Utusan Online - Sukan |
Posted: 7 emas warnai hari kedua
JAKARTA – Setelah meraih dua pingat emas pada hari pertama Sukan SEA XXVI kelmarin, kontinjen negara bangkit mempamerkan keyakinan lebih cemerlang dengan menambah tujuh lagi emas untuk sembilan emas keseluruhan, semalam. Jika kontinjen negara di Palembang membuka tirai saingan kelmarin dengan dua pingat emas, semalam giliran kem Malaysia di Jakarta pula cemerlang dengan lima emas; empat menerusi karate dan satu emas daripada lawan pedang. Episod malang Jamalliah Jamaluddin kelmarin, berjaya ditebus adik lelakinya, Shaharudin yang memberikan emas dalam kumite 75 kilogram. Malah, karate terus membutirkan tiga lagi emas menerusi Loganesha Rao (kumite Bawah 55kg lelaki), K. Teagarajan (individu kumite 84kg lelaki) dan G. Yamini (individu kumite bawah 61kg) Bagaimanapun, pingat emas yang paling mencuri tumpuan di Jakarta semalam sudah pastinya menerusi acara lawan pedang. Koh I Jie tanpa disangka memenangi acara epee individu lelaki, sekali gus merupakan pingat emas pertama acara lawan pedang pada Sukan SEA selepas 22 tahun, terakhir dimenangi pada 1989. Di Palembang, kontinjen Malaysia menokok dua pingat emas semalam. Terjun yang membuka gelanggang semalam, memulakan kempen pungutan pingat menerusi Leong Mun Yee dan Ng Yan Yee dalam acara 3 meter papan anjal seirama wanita di Pusat Akuatik Jakabaring. Satu lagi emas daripada atlet acara 20 kilometer jalan kaki lelaki, Lo Choon Sieng. Kontinjen negara dijangka terus menuai pingat emas hari ini menerusi beberapa acara seperti renang yang melibatkan aksi perenang handalan seperti Khoo Cai Lin dan Marellyn Liew. Taruhan terbaik untuk emas olahraga adalah menerusi Lee Hup Wei dalam acara lompat tinggi dan jaguh 400m lari berpagar Noraseela Mohd. Khaled. – Utusan | ||
Choon Sieng permata baru jalan kaki Posted: Choon Sieng permata baru jalan kaki
PALEMBANG - Malaysia terus membuktikan penguasaan dalam acara 20 kilometer jalan kaki lelaki selepas berjaya mempertahankan pingat emas melalui Lo Choon Sieng di sini, semalam. Selepas Teoh Boon Lim berjaya meraih pingat emas di Laos, dua tahun lalu, kini giliran Choon Sieng pula yang tidak ubah seperti permata baru untuk meneruskan penguasaan di temasya ini. Choon Sieng menamatkan langkah emas dengan mencatat masa satu jam 32.34 saat manakala Boon Lim yang turut bertanding hanya menduduki tempat keempat (1':35.48) manakala pingat perak milik Hendro dari Indonesia (1':33.23s) diikuti pingat gangsa melalui pejalan kaki dari Vietnam, Nguyen Thanh Ngung (1':35.48s). Menurut Choon Sieng, dia terlalu gembira sehingga menjerit dan menangis sebaik melintasi garisan penamat ekoran ini emas pertamanya dalam penampilan kedua di Sukan SEA. "Dua tahun lepas saya mengambil bahagian pada Sukan SEA Laos, namun langkah saya dibatalkan. Kali ini saya berjaya menebus kekecewaan tersebut selepas pada masa yang sama memang saya mensasarkan untuk memenangi emas," katanya kepada para pemberita, semalam. Atlet berusia 25 tahun kelahiran Melaka itu merupakan penyumbang emas ketiga negara selepas Nur Suryani Taibi (menembak) dan Tan Song Hwa (baling tukul besi) berbuat demikian. Kata Choon Sieng, selepas gagal di Laos, dia pulang dengan berlatih bersungguh-sungguh dan akhirnya pengorbanan tersebut berbaloi untuk memastikan penguasaan Malaysia dalam acara tersebut. "Saya berasa sedikit kecewa kerana gagal memperbaharui rekod kebangsaan, namun perkara paling penting ialah saya dapat meraih pingat emas, pingat ini adalah untuk diri saya sendiri," katanya yang turut berterima kasih kepada abangnya, Lo Choon Lai di atas sokongan yang diberikan selama ini. Sementara itu dalam acara wanita, atlet veteran negara, Yuan Yu Fang gagal mempamerkan aksi terbaik selepas menduduki tempat keempat manakala seorang lagi pelari negara, Nurliana Mohd. Rusni di tempat terakhir daripada tujuh atlet yang bertanding. – Utusan |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Sukan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan