terbaru, lima buah papan tanda yang mengandungi gambar Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Felda Lui Selatan dekat sini, tumbang dipercayai dilakukan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab. Setiausaha jentera pilihan raya Barisan Nasional Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Lui, Mohd. Sani Yunus berkata, pihaknya mengetahui kejadian tersebut kira-kira pukul 9 pagi semalam apabila dihubungi oleh penduduk. ''Apabila saya datang memeriksa kawasan tersebut, memang betul lima papan tanda yang mengandungi gambar Perdana Menteri tumbang dipercayai dicabut oleh pihak yang tidak bertanggungjawab. ''Saya tidak tahu siapa yang melakukan perbuatan tersebut dan tidak berniat untuk menuduh mana-mana pihak," jelasnya di sini, semalam. Katanya, semua pihak sama ada Barisan Nasional (BN) mahu pun pembangkang diharap dapat memberikan kerjasama dan berkempen dengan cara yang bersih kerana menjadi hak individu untuk menyokong mana-mana parti. ''Ekoran kejadian itu saya telah membuat satu laporan polis di Balai Polis Sungai Lui lebih kurang pukul 4.30 petang semalam dan berharap dalang di sebalik masalah ini dapat dikenal pasti," jelasnya. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Selatan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan