Utusan Online - Sukan |
Sultan Ahmad Shah dukacita Tunku Ismail letak jawatan Posted: 03 Apr 2013 08:44 PM PDT KUANTAN 4 April - Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah meluahkan rasa dukacita susulan peletakan jawatan Tengku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim sebagai Presiden Persatuan Bola sepak Negeri Johor (PBNJ) semalam. Sambil mengharapkan Tunku Ismail mengubah keputusannya, Sultan Ahmad Shah bertitah sejak menerajui PBNJ, TMJ diterima baik peminat bola sepak Johor. "...saya rasa mereka (peminat dan PBNJ) memerlukannya," titah baginda kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Anugerah Persekutuan Bola Sepak ASEAN, di sini semalam. Pada masa yang sama, titah baginda, TMJ harus bersedia mematuhi undang-undang badan induk bola sepak tanah air itu jika ingin membabitkan diri dalam pengurusan sukan berkenaan. "Dia tak boleh lari daripada undang-undang, bila kita sanggup berkhidmat demi apa juga jawatan, sebab kita (FAM) mempunyai undang-undang. "Tiada siapa mengatasi undang-undang di Malaysia, macam saya cakap.. tidak ada satu makhluk yang tidak membuat kesilapan," titah baginda. Semalam, Tunku Ismail dalam kenyataan medianya mengumumkan peletakan jawatan selaku Presiden PBNJ berkuat kuasa serta-merta, selepas mendapat perkenan Sultan Johor dan jawatan itu kini disandang Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, Datuk Obet Tawil. Baginda membuat keputusan itu selepas berasakan kedudukannya selaku TMJ menyukarkan baginda menjalankan tugas sebagai presiden PBNJ yang sentiasa terikat dengan undang-undang FAM. Tunku Ismail bagaimanapun bertitah, selaku TMJ baginda layak menjadi penaung PBNJ. - BERNAMA |
TMJ letak jawatan Presiden PBNJ Posted: 03 Apr 2013 12:24 PM PDT Oleh NURUL HUDA HASSAN JOHOR BAHRU - Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim (gambar) semalam mengumumkan peletakan jawatannya sebagai Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ) berkuat kuasa serta-merta. Katanya, keputusan itu dibuat selepas mendapat perkenan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, selain hasil perbincangan bersama Penasihat Undang-Undang Negeri Johor. "Keputusan ini saya buat kerana merasakan jika saya memegang jawatan sebagai presiden dan pada masa sama sebagai TMJ, maka amat sukar untuk saya mentadbir urus PBNJ yang sentiasa terikat dengan undang-undang dan peraturan FAM. "Oleh kerana itu, saya membuat keputusan untuk mentadbir PBNJ sebagai penaung serta-merta mulai hari ini. Ini kerana mengikut hirarki protokol, saya sebagai TMJ layak memegang jawatan penaung dalam PBNJ," katanya dalam satu kenyataan dikeluarkan di sini , semalam. Beliau berkata, dengan menjadi penaung, ia akan membuka lebih banyak ruang dan peluang serta kelebihan bagi Tunku Ismail untuk mentadbir urus PBNJ termasuk aspek kewangan, kebajikan kakitangan dan pemain serta mampu membuat keputusan lebih tepat. Jawatan Presiden PBNJ kini akan disandang Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, Datuk Obet Tawil. Tunku Ismail turut merakamkan setinggi-tinggi terima kasih kepada semua penyokong bola sepak Johor yang selama ini bersusah payah memberi sokongan tidak berbelah agi kepada pasukan negeri ini. "Sokongan padu anda semua amatlah saya hargai dan harap ia berterusan sampai bila-bila kerana dengan adanya sokongan anda, pasukan bola sepak negeri ini boleh terus gah berdiri di persada bola sepak tanah air. "Sokongan anda diharap dapat diteruskan di masa akan datang. "Saya berharap anda semua tidak akan risau kerana saya sentiasa berada di sini bersama anda sebagai TMJ dan sentiasa memantau serta mengikuti segala perjalanan aktiviti bola sepak negeri ini di peringkat akar umbi hingga ke peringkat global," katanya lagi. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Sukan Tempatan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan