Utusan Online - Feminin |
Posted: 11 Apr 2013 02:00 AM PDT Oleh MARIATUL QATIAH ZAKARIA Aziah Jasmin Azizul TUGAS seorang setiausaha bukan sahaja perlu 'berdampingan' serta menguruskan segala keperluan ketuanya (bos) ketika di pejabat, malah mereka ini juga sebenarnya mempunyai tanggungjawab besar terhadap syarikat atau organisasi tersebut. Ini kerana selain menguruskan surat, menaip, menyimpan fail, membuat temu janji, dan sebagainya, mereka merupakan orang kanan yang cukup dipercayai bos. Hal ini terjadi kerana semua urusan syarikat yang sulit mahupun rahsia syarikat turut diketahui mereka. Kerjaya sebagai seorang setiausaha sememangnya kerja yang cukup diminati satu ketika dahulu. Ini kerana selain tampak glamor mereka merupakan golongan profesional yang perlu tampil bergaya dan kemas sepanjang masa. Dalam hal ini, menurut Presiden Persatuan Perunding Imej Antarabangsa Malaysia, Aziah Jasmin Azizul, setiausaha perlulah sentiasa memastikan penampilan mereka kemas dan bergaya kerana mereka merupakan golongan yang sentiasa 'kehadapan'. Katanya lagi, dalam usaha memastikan penampilan mereka sentiasa cantik dan pada masa yang sama kelihatan formal, mereka perlu mengetahui teknik-teknik pemakaian selain teknik-teknik dandanan diri. "Apabila kita berbicara mengenai penampilan, sama ada bertudung atau tidak, seorang setiausaha mesti berketerampilan kemas dan bergaya. "Seorang setiausaha juga sebenarnya perlu tampil kemas dan bergaya dari hujung rambut hingga hujung kaki kerana mereka sentiasa berurusan dengan orang ramai. "Penampilan yang bergaya adalah perlu kerana penampilan yang baik serta berhemah tinggi akan mencerminkan sesuatu yang positif mengenai syarikat atau korporat yang diwakili," ujarnya ketika ditemui baru-baru ini. Jelasnya lagi, setiausaha hari ini bukanlah tidak tampil bergaya dan kemas tetapi mereka dilihat terlalu mengikut gaya Eropah. Ini kerana katanya, Malaysia cukup terpengaruh dengan budaya yang dipamerkan oleh masyarakat Eropah dan Amerika Syarikat. Ulasnya lagi, tidak dinafikan tiada undang-undang yang mengatakan salah atau betul dalam soal pemakaian tetapi faktor imej memainkan peranan penting dalam penampilan setiap individu. Merupakan salah seorang ahli panel untuk Seminar Apresiasi Setiausaha anjuran Utusan Publications & Distributors Sdn. Bhd., Aziah memberitahu pada seminar tersebut para peserta akan diberikan pengetahuan mengenai teknik-teknik yang betul dalam pemilihan fabrik untuk digayakan. Bakal mengetengahkan tajuk 'Tampil Berimej & Bergaya', Aziah akan membahagikan kepada cara berpakaian yang bersesuaian dengan pekerjaan masing-masing dan juga gaya mengikut personaliti diri serta berpakaian yang bersesuaian dengan kehidupan seharian. Seminar sehari tersebut yang bakal berlangsung pada 29 April ini di Hotel Marriot, Putrajaya, turut menampilkan Datuk Fazley Yaakob sebagai ahli panel dan juga Mawi yang akan membuat persembahan. Berbicara lanjut mengenai gaya dan penampilan, Aziah memberitahu pada seminar itu nanti dia juga akan membuat demo bagi memberi lebih kefahaman kepada para peserta. Aziah turut berkongsi sedikit tip di mana tulang belakang turut memainkan peranan penting ketika bergaya. Dan untuk itu, di seminar kelak Aziah tidak ketinggalan akan menerangkan segala-galanya terutama yang asas. Tidak hanya terhad menyebarkan ilmu tersebut kepada setiausaha-setiausaha perempuan, Aziah juga akan memberikan tip serta ilmu penggayaan kepada setiausaha lelaki. Bagaimanapun, ujar Aziah, segala ilmu yang bakal diberikannya pada 29 April ini tidak hanya terhad kepada setiausaha tetapi boleh diaplikasikan kepada setiap golongan masyarakat. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Feminin To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan