Sabtu, 6 April 2013

Utusan Online - Selatan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Selatan


Jangan ragu-ragu pilih BN

Posted: 05 Apr 2013 11:21 AM PDT

Oleh Farabi Sheikh
Said al Jabri
utusann9.utusan@utusan.com.my

SEREMBAN 5 April - Ketua Penerangan MIC Pusat, Datuk V.S. Mogan menasihatkan masyarakat India supaya tidak perlu merasa ragu untuk memilih Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) nanti.

Hal ini kerana DAP, Pas dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) hanya memainkan sentimen mencelarukan pemikiran pengundi masyarakat India, sedangkan mereka tidak memperjuangkan nasib kaum ini, malah tidak langsung disebut dalam manifesto mereka.

''Jangan ditipu lagi dengan cerita seronok daripada pembangkang, sebenarnya pahit untuk ditelan," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Justeru, MIC telah mengembalikan keyakinan pengundi dalam kalangan masyarakat India dengan menyaksikan visual, janji ditepati serta semangat bersama dalam memastikan BN menang besar dalam PRU-13 ini.

''Di negeri ini, pertemuan telah dibuat bersama ketua pusat daerah mengundi (PDM) supaya pelaksanaan kerja diseragamkan dan pengundi menerima baik serta faham penjelasan yang dibuat," tegasnya.

Katanya, masalah kecil berkaitan jentera sudah diselesaikan dan kini tumpuan untuk memastikan setiap pengundi itu benar-benar memilih BN dan menolak calon pembangkang.

Beliau yang juga Ketua MIC Rembau menjelaskan, tahap kesiapsiagaan parti itu dalam menghadapi PRU-13 nanti begitu tinggi dan tidak ada lagi istilah tewas dalam diri mereka.

''Apa yang kami nampak sekarang ialah kemenangan. Selagi tidak mencapai apa yang kami kehendaki, kerja tidak akan berhenti," katanya.

Oleh itu katanya, masyarakat India di negeri ini jangan lagi bersedih kerana tersilap pilih calon pada tahun 2008 lalu dan menebus kesilapan itu dengan memilih parti yang betul iaitu BN dalam PRU-13 nanti.

Jangan cetus kekecohan semasa PRU-13

Posted: 05 Apr 2013 11:21 AM PDT

MELAKA 5 April - Polis mengingatkan calon dan penyokong parti politik yang bertanding dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) di negeri ini tidak mencetuskan kekecohan sepanjang tempoh berkempen hingga ke hari mengundi.

Ketua Polis Melaka, Datuk Chuah Ghee Lye berkata, pihaknya tidak akan teragak-agak mengambil tindakan tegas ke atas mana-mana individu yang cuba menggugat keamanan negara atau menjejaskan perjalanan proses pilihan raya kali ini.

Katanya, semua pihak perlu mematuhi sepenuhnya peraturan dan peruntukan undang-undang agar tidak melakukan kesalahan di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

''Semua pihak terutama calon dan penyokong parti politik yang bertanding diingatkan agar tidak membuat sebarang bentuk provokasi yang boleh mencetuskan ketegangan dan lebih penting isu-isu melibatkan sensitiviti kaum serta agama harus dielakkan sama sekali.

''Polis diberi tugas dan tanggungjawab bagi memastikan keamanan dan ketenteraman awam mengikut Seksyen 3(3) Akta Polis 1967 supaya rakyat dapat keluar mengundi tanpa rasa was-was," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka di sini hari ini.

Menurutnya, polis negeri ini telah membuat persiapan rapi dalam menghadapi sebarang kemungkinan dan cabaran sepanjang PRU-13 berlangsung.

Beliau berkata, seramai 2,441 pegawai dan anggota polis dari kontinjen negeri ditugaskan menjaga kawasan Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi memastikan PRU-13 berjalan lancar.

''Di samping kekuatan yang sedia ada, polis juga mendapat bantuan daripada anggota tambahan dari Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (Rela) dan Polis Bantuan untuk menjalankan tugas-tugas kepolisan," katanya.

Dalam pada itu, Ghee Lye turut meminta calon yang bertanding agar mengemukakan permohonan permit kepada Ketua Polis Daerah di kawasan masing-masing untuk mendapat kebenaran mengadakan ceramah di bawah Akta Perhimpunan Aman (APA) 2012 selepas hari penamaan calon nanti.

Beliau menambah, permohonan permit itu perlu dikemukakan kepada polis sepanjang tempoh berkempen agar tindakan yang sewajarnya dapat dilaksanakan untuk memastikan keselamatan semua pihak terjamin.

''Mulai dari sekarang hingga hari penamaan calon, semua parti dan calon-calon bertanding yang ingin mengadakan ceramah perlu memberi notis kepada Ketua Polis Daerah," ujarnya.

Pada hari penamaan calon nanti katanya, polis akan memastikan penyokong kedua-dua belah pihak yang bertanding diasingkan bagi mengelak daripada sebarang kejadian yang tidak diingini berlaku.

Klinik Pakar Pertanian tangani isu pertanian negeri

Posted: 05 Apr 2013 11:21 AM PDT

MOHD. Ali Rustam (dua dari kiri) mencium batang kayu gaharu semasa melawat pameran biotek pada Hari Terbuka Agro Bioteknologi Negeri Melaka di MITC, Air Keroh, Melaka, kelmarin.

MELAKA 5 April - Perbadanan Bioteknologi Melaka (PBM) dengan kerjasama Universiti Putra Malaysia (UPM) menganjurkan Klinik Pakar Pertanian bagi memberikan nasihat kepada golongan petani dalam usaha membantu menangani isu pertanian di negeri ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datin Norsabrina Mohd. Noor berkata, program yang diadakan sempena Hari Terbuka Agro Bioteknologi Melaka itu bertujuan untuk memberikan khidmat nasihat, rundingan dan showcasing bagi meningkatkan produktiviti pengusaha pertanian di negeri ini.

Menurutnya, klinik ini dilaksanakan kepada kumpulan sasar di sesuatu kawasan terpilih supaya pemindahan teknologi dapat diterapkan dengan berkesan.

"Objektif utama klinik ini adalah untuk memberikan tunjuk ajar dalam pemindahan teknologi dan keusahawanan secara berinteraksi bersama pengusaha pertanian bagi meningkatkan kecekapan dan pendapatan mereka," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam majlis Perasmian Hari Terbuka Agro Bioteknologi Melaka dan Klinik Pakar Pertanian di PBM, Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) Ayer Keroh di sini, semalam.

Majlis itu dirasmikan Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam yang turut dihadiri Timbalan Pengerusi Pembangunan Desa dan Pertanian negeri, Datuk Latipah Omar serta Timbalan Naib Canselor Jaringan Industri dan Masyarakat UPM, Prof. Dr. V. Renuganth.

Sementara itu Mohd. Ali berkata, klinik pertanian seperti ini diharap dapat memberikan peluang kepada para usahawan, pengusaha pertanian serta pelajar menambah ilmu pengetahuan mereka dan seterusnya mengaplikasikan kemahiran tersebut.

"Program ini diadakan bagi memaksimumkan penggunaan aplikasi bioteknologi supaya hasil pertanian seperti tanaman, ternakan, akuakultur dan industri asas tani negeri ini dapat ditingkatkan," ujarnya.

Katanya lagi, kerjasama antara pelbagai pihak dalam melaksanakan klinik ini juga akan memberikan faedah kepada semua terutama dalam usaha memindahkan teknologi kepada pengusaha pertanian.

"Saya yakin barisan pakar pertanian UPM yang mempunyai banyak pengalaman dan pengetahuan dapat membantu menaikkan kecekapan sektor pertanian negeri," tambahnya.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved