Utusan Online - Muka Hadapan |
- Empat maut, 5 parah dalam tragedi
- Mangsa cerita detik-detik cemas
- Guru kerja 9 jam mulai tahun 2012?
Empat maut, 5 parah dalam tragedi Posted: Empat maut, 5 parah dalam tragediOleh AMIZUL TUNIZAR AHMAD TERMIZI SLIM RIVER 11 Nov. – Empat maut manakala 36 lagi cedera termasuk lima parah dalam nahas ngeri yang menjadi tragedi menyayat hati apabila sebuah bas membawa 39 penumpang terbalik sebelum dirempuh sebuah treler di Kilometer 382.1 Lebuh Raya Utara-Selatan, dekat Behrang, Perak hari ini. Dalam kemalangan pukul 4.20 pagi itu, bas berkenaan dipercayai hilang kawalan selepas melalui selekoh sederhana, beberapa meter dari tempat kejadian lalu terbalik di bahu jalan. Bagaimanapun, tidak lama selepas itu, sebuah treler yang sarat dengan muatan guni pasir merempuh bas berkenaan dari arah belakang ketika kebanyakan mangsa sedang merangkak keluar menyelamatkan diri. Nahas berlaku ketika bas tersebut dalam perjalanan membawa rombongan 36 pelajar dan tiga guru Sekolah Menengah Kebangsaan Air Merah, Kulim, Kedah untuk bercuti di Genting Highlands, kira-kira 87 kilometer dari tempat kejadian. Pemangku Ketua Polis Daerah Tanjung Malim, Supritendan Md. Tahir Kasim berkata, siasatan awal pihaknya mendapati, keempat-empat mangsa maut akibat dirempuh ketika cuba menyelamatkan pelajar yang tersepit selepas bas berkenaan terbalik. "Bas tersebut yang membawa rombongan 36 pelajar dan tiga guru serta seorang pemandu kedua, hilang kawalan lalu terbalik sebelum dirempuh oleh treler berkenaan. "Bagaimanapun, kita masih menyiasat punca sebenar kejadian," katanya, di sini hari ini. Beliau tidak menolak kemungkinan insiden itu berpunca akibat kecuaian. Mereka yang terbunuh ialah seorang guru, Siti Hajar Mohamad, 33, serta dua pelajarnya, Khairul Anwar Azhan dan Maysarra Zaidi, kedua-duanya berusia 15 tahun. Tragedi menyayat hati itu turut mengorbankan Ketua Wanita UMNO Cawangan Kampung Alor Teja, Basarah Saad yang kebetulan berhenti di tempat kejadian untuk membantu mengeluarkan pelajar yang tersepit sejurus bas tersebut terbalik. Difahamkan, Basarah, 45, sebelum itu dalam perjalanan bersama sebuah lagi bas persiaran membawa rombongan ahli Wanita UMNO Bahagian Alor Setar, Kedah ke program Titian Ilmu di Tanjung Karang, Selangor. Mayat Maysarra dijumpai pada pukul 10.45 pagi dalam timbunan pasir ketika pasukan penyelamat sedang mencari kaki seorang lagi mangsa yang terputus dalam nahas itu. Md. Tahir memberitahu, Siti Hajar meninggal dunia di Hospital Slim River, di sini, manakala tiga yang lain maut di tempat kejadian dan dua guru serta tiga pelajar yang parah dipindahkan ke Hospital Teluk Intan untuk rawatan lanjut. Menurutnya, kelima-lima mereka kini dilaporkan kritikal ekoran kecederaan serius termasuk patah anggota badan. Beliau berkata, pemandu bas yang berusia 25 tahun serta pemandu treler kini ditahan bagi membantu siasatan. "Kedua-dua kenderaan dibawa ke Balai Polis Slim River untuk siasatan dan kita minta saksi atau orang ramai yang menyaksikan kejadian supaya tampil memberi keterangan," ujarnya. Full content generated by Get Full RSS. |
Mangsa cerita detik-detik cemas Posted: Mangsa cerita detik-detik cemasSLIM RIVER 11 Nov. - Beberapa mangsa yang terselamat dalam kemalangan maut di Behrang awal pagi ini, menceritakan detik-detik cemas dan ngeri apabila sebuah treler muatan pasir merempuh bas persiaran mereka yang terbalik. Ketika kejadian, kebanyakan mangsa yang merupakan pelajar dan guru Sekolah Menengah Kebangsaan Air Merah, Kulim, Kedah sedang merangkak keluar dengan sebahagian besarnya mengalami kecederaan. Dalam suasana gelap dan riuh rendah, beberapa mangsa menjerit 'lari, lari' ketika melihat treler berkenaan menghampiri bas sebelum merempuh belakang kenderaan itu. Seorang mangsa, Mohd. Shah Redzuan Samsudin, 15, berkata, dia masih terbayang saat-saat pilu melihat rakan karibnya, Khairul Anwar Azhan maut akibat tersepit di belakang bas ekoran rempuhan treler berkenaan. "Khairul Anwar sedang membantu rakan-rakan lain keluar dari belakang bas sebelum rempuhan treler menyebabkan dia mati tersepit. Saya tidak sempat memintanya lari kerana kejadian berlaku terlalu pantas," katanya yang patah lengan kiri. Selain Khairul Anwar, turut terbunuh dalam kejadian itu ialah guru mereka, Siti Hajar Mohamad, 33, pelajar perempuan, Maysarra Zaidi, 15 dan Ketua Wanita UMNO Cawangan Kampung Alor Teja, Basarah Saad, 45, yang kebetulan berhenti di tempat kejadian. Seorang lagi mangsa terselamat, Farhana Nabilah Rosidi (gambar), 15, pula memberitahu, pada satu ketika dia sudah berjaya keluar dari bas itu tetapi tiba-tiba terpelanting dan mendapati badannya tertimbus dalam pasir yang bertaburan di lebuh raya. "Tidak lama kemudian, seorang anggota Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) tolong tarik saya keluar dari timbunan pasir itu," katanya ketika ditemui di Hospital Slim River di sini hari ini. Sementara itu, seorang anggota JPAM, Hisharizul Abdullah, 30, berkata, dia yang tiba di tempat kejadian pukul 4.45 pagi mendapati, semua penumpang bas terbaring di tepi lebuh raya dan ada yang tertimbus di dalam pasir. "Saya kemudian menarik keluar seorang budak perempuan yang tertimbus dalam pasir. Di hadapan budak itu, saya lihat ada seorang penumpang lagi yang terbaring dan saya mendapati dia sudah mati selepas memeriksa denyutan nadinya. Ketua Wanita UMNO Bahagian Alor Setar, Sharifah Maznah Syed Kassim Barakbah, 59, yang kebetulan singgah di tempat kejadian bersama Basarah memberitahu, dia sempat melihat pelajar-pelajar terbabit merangkak keluar sebelum bas itu dirempuh treler berkenaan. Katanya, ketika kejadian, dia dan rombongan UMNO bahagian tersebut dalam perjalanan ke Selangor sebelum berhenti memberi bantuan kerana kasihan melihat keadaan pelajar terbabit. "Selepas berjaya mengeluarkan dua pelajar dan cuba mengeluarkan mangsa ketiga, pemandu bas bertempiaran lari selepas melihat sebuah treler datang ke arah mereka dan merempuh bas itu. "Bimbang berlaku letupan, pemandu itu pergi ke bas dan meneruskan perjalanan sejauh kira-kira satu kilometer sebelum menyedari kehilangan Basarah," katanya. Katanya, pihaknya hanya mengetahui Basarah terbunuh selepas dimaklumkan oleh seorang pegawai polis trafik pagi ini. Full content generated by Get Full RSS. |
Guru kerja 9 jam mulai tahun 2012? Posted: Guru kerja 9 jam mulai tahun 2012?Oleh JAMLIAH ABDULLAH ALOR SETAR 11 Nov. - Kira-kira 5,000 guru dari hampir 104 buah sekolah di seluruh negara akan menjadi perintis kepada sistem waktu bekerja sembilan jam mulai Januari tahun depan, kata Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP). Presidennya, Hashim Adnan berkata, pihaknya difahamkan sistem waktu bekerja baharu itu akan dilaksanakan di empat buah negeri iaitu Pahang, Melaka, Johor dan Sarawak dengan tempoh percubaan selama enam bulan sebelum diperhalusi oleh Kementerian Pelajaran. Katanya, pihak NUTP bagaimanapun berpendapat waktu bekerja tersebut tidak sesuai diamalkan di sekolah. Jelas beliau, pihaknya menerima maklum balas daripada guru terlibat yang bimbang dan tertekan ekoran perubahan waktu kerja baharu itu. "NUTP berpendapat sistem bekerja sembilan jam seperti penjawat awam lain di pejabat tidak boleh diguna pakai dalam pendidikan sekolah. "Selain bertugas sebagai pendidik, guru juga dibebani dengan tugas perkeranian termasuk mengisi data dan sebagainya. Malah, ada masanya guru terpaksa bertugas Sabtu dan Ahad untuk aktiviti badan beruniform, sukan dan kelas tambahan," katanya pada sidang akhbar di sini malam tadi. Hadir sama, Setiausaha Agungnya, Lok Yim Pheng. Menjelaskan lebih lanjut, kata Hashim, tempoh percubaan waktu berkerja sembilan jam sehari di sekolah terpilih itu akan dilaksanakan dua sesi iaitu 7.30 pagi hingga 4.30 petang dan 1.30 petang hingga 6.30 petang selama enam bulan. "Kesatuan dimaklumkan bahawa para guru di sekolah terlibat sudah diberikan taklimat berhubung perkara ini. "Walaupun ia tempoh percubaan sebelum diperhalusi pelaksanaannya oleh Kementerian Pelajaran, ramai guru sudah merasa tertekan dan kita bimbang perkara ini akan menganggu tugas mereka di sekolah," katanya. Sehubungan itu, kata Hashim, NUTP menggesa kerajaan supaya mengkaji semula perkara tersebut. Full content generated by Get Full RSS. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Muka Hadapan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan