Sabtu, 6 April 2013

Utusan Online - Timur


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Timur


Tindakan jika kempen di sekolah

Posted: 05 Apr 2013 11:21 AM PDT

Oleh SITI AIRUNNISA ALAUI
utusanterengganu@utusan.com.my

AHMAD Razif Abdul Rahman (tengah) bergambar bersama para pemenang Cabaran Interaktif Pengguna Kelab Pengguna Sekolah Peringkat Negeri Terengganu 2013 di Prinzpark Terengganu, Kuala Terengganu, kelmarin.

KUALA TERENGGANU 5 April - Para guru di negeri ini diingatkan agar tidak menyalahgunakan institusi sekolah dengan mengadakan kempen pilihan raya ketika sesi pembelajaran mahupun di kawasan sekitar sekolah.

Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia negeri, Datuk Ahmad Razif Abdul Rahman berkata, jika didapati mereka melakukan perkara berkenaan, Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu (JPNT) tidak teragak-agak mengambil tindakan kepada guru terbabit.

Katanya, mereka yang ingin terlibat dalam politik dibenarkan berbuat demikian, bagaimanapun perlu mendapat kebenaran dengan membuat permohonan kepada pihak kementerian.

"Guru boleh berkempen tetapi kena mohon dulu dengan pihak kementerian, namun mereka sama sekali tidak boleh berkempen ketika menjalankan tugas sebagai pendidik atau ketika berada di sekitar sekolah.

"Mereka tidak boleh menyalahgunakan tanggungjawab yang diberikan sebagai guru dan menghasut pelajar-pelajar dengan fahaman politik yang mereka sokong kerana ini mengganggu proses pembelajaran," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas majlis penutupan Cabaran Interaktif Pengguna Kelab Pengguna Sekolah (CIP-KPS) 2013 dekat sini semalam.

Yang turut hadir Pengarah JPNT, Zakaria Hussin dan Pengarah Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan negeri (PPDNKK), Syamsul Badrin Mohshin.

Program CIP-KPS yang merupakan anjuran PPDNKK pada tahun ini dimenangi Sekolah Menengah Tengku Intan Zaharah, Dungun, sekali gus menewaskan 11 buah sekolah yang menyertai aktiviti berkenaan.

Kemenangan itu membolehkan mereka membawa pulang piala pusingan, RM1,000, hamper serta medal, selain melayakkan pasukan mereka mewakili Terengganu ke CIP-KPS peringkat kebangsaan.

Program CIP-KPS itu diadakan bertujuan mengembangkan daya kreativiti, inovasi dan potensi diri pelajar dalam aspek-aspek berkaitan kepenggunaan, sekali gus melahirkan lebih ramai individu yang berketerampilan.

Mengulas lanjut, Ahmad Razif menambah, pada Pilihan Raya Umum Ke-12, terdapat beberapa kes guru yang mengadakan kempen di sekolah, bagaimanapun itu hanyalah kes terpencil.

Jelasnya, setakat ini, tiada kes terbaru dilaporkan dan beliau berharap keadaan tersebut berterusan sehingga tamat proses Pilihan Raya Umum Ke-13.

"Kita memang memantau semua sekolah di bawah JPNT, namun sekolah-sekolah swasta atau di bawah penyeliaan pembangkang kita tidak tahu sama ada perkara ini berlaku atau tidak," ujarnya.

Guru Kemas qariah pertama tilawah al-Quran Kelantan ke peringkat kebangsaan selepas 23 tahun

Posted: 05 Apr 2013 11:21 AM PDT

Sultan Muhammad V menyampaikan hadiah kepada Radziah Ibrahim pada Majlis Tilawah al-Quran Negeri Kelantan ke-56 di Dewan Utama, Kompleks Islam Jubli Perak Sultan Ismail Petra, Panji, Kota Bharu, kelmarin.

KOTA BHARU 5 April - Seorang guru al-Quran Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas), Radziah Ibrahim, mencipta sejarah menjadi qariah pertama Kelantan dalam tempoh 23 tahun dan akan mewakili negeri ke peringkat kebangsaan Mei ini selepas dinobatkan sebagai johan qariah Tilawah al-Quran Negeri Kelantan Ke-56 malam tadi.

Sepanjang tempoh itu, kerajaan Pas Kelantan melarang wanita menyertai majlis tilawah al-Quran, sekali gus menafikan hak para qariah berbakat meneruskan penguasaan legenda qariah negara, Faridah Mat Saman di pentas kebangsaan atas tiket negeri sendiri.

Radziah, 50, yang mewakili daerah Bachok menduduki tempat pertama dengan markah 76.65 peratus, manakala naib johan disandang Munirah Kasim, 46, (Tanah Merah dengan markah 76.32 peratus) dan tempat ketiga, Che Minah Awang, 59, (Kota Bharu mendapat markah 75.49 peratus).

Sementara itu, johan qari pula disandang oleh Zulkifli Haron, 54, dari Pasir Mas dengan markah 80.49 peratus; naib johan Abdullah Fahmi Che Nor @ Shukri, 29, (Pasir Puteh dengan markah 79.83 peratus) dan ketiga, Mohd. Nazri Daud, 33, (Tumpat dengan 78.99 peratus).

Johan kedua-dua kategori membawa pulang sebuah motosikal Modenas tajaan Mydin Holdings, RM5,000, piala iringan dan sijil penyertaan.

Manakala tempat kedua dan ketiga pula masing-masing memperoleh RM4,000 dan RM3,000, piala iringan serta sijil penyertaan.

Upacara pengurniaan hadiah kepada pemenang disempurnakan Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V di Dewan Utama, Kompleks Islam Jubli Perak Sultan Ismail Petra, Panji di sini malam ini.

Yang turut berangkat Tengku Mahkota Kelantan, Dr. Tengku Muhammad Fa-iz Petra.

Sebanyak 21 peserta iaitu 11 qariah dan 10 qari menyertai Majlis Tilawah al-Qur'an Peringkat Negeri Kelantan Ke-56 yang berlangsung sejak 1 April lalu.

Radziah ketika ditemui berkata, dia sangat bersyukur kerana sudah menanti begitu lama peluang untuk mewakili negeri sendiri di peringkat kebangsaan sejak berkecimpung dalam bidang ini dari usia muda lagi.

Beliau yang pernah 'dilamar' mewakili negeri Pahang pada majlis tilawah al-Qur'an peringkat kebangsaan tahun 2003 berkata, inilah masanya untuk qariah Kelantan bangkit kembali setelah peluang mereka ditutup begitu lama.

"Saya pernah berpeluang bertanding mewakili daerah dua kali di peringkat negeri sebelum larangan mula dibuat kepada qariah, selepas itu keadaan menjadi suram dan akibatnya qariah tidak lagi bersemangat untuk terus menumpukan belajar taranum," katanya.

201 warga emas terima bantuan cermin mata percuma

Posted: 05 Apr 2013 11:21 AM PDT

JELI 5 April - Sebanyak 201 warga emas di kawasan Parlimen Jeli menerima bantuan cermin mata percuma sumbangan kerajaan Pusat.

Kesemua warga emas terbabit diberikan bantuan tersebut selepas melalui program saringan pemeriksaan mata oleh Unit Pemeriksaan Mata Bergerak Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM).

Program saringan pemeriksaan mata itu berlangsung di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jeli, kelmarin dan merupakan antara aktiviti sempena Seminar Wanita Penggerak Transformasi Negara peringkat negeri Kelantan, anjuran Majlis Kebangsaan Pertubuhan-Pertubuhan Wanita Malaysia (NCWO).

Seminar itu dirasmikan oleh Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed dan turut dihadiri Yang Dipertua NCWO, Tan Sri Dr. Sharifah Hapsah Syed Hassan Shahabuddin yang juga Naib Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia.

Sementara itu, seorang warga emas, Rodiah Arshad, 67, dari Kampung Lakota, Jeli berkata, dia tidak pernah terfikir untuk menjalani pemeriksaan mata, apatah lagi untuk memakai cermin mata.

"Saya fikir masalah penglihatan kabur yang saya alami baru-baru ini kemungkinan disebabkan faktor usia yang semakin meningkat," katanya ketika ditemui di sini kelmarin.

Katanya, dia hadir hanya ingin mengikuti program anjuran Wanita UMNO Bahagian Jeli itu, tetapi telah diminta mendapatkan pemeriksaan mata.

"Saya gembira kerana kini penglihatan saya terang dengan bantuan cermin mata ini, khususnya ketika membaca al-Quran," katanya.

Rakannya, Mek Esah Awang, 64, dari Kampung Ayer Lanas berkata, dia berpuas hati dapat menjalani pemeriksaan mata melalui unit bergerak HUKM itu.

"Perkhidmatan ini memudahkan orang kampung seperti saya menjalankan kerja-kerja kampung di rumah," katanya.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved