Rabu, 3 April 2013

Utusan Online - Timur


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Timur


RM57j bantu institusi agama

Posted: 02 Apr 2013 11:57 AM PDT

Oleh ROSMIZAN RESDI
utusankelantan@utusan.com.my

KOTA BHARU 2 April - Kerajaan Pusat telah memperuntukkan lebih RM57 juta bagi pembangunan fizikal institusi agama termasuk pembinaan masjid serta pusat-pusat pengajian agama di negeri ini sejak 2005 sehingga kini.

Pengarah Jabatan Pembangunan Persekutuan Kelantan, Datuk Makhtar Mustapha berkata, peruntukan tersebut disalurkan bagi membantu membina dan menaik taraf 78 buah masjid di negeri ini.

"Peruntukan itu digunakan bagi membina 26 buah masjid mukim, madrasah dan juga surau, 25 buah lagi dinaik taraf dan 27 buah dibaik pulih.

"Sehingga kini, 13 buah daripadanya telah siap dibina dengan sempurna melibatkan peruntukan sebanyak RM34 juta," katanya dalam sidang akhbar di pejabatnya di sini hari ini.

Antara masjid yang telah siap dibina ialah Masjid Kampung Nara, Masjid Kampung Seberang Jeli, Masjid Guntong, Mukim Limbat, Masjid An-Nur Bandar Guchil, Masjid Mukim Mentuan, Masjid Al-Bakti, Masjid Kubang Sawa, Masjid Banggol Judah, Masjid Ayesha, Madrasah Kem Kijang, Madrasah Kampung Jelutong, Madrasah Kubur Peringat dan Surau Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan.

Makhtar berkata, selain pembinaan masjid, projek menaik taraf pusat-pusat pengajian agama turut dilaksanakan untuk pendidikan anak-anak di negeri ini melibatkan peruntukan sebanyak RM4 juta.

"Antaranya Madrasah Tahfiz Al-Quran Al-Ismailiah, Pasir Mas dan Madrasah An-Najmiah, Pondok Geting, Pengkalan Kubor, Tumpat," katanya.

Bina 707 rumah untuk golongan asnaf

Posted: 02 Apr 2013 11:57 AM PDT

Che Hamat Che Muda (depan, dua dari kanan) beramah mesra dengan penerima Baucar Rumah Agihan Zakat MAIK 2013 di Kota Bharu, semalam.

KOTA BHARU 2 April - Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) membina sebanyak 707 buah rumah agihan zakat untuk golongan asnaf bernilai lebih RM20.2 juta sejak skim bantuan itu dimulakan dari 2004 hingga hujung tahun lalu.

Timbalan Yang Dipertua MAIK, Datuk Kamaruddin Mohd. Zin berkata, jumlah itu tidak termasuk sebanyak 104 buah rumah lagi yang akan dibina sepanjang tahun ini dengan perbelanjaan melebihi RM3.7 juta.

Beliau berkata, sebelum ini, pihaknya memperuntukkan sebanyak RM28,000 bagi kos setiap rumah namun mulai tahun ini, jumlah itu dinaikkan kepada RM35,000 kepada pembinaan rumah di daerah Bachok, Kota Bharu, Machang, Pasir Mas, Pasir Puteh, Tanah Merah dan Tumpat.

Tambahnya, RM38,000 pula diperuntukkan untuk rumah di Gua Musang, Jeli dan Kuala Krai berikutan kenaikan harga bahan binaan serta upah pekerja semasa.

"Skim bantuan rumah yang merupakan program di bawah Jawatankuasa Khas Zakat dan Kebajikan MAIK ini bertujuan menyediakan kediaman selesa kepada golongan asnaf menggunakan peruntukan wang zakat dan kita berhasrat membina sekurang-kurangnya 100 buah rumah setahun.

"Melalui program ini, MAIK bekerjasama dengan pejabat Ketua Jajahan, penggawa dan penghulu untuk membantu golongan asnaf yang layak dan harapan kita agar semua penerima rumah agihan zakat MAIK dapat memajukan diri untuk keluar daripada kepompong kemiskinan," katanya dalam Majlis Penyerahan Baucar Rumah Agihan Zakat MAIK 2013 di sini hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan Setiausaha MAIK, Che Hamat Che Muda.

Dalam majlis itu, sebanyak 40 penerima dari daerah Kota Bharu, Bachok, Pasir Puteh dan Tumpat menerima sumbangan tersebut.

Melalui skim bantuan itu, golongan asnaf yang mempunyai tanah sendiri atau milik keluarga boleh memohon melalui penghulu dan penggawa di daerah masing-masing untuk mendapatkan bantuan pembinaan rumah.

Sementara itu, penerima bantuan, Zimah Salleh, 49, yang merupakan ibu tunggal kepada 11 orang anak bersyukur kerana akhirnya akan memiliki rumah sendiri di Kampung Padang Rokma, Tumpat setelah menumpang sekian lama di rumah salah seorang ahli keluarganya di kampung itu.

Zimah berkata, arwah suaminya, Nik Lah, seorang buruh, meninggal dunia pada 2011 akibat kemalangan jalan raya.

Jelasnya, dia sendiri tidak dapat mencari sumber pendapatan kerana terpaksa memberi tumpuan sepenuhnya kepada anak bongsu, Nik Mohd Wakiyuddin, 2, seorang kanak-kanak orang kurang upaya (OKU) yang menghidap penyakit kepala besar sejak lahir.

"Mujurlah abang kandung saya sanggup memberi sedikit tanahnya untuk pembinaan rumah MAIK ini, saya tidak sangka dalam masa tidak sampai dua bulan membuat permohonan akhirnya diluluskan dan saya serta anak-anak dapat tinggal di rumah kami sendiri tidak lama lagi," katanya.

Bina stadium Olimpik: Rakyat Kelantan tidak yakin kemampuan kerajaan negeri

Posted: 02 Apr 2013 11:57 AM PDT

KOTA BHARU 2 April - Hasrat kerajaan Pas Kelantan membina sebuah stadium bertaraf antarabangsa di Bukit Merbau, Pasir Puteh dekat sini, menimbulkan pelbagai persoalan kepada rakyat negeri ini.

Rata-rata mereka yang ditemui meluahkan rasa tidak yakin dengan rancangan kerajaan negeri itu memandangkan telah banyak janji projek mega yang dibuat sebelum ini tidak ditunaikan.

Penduduk, Ariff Hakimi Zulkifli, 33, berkata, sukar mempercayai janji kerajaan negeri itu mengambil kira beberapa janji lama terutama membabitkan projek mega bernilai ratusan juta ringgit seperti Lembah Sireh yang tidak ditunaikan sehingga ke hari ini.

"Tak tahu nak cakap apa. Tapi sama-samalah kita tunggu sejauh mana realiti janji stadium ini. Hendak berharap, takut hanya tinggal harapan sebab sejarah lama sudah banyak sangat, janji hanya tinggal janji.

"Kali ini, kita ambil jalan selamat, tunggu dan lihat. Tidak menaruh harapan tinggi dengan janji itu," katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Sabtu lalu, Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dilapor meminta rakyat 'memberi kepercayaan' kepada satu lagi projek mega iaitu stadium bola sepak berharga RM320 juta walaupun banyak projek mega dilancarkan Kerajaan Pas Kelantan sebelum ini masih gagal ditunaikan.

Nik Abdul Aziz memberitahu, stadium itu lebih hebat daripada mana-mana stadium terkemuka di dunia dan setaraf dengan Stadium Olimpik Beijing di China dibina di kawasan seluas lebih 100 hektar di Bukit Merbau, Pasir Puteh.

Pandangan sama turut dikongsi Ami Amizi Ab. Aziz, 31, yang mempersoalkan kemampuan kewangan kerajaan negeri melaksanakan projek mega tersebut kerana melibatkan kos ratusan juta ringgit.

"Persoalan ini berdasarkan pengakuan kerajaan negeri sendiri yang seringkali mendakwa tidak ada wang, tapi macam mana tiba-tiba boleh berjanji hendak buat stadium. Rakyat kemungkinan boleh beri kepercayaan kepada kerajaan negeri sekiranya mereka terlebih dahulu mengotakan segala janji silamnya yang belum tertunai," katanya.

Dia turut mempersoalkan integriti kerajaan negeri dalam menjaga kebajikan rakyat secara menyeluruh dengan menjanjikan projek mega seperti ingin membina stadium sedangkan masalah rakyat termasuk isu air bersih yang telah berlarutan sejak lebih 20 tahun masih gagal diselesaikan.

Norhisham Sabramulisi, 37, pula melahirkan rasa hairan dengan upacara peletakan batu asas projek stadium itu yang dilaksanakan ketika menjelang Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) yang dijangka akan diadakan dalam tempoh terdekat.

"Janji ini kalau tak silap telah diumumkan sejak setahun dulu lagi. Tapi kenapa sekarang baru letak batu asas pembinaannya. Ini seolah-olah tidak ubah sebagai gimik politik menjelang pilihan raya," ujarnya.

Sementara itu, Shahrul Fadhel Mohd. Aziz, 33, pula berkata, mengambil kira kronologi rancangan membina stadium tersebut yang telah diumumkan sejak 2011, jelas membayangkan perkara itu hanya permainan politik kerajaan Pas negeri.

"Tambahan pula, upacara peletakan batu asas hanya dilakukan kira-kira setahun kemudian ketika spekulasi tarikh PRU-13 sedang hangat diperkatakan," katanya.

Dalam pada itu, dia meminta kerajaan negeri menjelaskan kepada umum proses tender projek berkenaan selain turut membayangkan projek stadium tersebut bakal menerima nasib sama seperti Bandar Baru Tunjong yang turut dibangunkan Tunjong Development Corporation (TDC), syarikat sama diberi kepercayaan membina stadium berkenaan.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved