Sabtu, 6 April 2013

Utusan Online - Johor


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Johor


Gagal capai kata sepakat

Posted: 05 Apr 2013 11:21 AM PDT

Oleh MOHAMED SAARI
utusanjohor@utusan.com.my

CHUA Tee Yong (kanan) menyampaikan sumbangan RM50,000 hasil kutipan daripada orang ramai kepada Jawatankuasa Pengelola SJKC Ai Chun Tenang Stesen, semalam.

LABIS 5 April - Gagal mencapai kata sepakat berhubung pengagihan kerusi bagi menghadapi pilihan raya umum menyerlahkan sikap mementingkan diri dan tidak menghormati antara satu sama lain dalam kalangan pembangkang.

Ketua Biro Muda Profesional MCA, Datuk Chua Tee Yong berkata, pengumuman Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim tentang calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang akan bertanding di dua kerusi Parlimen di Kedah tetapi dinafikan Pengerusi DAP negeri itu baru-baru ini, menggambarkan apa yang sebenarnya berlaku.

"Selain itu, kita juga tahu berlaku perebutan untuk meletakkan calon di beberapa kerusi oleh pakatan pembangkang dalam pilihan raya umum kali ini.

"Jika memuktamadkan senarai calon pun gagal, bagaimana nanti untuk membuat keputusan lebih besar terutamanya melibatkan soal dasar jika berjaya melangkah ke Putrajaya," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyaksikan Pertandingan Deklamasi Puisi Cina di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Ai Chun, Tenang Stesen di sini semalam.

Dalam majlis tersebut, beliau turut menyampaikan RM50,000 hasil sumbangan orang ramai yang dikumpul Pusat Khidmat Parlimen Labis kepada Jawatankuasa Pengelola sekolah itu untuk membantu dari aspek pembangunan sekolah.

Tee Yong yang juga Ahli Parlimen Labis berkata, alasan pembangkang gagal menunaikan janji di negeri dikuasai mereka kerana tidak cukup masa tidak boleh diterima disebabkan mereka mempunyai masa lima tahun melakukannya.

"Bukan kekangan masa yang menjadi masalah, sebaliknya pembangkang tidak pernah berhasrat untuk menunaikan apa yang dijanjikan kerana mereka membuat janji tanpa sebarang kajian tentang kemampuan untuk menunaikannya dan hanya bersifat meraih sokongan,'' katanya.

Nelayan terharu Felcra bantu baiki rumah

Posted: 05 Apr 2013 11:21 AM PDT

HALIMAH Mohamed Sadique (dua dari kanan) bersama Zulkifli Sidek (tiga dari kiri) ketika melancarkan program Amal Jariah Bagi Baik Pulih Rumah oleh Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Persekutuan (Felcra) Berhad di Kampung Orang Asli Pasir Intan, Kota Tinggi, baru-baru ini.

KOTA TINGGI 5 April - Seorang nelayan di Kampung Orang Asli Pasir Intan di sini terharu apabila kediamannya yang usang dibaiki semula dengan peruntukan RM5,000 menerusi program Amal Jariah Bagi Baik Pulih Rumah oleh Felcra Berhad (Felcra) baru-baru ini.

Menerusi program tersebut, bapa kepada 11 orang anak tersebut, Shamli Moh Gee Kokoh, 45, menerima bahan binaan seperti atap, kayu, simen dan batu-bata untuk membaik pulih rumah berkenaan.

Shamli bersyukur kerana nasib keluarganya mendapat perhatian daripada kerajaan, khususnya Felcra serta tidak lagi gusar setiap kali musim hujan.

Dia yang menetap di rumah tersebut sejak lebih 18 tahun lalu berkata, setiap kali hujan, keadaan dalam rumah akan dibasahi air kerana tidak mampu membaiki atap yang bocor.

"Bantuan itu meringankan beban dan saya berterima kasih kepada Felcra kerana memilih rumah ini untuk dibaik pulih dan juga kepada semua pihak yang banyak membantu kami selama ini," katanya.

Dia berkata demikian dalam Majlis Pelancaran Baik Pulih Rumah Amal Jariah (CSR) Felcra yang dirasmikan Ahli Lembaga Pengarah Felcra, Datuk Halimah Mohamed Sadique di sini.

Yang turut hadir Pengurus Besar Wilayah Felcra negeri, Zulkifli Sidek; Ketua UMNO Bahagian Tenggara, Datuk Baderi Dasuki dan Tok Batin Kampung Orang Asli Pasir Intan, Hamdan Yusof.

Dalam pada itu, Halimah berkata, program amal jariah Felcra itu bagi membantu rakyat susah dengan membaiki kediaman bagi membolehkan mereka hidup dengan selesa.

"Usaha membantu rakyat bukan ikut musim, sebaliknya dilakukan secara berterusan dan diberikan mengikut keperluan peserta terlibat," katanya.

Sebanyak 64 buah rumah akan diperbaiki di bawah program tersebut, melibatkan tiga kampung Orang Asli iaitu 26 rumah di Kampung Sayong Pinang, 14 rumah (Kampung Pasir Intan) dan 20 rumah (Kampung Kempas Menang).

Terdahulu, Halimah turut menyampaikan sumbangan peribadi dengan membuka akaun Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) bernilai RM50 kepada 80 anak Orang Asli yang juga murid Sekolah Kebangsaan Sayong Pinang.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved