Utusan Online - Utara |
- Rakyat nikmati pelbagai pembangunan
- SPR letak 18,000 petugas di Kedah
- 1,198 polis pastikan PRU-13 di Perlis lancar
Rakyat nikmati pelbagai pembangunan Posted: 10 Apr 2013 11:27 AM PDT Oleh SHOLINA OSMAN SABRY Ahmad (kanan) melihat baja organik keluaran Koperasi Pertanian Tepat (Kopert) bersama sebahagian petani di tapak Kopert di Kampung Penghulu Jaafar, Kangar, Perlis baru-baru ini. Hasil sokongan rakyat yang tidak berbelah-bahagi, pelbagai kemajuan telah berjaya dicapai. Begitu juga di Dewan Undangan Negeri (DUN) Santan yang mendapat pelbagai nikmat hasil daripada keprihatinan kerajaan BN. Ini termasuklah apa yang dilalui oleh seramai 108 keluarga di Kampung Penghulu Jaafar, Jalan Padang Melangit di sini. Rata-rata penduduknya yang terdiri daripada petani, mengakui sejak DUN Santan diterajui semula oleh BN pada 2004, kehidupan yang dilalui mereka turut bersinar. Kalau dahulu mereka hanya berharapkan sepenuhnya pendapatan dengan menanam padi yang hanya disifatkan sebagai 'kais pagi makan pagi dan kais petang makan petang', kini masing-masing boleh berbangga kerana tidak lagi bergantung hidup sebagai pesawah tetapi turut menanam tanaman kontan seperti mempelam, jagung, labu dan sebagainya. Salah seorang penduduk kampung itu, Shushada Walid, 45, berkata, sebagai pesawah, dia kini bukan sahaja boleh mengerjakan bendang sekurang-kurangnya sebanyak dua kali setahun tetapi dibekalkan dengan benih padi kebal untuk mengelak daripada masalah padi angin. Dalam pada itu, katanya, dia berupaya menambahkan pendapatan sekeluarga kerana turut menanam tanaman lain seperti jagung. "Nasib keluarga saya jauh lebih berubah kerana sentiasa mendapat perhatian daripada pemimpin BN khususnya bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Santan, Sabry Ahmad yang rajin turun padang untuk melihat sejauh mana kejayaan setiap projek yang dilaksanakan," katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini. Bagi Johari Ismail, 68, sekalipun suatu ketika dahulu pertanian sering dianggap sebagai bidang yang tidak menjanjikan pendapat lumayan, tetapi kini tanggapan tersebut telah jauh berubah. "Selain padi sebagai tanaman utama, saya juga turut menanam tanaman kontan lain termasuk tembikai," katanya. Katanya, dia tidak menghadapi masalah untuk mendapat pulangan lumayan daripada tanaman tersebut kerana pihak agensi berkaitan pertanian sentiasa memberi bantuan yang diperlukan. Khalimah Kasa, 60, pula memberitahu, dia mengusahakan tanaman koko bagi membantu meningkatkan pendapatan keluarganya. "Sementara menunggu hasil padi, dengan tuaian koko sekurang-kurangnya dapat membantu saya menambahkan pendapatan keluarga," katanya. Beliau gembira kerana tidak perlu memikirkan sangat soal pasaran berikutan pihak kerajaan melalui agensi terbabit bersedia memasarkan hasilnya. "Saya percaya dengan kesungguhan BN membantu rakyat, pastinya golongan petani kini tidak dilabelkan sebagai golongan yang berpendapatan rendah sebaliknya mampu hidup dengan keadaan sungguh selesa,'' katanya. Sehubungan itu katanya, tidak ada sebab untuk memilih parti lain kerana pilihannya selama ini tepat dan diyakini mampu memberikan masa depan yang lebih gemilang. Sementara itu Sabry menjelaskan, sudah menjadi kemestian dalam rutin sehariannya untuk minum pagi bersama dengan orang kampung sepanjang menjadi wakil rakyat kawasan berkenaan. Katanya, beliau akan memastikan jadual minum paginya itu di kedai yang berbeza-beza supaya dapat meluangkan masa dengan orang kampung di tujuh kawasan di kawasan DUN itu. "Ada yang telefon untuk bertanya kenapa apabila saya tidak kunjung tiba di kedai untuk bersarapan seperti biasa bersama dengan mereka, sememangnya ia tidak dapat dielakkan kerana ada tugas di luar Perlis," katanya. Walaupun cuma bersarapan bersama orang kampung sebelum masuk ke pejabat pada waktu pagi, katanya, waktu itu merupakan masa terbaik untuk bertemu dengan rakyat dengan lebih dekat sekali gus berpeluang mendengar luahan masalah mereka untuk diselesaikan. Bukan itu sahaja, Sabry juga akan memastikan akan bersolat Jumaat di tujuh buah masjid secara bergiliran pada setiap minggu. Dalam pada itu, beliau tidak lupa untuk memastikan setiap rakyat di dalam kawasannya tidak diabaikan supaya dapat menikmati kesenangan bersama-sama di bawah BN. "Kali pertama saya bertanding dalam Pilihan Raya Umum Ke-11 (PRU-11) memang satu cabaran besar kerana bukan sebagai pertama kali melibatkan diri dalam politik secara serius tetapi perlu bekerja keras kerana bermatlamat untuk merampas semula kawasan ini yang sebelum itu telah ditawan Pas," katanya. Bagaimanapun beliau bersyukur kerana percubaan pertamanya berjaya apabila mendapat majoriti sebanyak 578 dan meningkat kepada 712 dalam PRU-12. Semenjak kemenangan itu, Sabry terus memastikan DUN Santan yang berkeluasan 20 kilometer persegi tersebut mula ditingkatkan menerusi pelbagai transformasi pembangunan. Katanya, antara projek naik taraf yang dilaksanakan termasuklah sistem parit dan saliran, pembinaan dua jalan baharu yang menghubungkan empat buah kampung dan pembinaan dewan serbaguna. "Sebanyak 90 peratus penduduk di kawasan ini petani dan pesawah di mana walaupun DUN Santan berada di luar kawasan jelapang padi tetapi usaha untuk meningkatkan taraf hidup petani di kawasan tersebut tetap terus dilaksanakan," katanya. Katanya, usaha itu tidak sia-sia kerana purata petani dan pesawah di kawasan itu sudah mencapai pendapatan RM1,300 ke atas iaitu di atas paras kemiskinan. Selain itu pihaknya juga memenuhi kebajikan penduduk termasuk bantuan wang bulanan untuk yang layak dari Jabatan Kebajikan dan juga bantuan membaik pulih rumah dari Baitulmal. Selaku calon BN selama ini, akui Sabry, beliau cuba untuk memberikan khidmat yang terbaik. Bersesuaian pula dengan tugasnya sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Koperasi negeri, kedudukannya itu dilihat peluang untuk membantu penduduk di kawasan yang diwakilinya. Sehubungan itu katanya, petani dan pesawah sentiasa mendapat bantuan dan nasihat daripada agensi pertanian seperti Jabatan Pertanian, Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) dan juga Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA). "Begitu juga dengan menambah baik koperasi yang sedia ada selain Koperasi Pertanian Tepat (Kopert) di Kampung Penghulu Jaafar telah ditubuhkan baru-baru ini," katanya. |
SPR letak 18,000 petugas di Kedah Posted: 10 Apr 2013 11:27 AM PDT ALOR SETAR 10 April - Seramai 18,329 petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan ditempatkan di Kedah bagi memastikan Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) berjalan dengan lancar. Pengarahnya, Juhari Abdul Rahman berkata, jumlah petugas tersebut meliputi pegawai pengurus, penolong pegawai pengurus, penyelia pusat mengundi dan kerani pilihan raya. "SPR negeri menerima peruntukan lebih RM7 juta bagi melancarkan tugas dan operasi sepanjang PRU-13," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan taklimat PRU-13 kepada petugas media Kedah di sini kelmarin. Menurut Juhari, jumlah pemilih terkini di Kedah yang didaftarkan dan layak mengundi dalam PRU-13 adalah seramai 1,043,281 orang melibatkan 15 kawasan Parlimen dan 36 Dewan Undangan Negeri (DUN). Katanya, daripada jumlah tersebut, seramai 1,026,334 merupakan pemilih biasa manakala pengundi awal terdiri daripada 10,321 anggota tentera dan 6,471 anggota polis. Beliau berkata, sebanyak 633 pusat mengundi disediakan sempena pilihan raya umum kali ini iaitu 588 buah sekolah, 15 tabika, sembilan dewan dan 21 buah bangunan lain. "Mengikut pecahan tempat mengundi yang paling banyak dibuka adalah di Parlimen Baling iaitu 71 buah diikuti Parlimen Pokok Sena (51 buah) dan Parlimen Kuala Kedah 50 buah," katanya. |
1,198 polis pastikan PRU-13 di Perlis lancar Posted: 10 Apr 2013 11:27 AM PDT ZULL Aznam Haron (kanan) melawat anggota polis yang menderma darah sempena Peringatan Hari Polis Ke-206 di Mes Pegawai Kanan Polis Diraja Malaysia di Jalan Raja Muda, Kangar, Perlis semalam. - BERNAMA KANGAR 10 April - Seramai 1,198 anggota dan pegawai polis dari kontinjen negeri ini akan bertugas untuk memastikan proses Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) berjalan lancar. Ketua Polis negeri, Senior Asisten Komisioner Zull Aznam Haron berkata, pihaknya yakin bilangan anggota itu mampu mengawal keselamatan pada hari penamaan calon, ceramah dan juga hari pembuangan undi. "Saya juga berharap masyarakat memberikan kerjasama supaya tiada perkara buruk berlaku," katanya. Beliau berkata demikian selepas merasmikan Program Derma Darah Peringkat Perlis Sempena Peringatan Hari Polis Ke-206 di Mes Pegawai Kanan Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Jalan Raja Muda di sini hari ini. Dalam majlis itu, Zull Aznam bersama-sama 191 lagi anggotanya dan ahli Persatuan Keluarga Polis (Perkep) Kontinjen Perlis menderma darah untuk Tabung Darah Hospital Tuanku Fauziah (HTF) Kangar. Dalam ucapannya, beliau berkata, penganjuran program itu adalah sebagai sumbangan kebajikan PDRM bagi membantu masyarakat yang memerlukan. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Utara To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan