Utusan Online - Keluarga |
Posted: 03 Apr 2013 02:00 AM PDT Oleh SITI AISHAH YUSOFF KEPUTUSAN Nur Isma (bukan nama sebenar) memeluk Islam sejak lima tahun lalu ketika menetap di negeri Bawah Bayu, tidak pernah dikesali, malah jalan yang dipilih tersebut merupakan satu rahmat bagi dirinya. Malah, perkahwinannya selepas beberapa bulan memeluk Islam dengan jejaka pilihan hati membuatkan hidup terasa lebih indah dan tenang. Namun, kebahagiaan itu hanya sementara kerana apabila memasuki usia setahun, perkahwinan yang dibina menghadapi badai menyebabkan rumah tangga mereka bergolak. Tambahnya, walaupun dia merupakan saudara baru yang sedang mengenali Islam, tetapi tanggungjawab Amran (bukan nama sebenar) untuk membimbing mengenali Islam lebih mendalam tidak pernah dijalankan. Dia tidak pernah mengajar saya untuk solat, apatah lagi berkaitan dengan hukum halal dan haram dalam Islam. Ketika itu, saya rasakan Islam saya hanya sekadar atas nama sahaja," kata Nur Isma. Bercerita lanjut kisah duka hidupnya sebagai isteri seorang penagih dadah dan peminum arak, sepanjang perkenalannya dengan Amran selama dua tahun dia tidak pernah mengesyaki lelaki itu adalah seorang penagih dadah. Mengenalinya sebelum kami berdua disatukan, saya sangat menyenangi sikap Amran yang bertanggungjawab dan penuh dengan kasih sayang yang tidak pernah berbelah bahagi. Namun, itu semua lakonan semata-mata kerana selepas setahun berkahwin Amran bukanlah seperti lelaki yang saya kenali dahulu. Dalam diam dan tanpa pengetahuan saya, Amran rupanya adalah seorang penagih dadah dan sering pulang ke rumah dalam keadaan mabuk kerana mengambil minuman keras . Jika kesempitan wang untuk membeli bekalan dadah, saya menjadi mangsanya. Segala duit yang ada pada saya akan dirampas. Jika saya tidak dapat memberinya wang, saya akan dipukul dan ditampar tanpa belas kasihan. Dalam pada itu, ketagihan pada minuman keras juga semakin menjadi-jadi menyebabkan semua wangnya habis dibelanjakan untuk memenuhi kehendaknya itu," katanya. Ujar Nur Isma lagi, Amran hanya menjalankan tanggungjawabnya sebagai suami memberikan nafkah pada awal perkahwinan sahaja. Lelaki yang diharap dapat menjadi pelindung dan teman ketika meniti usia tua itu rupanya telah memusnahkan hidup dan masa depannya. Saya tidak meminta lebih daripadanya kerana saya tahu gaji seorang buruh kontrak tidak selumayan mana. Namun, lama-kelamaan Amran semakin lupa tanggungjawabnya sebagai ketua keluarga. Nasib baik saya juga bekerja sebagai juru jual di sebuah pasar raya yang terletak berhampiran rumah. Gaji saya habis digunakan untuk membeli barangan keperluan rumah dan membayar bil-bil yang berkaitan," katanya. Selepas setahun lebih berkahwin, akhirnya mereka dikhabarkan dengan berita gembira apabila Nur Isma disahkan mengandung setelah sekian lama menunggu. Saya harapkan berita gembira kami bakal mendapat zuriat akan memberi perubahan pada Amran tetapi sebaliknya pula yang berlaku kerana ketagihan pada dadah dan arak semakin menjadi-jadi. Pengalaman yang tidak dapat dilupakan adalah apabila usia kandungan mencecah lima bulan, saya telah dipukul dan diterajang oleh Amran kerana berlaku salah faham yang kecil. Mujur kandungan selamat, hanya bahagian badan sahaja yang lebam-lebam," katanya. Tambahnya, dalam tempoh tersebut dia terpaksa bersabar kerana mengenangkan anak dalam kandungan dan sayang pada suami yang tidak pernah berkurang. Selepas melahirkan anak sulung, ternyata Amran masih dengan sikap lamanya, malah langsung tidak menghiraukan tanggungjawabnya sebagai seorang bapa. Kerana tidak tahan dengan keadaan tersebut dan seringkali dipaksa untuk memberikannya wang bagi membeli dadah, saya mengambil keputusan membawa diri ke Kuala Lumpur dengan harapan dapat memulakan hidup baru di sana. Sementara itu anak perempuan kami, saya tinggalkan buat sementara waktu di bawah jagaan ibu mentua di kampung," katanya. Tambahnya, di Kuala Lumpur, Nur Isma bernasib baik kerana diterima bekerja sebagai penyambut tetamu di sebuah hotel. Namun, pemergian saya ke Kuala Lumpur secara senyap diketahui suami dan dia berjaya menjejaki saya. Kedatangannya ke sini menyebabkan hidup saya kembali terganggu kerana kerana bukan sahaja terpaksa membenarkan Amran berteduh di bilik yang disewa, malah dia tetap tidak berubah meminta wang daripada saya. Kerana tidak tahan dengan sikapnya dan tidak sanggup lagi menanggung beban, akhirnya saya mengambil keputusan memfailkan perceraiaan di pejabat agama. Buat masa ini saya masih menunggu keputusan dari mahkamah. Saya sangat berharap kehidupan saya kembali bermakna selepas perceraian ini," katanya mengakhiri bicara. |
Posted: 03 Apr 2013 02:00 AM PDT Dr. Ng Yen Yen bersama Jimmy Choo yang merupakan antara pereka kasut kelahiran Malaysia yang mencipta nama di pentas antarabangsa. Selari dengan usaha menjadikan negara sebagai hub pengeluar kasut Asia, Festival Kasut Antarabangsa Malays ia yang berlangsung dari 28 hingga 31 Mac lalu di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) Kuala Lumpur dilihat memenuhi cita rasa bagi peminat-peminat kasut di Malaysia dan Asia. Menteri Pelancongan, Datuk Seri Dr. Ng Yen Yen berkata, industri fesyen kasut di Malaysia telah berjaya dikembangkan dengan adanya sokongan pelbagai pihak. Dengan sokongan dan kerjasama penganjur iaitu Persatuan Pengilang Kasut Malaysia (MFMA), pihak industri dan para pelancong, kita telah berjaya mengembangkan industri fesyen kasut dengan baik. Diharap mereka akan terus bersama berusaha menjadikan Malaysia sebagai pengeluar kasut utama Asia seterusnya melangkah maju ke pentas dunia. Buktinya nilai eksport kasut kini telah melonjak kepada lebih RM621 juta terutama ke pasaran-pasaran seperti Brazil, United Kingdom, Mexico dan negara-negara ASEAN," katanya. Katanya, festival yang dianjurkan oleh Kementerian pelancongan dan MFMA bersempena dengan jualan GP Malaysia menerima kunjungan 65,000 peminat kasut tempatan dan antarabangsa. Pameran kali keempat itu menampilkan pelbagai koleksi kasut yang menarik dan bergaya dengan lebih 150 koleksi dari jenama tempatan dan antarabangsa antaranya Jimmy Choo. Alfio Raldo, Zang Toi, Timberland, Ecco Larrie dan banyak lagi. Menurut Yen Yen, buat pertama kali juga, Hyundai-Sime Darby Motor Sdn. Bhd. mengambil bahagian dengan menaja sebuah kereta Hyundai i10 untuk pemenang pertandingan Shop & Win. Selain itu, sebuah arca berbentuk kasut setinggi tiga meter yang di bina menggunakan 40,000 utas tali kasut telah berjaya diiktiraf dalam Malaysia Book of Records sebagai arca terbesar yang dibina menggunakan tali kasut. Arca ini dibina oleh 17 orang pelajar jurusan Seni Reka Bentuk dari the One Academy, Bandar Sunway ,Petaling Jaya yang mengambil masa kira-kira sebulan untuk disiapkan. Reka bentuk arca kasut ini bertemakan budaya dan ciri-ciri pelancongan di Malaysia, manakala bahagian atas pula melambangkan kemunculan industri pembuatan kasut di Malaysia," katanya. Ujar Yen Yen lagi, bagi memeriahkan festival itu 10 pereka fesyen kasut tempatan yang terkenal serta 11 pereka fesyen kasut antarabangsa dari Hong Kong, Indonesia dan Thailand telah membuat penampilan khas. Antara pereka kasut tempatan termasuklah Melinda Looi, Zang Toi, Bernard Chandran, Bill Keith, Micheal Ong, Izal Ismail, Nelissa Hilman, Khoon Hooi, Key Ng dan Carven Ong. Bagi pereka kasut antarabangsa pula ialah Chuk Ling, Oneruk Siitiwong, Yonghki Komoladi, Denny Wirawan, Susan Budiraharjo, Rudi Candra, Jeanny Ang, Aree Jitniyom, Kancharai Srikalyanavat, Pantila Promfang dan Chaowanee Anantakrittayathorn," katanya. Acara lain yang menarik sepanjang empat hari festival itu adalah pameran daripada Jimmy Choo iaitu Mahkota-Capsule Couture Collection. Koleksi itu juga merupakan penghormatan kepada fabrik bercorak etnik seperti pua kumbu, pua sungkit, dastar tohlian, kelingkan, telepok, tekat dan songket. Sebuah galeri berbentuk mahkota juga telah direka khas bagi melengkapkan konsep koleksi tersebut. Selain itu, diadakan juga pertunjukan fesyen kasut, sudut kesihatan kaki, sudut pereka muda, pertandingan mereka bentuk kasut dan pertandingan mewarna kasut bagi kanak-kanak. - SITI AISHAH YUSOFF |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Keluarga To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan