Utusan Online - Hiburan |
Posted: 03 Apr 2013 02:00 AM PDT Oleh GARRET DAWUM ANGGOTA berubah, namun identiti ST12 tetap dipertahankan. FORMASI boleh berubah namun identiti setiap kumpulan muzik harus tetap dipertahankan. Itulah yang diungkapkan oleh pemain drum, Pepep atau nama sebenarnya Ilham Febri mengenai ST12 yang pernah melalui sejarah hitam kira-kira empat tahun lalu. Memang tidak disangka, ST12 dibubarkan pada tahun 2011 setelah vokalis, Charly serta Pepeng (gitaris) mengambil keputusan mengundur diri dan meninggalkan kumpulan tersebut. Terlalu banyak kisah manis bagi nama sebenar bekas vokalis ST12, Charly Van Houten bersama dengan Pepep, Dedy Sudrajat (Pepeng) serta Iman Rush bermula pertemuan pada tahun 2004. Boleh dikatakan Charly merupakan roh kepada ST12. Lebih indah lagi, kebanyakkan lagu ST12 pada masa itu dicipta oleh Charly. Kehilangan Charly memang mengguris hati ramai peminat kerana populariti ST12 meningkat disebabkan lagu Puspa, Cari Pacar Lagi dan Saat Terakhir yang dimainkan hampir setiap hari di corong-corong radio mahupun televisyen. Menyingkap kembali perpisahan ST12, Pepep, 26, yang merupakan ahli ST12 yang kekal berkata, perpisahan Charly dengan ST12 adalah secara baik dan begitu juga Pepeng. Teman-teman dalam ST12 saya rasa sudah cukup dewasa untuk memahami kemahuan Charly. Kami pada masa itu memang menyerahkan segalanya kepada Charly dan pernah berbincang, tetapi dia tetap keputusan sendiri. Mungkin pengundurannya dilakukan kerana ingin mengembangkan karier secara sendiri tanpa ada sebarang aturan dan ikatan kontrak," katanya sambil memberitahu masih ada komunikasi antara mereka. Sehingga kini, mereka tidak pernah memutuskan hubungan baik yang telah dibina menerusi kumpulan ST12 yang sudah lama bertapak dalam dunia hiburan. Perpisahan secara rasmi yang cukup mengharukan itu berlaku ketika ST12 tampil buat kali terakhir di Kompleks Taman Mini, Indonesia Indah pada malam tahun baharu 2012. Setelah berpisah, Pepep berkata, perjalanannya untuk membentuk kembali kumpulan itu memang sukar kerana tunjang utama sesebuah kumpulan adalah vokalisnya. Sesuatu kumpulan muzik biasanya sentiasa dikenali menerusi vokalisnya. Maka apabila vokalis tekad keluar, ahli-ahli lain pincang, akhirnya berpecah dan membawa haluan sendiri," katanya sedih. Setelah ditinggalkan Charly, ST12 terumbang-ambing dengan hanya mengekalkan pemain drumnya sahaja. Pepep yang ketika itu bersendirian juga hampir menemui jalan buntu untuk terus mengekalkan ST12. Namun benar sekali kata hikmah, usaha itu tangga kejayaan. Kini, ST12 kembali di arena muzik dengan menampilkan vokalis baharu bernama Ridho Tuah. Dengan terpilihnya Ridho, Pepep berkata, itu merupakan permulaan baru bagi ST12 dan bukti bahawa perjalanannya belum berakhir. Terbentuknya ST12 yang baharu dengan Pepep sebagai pemain drum dan Ridho penyanyi sudah cukup untuk mengembalikan zaman kegemilangan ST12 menerusi lagu Putih-putih Melati yang menjadi siulan ramai peminat. Single pertama itu sudah mulai mendapat maklum balas positif peminat di laman YouTube. Namun, usaha Pepep membentuk kumpulan tidak terhenti setakat itu. Dia terus berusaha mencari ahli kumpulan dan menemui dua orang ahli baharu yang bertindak sebagai pemain gitar iaitu Indra atau nama sebenarnya Muhammad Indra Gunawan, 20, dan Koko (Indra Irwan Syah Amac), 28. Pepep memberitahu, pertemuannya dengan Koko memang tidak sia-sia hasil diperkenalkan oleh kawan-kawan. Koko memang seorang pemain gitar yang hebat dan suka kepada muzik. Selain itu, dia juga sering bermain muzik di kafe-kafe untuk menghiburkan para pengunjung," jelas Pepep dengan hati gembira. Menariknya, Indra pula sebenarnya sudah lama bersama dengan ST12 dan sering berada di studio untuk memberi idea dalam muzik sejak lagu album P.U.S.P.A lagi, cuma ketika itu dia tidak boleh digandingkan memandangkan Indra pada masa itu mempunyai kumpulan rock sendiri, Utopia. Menjaga ahli baharu tidak begitu payah, akui Pepep. Pengalaman yang ada digunakan sepenuhnya untuk membantu yang muda kerana itulah hakikat yang berlaku di Indonesia. Katanya, jika mempunyai kesempatan, yang dikira profesional akan menurunkan segala ilmu yang bermanfaat dalam diri kepada generasi seterusnya. Konsep muzik Kalau mendengar lagu-lagu ST12, pasti ada yang menyedari keunikannya tersendiri. Diakui kumpulan itui memang mempertaruhkan muzik Melayu. Konsep itu tidak akan berubah. Kalau ada pun, mungkin perubahan dalam warna muziknya, akui Pepep. Genre muzik itu sendiri yang membuatkan kumpulan itu terus gah walaupun pernah hilang dari persada muzik Indonesia satu ketika dahulu. Menekankan konsep tersebut, Pepep berkata, mereka tidak akan mengubah walau apa sekali pun yang berlaku kerana dia sangat berbangga dengan budaya Melayu. Buat apa kita hendak mengangkat budaya orang lain. Budaya kita sendiri ada identitinya. Kita juga mempunyai keaslian dan perlu dikembangkan. Janganlah kita terpengaruh dengan muzik dari budaya lain sehingga kita lalai dan lupa akan bangsa sendiri," katanya. Kata Pepep, semua lagu yang ada pada album mereka dibuat sendiri dan mereka akui terdapat kesukaran untuk membuat lagu, tetapi prinsip jangan mengeluh sentiasa ditanam dalam diri. Kami buat muzik secara jujur dan cuba buat lagu yang disukai oleh ramai orang agar diterima dalam industri muzik. Malah dalam album terbaru ini, walaupun terdapat perubahan untuk memberi kepelbagaian kepada peminat, namun platformnya masih sama iaitu muzik Melayu," katanya. Mengambil masa yang agak lama untuk mencari vokalis baharu dan menelan waktu hampir setahun untuk proses rakaman dan adunan, Pepep dan ST12 akhirnya berjaya melancarkan album baharu mereka berjudul Lentera Hati Januari tahun ini. Bercerita tentang album itu, Pepep menjelaskan bahawa itu adalah satu album istimewa kerana menyimpulkan setiap duka lara, penat jerih kariernya bersama ST12 selain luahan seribu rasa bahagia bersama ahli baharu ST12. Seperti album keempat Pangeran Cinta, album kelima itu turut menggabungkan muzik Melayu dengan irama moden masa kini. Yang pasti, ST12 berusaha memberikan yang terbaik sesuai dengan kemampuan mereka. Album Lentera Hati sudah mulai dipasarkan ke seluruh Asia Tenggara oleh Rumpun Records dan Universal Music. Album itu juga boleh dimuat turun secara digital dari iTunes dan syarikat telekomunikasi tempatan. Mengenai harapan ST12 yang baharu, Pepep berkata, dia akan membawa kembali nama ST12 sedikit demi sedikit dan belajar daripada kesilapan lalu. Mudah-mudahan, para peminat boleh menerima kembali kehadiran kami. Untuk showcase ini, jika sambutan baik, mungkin kami akan adakan showcase atau konsert di Malaysia pada masa akan datang," katanya. |
Pencuri Breaking Bad ditangkap Posted: 03 Apr 2013 02:00 AM PDT MUSIM terakhir Breaking Bad kini dalam bahaya. PENERBIT eksekutif drama bersiri Breaking Bad, Vince Gilligan pasti marah dan kecewa kerana rahsia musim terakhir drama terbitannya itu dalam bahaya. Ini berikutan salah satu daripada skrip drama tersebut dicuri daripada pelakonnya, Bryan Cranston. Kejadian itu berlaku ketika cermin tingkap penumpang hadapan kereta Cranston, 57, dipecah dan beg sandang miliknya telah dicuri. Menurut laporan yang dibuat Cranston kepada biro aduan kejadian jenayah, Bernalillo County, beg sandang tersebut mengandungi sebuah iPad termasuk salinan skrip Breaking Bad. Namun demikian, seorang suspek kepada pemilik skrip yang memegang watak Walter White dalam drama tersebut telah ditangkap. Suspek berkenaan, Xavier McAfee kini telah disiasat dan skrip itu masih belum ditemui. Drama bersiri itu sekarang sudah bersedia untuk musim terakhirnya tetapi kejadian malang itu membuatkan drama tersebut kini tergugat. Watak yang dipegang oleh Cranston adalah seorang guru kimia di sebuah sekolah tinggi dan setelah mendapat tahu bahawa dia mengidap kanser paru-paru kronik serta jangka hayatnya tidak lama. dia mengalami tekanan memikirkan keluarga jika meninggal dunia kerana tidak mempunyai simpanan yang mencukupi untuk memberi bantuan kewangan kepada keluarga. Namun suatu hari dia ternampak salah seorang bekas pelajarnya menjual dadah kepada penagih dadah. Dari situ dia mendapat ilham menjual dadah sebagai pendapatan sampingan dan menjadi seorang ketua dadah jenis methamphetamine yang dijual secara besar-besaran dengan pemberian wang yang banyak. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Hiburan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan