Sabtu, 6 April 2013

Utusan Online - Pahang


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Pahang


22 menara pemancar baharu

Posted: 06 Apr 2013 11:59 AM PDT

Lau Lee

JERANTUT 6 April - Sebanyak 22 menara pemancar telekomunikasi baharu sedang dibina di seluruh daerah ini bagi meningkatkan liputan talian telefon mudah alih terutama untuk kemudahan penduduk luar bandar.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Damak, Datuk Lau Lee berkata, menara tersebut dijangka mula beroperasi pada akhir bulan ini.

"Kita banyak menerima aduan daripada penduduk di kawasan luar bandar tentang kesukaran mereka untuk berkomunikasi dengan telefon bimbit kerana liputan kurang baik.

"Ada juga yang terpaksa pergi ke kampung berhampiran untuk mendapatkan liputan dan perkara tersebut amat merumitkan penduduk," katanya di sini baru-baru ini.

Menurutnya, penduduk sering mengeluh kerana berdepan masalah untuk berhubung dengan orang lain terutama apabila ada kecemasan dan urusan penting.

"Kampung Lata Kasah umpamanya sebelum ini tidak mempunyai menara dan menyukarkan penduduk berhubung dengan dunia luar," ujarnya.

Beliau memberitahu, beberapa kawasan di sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Damak telah dikenal pasti untuk membina pemancar baharu tersebut termasuk di Kampung Sungai Lekok, Sungai Par, Sungai Kiol, Kampung Baharu dan Kampung Sempadan.

Sementara itu, Lau Lee mengingatkan penduduk di daerah ini agar tidak mudah terpengaruh dengan janji sesetengah pihak yang secara tiba-tiba muncul menabur janji menjelang pilihan raya umum tidak lama lagi.

"Kebanyakan mereka hanya muncul di saat pilihan raya semakin hampir dan cuba menunjukkan belas kasihan serta menabur pelbagai janji untuk meraih undi," jelasnya.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved