Rabu, 9 November 2011

Utusan Online - Pahang


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Pahang


Nasib golongan asnaf terbela

Posted:

Nasib golongan asnaf terbela

Nasib golongan asnaf terbela

Oleh MOHD.FAIRUZ YUSOF
utusanktn@gmail.com


Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah (tengah) diiringi Tunku Azizah Aminah bersalaman dengan sebahagian kakitangan dan penghuni ketika melawat Kompleks Asnaf MUIP di Kampung Pahang, Kuantan, baru-baru ini.


KUANTAN 9 Nov. – Setiap hari kisah golongan miskin, ibu tunggal, remaja bermasalah dan mualaf sering dipaparkan di media cetak dan elektronik sehingga menarik perhatian masyarakat untuk membantu mereka.

Kadangkala kehidupan golongan itu cukup teruji sehinggakan tiada tempat untuk mengadu bagi menyelesaikan masalah yang membelenggu mereka.

Cabaran kehidupan yang semakin kompleks membuat mereka sukar menempuhinya sehingga sudah putus asa untuk meneruskan hidup.

Maka satu pusat khusus perlu disediakan supaya golongan terbabit tidak terpinggir dan menjalani kehidupan dengan sempurna.

Menyedari perkara itu, Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) mengambil inisiatif menubuhkan Kompleks Asnaf pertama di negeri ini.

Kompleks yang terletak di tapak tanah wakaf seluas 1.72 hektar di Kampung Pahang, Mukim Penor di sini dibangunkan pada 2008 dan siap sepenuhnya Oktober tahun lalu.

Menelan belanja sebanyak RM3.5 juta, pembinaan kompleks itu bertujuan menempatkan golongan asnaf secara tetap atau sementara khususnya bagi mereka yang tidak mempunyai tempat tinggal, tidak berkemampuan, mualaf serta orang ditimpa bencana.

Pusat yang menyediakan kemudahan lengkap termasuk makan dan minum akan menyediakan bimbingan kerohanian serta melaksanakan ibadah dengan sempurna.

Kemudahan yang disediakan di kompleks tersebut adalah 10 unit rumah berkembar mengandungi 20 bilik dan dua blok teres dengan 10 bilik.

Dilengkapi perabot dan tempat tinggal selesa, golongan terbabit tidak perlu bersusah payah mencari peralatan lain kerana MUIP menyediakan prasarana lengkap di kompleks itu.

Kemudahan surau dan dewan makan juga disediakan selain terdapat sebidang tanah di belakang kompleks tersebut bagi membolehkan golongan itu melakukan aktiviti pertanian secara kecil-kecilan.

Yang Dipertua MUIP, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah ketika mencemar duli melawat kompleks tersebut bulan lalu bertitah, pembinaan kompleks seumpama itu wajar diperluaskan ke daerah lain bagi membolehkan golongan yang memerlukan dibantu dengan lebih berkesan.

Baginda bertitah, kompleks itu bukan sekadar menjadi tempat perlindungan sebaliknya berperanan membentuk penghuninya untuk berdikari.

"Saya tidak mahu kompleks ini sekadar tempat perlindungan untuk warga emas, sebaliknya mendidik remaja dan mualaf untuk lebih mengenal diri masing-masing.

"Pada satu tempoh, mereka akan berdikari dan membina kehidupan sendiri," titah baginda.

Dalam pada itu, Timbalan Yang Dipertua Muip, Datuk Seri Wan Abdul Wahid Wan Hassan berkata, selain menempatkan golongan tersebut, ia juga berfungsi memberi bimbingan al-Quran serta memantapkan akidah Islam dengan amalan cara hidup sebenar.

Katanya, ia juga menyediakan kelas pengajian agama Islam serta rawatan perubatan kepada penghuni yang mengalami masalah kesihatan.

"Secara tidak langsung akan menanam dan memupuk semangat bekerja sebagai satu ibadah selain memberi perlindungan serta penjagaan yang sempurna dengan menjadikan Islam sebagai cara hidup," katanya.

Full content generated by Get Full RSS.

Penghuni syukur tinggal di Kompleks Asnaf

Posted:

Penghuni syukur tinggal di Kompleks Asnaf

Penghuni syukur tinggal di Kompleks Asnaf


Penghuni di Kompleks Asnaf MUIP, Mohd. Arif A. Hamid mengisi masa lapang membaca al-Quran.


KUANTAN 9 Nov. – Kalangan penghuni Kompleks Asnaf di Kampung Pahang di sini bersyukur kerana berpeluang tinggal di kawasan yang mampu menjamin kehidupan lebih sempurna seperti insan lain.

Mereka menyifatkan pembinaan kompleks itu tepat pada masanya kerana ia memberi ruang dan peluang kepada golongan itu berdikari dan mempelajari ilmu agama dengan sempurna.

Seorang penghuni Mohd. Arif A. Hamid, 70, berkata, dia bersyukur kerana terpilih untuk tinggal di kompleks itu kerana dapat mendalami ilmu agama selain membantu penghuni lain hidup berdikari.

Menurutnya, sebelum ini dia lebih selesa tinggal di sebuah surau di kampungnya di Lipis kerana tidak mahu ketinggalan dalam mengikuti pengajian agama.

"Anak-anak tidak membenarkan saya tinggal di sini, tetapi saya memberitahu mereka bahawa saya ingin berbakti dan mempelajari ilmu agama di kompleks ini," katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

Katanya, kemudahan yang terdapat di sini lengkap terutama tempat tinggal berdekatan dengan surau membolehkan penghuni lain menjalani ibadah dengan lancar.

Selain itu tambahnya, keadaan mereka juga dipantau berikutan terdapat doktor dan jururawat yang sentiasa prihatin dengan tahap kesihatan penghuni.

Seorang lagi penghuni, Ahmad Wok, 60, memberitahu, dia lebih tenteram dan gembira kerana segala-galanya disediakan di kompleks tersebut.

Katanya, pelbagai aktiviti seperti bercucuk tanam dan mengikuti pengajian agama dapat dilakukan tanpa sebarang masalah.

"Alhamdulillah, kehidupan saya lebih tenteram dan kerana banyak perkara bermanfaat diperoleh di sini," katanya.

Jumah Tongak, 75, kagum sifat tolong-menolong yang ditunjukkan oleh semua penghuni.

''Kami sering berkongsi masalah dan ini berjaya mengurangkan tekanan hidup kerana ada pihak yang sudi mendengar dan prihatin dengan nasib kami,'' katanya.

Full content generated by Get Full RSS.

Hasrat penduduk miskin tercapai

Posted:

Hasrat penduduk miskin tercapai

Hasrat penduduk miskin tercapai

Oleh HARIS FADILAH AHMAD
utusanktn@gmail.com


S. K. Devamany (kanan) bergotong-royong bersama penduduk membina rumah Rosli Shariff di Kampung Melayu Brinchang, Cameron Highlands, baru-baru ini.


CAMERON HIGHLANDS 9 Nov. – Hasrat seorang penduduk miskin, Rosli Shariff, 35, untuk memiliki kediaman sendiri akhirnya tercapai apabila pejabat Ahli Parlimen Cameron Highlands menyumbangkan sebanyak RM3,000 bagi membina sebuah rumah berkenaan di Kampung Melayu Brinchang di sini.

Bantuan membeli peralatan pembinaan rumah itu disampaikan oleh Ahli Parlimen Cameron Highlands, Datuk S. K. Devamany di Kampung Melayu, Brinchang di sini baru-baru ini.

Devamany bersama ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Melayu Brinchang turut bergotong royong membina kediaman keluarga miskin berkenaan.

Turut serta menyertai gotong-royong tersebut ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanah Rata, Ho Yip Kap.

Menurut Devamany, pihaknya terpanggil membantu keluarga berkenaan apabila dimaklumkan oleh JKKK Melayu Brinchang mengenai penderitaan Rosli yang bekerja sebagai buruh di kebun sayur tanpa mempunyai kediaman tetap.

''Bantuan segera dihulurkan bagi membeli peralatan pembinaan dan meminta ahli JKKK di sini bergotong-royong membina kediaman Rosli.

''Ia membuktikan keprihatinan kerajaan negeri berasaskan manifestasi menjaga kebajikan rakyat menerusi agihan bantuan yang sama rata," katanya kepada pemberita di sini.

Devamany yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri berkata, pihaknya juga berjaya mendapatkan bantuan bulanan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM450 untuk kebajikan empat orang anak keluarga miskin berkenaan.

Sementara itu, Rosli mengucapkan terima kasih kepada pihak terbabit kerana prihatin dan menyifatkan kehidupannya kembali ceria setelah memperoleh kediaman tetap.

''Selama ini saya menyewa sebuah pondok uzur kerana tidak mampu lagi membayar sewa rumah, upah harian cuma RM25 yang diperoleh hasil bekerja mengangkat kotak sayur-sayuran," katanya.

Full content generated by Get Full RSS.
Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved