Khamis, 11 April 2013

Utusan Online - Mahkamah


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Mahkamah


Noniswara kecewa suami elak hadir ke mahkamah

Posted: 11 Apr 2013 12:26 PM PDT

KUALA LUMPUR 11 April - Pelakon Noniswara melahirkan rasa kecewa apabila suaminya, tokoh korporat, Datuk Rosman Ridzwan mengelak daripada menerima saman supaya hadir ke mahkamah bagi kes permohonan cerai mereka.

Noniswara atau nama sebenarnya Monis Wara Baharudin, 44, memberitahu Mahkamah Rendah Syariah di sini hari ini, pelbagai cara telah dilakukan untuk menghubungi dan menyerahkan saman kepada suaminya namun gagal.

"Saya menuntut cerai atas persetujuan dia, ketika saya menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada dia sebelum ini dia menjawab, bersetuju untuk teruskan perceraian tetapi tidak mahu hadir ke mahkamah.

"Dia pun ada bertanya perkembangan kes tetapi apabila saman cuba dihantar dia enggan beri kerjasama dan tidak lagi menjawab panggilan telefon mahupun SMS saya," ujar Noniswara.

Dramatis yang berasal dari Pasir Mas, Kelantan itu berkata demikian ketika disoal oleh Hakim Syarie, Muhammad Jimmy Muhammad Azlin.

Terdahulu, peguam syarie yang mewakilinya, Datuk Amli Embong turut memberitahu, pihaknya telah pergi ke pejabat Rosman, meninggalkan pesanan kepada pekerja di pejabat dan juga kepada pemandu peribadi Rosman, namun tiada sebarang maklum balas diterima.

Mahkamah kemudian menetapkan tarikh sebutan pada 18 April ini untuk pihak plaintif mencuba menyampaikan saman kepada defendan.

Noniswara memfailkan tuntutan cerai mengikut Seksyen 47 Undang-Undang Keluarga Islam Wilayah Persekutuan 1984 pada Februari lalu.

Ketika ditemui di luar mahkamah, Amli menjelaskan, selagi Rosman, 56, tidak hadir ke mahkamah, tuntutan cerai itu tidak boleh diteruskan.

Sementara itu, Noniswara yang mendakwa sudah tujuh bulan tinggal berasingan dengan Rosman tidak menafikan dakwaan wujudnya 'orang ketiga' dalam perkahwinan mereka.

Namun katanya, dia enggan mengaibkan sesiapa dalam hal itu dan berharap kes perceraian itu berjalan lancar.

"Jika dia tidak mahu bersama saya lagi tak apalah, saya akui tiga bulan pertama saya menangis, saya tidak mahu bercerai tapi selepas tiada sebarang perubahan padanya, saya perlu teruskan hidup sendiri," katanya.

Bagaimanapun pelakon itu tetap berharap suaminya akan hadir ke mahkamah untuk menyelesaikan kemelut rumah tangga mereka secara baik.

Pasangan itu bernikah pada 31 Julai 2009 dan majlis resepsi perkahwinan diadakan sehari selepas itu di Hotel Berjaya Times Square di sini.

Noniswara mempunyai tiga anak hasil perkahwinan pertamanya sementara Rosman pula yang sebelum itu berstatus duda memiliki lima anak daripada perkahwinan terdahulu.

Pada 28 September 2009, Rosman didenda RM700 oleh Mahkamah Majistret di sini selepas mengaku bersalah memukul bekas isterinya, Azura Ibrahim pada 2005.

Warga Sweden didapati bersalah edar 4,323 gram dadah dihukum mati

Posted: 11 Apr 2013 12:26 PM PDT

SHAH ALAM 11 April - Seorang ahli perniagaan warga Sweden dihukum gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini setelah didapati bersalah mengedar dadah jenis methamphetamine seberat 4,323 gram, dua tahun lalu.

Hakim Noor Azian Shaari memutuskan demikian terhadap pemilik bar di Pattaya, Thailand, Ferry Linbark, 44, setelah mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.

Mahkamah turut mendapati keterangan lelaki yang berasal dari Iran itu bahawa dia tidak tahu dadah berkenaan ada dalam beg miliknya, adalah tidak logik.

Malah dakwaannya yang datang ke negara ini dari Istanbul, Turki hanya untuk membeli paip air shisha di negara ini adalah tidak logik kerana menghisap shisha bukan budaya masyarakat Malaysia.

Lelaki itu melakukan kesalahan tersebut di cawangan pemeriksaan penumpang balai ketibaan antarabangsa terminal utama, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang dekat sini kira-kira pukul 10 pagi, 6 Disember 2011.

Pertuduhan terhadap lelaki itu dikemukakan mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori.

Berdasarkan fakta kes, dadah berkenaan ditemui di bahagian bawah beg yang dibawa lelaki itu setelah mesin pengimbas mengesan imej mencurigakan dalam beg milik lelaki itu.

Sebanyak lapan saksi pendakwaan dan seorang saksi pembelaan dipanggil memberi keterangan sepanjang perbicaraan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Naziah Mokhtar manakala lelaki itu diwakili peguam, Manjit Singh dan L. Ramesh.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved