Utusan Online - Selatan |
- Apa lagi yang ditunggu MBMB?
- IJM Land anjur karnival penduduk Seremban 2
- Harga sayuran mula meningkat
Posted: Apa lagi yang ditunggu MBMB?Oleh RIZANIZAM ABDUL HAMID Pemandangan sebuah gerai makanan dan minuman yang meletakkan kerusi dan meja di kaki-kaki lima menjadi perkara biasa di sekitar Melaka Raya. MELAKA 9 Nov. - Aduan telah banyak kali dibuat, keluhan pengguna pun sudah muak disiarkan, tetapi situasinya tetap sama. Soalnya, mengapa tindakan tidak diambil oleh pihak berwajib walaupun kesalahan yang dilakukan, ibarat sudah terang lagi bersuluh. Pemandangan kerusi dan meja yang dipasang 24 jam di kaki-kaki lima seperti sudah menjadi perkara biasa sejak bertahun-tahun lalu di sekitar Melaka Raya, terutamanya Jalan Melaka Raya 4. Yang peliknya, pihak berkuasa tempatan (PBT), Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) sudah mengakui, tindakan itu memang menjadi satu kesalahan. "Kita memang tidak mengeluarkan lesen untuk membolehkan peniaga meletakkan apa-apa halangan seperti kerusi dan meja makan di kawasan kaki lima premis. Ia memang menjadi satu kesalahan. Itu penjelasan ringkas yang diberikan Setiausaha MBMB, Azmi Hussein apabila masalah yang bukan baru itu diadukan wartawan Utusan Malaysia kepadanya baru-baru ini. Azmi lantas terus menghubungi anggota penguatkuasanya bagi memeriksa aduan tersebut. Sebelum ini pun, berpuluh-puluh cerita mengenai halangan yang dilakukan pemilik-pemilik restoran ini dengan meletakkan meja dan bangku di laluan pejalan kaki disiarkan media. Tidak cukup dengan siaran di akhbar, kisah sama ini diadukan pula secara terus kepada pegawai yang berkenaan. Namun, apa yang dikesalkan, sehingga kini, tiada sebarang tindakan diambil terhadap peniaga terbabit. Agak lucu pula, apabila tiga atau empat buah motosikal yang diletakkan di kaki lima yang langsung tidak menghalang lalu lintas pula yang dikompaun. Sedangkan pada masa sama, pengusaha restoran yang melakukan kesalahan itu terus bermaharajalela. Pejalan kaki pula, yang sepatutnya mempunyai hak menggunakan kaki lima premis itu terpaksa berkongsi laluan dengan pengguna jalan raya sekali gus terdedah kepada kemalangan sekiranya dilanggar kereta ataupun motosikal. Selain terdedah kepada cuaca panas atau hujan, lebih malang, pejalan kaki juga berisiko menjadi mangsa ragut. Daripada aspek kebersihan pula, golongan peniaga juga didapati mengotorkan kawasan luar premis kedai dengan air basuhan pinggan mangkuk atau barangan perniagaan mereka. Keadaan ini juga mencacatkan pemandangan indah bandar Melaka kerana ia secara tidak langsung mewujudkan ketidakseragaman premis perniagaan apabila bunting, bumbung dan payung dipasang sesuka hati. Mungkin pihak berkuasa telah mengambil tindakan, tetapi sampai bilakah jawapan 'terdapat peniaga yang masih berdegil walaupun telah beberapa kali dikompaun' perlu diberikan? Atau 'akan mengambil tindakan lebih tegas dengan merampas barangan peniaga yang masih berdegil', tetapi hakikatnya, peniaga terus beroperasi siang dan malam tanpa rasa takut. Justeru, adalah diharap agar Datuk Bandar MBMB sendiri turun padang melihat situasi sebenar dan melihat sendiri kerakusan para peniaga merampas laluan pejalan kaki demi keuntungan mereka. Full content generated by Get Full RSS. |
IJM Land anjur karnival penduduk Seremban 2 Posted: IJM Land anjur karnival penduduk Seremban 2Susan Teh (dua dari kiri) Nasir Marob, (empat dari kiri) menunjukkan hadiah yang menanti pengunjung di Seremban 2, kelmarin. SEREMBAN 9 Nov. - Pelbagai acara menarik menanti pengunjung karnival tahunan khusus untuk lebih 15,000 penduduk perbandaran Seremban 2 (S2), di sini yang akan diadakan pada Ahad ini. Pada tahun ini, karnival itu dikenali sebagai Candyland Naturally Sweet 2011 anjuran pemaju perbandaran itu, IJM Land Bhd., (IJM Land) yang bermula pada pukul 9 pagi hingga 5 petang di pejabat tapak S2. Pengurus Jualan dan Pemasaran IJM Land S2, Susan Teh berkata, karnival yang diadakan setiap tahun itu sudah 15 kali diadakan sejak kawasan perumahan itu dimajukan pada 1995. Beliau berkata, karnival itu dianjurkan untuk menghargai penduduk Seremban 2 yang telah menjayakan pembangunan projek perbandaran berkenaan. "Pelbagai acara menarik telah dirancang pada tahun ini seperti persembahan tarian, kempen hijau, pertandingan pakaian beragam kanak-kanak dan bola keranjang jalanan," katanya pada sidang akhbar di sini semalam. Turut hadir Timbalan Pengurus Perniagaan Wilayah Selatan, Malaysia Building Society Bhd., (MBSB), Nasir Marob. Beliau berkata, tahun ini, hadiah untuk pertandingan pakaian beragam kanak-kanak yang bernilai antara RM20 hingga RM350 ditaja oleh MBSB. Katanya, selain penajaan hadiah, MBSB juga akan menawarkan diskaun menarik kepada para pengunjung untuk produk-produk pembiayaan kewangan tertentu. Menurutnya, tarikan lain karnival itu ialah Zorb Ball, Mini ATV, seni pasir dan gerai mainan selain cabutan bertuah untuk mereka yang menerima kad jemputan. "Kami berharap orang ramai khususnya penduduk Seremban 2 akan hadir untuk memeriahkan karnival ini," ujarnya. Full content generated by Get Full RSS. |
Posted: Harga sayuran mula meningkatOleh MOHAMMAD YASIR JAAFAR SEREMBAN 9 Nov. - Harga sayur-sayuran di sekitar negeri ini didapati meningkat ekoran beberapa negara yang menjadi pengeksport utama bahan makanan itu dilanda krisis banjir. Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, meskipun bekalan bahan makanan itu masih mencukupi, harga jualannya didapati meningkat berbanding sebelum ini. ''Keadaan itu berlaku kerana kita terlalu bergantung dengan sumber eksport bahan berkenaan. Apabila terjadinya banjir seperti di Thailand dan hujan lebat di Laos dan Kemboja, ia akan memberi kesan terhadap pengguna di sini. ''Secara tidak langsung senario itu mempengaruhi aspek pengeluaran sayur-sayuran dan bekalannya pula akan berkurangan sekali gus menaikkan harga sayur di pasaran," katanya pada sidang akhbar di Wisma Negeri di sini hari ini. Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas harga sayur-sayuran yang melonjak di pasaran tempatan ketika ini. Jelas Mohamad, masalah tersebut mampu dielakkan jika negara atau sesebuah negeri itu dapat menghasilkan sumber makanan sendiri sekali gus mengatasi kebergantungan terhadap bekalan import. ''Sebab itu, kerajaan negeri telah menetapkan dasar untuk mewujudkan Ladang Rakyat yang akan membolehkan kita menghasilkan sumber makanan sendiri demi memenuhi permintaan rakyat di negeri ini. ''Kita bukan sahaja boleh berdikari, malah mampu memenuhi permintaan orang ramai serta menawarkan barangan makanan pada kadar yang murah dan berpatutan," ujarnya. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Selatan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan