Utusan Online - Timur |
- RM15 juta bina, baiki masjid
- PETMAL, TATiUC kerjasama latih belia Nigeria
- Penduduk gotong-royong masak bubur asyura
Posted: RM15 juta bina, baiki masjidOleh TOREK SULONG Mustapa Mohamed menjamu selera bersama orang ramai di Masjid Mukim Pulau Lima, di Pasir Puteh, baru-baru ini. PASIR PUTEH 25 Dis. - Kerajaan Persekutuan telah memberi peruntukan lebih RM15 juta untuk projek pembinaan baru dan kerja membaik pulih masjid di seluruh Kelantan dalam tempoh tiga tahun lalu. Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, peruntukan itu termasuk membina masjid baharu di kawasan Parlimen Machang, Ketereh dan Gua Musang. "Kita masih menerima banyak permohonan bagi tujuan berkenaan dan ia akan diambil perhatian serius dalam usaha menyediakan prasarana rumah ibadat yang lengkap dan selesa untuk ahli kariah membangunkan syiar Islam secara berterusan," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan khas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sebanyak RM500,000 kepada Masjid Mukim Pulau Lima di sini kelmarin. Sumbangan bagi membesarkan ruang ibadat masjid berkenaan telah disampaikan kepada Imam Tua Masjid Mukim Pulau Lima, Abdul Ghafar Awang. Ia sebagai menunaikan janji yang dibuat oleh Perdana Menteri sewaktu melakukan lawatan ke masjid berkenaan 2 Julai lalu. Hadir sama, Ketua UMNO Bahagian Pasir Puteh, Zawawi Othman dan Pengarah Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) Kelantan, Datuk Makhtar Mustapha. Mustapa yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri berkata, masjid perlu berada dalam keadaan sempurna kerana ia melambangkan kekuatan dan keutuhan umat Islam. "Fungsi masjid perlu ditingkatkan dengan turut berperanan sebagai medan perpaduan. Golongan muda juga perlu didekatkan dengan masjid melalui program tarbiah Islamiah dan pendidikan. "Langkah ini perlu supaya mereka mempunyai jati diri dan tidak mudah dipengaruhi oleh pihak lain yang sentiasa mencari peluang merosakkan adat resam, budaya dan pengamalan ajaran Islam sebenar. Ini sahaja langkah berkesan untuk menangani kes murtad yang dilaporkan berlaku baru-baru ini," katanya. Sementara itu, Abdul Ghafar berkata, peruntukan itu akan dibelanjakan untuk membesarkan masjid berkenaan bagi menampung 300 hingga 600 jemaah. Full content generated by Get Full RSS. |
PETMAL, TATiUC kerjasama latih belia Nigeria Posted: PETMAL, TATiUC kerjasama latih belia NigeriaAhmad Said (dua dari kiri) bersama (dari kiri), Long Mohd, Noor Affendi Long Ibrahim; Dr. Mohd. Rozailan Mamat dan Kamarudin Hussin pada Majlis Menandatangani Perjanjian di antara PETMAL, TATiUC, UniMAP di Kuala Terengganu, baru-baru ini. KUALA TERENGGANU 25 Dis. - Kepakaran Kolej Universiti TATI (TATiUC) semakin diiktiraf di peringkat antarabangsa apabila diberi kepercayaan untuk melatih belia-belia dari Nigeria dalam pelbagai bidang kejuruteraan. Kepercayaan itu terjalin melalui kerjasama di antara PETMAL Oil Sdn. Bhd. dengan TATiUC dan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) melalui satu memorandum persefahaman (MoU) yang ditandatangani, di sini baru-baru ini. Pada majlis itu, PETMAL diwakili Pengerusinya, Datuk Paduka Long Mohd. Noor Affendi Long Ibrahim manakala TATiUC diwakili Rektornya, Dr. Mohd. Rozailan Mamat@Ibrahim dan UniMAP oleh Naib Canselornya, Brigedier Jeneral Datuk Prof. Dr. Kamarudin Hussin sambil disaksikan Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said. Sementara itu, Ahmad dalam ucapannya berkata, untuk peringkat awal seramai 50 belia Nigeria mengikuti kursus Teknologi Kimpalan Arca di kolej tersebut yang akan mengambil masa selama enam bulan. Katanya, sepanjang kursus tersebut diadakan, PETMAL dipertanggungjawab untuk menguruskan kemasukan pelajar dan juga dari segi kewangan mereka. "PETMAL merupakan syarikat yang dilantik kerajaan Nigeria melalui satu badan yang diberi nama Program Perkembangan Belia (YDP) untuk menguruskan latihan belia-belia Nigeria di negara ini. "Bagi pengurusan kewangan pula, segala perbelanjaan pelajar-pelajar ini ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan Nigeria," katanya selepas menyaksikan majlis menandatangani MoU berkenaan, di sini. Mengulas lanjut, Ahmad berkata, beliau difahamkan pada tahun depan jumlah pelajar yang bakal mengikuti kursus di TATiUC dan UniMAP akan bertambah selain penambahan dalam kursus yang ditawarkan. Jelasnya, seramai 500 orang lagi belia Nigeria akan dihantar di dua buah institusi pendidikan itu tahun depan untuk mengikuti pelbagai latihan kemahiran seperti bidang Pendawaian Elektrik, Pemesinan, Automotif dan juga Teknologi Kimpalan Arca. "Dengan kemudahan pembelajaran yang selesa dan bertaraf dunia dalam bidang kejuruteraan di kolej ini, saya yakin pelajar-pelajar ini dapat memanfaatkan segala ilmu yang diperolehi melalui penyertaan dalam kursus yang diadakan ini. Full content generated by Get Full RSS. |
Penduduk gotong-royong masak bubur asyura Posted: Penduduk gotong-royong masak bubur asyuraSebahagian daripada peneroka yang menyertai program masak bubur asyura sempena sambutan Maal Hijrah di Felda Kemahang Dua, Tanah Merah, semalam. TANAH MERAH 25 Dis. - Memasak sebanyak 37 kawah bubur asyura dengan peruntukan hampir RM15,000 hasil kerjasama penduduk kampung merupakan contoh terbaik dalam menerapkan semangat gotong-royong dan perpaduan di kalangan masyarakat Felda di negara ini. Merealisasikan hasrat tersebut di samping mendekatkan hubungan antara jiran, penduduk di Felda Kemahang 2 di sini mengadakan majlis sambutan Maal Hijrah dengan memasak bubur berkenaan baru-baru ini, menggunakan peruntukan peserta di kawasan tersebut . Timbalan Pengarah Besar Felda, Faizoull Ahmad berkata, penglibatan lebih 400 ahli keluarga daripada 16 blok Felda terbabit antara contoh terbaik dalam membantu menerapkan nilai-nilai murni iaitu mewujudkan persefahaman dan sekali gus meraikan 37 tahun Felda Kemahang 2 mula diteroka. ''Apa yang menarik, kerja-kerja penyediaan bahan mentah dam basah, memasak dan mengacau bubur disertai bukan sahaja oleh golongan lelaki tetapi semua peringkat usia termasuk kanak-kanak dan wanita dewasa. Ini adalah lambang semangat gotong-royong yang menjadi amalan dalam masyarakat Melayu sejak lama dahulu. ''Aktiviti seumpama ini mampu mengeratkan lagi hubungan yang sedia terjalin di kalangan masyarakat di sini kerana generasi muda dapat berkenalan dan berkongsi pengalaman dengan golongan lebih berusia iaitu di kalangan peneroka terawal di kawasan ini," katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini. Hadir sama Pengurus Besar Wilayah Gua Musang, Nor Zuki Mustafa, Pengurus Felda Kemahang 2, Zainal Ismail dan Setiausaha UMNO Bahagian Tanah Merah, Ahmad Ismail. Faizoull menambah, usaha yang dilakukan oleh masyarakat Felda di kawasan terbabit wajar dicontohi kerana akhir-akhir ini semangat bergotong-royong semakin terhakis di kalangan jiran tetangga. ''Memasak bubur asyura secara kerjasama dan bergilir-gilir mampu menerapkan kembali semangat saling memerlukan antara satu sama lain dan diharap budaya ini akan diteruskan pada masa akan datang," katanya. Full content generated by Get Full RSS. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Timur To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan