Utusan Online - Utara |
Tingkatkan khidmat kolej kediaman Posted: Tingkatkan khidmat kolej kediamanOleh ASMA HANIM MAHMOOD Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bersama para peserta majlis Wacana Ilmu sempena Program Bengkel Peningkatan Profesionalisme Pengetua dan Felo Kolej Kediaman 2011 anjuran Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di Hotel Rannaisance Kota Bharu, Kelantan, baru-baru ini. KOTA BHARU 25 Okt. - Institusi pengajian tinggi awam (IPTA) diminta meningkatkan tahap perkhidmatan di kolej-kolej kediaman pelajar kerana ia adalah salah satu 'sub-institusi' penting bagi melengkapkan sistem pendidikan di universiti selain bilik kuliah. Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Ibni Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail yang juga Canselor Universiti Malaysia Perlis (Unimap) bertitah, perkhidmatan di kolej kediaman perlu bersifat "mesra pelajar" kerana ia berperanan sebagai pusat pembangunan sahsiah sama ada dari sudut akademik, intelek dan keperibadian pelajar. Baginda bertitah, kemudahan asas yang kondusif perlu diambil perhatian dalam usaha memberi keselesaaan kepada para pelajar dan secara langsung membantu mereka dari sudut mental dan fizikal. "Saya menyeru supaya aspek perkhidmatan yang ditawarkan kepada pelajar dipertingkatkan dari semasa ke semasa, agar pengetua dan felo kolej dilihat sebagai satu entiti yang dinamik dan peka kepada perubahan sekeliling. "Perkhidmatan terbaik dan berbentuk mesra pelajar perlu diberikan kepada setiap penghuni kolej kediaman. Masyarakat pada masa kini mengharapkan institusi pengajian tinggi menghasilkan graduan atau pemimpin yang berkaliber, rasional, sihat, bertenaga serta bersemangat tinggi. "Justeru itu, saya berharap agar bengkel yang dianjurkan ini dapat memberikan pendedahan di samping menambah kemahiran kepada pengetua dan felo kolej agar dapat memberi perkhidmatan terbaik kepada pelajar yang mendiami kolej kediamanj," titah baginda pada majlis Wacana Ilmu Transformasi Kepimpinan - Memenangi Hati dan Pemikiran di Hotel Renaissance di sini, baru-baru ini. Majlis wacana ilmu itu diadakan sempena program Bengkel Peningkatan Profesionalisme Pengetua dan Felo Kolej Kediaman 2011 anjuran Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dengan kerjasama Unimap. Turut berangkat ke majlis itu adalah Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Lailatul Shahreen Akashah; Naib Canselor UPSI, Prof. Dr. Zakaria Kasa; Timbalan Naib Canselor UPSI (Hal Ehwal Pelajar & Alumni) Datuk Paduka Dr. Junaidi Abu Bakar dan Naib Canselor Unimap, Prof. Datuk Dr. Kamarudin Hussin. Tuanku Syed Faizuddin turut berharap, pihak universiti menjadikan transformasi minda dan anjakan paradigma ke arah perubahan lebih positif sebagai aspek yang diberikan tumpuan agar cabaran besar meningkatkan pengetahuan, daya inovasi dan tahap integriti warganya berjaya direalisasikan. Seramai 33 peserta dari UPSI dan lima peserta jemputan dari Unimap menyertai program bengkel selama tiga hari tersebut. Full content generated by Get Full RSS. |
Posted: 48 staf TH terima ijazahKUBANG PASU 25 Okt. - Seramai 48 kakitangan Lembaga Tabung Haji menyahut seruan konsep pembelajaran sepanjang hayat apabila menerima ijazah masing-masing pada sesi ketujuh konvokesyen ke-24, Universiti Utara Malaysia (UUM), baru-baru ini. Ketua Pegawai Operasi Tabung Haji, Datuk Kamarudin Mat Ali berkata, pihaknya sentiasa menggalakkan minat dan kecenderungan kakitangan untuk menambahkan ilmu dan kemahiran sedia ada. "Kita sedia memberi peluang dan menyokong mana-mana kakitangan yang menunjukkan minat untuk merebut peluang pendidikan tinggi, selain turut menyediakan mereka dengan kursus-kursus jangka pendek yang lain. "Dunia hari ini memerlukan modal insan yang tinggi serta daya kreativiti dan inovasi seiring dengan perkembangan teknologi semasa. Justeru itu, saya amat berharap agar segala ilmu yang dipelajari di UUM akan diaplikasikan demi transformasi Tabung Haji," katanya baru-baru ini. Kesemua kakitangan yang berjaya mendapatkan ijazah mereka merupakan graduan sulung bagi program kerjasama antara UUM dan Tabung Haji dan mendapat pembiayaan penuh dari agensi itu. Mereka terdiri daripada kakitangan berjawatan kerani sehingga pegawai eksekutif yang mengikuti program Sarjana Muda Pengurusan Perniagaan melalui mod pengajian secara kerjasama UUM-TH. Arah Hamzah, 39, seorang setiausaha di ibu pejabat Tabung Haji menerima Pingat Emas Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) berkata, ibunya menjadi pendorong utama kejayaan selain keazaman diri yang tinggi untuk meneruskan pengajian ke peringkat seterusnya. "Pengajian saya terhenti sewaktu di peringkat diploma dahulu. Justeru itu, peluang yang dibuka luas oleh pihak pengurusan merupakan satu peluang yang harus dimanfaatkan sepenuhnya," kata Arah. Jelasnya, pengalaman belajar dari katil hospital selama hampir dua minggu adalah satu kenangan yang sukar dilupakan. "Masih segar di ingatan saya saat peperiksaan akhir hampir tiba, saya menghidap demam denggi selama dua minggu dan terpaksa mengulang kaji pelajaran di hospital," katanya. |
Simposium ungkap sejarah Kesultanan Sulu Posted: Simposium ungkap sejarah Kesultanan SuluTANJUNG MALIM 25 Okt. - Keagungan era pemerintahan Kesultanan Sulu suatu ketika dahulu sememangnya tidak boleh dipertikaikan. Kehebatan penduduknya dalam menguasai ilmu di daratan dan lautan menjadikan mereka terkenal di kepulauan yang terdiri daripada lebih 100 buah pulau dan terletak dalam wilayah Mindanao di selatan Filipina itu. Justeru itu, bagi menyingkap sejarah keagungan kerajaan Sulu yang mempunyai kaitan rapat dengan Sabah, satu Simposium Keagungan Sejarah Sulu Sabah Siri II bertajuk Menyelusuri Sejarah Keagungan Rumpun Melayu telah diadakan di Auditorium Utama, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), di sini baru-baru ini. Simposium yang memberi fokus tentang adat, budaya, kesenian, loghat, sikap dan pemikiran itu turut menerapkan semangat patriotisme melalui pengenalan tokoh sejarah dan penghargaan terhadap budaya ilmu melalui kajian dan kepentingannya untuk generasi depan. Naib Canselor UPSI, Prof. Dr. Zakaria Kasa berkata, pelbagai pihak di Semenanjung sedang berusaha membongkar sejarah budaya dan bahasa etnik seperti Minangkabau, Banjar dan Orang Asli. Sehubungan itu katanya, pelbagai inisiatif dilakukan UPSI termasuk memberi pendedahan dengan menawarkan pengajian bahasa di Borneo sebagai subjek minor seperti Kadazan, Dusun dan Iban. "Keperluan untuk etnik Sulu juga perlu diberi perhatian dari aspek kajian bahasa dan sejarah kerana mereka pernah dikatakan cukup hebat dan berpengaruh di Sabah. "Kita komited membawa perubahan dalam dunia pendidikan, sebab itu tidak mustahil penyebaran ilmu akan dilakukan dengan menggunakan bahasa etnik masing-masing bagi memudahkan penerimaan ilmu berkenaan," katanya. Majlis anjuran Jabatan Bahasa dan Kesusasteraan Melayu, Fakulti Bahasa dan Komunikasi UPSI itu dirasmikan oleh Yang Dipertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin. Turut mengisi ruang ialah pembentangan kertas kerja bertajuk Institusi Kesultanan Sulu dan Institusi Yang Dipertuan Besar di Negeri Sembilan: Suatu Perkaitan Atau Pertautan oleh Datuk Prof. Madya Dr. Mohd. Rosli Saludin. Full content generated by Get Full RSS. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Utara To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan