Rabu, 3 April 2013

Utusan Online - Feminin


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Feminin


Rela mula dari bawah

Posted: 03 Apr 2013 02:00 AM PDT

Oleh mariatul qatiah zakaria
maria.zakaria@utusan.com.my
Gambar Jeffri iran

Nur Ernawati Mohamad Nor pilih perniagaan dalam talian.

Kebolehan dalam bidang perniagaan mungkin agak diragui tetapi disebabkan ingin 'meneroka' bidang tersebut seterusnya menjadikan ia sebagai kerjaya utama, Nur Ernawati Mohamad Nor tidak malu untuk bermula dari bawah.

Mengakui tidak mempunyai sebarang pengalaman apatah lagi ilmu mengenai perniagaan, Nur Ernawati atau lebih mesra disapa Erna bertatih mempertaruhkan masa depannya.

Ini kerana, jelas wanita berusia 26 tahun itu, pertengahan tahun ini dia bakal mengendalikan perniagaan secara dalam talian sekali gus menguji kebolehan berurus niaga dengan pelanggan.

Bakal bekerjasama dengan sepupunya yang juga pelakon muda terkenal, Liyana Jasmey, mereka akan memasarkan baju (pakaian harian) untuk remaja.

Menurut Erna, dia kini berusaha memenuhkan ilmu di dada sebanyak mungkin mengenai selok belok dunia perniagaan terutama sekali perniagaan yang dijalankan secara dalam talian.

Semua itu perlu memandangkan dia bakal mengendalikan perniagaan tersebut secara sendirian kerana Liyana akan berpindah mengikut suaminya ke Sabah.

Berbicara lanjut mengenai perancangan tersebut, jelas Erna, dia akan bertanggungjawab mengendalikan perniagaan secara dalam talian manakala sepupunya itu menumpukan sepenuhnya pada butik yang akan dibuka di Sabah tidak lama lagi.

"Semua sedia maklum Liyana akan berpindah ke Sabah mengikut suaminya dan ini adalah perancangan kami di mana dia mengendalikan perniagaan di sana manakala saya di sini (Semenanjung).

"Yang penting sebelum semuanya bergerak seperti yang dirancang dan saya akan pastikan saya tahu mengenai selok belok dunia perniagaan agar tidak mendatangkan masalah di kemudian hari," ujarnya ketika ditemui baru-baru ini.

Tidak menafikan bukanlah satu perkara mudah apabila bermula dengan kosong, tetapi bagi Erna tiada apa yang mustahil selagi diri berusaha untuk mempelajarinya.

Bercerita lanjut mengenai perniagaan yang bakal diusahakan itu, ulas Erna, mereka sebulat suara memilih untuk memasarkan pakaian yang bertemakan fesyen jalanan.

Sudah pasti sasaran mereka untuk golongan remaja dengan menggunakan jenama Love Junkie.

Buat masa kini mereka mendapatkan pakaian pakai siap yang ditempah tetapi fabrik serta reka bentuknya dipilih dan dihasilkan sendiri oleh mereka berdua.

Begitu pun kata Erna, mereka bercadang mempunyai kilang sendiri suatu hari nanti.

Menurut anak kedua daripada tiga beradik ini, walaupun segala-galanya bermula dari bawah, dia sekurang-kurangnya mempunyai pengalaman yang dikumpul ketika menjawat jawatan sebagai eksekutif pembangunan perniagaan di bahagian pemasaran dan komunikasi di salah sebuah syarikat swasta di ibu negara.

Berkhidmat selama tiga tahun di bahagian tersebut, Erna memberitahu minatnya memang kepada bidang perniagaan.

Kerjaya yang disandangnya selama tiga tahun itu adalah semata-mata untuk mendapatkan pengalaman sebelum pergi lebih jauh dalam bidang perniagaan.

Bagi pemegang ijazah dalam Komunikasi Massa, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam itu, setelah berpuas hati dengan apa yang diperoleh sejak tiga tahun lalu, kini dia tidak teragak-agak untuk meneruskan apa yang telah dirancang bersama sepupunya itu.

"Memang saya tidak mempunyai asas dalam bidang perniagaan tetapi sekurang-kurangnya dengan pengalaman tiga tahun yang diperoleh sebelum ini ia mampu dijadikan landasan untuk saya bergerak dalam bidang ini (perniagaan).

"Apa pun, pengalaman merupakan satu pembelajaran yang paling berkesan yang sememangnya ia boleh dipraktikkan dengan apa yang ingin saya lakukan sekarang.

"Yang penting kita mesti yakin dengan diri sendiri supaya orang di sekeliling tahu kita berkeyakinan walaupun hakikatnya masih baru," katanya sambil tersenyum manja.

Erna yang mempunyai lesung pipit di kedua-dua belah pipinya ini juga dilihat tidak menyembunyikan 'fakta' apabila mengaku dirinya sudah berkahwin.

Begitupun katanya, mungkin belum rezeki kerana sehingga kini belum dikurniakan anak selepas pernah keguguran ketika kandungan berusia dua bulan.

Bagi Erna, buat masa ini dia dan suaminya tidak terlalu mengharap kerana takut kecewa.

"Erna dan suami tidak pernah merancang cuma mungkin belum rezeki dan sekiranya dikurniakan anak dalam tempoh terdekat ini kami menerimanya dengan hati yang terbuka.

"Alhamdulillah kedua-dua belah keluarga juga memahami situasi kami dan mereka juga tidak pernah mendesak," katanya lagi.

Pernah bercita-cita ingin menjadi seorang pembaca berita, Erna memberitahu disebabkan itulah dia mengambil keputusan melanjutkan pelajaran dalam bidang komunikasi massa, pengkhususan penyiaran.

Mungkin bukan rezekinya untuk menjadi seorang pembaca berita, tetapi Erna pernah ditawarkan menjadi pelakon.

Bukan itu sahaja malah Erna juga pernah menjadi model peragaan fesyen untuk sebuah majalah tempatan satu ketika dahulu.

Bagi Erna semuanya itu adalah pengalaman yang amat berharga buat dirinya malah kini dia memberi sepenuh tumpuan terhadap perniagaan yang bakal diusahakannya.

Berbicara pula mengenai kecantikan yang dimiliki, Erna berkata, dia tidak pernah menyolek muka dengan alat solek melainkan ketika perlu menghadiri majlis-majlis rasmi.

Ini kerana bagi Erna, dia memiliki kulit jenis kering dan susah mendapatkan produk yang sesuai dengan jenis kulitnya.

Kelainan Pandora

Posted: 03 Apr 2013 02:00 AM PDT

Oleh SITI AISHAH YUSOFF
Gambar ESZREEN QUYYUM SIES

Zarida Nordin dan Pengarah Urusan Habib Jewel, Datuk Meer Sadik Habib (lima dan enam dari kiri) bersama barisan selebriti yang menggayakan koleksi terbaru Pandora.

GLAMOR dan bergaya. Istilah yang sesuai untuk menggambarkan rekaan dan koleksi terbaru Pandora bersempena musim bunga 2013.

Koleksi kali ini mencetuskan kelainan dengan rekaan buah rantai, cincin dan gelang tangan inspirasi daripada cerita dongeng, kisah romantik antara uda dan dara.

Rekaan ini didatangkan dengan pelbagai bentuk yang memukau seperti istana raja, putera katak dan juga mahkota yang menawan.

Rekaan moden yang menawan dengan penggunaan material seperti logam dan batu permata menjadikan wanita yang memakainya tampil bergaya dan glamor.

Selain itu penggunaan permata berwarna lembut pasti memukau perasaan.

Menerokai koleksi terbaru bertemakan Cherry Blosssom, keunikannya terserlah apabila selain menggunakan logam seperti perak, rekaannya turut disaluti dengan emas selain penggunaan batu berkilat , enamel dan kaca yang berwarna cerah.

Pengarah Urusan Pandora Malaysia, Datin Zarida Nordin berkata, setiap wanita mempunyai kisah tersendiri yang menjadi kebanggaan yang ingin dikongsi dan diingati sepanjang hidup mereka.

Direka dengan gaya yang kelihatan sempurna atau dicampur dengan pelbagai koleksi lain, koleksi daripada Pandora ini menggambar dan melengkapkan personaliti wanita dengan kombinasi yang telah dipilih dan menjadikan setiap detik tidak dapat dilupakan," katanya.

Selain itu, koleksi unik anting-anting dan buah rantai daripada perak dengan 48 kubik batu zirconia berbentuk mahkota dengan gaya elegan, klasik dan kontemporari pasti menjadikan si pemakai kelihatan seperti puteri.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved