Khamis, 11 April 2013

Utusan Online - Rencana


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Rencana


Jangan lupa 'yang di atas'

Posted: 11 Apr 2013 12:26 PM PDT

Oleh Zulkiflee Bakar
pengarang@utusan.com.my

''...Dan mereka merancang, Allah juga merancang, Sesungguhnya Allah sebaik-baik perancang". (Surah Ali Imran ayat 54) dan ''Katakanlah (Muhammad), Wahai Tuhan Pemilik Kekuasaan, engkau beri kekuasaan kepada siapa pun yang Engkau kehendaki, dan Engkau cabut kekuasaan daripada sesiapa yang engkau kehendaki. Engkau muliakan siapa pun yang Engkau kehendaki, dan Engkau hinakan siapa pun yang Engkau kehendaki. Di tangan Engkaulah segala kebaikan. Sesungguhnya Engkau Maha berkuasa atas segala sesuatu." (Surah Ali Imran ayat 26).

Sesungguhnya dalam kita menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-13, dua firman Allah ini seharusnya menjadi pegangan seluruh umat Islam tanpa mengira apa juga fahaman politik mereka.

Pilihan raya hanyalah satu proses demokrasi bagi memilih mereka yang paling layak untuk memerintah negara. Keputusan yang dibuat di atas sekeping undi bakal menentukan hala tuju negara selepas ini dan lebih penting ia tidak mendatangkan kemudaratan kepada umat dan agama Islam.

Dalam soal ini adalah penting puak-puak yang terlalu ghairah berpolitik semata-mata ingin meraih kuasa memahami bahawa kempen pilihan raya yang bakal dijalankan bukan bermaksud ia memberi lesen besar kepada mereka untuk melakukan apa sahaja termasuk melemparkan tuduhan dan fitnah khususnya kepada kerajaan Barisan Nasional (BN), sebaliknya kesempatan itu untuk digunakan bagi menerangkan visi dan misi mereka bagi membangunkan rakyat dan negara.

Sememangnya, kita memahami maki hamun, fitnah dan tohmahan apatah lagi dengan pilihan raya yang bakal menyaksikan secara meluas 'penglibatan' media sosial tidak dapat dielakkan tetapi dalam apa keadaan sekali pun kita tidak harus lupa 'yang di atas' iaitu Allah SWT.

Mungkin ada sesetengah pihak boleh bersandiwara, berlakon dan menampilkan kononnya merekalah pilihan terbaik bagi menggantikan kepimpinan sedia ada.

Segala apa yang berlaku ke atas mereka biar pun terdapat bukti akan dinafikan dengan menuduh ia sebagai konspirasi, fitnah dan mainan politik jahat parti memerintah, mungkin bagi puak-puak yang taksub kepada mereka maka ia akan diterima bulat-bulat, tetapi jangan lupa bahawa Allah lebih mengetahui segala-galanya.

Sesungguhnya Allah SWT bersifat Basyar ertinya bahawa Allah Maha Melihat apa sahaja yang ada di alam ini. Allah SWT dapat melihat segala gerak geri hamba-hamba-Nya. Meskipun hamba-hamba-Nya beramal dalam keadaan sembunyi-sembunyi, namun Allah SWT dapat melihatnya dengan jelas dan terang.

Firman Allah SWT dalam Surah Al-Hujuraat ayat 18 bermaksud:

"Sesungguhnya Allah mengetahui apa yang ghaib di langit dan di bumi. Dan Allah Maha Melihat apa yang kamu kerjakan."

Oleh itu, tidak payahlah terlalu ghairah untuk bersilat lidah atau melakukan daya politik bagi meraih sokongan kerana kebenaran tetap kebenaran dan kebatilan tetap kebatilan. Malahan kita juga ingat mengingatkan puak-puak tertentu yang janganlah mudah memperalatkan agama demi mencapai cita- cita politik mereka.

Biar pun mereka mungkin mempunyai alim ulama tetapi ia tidak semestinya ia bermaksud mereka ada hak untuk menjatuhkan hukum sewenang-wenangnya kepada umat Islam lain yang menjadi musuh politik mereka.

Dalam apa keadaan sekali pun umat Islam itu tetap bersaudara. Janganlah kerana politik kita bersedia mengeluarkan pelbagai 'fatwa' atau hujah yang memperlekehkan kelompok Islam lain.

Perkara ini sudah berlaku sekarang apabila ada puak yang sentiasa sahaja merendah-rendahkan usaha mengembangkan Islam oleh kelompok yang bertentangan fahaman politik dengan mereka.

Puak ini sentiasa sahaja merasakan mereka lebih hebat baik dan lebih layak memperjuangkan Islam sedangkan hakikatnya tindak tanduk merekalah yang kebelakangan ini mengakibatkan Islam tercemar.

Adalah sesuatu yang malang ada antara mereka dengan mudah menuduh amal ibadat orang lain tidak mendapat pahala, mempertikaikan niat seseorang yang melakukan kebajikan dan pelbagai lagi tuduhan liar.

Segala-galanya dilakukan bukan demi kemaslahatan umat tetapi hanya akan menyebabkan perpecahan antara umat semakin bertambah ketara.

Berbeza fahaman politik dan menyokong pemimpin atau parti berbeza tidak salah tetapi jangan sampai kita berpecah belah kerana perkara itu.

Keadaan itu berlaku kerana ada antara pemimpin yang kononnya bertaraf ulama atau mursyidul am begitu mudah menghukum orang lain demi kepentingan politik.

Sepatutnya, sebagai ulama biar pun terlibat dalam politik biarlah berhati-hati dalam berkata-kata, kebenaran tetap kebenaran, kebatilan tetap kebatilan, jangan dicampur adukkan kedua-duanya hanya semata-mata hanya politik.

Namun malangnya ada pemimpin bertaraf ulama ini merasakan kelompok dan sekutunya sahaja yang hebat, soal Islam hanya mereka sahaja berhak memperjuangkannya, kalau orang lain berjuang demi Islam, mereka akan menjatuhkan hukum kononnya tidak mendapat pahala.

Sedangkan soal dosa dan pahala bukan kita yang menentukannya tetapi Allah SWT. Sebab itulah, puak-puak ini perlu diperingatkan terhadap firman Allah dalam Surah Al-Qashash ayat 76 yang bermaksud;

''Jangan kamu terlalu bangga; sesungguhnya Allah tidak menyukai orang yang terlalu membanggakan diri."

Seperkara lagi, yang turut harus diperingatkan kepada mereka yang tidak dipilih atau digugurkan daripada senarai calon.

Tidak usahlah terlalu bermuram durja dan merasakan dunia akan kiamat apabila tidak lagi menjadi Yang Berhormat (YB) atau tidak dipilih bertanding.

Apa yang berlaku sudah pasti ada hikmahnya dan segala-galanya sudah ditentukan oleh Allah SWT. Belajarlah untuk reda dengan ketentuan-Nya.

Janganlah ingat hanya kerana kita mempunyai jawatan di peringkat bahagian atau sudah bekerja siang serta malam untuk dipilih sebagai calon atau muncul menjelang pilihan raya maka kita berasakan diri kita sudah layak untuk menjadi calon pilihan raya.

Manusia hanya mampu merancang tetapi segala penentuan adalah di tangan Allah dan Allah jua yang memberi kekuasaan kepada sesiapa yang Dia dikehendaki.

Justeru apabila Allah sudah menentukan bahawa kita tidak lagi akan dipilih sebagai calon, maka redalah, terimalah dengan hati terbuka, jangan kecewa atau berasa sedih.

Apa pun pilihan raya kali ini amat penting kepada penentuan nasib bangsa, agama dan negara. Oleh itu gunakanlah akal fikiran yang waras dalam membuat keputusan.

Sebagai orang Islam minta petunjuk Allah SWT agar kita membuat keputusan yang tepat. Sesungguhnya kita sudah lihat siapa yang berjuang mengembangkan Islam secara nyata dan siapa pula yang bercakap soal Islam berdegar-degar tetapi ia sekadar retorik.

Malahan kita juga memahami siapa juga yang mengaku memperjuangkan Islam tetapi membuka jalan yang boleh mengakibatkan kalimah suci Allah dicemari.

Ingatlah sesungguhnya Allah tidak mengubah nasib sesuatu kaum itu mengubahnya sendiri. Begitulah pilihan yang bakal kita lakukan apakah ia terus membawa kebahagiaan atau mengundang kesengsaraan.

'Penyakit' pembangkang semakin kronik

Posted: 11 Apr 2013 12:26 PM PDT

Khabar Dari Seremban

NAMPAKNYA penyakit pembangkang di Negeri Sembilan bertambah kronik. Mereka sedang dijangkiti kecelaruan paranoid, iaitu satu tingkah laku yang ganjil dengan mengesyaki orang lain, tidak mempercayai orang, sensitif dan selalu menyalahkan orang lain.

Penyakit ini kalau tidak diubati segera, pemimpin dan pengikutnya akan terus bersangka buruk kepada orang lain, cemburu buta dan sentiasa beranggapan ada orang yang akan mengkhianati mereka. Contohnya, jika ada jiran hendak belanja makan, mereka akan beranggapan jiran itu akan menabur racun, ada muslihat dan berniat jahat.

Sebab itulah, pembangkang sama ada DAP, Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Pas sentiasa sahaja ada penyakit kecelaruan paranoid dan tidak boleh menerima hakikat bahawa rakyat tidak lagi mempercayai kata-kata mereka dan menyalahkan apa sahaja perkara ke atas bahu Barisan Nasional (BN).

Amat malang sekali jika ada rakyat di negeri ini masih bertuankan pembangkang yang berpenyakit ini. Di Negeri Sembilan, mereka sudah tidak boleh mengawal minda lagi.

Apa sahaja yang keluar dari mulut mereka, nampak jelas mencaci BN. Daripada isu lapuk kepada isu yang direka, semuanya kerana sifat terlalu cemburu dengan kejayaan BN, lebih-lebih lagi manifesto BN lebih diyakini berbanding pembangkang.

Akibatnya, muncullah gangguan baru di kalangan pembangkang yang disifatkan sebagai gangguan keperibadian narsistik, yang mana individunya bersifat ego yang tinggi dan mahu dipuja sebagai pemimpin yang hebat, sehingga keperibadian buruk pun dianggap suci.

Sebab itulah, kecelaruan identiti dalam pembangkang ini amat ketara sehingga tidak ada sesiapa pun dalam kalangan penceramah mereka mengatakan ada pemimpin mereka berhadapan isu moral, sebaliknya menyalahkan pemimpin BN yang kononnya bermasalah dan mereka-reka cerita. Akhbar Utusan Malaysia adalah sebahagian mangsanya!

Maka rakyat perlu mengambil iktibar daripada manusia paranoid dan narsistik dalam pembangkang ini dan untuk mengenali mereka amat mudah kerana sifat itu boleh dilihat dalam ceramah politik di Negeri Sembilan.

Pertama golongan ini sombong dan mempunyai egoisme yang tinggi, selalu mahu dipuji dan dikagumi rakyat, memperlihatkan dirinya hebat dan berbakat besar serta merasa berhak untuk mendapatkan sesuatu kuasa atau orang lain harus mengikut telunjuk mereka.

Satu yang mengejutkan juga, rakyat harus sedar jangan ada pihak yang mengeksploitasi diri kita untuk kepentingan mereka sehingga akhirnya, negara yang kita sayangi ini akan tergadai disebabkan sifat pembangkang yang amat tertekan dengan apa yang dimiliki BN ketika ini.

Jadi, kecelaruan itu bukan sekadar pada sikap yang ditonjolkan, tetapi juga dalam soal integriti dan keikhlasan meletakkan calon yang akan bertanding, contohnya di Jempol apabila dua calon Pas dinamakan bertanding pada kerusi Parlimen.

Mereka ialah penyanyi terkenal, Aishah atau nama sebenarnya, Wan Aishah Wan Ariffin dan Ketua Dewan Pemuda Pas Jempol, Mohd. Fairuz Mohd. Isa.

Begitu juga dalam kerusi Parlimen Rasah dan Seremban yang kini dikuasai DAP. Loke Siew Fook yang telah mengesahkan bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Chennah pada PRU-13 berkata, dia fleksibel dan boleh bertanding di mana-mana kerusi, seolah-olah tiada muka baru yang mahu ditampilkan atau beliau sendiri mahu juga bertanding di parlimen sekali lagi.

PKR pula, masih mahu Datuk Kamarul Baharin Abbas untuk bertanding kerusi Parlimen Telok Kemang, walaupun sudah ada tanda-tanda rakyat dan pengundi menolaknya. Dan seorang lagi nama yang tidak diumumkan, Ketua Angkatan Muda Keadilan negeri, Nazree Yunos yang akan berentap di Parlimen Kuala Pilah.

Apa pun kata akar umbi, tidak ada muka baru yang hendak ditampilkan oleh DAP, PKR dan Pas dan kalau ada sekali pun, mereka yang dicalonkan itu rapat dengan pemimpin sedia ada.

Seperti kata Naib Pengerusi DAP Cawangan Ladang Paroi, Negeri Sembilan, David Dass Aseerpatham, dalam DAP mereka amalkan nepotisme, mereka yang bertanding adalah yang rapat dengan pemimpin. Maka dalam hal ini, tidak mustahil dalam PKR dan Pas juga begitu.

Jadi orang Melayu dan pengundi sekalian harus sedar jenis penyakit yang sedang menular pembangkang dalam negeri ini, di mana kesemuanya ada hubung kait dengan minda - takut berhadapan kekalahan pada PRU-13 ini.

Amat malang sekali apabila melihat Pas yang bercita-cita mahu mewujudkan sebuah kerajaan Islam di negeri ini, terpaksa tunduk dengan PKR dan DAP apabila membenarkan mereka bertanding 24 daripada 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di negeri ini.

Kalau pun Pas menang kesemua kerusi itu, belum tentu cita-cita untuk menubuhkan kerajaan Islam disepakati DAP dan PKR, apatah lagi dalam isu kalimah Allah pun, Pas tidak dapat pertahankannya.

Maka jelaslah, pembangkang ada macam- macam penyakit yang berjangkit dan paling cepat menular ialah penyakit fitnah, kelentong dan janji tidak ditepati.

Jadi bagaimana mahu mengubati penyakit ini, jawapannya ialah kita tolak mereka. Bila tolak mereka, penyakit itu pun kita tolak sama.

PENULIS ialah Ketua Biro Negeri Sembilan Utusan Malaysia.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved