Rabu, 9 November 2011

Utusan Online - Kota


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Kota


Mengundang malapetaka

Posted:

Mengundang malapetaka

Mengundang malapetaka

Oleh ROSLAH OTHMAN
kota@utusan.com.my


Kerja-kerja menarah bukit berhampiran Taman Kobena di Pudu Hulu, Kuala Lumpur dibimbangi penduduk sekitar akan mendatangkan bencana jika tidak dipantau rapi oleh pihak berkuasa. - UTUSAN/HAYAT SUEET


KUALA LUMPUR 9 Nov. - Penduduk berhampiran Taman Kobena dan Taman Pertama di Cheras bimbang malapetaka akan berlaku di kawasan itu jika aktiviti menarah bukit berhampiran kawasan itu tidak dihentikan atau dipantau rapi.

Aktiviti menarah bukit yang giat dijalankan sejak sebulan lalu itu turut mencetuskan kebimbangan di kalangan penghuni Projek Perumahan Rakyat (PPR) Pudu Ulu, Taman Cantik dan Kampung Bukit Tangki Air.

Aktiviti yang dikatakan dijalankan setiap hari itu turut menimbulkan tanda tanya di kalangan penduduk sama ada ia menepati peraturan dan mendapat kelulusan pihak berkuasa.

"Sekiranya pihak berkuasa telah memberi kelulusan, kami mahukan kerja-kerja di situ dipantau sepanjang masa bagi mengelakkan kejadian tanah runtuh, lebih-lebih lagi dalam keadaan cuaca yang tidak menentu ketika ini," kata mereka.

Berdasarkan kepada papan tanda yang dipasang berhampiran kawasan itu, projek kondominium mewah akan dilaksanakan di situ, tetapi tidak dapat dipastikan sama ada ia ada kaitan dengan aktiviti penarahan bukit itu.

Setiausaha Persatuan Kebajikan PPR Pudu Ulu, Rosli Sopah berkata, walaupun kedudukan bukit ditarah agak jauh dari perumahan mereka tetapi kesannya sudah mula dirasakan.

Katanya, setiap kali hujan, air dari puncak bukit itu mengalir turun ke kaki bukit menyebabkan kawasan perumahan itu akan dilanda banjir lumpur.

Seorang penghuni di Pangsapuri Pudu Impian yang hanya mahu dikenali sebagai Imah berkata, aktiviti menarah bukit itu boleh dilihat dengan jelas pada setiap hari dari rumahnya di tingkat 17.

Katanya, risiko untuk berlaku tanah runtuh memang tinggi kerana bahagian bukit yang terdedah semakin luas.

"Pihak berkuasa perlu meneliti perkara itu dari semua aspek jika tidak mahu kejadian tanah runtuh yang berlaku sebelum ini di Hulu Langat berulang," katanya.

Full content generated by Get Full RSS.

Kerajaan, UDA berbincang

Posted:

Kerajaan, UDA berbincang

Kerajaan, UDA berbincang

Oleh MOHD. HAFIZ ABD. MUTALIB
kota@utusan.com.my


Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin (tengah) melapah lembu sambil dibantu oleh Khirudin Draman pada Majlis Korban Jabatan Bomba dan Penyelamat Wilayah Persekutuan di Balai Bomba Pantai, semalam.


KUALA LUMPUR 9 Nov. - Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar kini dalam proses perbincangan dengan UDA Holdings bagi menyelesaikan isu kerugian yang ditanggung oleh para peniaga di Pudu Sentral.

Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin berkata, melalui perbincangan tersebut, pihaknya akan berusaha mencari jalan penyelesaian terbaik untuk kedua-dua pihak.

Katanya, beliau faham peniaga kini berada dalam keadaan yang sangat tertekan ekoran peniagaan mereka yang hambar serta terpaksa menampung kadar sewa yang tinggi.

Namun, ujarnya, UDA yang bertanggungjawab menguruskan terminal tersebut turut mempunyai alasan tersendiri.

Ini, katanya, termasuk perlu menampung kos yang tinggi terhadap penyenggaraan kemudahan awam dan infrastruktur di kawasan terminal yang serba moden dan indah itu.

"Pihak saya sebagai orang tengah akan memainkan peranan dalam usaha mencari jalan menyelesaikan masalah yang membelenggu peniaga di situ.

"Namun segala keputusan tetap bergantung kepada pihak pengurusan yang bertanggungjawab menguruskan terminal tersebut," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Korban Jabatan Bomba dan Penyelamat Wilayah Persekutuan di Balai Bomba dan Penyelamat Pantai di sini hari ini.

Beliau mengulas laporan Utusan Malaysia hari ini mengenai rungutan para peniaga di Pudu Sentral yang mungkin gulung tikar berikutan tidak mampu menanggung sewa akibat ketiadaan pelanggan.

Tambah Raja Nong Chik, usaha untuk menukar lokasi perniagaan mungkin sukar dilakukan, namun pihak UDA mungkin boleh membuat pengubahsuaian demi kepentingan peniaga dan mereka sendiri.

Sementara itu, majlis korban yang turut dihadiri oleh Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Khirudin Draman itu menyaksikan sebanyak empat ekor lembu telah dikorbankan dan dagingnya diagih-agihkan kepada anggota bomba balai tersebut dan fakir miskin serta masjid di sekitar Lembah Pantai.

Full content generated by Get Full RSS.

Karnival Warisan Makanan hujung minggu ini

Posted:

Karnival Warisan Makanan hujung minggu ini

Karnival Warisan Makanan hujung minggu ini


Mithlan Samijoo (dua dari kiri) menerangkan mengenai program Karnival Warisan Makanan Penjaja 1Malaysia 2011 di Kuala Lumpur, semalam.


KUALA LUMPUR 9 Nov. - Sebanyak 50,000 orang dijangka mengunjungi Karnival Warisan Makanan Penjaja 1Malaysia 2011 yang akan berlangsung pada Jumaat hingga Ahad ini di perkarangan Masjid India di sini.

Karnival sempena sambutan Bulan Penjaja itu adalah anjuran Persatuan Penjaja dan Pekedai Bumiputera Wilayah Persekutuan (PPPBWP) dengan kerjasama Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar serta Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Yang Dipertua PPPBWP, Mithlan Samijo berkata, karnival yang pertama kali diadakan itu adalah satu usaha untuk memartabatkan makanan warisan yang terdapat di Malaysia.

"Sebanyak 150 gerai melibatkan penjaja dari seluruh negara akan menyertai karnival selama tiga hari ini yang bermula dari pukul 7 pagi hingga 12 tengah malam," katanya di sini hari ini.

Mithlan berkata, Masjid India dipilih sebagai lokasi karnival itu kerana ia adalah kawasan tumpuan peniaga dan orang ramai serta sudah terkenal di seluruh negara.

"Pengunjung akan dapat mengembalikan nostalgia kemeriahan penjaja berniaga sebelum wujudnya sistem kedai seperti yang ada pada hari ini, selain dapat menyaksikan demonstrasi penyediaan beberapa makanan warisan," katanya.

Karnival tersebut akan dirasmikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Sepanjang karnival itu, Jalan Masjid India dan Jalan Bunus akan ditutup dari pukul 9 pagi hingga 12 tengah malam.

Full content generated by Get Full RSS.
Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved