Utusan Online - Keluarga |
Posted: Lima hilang dalam sehariOleh NOOR FAZRINA KAMAL Kejadian anak hilang di pusat membeli-belah kerap berlaku disebabkan ibu bapa leka memilih barangan. - Gambar hiasan "SAYA sanggup beri apa saja hatta nyawa saya sekali pun untuk mendapatkan kembali anak saya yang hilang." Tragedi yang berlaku kira-kira enam tahun lalu menjadi memori yang pasti tidak akan dilupakan sepanjang hayat Zarina Yusof, 37, apabila anak ketiganya, Farhan Ikmal, yang ketika itu berusia tiga tahun hilang dari pandangannya. "Bayangkan ketika itu kami berkunjung ke sebuah ekspo antarabangsa di Serdang. Jumlah pengunjungnya memang amat ramai, tempatnya pula terbuka dan Farhan hilang ketika kami sekeluarga sedang bersiar-siar melihat pelbagai jualan pada hari itu," cerita Zarina mengimbas memori yang disifatkan paling mengerikan pernah berlaku pada dirinya. Ketika itu mereka sekeluarga ralit melihat pameran yang diadakan di ruang pameran dan tiba-tiba Farhan hilang daripada pegangan. "Umur Farhan baru tiga tahun, dia merupakan anak keempat daripada enam beradik. Lemah lutut saya, mati akal tak tahu macam mana hendak mencarinya memandangkan ekspo itu terlalu besar. "Waktu itu rasanya seperti mahu tercabut nyawa kerana teramat bimbang tidak bertemu dengan anak saya lagi," jelas Zarina yang masih lagi trauma apabila mengimbas kejadian tersebut. Dalam keadaan cemas, bantuan pengawal keselamatan diminta serentak dengan pengumuman melalui sistem pembesar suara. Lebih tiga jam usaha tersebut diteruskan namun Farhan masih gagal ditemui. "Memang saya amat panik, namun Alhamdulillah akhirnya Farhan ditemui seorang pengawal keselamatan yang terus membawanya ke khemah urus setia. "Menurut pengawal tersebut, Farhan terpinga-pinga pada satu pameran binatang. Peliknya dia tidak menangis, cuma ketakutan kerana tiada ahli keluarga bersamanya. Apa pun saya amat bersyukur dan mengambil iktibar atas kejadian tersebut," jelas Zarina lagi. Pasti ramai yang mempunyai kisah tersendiri tentang anak hilang. Tidak kiralah hilang seminit atau beberapa jam, impak paniknya tetap sama terutama bagi ibu bapa yang menghadapinya. Nama kanak-kanak hilang yang dipaparkan di media seperti Nurin Jazlin, Sharlinie, Lee Xin Rue, Adam Shah dan ramai lagi adalah antara kisah sedih yang kalau boleh tidak mahu lagi kita dengar dan baca. Memang sedih kehilangan cahaya mata namun apakah iktibar yang boleh diambil dari kisah segelintir kanak-kanak ini. Ini hanya satu kisah di sebalik beribu-ribu kisah kanak-kanak hilang di negara ini. Cuai! mungkin perkataan paling mudah dituding pada ibu bapa yang kehilangan anak di pusat membeli belah. Namun hakikatnya sebagai manusia biasa, insiden sedemikian memang kadang kala sukar dielak. Dalam keadaan orang terlalu ramai dan membawa anak ramai pula, ibu bapa boleh terlepas pandang, biar pun antara suami dan isteri itu saling memerhatikan pergerakan anak mereka. Tinjauan MEGA ke sebuah pusat beli-belah terkemuka di Kuala Lumpur, baru-baru ini, seorang pegawai khidmat pelanggan yang hanya ingin dikenali sebagai Suhana Shahril, berkata dalam sehari sekurang-kurangnya lima kali pengumuman mengenai kes kehilangan anak ketika membeli-belah dibuat, khususnya di hujung minggu. Katanya, antara sebab bukan saja ibu bapa leka malah kerana anak juga ralit melihat barangan menarik terutama di bahagian mainan hingga tidak sedar ibu bapa sudah bergerak jauh. "Selalunya kami mempunyai pengawal keselamatan yang akan meronda. Kalau kami dapati anak kecil berkeliaran sendirian, menangis dan sebagainya, kami bawa mereka ke bahagian khidmat pelanggan untuk membuat pengumuman," jelas Suhana lagi. Kejadian kanak-kanak hilang ketika bersama ibu bapa membeli-belah, kes terpencil tetapi perlu diambil serius. Beberapa tahun lalu, kita pernah digemparkan dengan kehilangan Muhammad Nazrin Shamsul Ghazali atau Yin, (ketika itu berusia lima tahun) yang hilang ketika ibu bapanya membeli-belah di Kompleks membeli belah Sogo. Yin hilang ketika bapanya mencuba pakaian di bilik persalinan dan ibu pula mengawasi adiknya. Yin dijumpai selepas dua minggu dan sepanjang kehilangannya itu, dia dipelihara keluarga pasangan Myanmar. Akhbar tempatan juga pernah melaporkan bahawa secara purata 3.5 kes kanak-kanak hilang dilaporkan sehari pada tahun 2008 dan hampir 80 peratus kes tersebut membabitkan kanak-kanak perempuan. Untuk tahun 2011 pula purata itu meningkat kepada empat kanak-kanak hilang sehari. Angka ini sudah tentu bukan sedikit kerana ia melibatkan satu kehilangan nyawa yang bukannya boleh ditukar ganti. Memang mana-mana ibu bapa pun pasti tidak mahu anak mereka tergolong dalam statistik tersebut. Justeru apakah yang boleh diambil sebagai usaha untuk mengelakkan kejadian seperti itu. Salah satunya ialah dengan memanfaatkan kecanggihan teknologi maklumat dan globalisasi. Full content generated by Get Full RSS. |
Posted: Zhu Chi juara mengejaOleh ZUHAYATI YAZID Wong Zhu Chi (tengah), Yashin a/l Anil Kumar (kanan) dan Audrie Au Yue Min bersama trofi kemenangan masing-masing. Siapa sangka dengan hanya mengeja secara tepat perkataan 'Edifice' membawa kejayaan kepada murid tahun lima Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Bukit Beruang, Melaka, Wong Zhu Chi, 11, yang dinobatkan Sebagai Juara Mengeja Kebangsaan 2011, baru-baru ini. Pada pertandingan anjuran bersama majalah Knowledge Discovery dan Kementerian Pelajaran Malaysia bersama Champs, Zhu Chi menewaskan 48 peserta lain dari seluruh negara. Manakala tempat kedua dan ketiga pula menjadi milik dua peserta dari Kuala Lumpur iaitu Yashin Kumar a/l Anil Kumar dari Sekolah Kebangsaan Bukit Bandaraya dan Audrie Au Yue Min dari SJKC Taman Connaught. Hadir merasmikan majlis yang berlangsung di SJKC Kuen Cheng 2, Kuala Lumpur, tersebut ialah Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr. Wee Kah Siong. Ketika ditemui, Zhu Chi memberitahu, dia tidak menyangka dirinya terpilih dan dinobatkan sebagai pemenang. "Melihat peserta-peserta lain yang hebat-hebat membuatkan saya tidak yakin dengan diri sendiri,'' ujarnya. Kata anak sulung daripada empat beradik ini, mengakui hampir putus asa apabila juri memberikan perkataan tersebut. "Memang di pentas tadi saya kecewa kerana tidak yakin dengan jawapan yang diberikan, lagipun perkataan yang diberikan tidak diketahui maksudnya,'' ujarnya. Bagaimanapun, terangnya dia cuba meyakinkan juri dengan jawapan yang diberi dan terbukti ejaan yang diberi betul. Kejayaan tersebut telah melayakkan Zhu Chi membawa pulang sebuah trofi kejohanan, sijil, Geran Pendidikan Knowledge Discovery bernilai RM1,000, pakej percutian, hamper Champs, telefon bimbit, kamera digital, set alat tulis serta langganan majalah Knowledge Discovery selama dua tahun. Ditanya persediaan untuk menghadapi pertandingan, Zhu Chi memberitahu, dia hanya mengambil masa seminggu untuk menghafal perkataan-perkataan yang susah untuk dihafal. "Dalam tempoh seminggu sebelum ini, saya banyak menghabiskan masa bersama kamus untuk menghafal dan mencari perkataan yang sukar,'' ujarnya yang suka membaca buku cerita dan bermain piano. Malah setiap hari selepas pulang dari sekolah, kamus dan buku cerita adalah peneman setianya dan setiap hari dia akan memastikan untuk menghafal 100 perkataan yang susah . "Setiap hari saya akan pasti antara lima atau tujuh buku dihabiskan untuk dibaca, keadaan ini penting bagi memastikan saya banyak mengetahui perkataan-perkataan penting,'' ujarnya tenang. "Biasanya setiap bulan ibu akan membelikan buku-buku baru kepada saya untuk di baca,'' ujarnya yang berminat untuk menjadi chef terkenal suatu hari nanti. Sementara itu, Ka Siong dalam ucapannya memberitahu, pertandingan tersebut memberi motivasi kepada murid untuk meningkatkan kemahiran bahasa Inggeris mereka dengan belajar untuk mengeja dengan betul. "Pertandingan ini sejajar dengan matlamat KPM untuk meningkatkan standard bahasa Inggeris di kalangan murid di negara kita," katanya. katanya lagi, program tersebut boleh menggalakkan kanak-kanak untuk meningkatkan penguasaan perbendaharaan kata dan kefahaman, mengeja juga boleh menanam minat membaca sejak kecil. "Penganjuran pertandingan mengeja ini menjadi penggalak bagi murid untuk meningkatkan keupayaan mengeja dan membaiki kefasihan bahasa Inggeris mereka dalam usaha untuk melahirkan generasi muda yang minat membaca," katanya. Penguasaan bahasa Inggeris amat penting pada masa kini kerana ia merupakan elemen utama untuk anak-anak kita mengembangkan pengetahuan mereka di peringkat global. Sementara itu, Pengarah Bahagian CCM Pharmaceuticals, Leonard Ariff Abdul Shatar berkata, pertandingan tersebut menawarkan saluran terbaik kepada murid-murid bagi menguji kemahiran mengeja dan membaiki penguasaan bahasa Inggeris selain memperkuatkan keyakinan diri dalam menghadapai persaingan. "Peserta perlu mempunyai ketekunan, disiplin dan juga keyakinan untuk naik ke pentas berdepan dengan penonton dan pesaing lain. "Menerusi cabaran ini, kami berharap untuk menerapkan nilai dan tabiat yang baik di kalangan murid dan meningkatkan keupayaan pembelajaran mereka sambil memberi permulaan yang baik dalam segala usaha mereka pada masa hadapan," katanya. Full content generated by Get Full RSS. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Keluarga To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan