Utusan Online - Keluarga |
Posted: 11 Apr 2013 02:00 AM PDT Oleh MOHD. SHAH CHE AHMAD Balu Datuk Dr. Muhammad Uthman El-Muhammady, Mariam Hussain, menyiram air mawar di pusara Dr. Muhammad Uthman di Tanah Perkuburan Islam UIA Gombak, baru-baru ini. Membawa perwatakan tenang dengan sikap bersahaja serta merendah diri, namanya sudah tidak asing lagi bagi pencinta ilmu dan gerakan dakwah Islamiah tanah air. Dilihat sering berjubah dan berserban pada kebanyakan masa, sesiapa yang tidak mengenali beliau pasti tidak menyangka individu berjanggut keperangan itu bergelar Datuk dan merupakan antara pakar rujuk ilmu Islam negara. Beliau yang lebih selesa dengan gelaran ustaz, memilih tidak terlalu mengejar kemewahan dan populariti dunia. Itulah bekas tokoh besar cendekiawan Islam, . Sumbangan anak kelahiran negeri Kelantan itu bukan sahaja pakar dalam dunia intelektual Islam dengan menghasilkan ratusan penulisan, malah tidak keterlaluan untuk disifatkan beliau sebagai seorang sufi. Dekan Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam (Istac), Profesor Emeritus Ismawi Zen ketika ditemui berkata, mempraktikkan amalan kesederhanaan dan bersikap tidak mengejar kemewahan dunia, Muhammad Uthman menunjukkan contoh sikap ulama yang sukar ditemui kini. "Inilah contoh kehidupan seorang sufi yang ada. Seorang yang mempraktikkan amalan sufi secara jelas dengan menunjukkan sikap sederhana kepada orang yang melihat dan tidak mengejar dunia dalam hidupnya. "Secara peribadi, walaupun membawa perwatakan zuhud, Allahyarham seorang yang sangat tenang dan mudah didekati. Beliau mudah diterima oleh sesiapa sahaja yang ingin mendekatinya. "Ketinggian akhlaknya, maka beliau telah diambil bertugas di Istac pada 2003 sebagai felo akademik. Ini kerana kita yakin dia boleh mendidik pelajar untuk mengamalkan Islam yang sebenar secara mendalam bukan sahaja secara teori di dalam kelas, malah dengan praktikal. "Tugas yang diamanahkan dilakukan dengan baik. Beliau berjaya membentuk pelajar yang berakhlak baik, sekali gus untuk menjadi seorang ilmuwan sebenar," jelasnya. Ensiklopedia Ismawi turut menyifatkan Allahyarham seperti ensiklopedia bergerak. Ini berikutan penguasaan ilmu pengetahuan yang dimiliki oleh bekas tokoh ilmuwan negara itu sangat mendalam meliputi semua bidang. "Pertama kali melihat Allahyarham, saya menganggap dia seorang yang konservatif. Dengan pakaiannya yang berjubah dan berserban, ditambah pula dengan janggutnya yang keperangan. "Namun, apabila beliau bercakap, terkejut saya dan sangat kagum dengan setiap hujahnya yang diselitkan dengan hukum hakam dan prinsip Islam. Ia menunjukkan ilmu dia sangat mendalam," katanya. Ismawi mengimbau pertama kali mengenali dan berjumpa Muhammad Uthman ketika seminar perancangan bandar dari perspektif Islam di Universiti Teknologi Mara (UiTM) pada 1994. Muhammad Uthman yang ketika itu sebagai pendakwah bebas dijemput sebagai salah seorang pembentang kertas kerja mengenai pembentukan masyarakat dan juga perbandaran menurut perspektif Islam. "Kita ingat ahli perancangan bandar saja yang tahu mengenai perkara-perkara ini. Lagipun, kita baru sahaja ingin mula membincangkan mengenai perancangan perbandaran ini sedangkan dia dah tahu banyak. "Dengan mudah dia boleh kupas isu itu. Saya sendiri ahli perancang bandar pada masa itu pun tidak terfikir sebagaimana yang diketengahkan," jelasnya. Terkenal dengan ilmu mendalam mengenai Syiah dan Wahabi, beliau boleh berbincang dan berhujah mengenai isu ini secara ilmiah dan berhikmah. "Arwah seorang yang sangat banyak membaca. Boleh dikatakan, ilmu yang diperoleh daripada bacaan dan kajiannya sendiri mampu menyaingi orang yang mempunyai Ijazah Kedoktoran (PhD). "Beliau turut dijadikan rujukan mengenai dua isu yang sedang hangat diperkatakan di negara ini. Diselitkan dengan bukti dan fakta bersandarkan al-Quran, hadis serta sepakat ulama, pasti dapat mematahkan hujah pegangan dua golongan ini dengan mudah," ujarnya. Diceritakan, beliau pernah berbasikal dari rumahnya di Kota Bharu ke Kuala Lumpur semata-mata untuk mencari buku yang diminati beliau bagi membuat kajian tersendiri. Lebih mengkagumkan, Allahyarham yang pada ketika itu masih di sekolah menengah, tidak mempunyai kelengkapan mencukupi untuk mengembara. Sehingga saat menghembuskan nafas yang terakhir, Muhammad Uthman ditemani dengan teman baiknya iaitu buku. Tambahnya, pemergian Allahyarham sukar untuk dicari ganti dan merupakan satu kehilangan besar kepada negara. "Di UIAM, kami terasa kelopongan atas pemergiannya, mungkin juga ia satu kehilangan buat negara. Kerana, untuk mencari pengajar tidak menjadi masalah, tetapi mencari seorang murabbi (pendidik) adalah sesuatu yang amat susah," katanya. Keunikan Walaupun berpengetahuan luas dan mempunyai kedudukan dalam masyarakat namun Allahyarham dilihat mengekalkan keunikan yang bersifat lain daripada yang lain. Perkara ini diakui oleh anaknya, Ahmad El-Muhammady ketika ditemui di Istac, UIAM, Jalan Duta baru-baru ini. Tidak seperti kebanyakan orang masa kini, anak ke sembilan daripada 12 adik beradik itu berkata, arwah ayahnya seorang yang jarang sekali menggunakan telefon bimbit, menonton televisyen dan bergerak ke sesuatu destinasi menaiki kenderaan sendiri. "Antara sifat ayah ialah, arwah seorang yang tidak suka menonton televisyen. Kerana menurutnya sepatutnya kita menerangi rumah dengan lampu untuk membaca kitab bukan cerah menonton televisyen. "Arwah juga tidak mempunyai telefon bimbit sehingga kami berikan. Itupun tidak digunakan sepenuhnya. Jika digunakan pun hanya untuk menghubungi kami anak-anak dan selain itu diletakkan begitu sahaja. "Selain itu, ayah lebih suka bergerak ke sesuatu tempat dengan hanya menaiki teksi. Bukan itu sahaja, beliau pernah pulang ke rumah dengan menumpang orang yang baru dikenali dengan menaiki motosikal. "Walaupun pernah kami nasihat kerana bimbangkan keselamatannya, namun tidak diendahkan. Kadang-kadang kami suarakan, ayah itu berstatus datuk, mengapa masih naik teksi," katanya yang mempunyai sedikit perselisihan pendapat terhadap sikap zuhud ayahnya. Tambah Ahmad, biarpun sibuk dengan tugasan kerja dan menyampaikan dakwah, Allahyarham tidak pernah mengabaikan tanggungjawab sebagai seorang ayah. "Tidak dinafikan Allahyarham sangat sibuk dengan tugasan-tugasan. Namun kami faham kerana ayah bukan sahaja milik keluarga, tetapi milik masyarakat dan negara," kata Ahmad yang kini meniru jejak langkah bapanya sebagai pensyarah Sains Politik dan Pengajian Islam di Jabatan Ilmu Wahyu dan Sains Kemanusiaan di UIAM. Allahyarham meninggalkan isteri Mariam Hussain, 65, dan 11 orang anak serta lebih 40 orang cucu. |
Dr. Ramadan jadi korban politik? Posted: 11 Apr 2013 02:00 AM PDT Susunan JUANI MUNIR ABU BAKAR Pemergian Dr. Mohammed Saeed Ramadan al-Bouti diratapi bukan sahaja rakyat Syria tetapi juga umat Islam seluruh dunia. NAMA Dr. Mohammed Saeed Ramadan al-Bouti sudah tidak asing dalam dunia ilmuwan pada abad baru apabila tokoh ulama itu merupakan tempat rujukan sarjana Islam. Dr. Ramadan al-Bouti merupakan pakar rujukan bidang Usul Fiqh dan Fikah yang berdiri sama taraf dengan ulama tersohor masih hidup pada hari ini seperti Dr. Yusof al-Qardawi, Dr. Wahbah al-Zuhaily, Prof. Dr. Muhammad Az-Zuhayli dan lain-lain. Pengiktirafan terhadap Dr. Ramadan al-Bouti boleh dilihat apabila hampir 60 karya penulisannya digunakan sebagai panduan kepada undang-undang syariah dan fikah selain kitab-kitabnya dijadikan rujukan penulisan tesis doktor falsafah dalam kalangan tokoh agama negara ini. Malah sebuah buku karangannya iaitu Fiqh Sirah merupakan kitab rujukan di pusat pengajian Islam masa kini. Bagaimaapun baru-baru ini dunia dikejutkan dengan pembunuhan Dr. Ramadan dalam kejadian serangan bom di Masjid Iman, Damsyik, Syria pada petang 21 Mac lalu. Serangan bom itu telah mengorbankan 49 orang termasuk cucu lelaki Dr. Ramadan dan mencederakan beberapa orang ramai. Motif di sebalik kejadian itu masih menjadi tanda tanya sama ada dikaitkan secara langsung dengan tokoh agama tersebut yang dilihat berpendirian prokerajaan Syria. Dr. Ramadan, 83, sebelum ini pernah menyampaikan khutbah Jumaat yang disiarkan secara siaran langsung di seluruh negara menggambarkan golongan pembangkang sebagai 'pengacau' dan mendatangkan kemurkaan Allah. Oleh demikian, beliau mengajak seluruh warga Syria berganding bahu bersama pasukan askar untuk membantu Presiden, Bashar al-Assad mempertahankan negara daripada pengkhianat yang berpanjangan selama dua tahun. Namun ucapan khutbah itu bukan isu yang baru memandangkan ulama itu menzahirkan sokongannya terhadap kepimpinan keluarga al-Assad yang telah memegang tampuk pemerintahan Syria selama dua dekad. Berikutan sokongan demikian selain menjadi jurucakap agama kepada Bashar, beliau telah dicerca oleh pihak pembangkang walaupun tahap pemikiran ulama itu lebih tinggi daripada golongan penentang kerajaan dan disanjung tinggi oleh pelbagai lapisan masyarakat sebelum krisis politik berlaku. Krisis politik di Syria telah berlarutan hampir dua tahun hingga mengorbankan ribuan rakyat negara itu. Terdapat dalam kalangan mereka terpaksa melarikan diri ke negara berhampiran apabila menjadi mangsa pertempuran antara pihak menyokong kerajaan dan pembangkang. Akhirnya, tindakan itu sebenarnya telah membuka ruang kepada campur tangan asing setelah rakyat Syria sendiri tidak bersatu dan gagal untuk menangani krisis berkenaan. Kecaman Sehubungan itu, bagi menghormati dan menyanjung tinggi jasa Dr. Ramadan, kerajaan telah mengarahkan beliau disemadikan di Tanah Perkuburan Sejarah Negara, Masjid Ummayyad. Ulama itu dikebumikan bersebelahan pahlawan Islam, Salahudin al-Ayubi dan Masjid Ummayyad merupakan mercu utama Syria. Namun, keputusan itu mencetuskan kemarahan pembangkang yang tidak bersetuju dengan kepimpinan Assad. Majlis pengkebumian dijalankan secara penghormatan negara dengan kawalan ketat oleh pihak keselamatan sehingga menyebabkan kesesakan teruk di Damsyik kerana beberapa jalan ditutup. Walaupun ramai yang mengesyaki pihak penentang kerajaan sebagai dalang kejadian itu, namun mereka menafikannya dan mengatakan bahawa masjid tidak sepatutnya dijadikan tempat keganasan. Ketua Pakatan Pembangkang Kebangsaan Syria, Moaz Alkhatib mendakwa pihak kerajaan bertanggungjawab dan menegaskan bahawa masjid tidak wajar sesekali menjadi tempat sasaran walaupun timbul perbezaan politik. Tambahnya, pembunuhan Dr. Ramadan adalah satu jenayah selain berkata walaupun berlaku perbezaan pendapat, keadaan itu tidak membenarkan sesama umat Islam berbunuh sesama sendiri, lebih-lebih lagi dalam kawasan masjid. Kesatuan Antarabangsa Ulama Islam menerusi satu kenyataan pula berkata, walaupun wujud ulama yang menyokong kerajaan Syria dan terdapat juga penentang, tetapi tindakan itu merupakan satu ijtihad dan pendapat masing-masing. "Oleh demikian, perbezaan itu tidak sepatutnya dijadikan alasan untuk membunuh termasuk tragedi yang menimpa Dr. Ramadan. "Bashar bertanggungjawab ke atas keselamatan beliau. Kami mendesak supaya dunia menyiasat pembunuhan tersebut," kata pertubuhan itu yang berpusat di Dublin, Ireland. Tokoh ulama, Dr. Yusof al-Qardawi dalam nada sama menentang pembunuhan itu selain meluahkan rasa kesal kerana masjid dijadikan tempat sasaran kerana berlaku perbezaan politik. "Saya tidak bersetuju dengan kejadian itu kerana tragedi demikian telah menyebabkan ramai orang meninggal dunia ketika menunaikan ibadat," jelas al-Qardawi. Dalam pada itu, kematian Dr. Ramadan akan membangkitkan semangat perjuangan bangsa Arab dan umat Islam di seluruh dunia untuk menentang musuh-musuh mereka. Mufti Besar Syria, Ahmad Badr-Eddine Hassoun yang menyelar pembunuhan imam itu menegaskan, Islam tidak akan mati dan Syria tidak akan tunduk terhadap campur tangan asing. "Saya mahu mengingatkan kepada pihak yang terlibat menghantar senjata ke Syria tidak sepatutnya memandang rendah kekuatan Islam di Syria. "Syiar Islam akan terus bertahan dan rakyat Syria juga akan berdiri teguh," kata beliau kepada stesen televisyen rasmi Syria selepas beberapa jam ulama itu dibunuh. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Keluarga To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan