Rabu, 26 Oktober 2011

Utusan Online - Rencana


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Rencana


Audit dan niat transformasi

Posted:

Audit dan niat transformasi

Audit dan niat transformasi

Oleh KHAIRUDDIN MOHD ZAIN
PENULIS ialah pemerhati sosioekonomi

PERTEMUAN penulis dengan rakan-rakan terdiri golongan profesional muda pagi semalam lebih rancak daripada biasa. Topik yang paling hangat adalah mengenai Laporan Ketua Audit Negara 2010 yang disifatkan memaparkan banyak lagi kelemahan pelaksanaan dan kecekapan jentera kerajaan.

Tahun demi tahun, laporan yang sama masih mengemukakan 'jumlah' kerugian yang luar biasa tinggi, disebabkan perbelanjaan sesetengah jabatan dan agensi kerajaan yang tidak berhemah dan berhati-hati.

Kalangan profesional muda pantas menggelengkan kepala, membayangkan betapa mudahnya proses pembelian dilaksanakan tanpa sebarang garis tentu perbelanjaan yang lebih berhemah.

Menurut seorang rakan yang bertugas di sebuah syarikat ternama, semua ini tidak dapat diterima oleh golongan muda yang pantas menyifatkan jentera kerajaan sememangnya gemar menghabiskan dana awam secara sesuka hati.

Suasana sama tidak akan dapat dilihat di sebuah organisasi yang mengamalkan prinsip perbelanjaan telus dan punya integriti yang tinggi. Memang benar, tidak semuanya dalam laporan audit yang baru dikeluarkan itu negatif.

Banyak juga perkara yang menunjukkan perubahan dan perkembangan positif. Perkembangan baik jangan pula kita sorok dan lupakan. Ia wajar dipuji dan diangkat sebagai perubahan yang mampu memberikan kekuatan kepada sistem pentadbiran awam.

Soalnya, apakah laporan ini akan diambil sebagai sesuatu yang serius dan menjadi penggalak perubahan pada sistem sedia ada? Laporan audit yang mendedahkan 'penyakit sama' tahun demi tahun, akan mendatangkan perspektif curiga yang semakin mendalam di kalangan minda rakyat.

Laporan sama yang turut mengemukakan petanda positif prestasi kewangan wajar dipuji. Sebanyak 17 kementerian berada pada tahap sangat baik berbanding 10 kementerian pada 2009, empat kementerian (2008) dan satu (2007).

Secara kasar, ini menunjukkan perubahan positif. Saat kepimpinan memperkatakan mengenai rentak transformasi dan perubahan, seluruh jentera kementerian, jabatan dan agensi kerajaan perlu menyantuni laporan audit dengan lebih serius.

Memang benar, wujud kementerian yang mula memperkatakan mengenai 'belanjawan berimpak tinggi namun sejauh mana ia dilaksanakan dengan bersungguh adalah sesuatu yang berbeza. Laporan yang bersifat kewangan hanyalah satu segmen. Bagaimana dengan audit tentang kecekapan organisasi? Terdapat agensi yang melanggar piagam organisasi secara semborono. Tidak ada sebarang rasa bersalah dan semuanya akan 'berjalan seperti biasa' usai Laporan Ketua Audit Negara dilaksanakan.

Inilah sebenarnya yang boleh mendatangkan rasa kecewa di kalangan rakyat. Sementara rakyat diterap dengan semangat berbelanja secara berhemah, bersesuaian dengan suasana ekonomi yang menduga - sesetengah ketua jabatan/agensi mempunyai kuasa penuh untuk berbelanja dana awam dengan sesuka hati.

Apa rasional untuk melakukan tugasan yang boleh dilaksanakan dalam tempoh sehari - namun dilaksanakan dalam tempoh 700 hari? Ia mengundang pelbagai persepsi negatif yang tidak membantu pembinaan imej dan wibawa jentera kerajaan. Lebih merosakkan, sekiranya tiada sebarang usaha dibuat untuk memberikan 'pengajaran setimpal' kepada yang terbukti gagal melaksanakan amanah dengan sebaiknya.

Semua ini akan hanya merencatkan niat 'transformasi' yang diperkatakan oleh kepimpinan. Malahan, dalam kes tertentu, ia bukan sahaja merencatkan - malahan sama sekali boleh diibaratkan sebagai suatu bentuk 'sabotaj' kepada niat perubahan yang diinginkan.

Kita harus sedar, banyak kelemahan pengurusan, baik kewangan mahupun khidmat - akan memberikan impak langsung kepada rakyat. Ambil sahaja contoh bagaimana anak-anak kecil Tabika Kemas yang sebenarnya tidak dihidangkan dengan menu yang digariskan oleh pihak kementerian. Apakah ini bukan suatu bentuk kecurangan pengurusan yang nyata? Apakah kita pernah terfikir bahawa amanah bagi menjaga generasi baru seperti itupun sanggup kita persiakan?

Jika kecurangan kewangan dan organisasi dibiarkan berterusan, adalah sesuatu yang tidak mustahil segala program transformasi yang diniatkan akan hanya menjadi hebat di atas kertas, sekali gus kurang memberi makna kepada rakyat. Ini adalah cabaran dan dugaan paling besar yang perlu dilaksanakan oleh kakitangan awam, tidak kira di peringkat mana sekalipun.

Laporan Ketua Audit Negara yang tidak mempunyai elemen 'mengenakan hukuman', kepada agensi dan jabatan berkenaan akan kekal menjadi laporan pasif dan menzahirkan simptom 'penyakit berulang'.

Tahun depan, tidak mustahil kita akan menerima lagi laporan sama, namun dalam amaun yang berbeza. Jabatan dan agensi yang merasakan ketiadaan sebarang tindak balas administratif mahupun denda, akan pantas melaksanakan program seperti biasa. Kesemuanya akan kembali kepada suasana asal.

Kelemahan-kelemahan yang dikemukakan oleh Laporan Ketua Audit Negara mesti diangkat sebagai dokumen khusus untuk memperbaiki amalan tadbir urus yang longgar di sesetengah agensi. Kalangan ketua jabatan/agensi yang gagal mengurus peruntukan dengan baik, perlu memberikan penjelasan yang tuntas atau berdepan dengan kemungkinan tindakan dikenakan. Sifat, selesa dan mudah puas hati inilah yang mendatangkan penyakit yang lebih besar di dalam sistem pentadbiran.

Banyak negara yang lebih maju sudah mula memperkenalkan sistem pentadbiran kewangan awam yang lebih baik dan berhemah. Di United Kingdom misalnya, komitmen ke arah pentadbiran kewangan berhemah dan bertanggungjawab dilaksanakan di bawah kempen menyeluruh Jabatan Perbendaharaan, 'Managing taxpayers money wisely: Commitment of Action'. Sedar bahawa suasana ekonomi dunia dan tekanan fiskal yang dihadapi oleh negara tersebut - tidak ada jalan singkat dan mudah, kecuali untuk membenihkan semangat berbelanja yang lebih berintegriti.

Malahan, kerajaan negara tersebut sudahpun mengumumkan inisiatif khusus Program Transformasi Kewangan di kalangan jabatan kerajaan. Semua ini dilakukan di atas niat yang luhur untuk mengurus dana awam dengan lebih berintegirti dan bertanggungjawab.

Penelitian umum kepada beberapa Laporan Ketua Audit Negara lain, turut mencatatkan banyak kelemahan. Kesempurnaan mungkin bukanlah sesuatu yang boleh kita harapkan melalui mana-mana laporan audit sekalipun, namun itu bukan alasan kita berbelanja secara sesuka hati.

Prinsip pertanggungjawaban tidak boleh diketepikan dalam pada kita mengejar kecekapan organisasi yang diinginkan. Namun, kesalahan-kesalahan yang dinyatakan tidaklah bersifat sangat 'asas' seperti yang berlaku di negara kita.

Rakyat mengharapkan sektor awam lebih mampu meresapi niat transformasi yang selalu diungkapkan oleh Perdana Menteri.

Laporan audit yang terus mencucuk rasional dan mengkompromi asas kebertanggungjawaban akan mengecewakan rakyat dan pembayar cukai. Suasana dan lanskap pentadbiran tidak boleh kekal berada dalam zon selesa - ketika mana negara berdepan dengan dugaan ekonomi yang semakin menyulitkan.

Kita pasti boleh menzahirkan pentadbiran kewangan yang lebih cekap, efisien dan wibawa; sekiranya semua penjawat awam menjiwai semangat belanjawan yang lebih hemah dan bertanggungjawab.

Majoriti rakyat amat mengharapkan agar Laporan Ketua Audit Negara 2011 akan menzahirkan elemen 'transformasi' pentadbiran kewangan di segenap kementerian dan agensi kerajaan.

Jika ini berlaku, rakyat akan pastinya melihat sektor awam dengan wajah yang lebih positif dan nilai wibawanya yang lebih tinggi.

Full content generated by Get Full RSS.

Nambikei dan masyarakat India

Posted:

Nambikei dan masyarakat India

Nambikei dan masyarakat India

Oleh Pena


Najib Tun Razak bersama isterinya, Rosmah Mansor menyampaikan sumbangan kepada warga tua sempena Karnival Deepavali Pesta Cahaya di Jalan Tengku Kelana, Klang, baru-baru ini.


Nambikei - menjadi ungkapan popular yang sering digunakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak ketika bertemu masyarakat India kini. Ia boleh diterjemah secara literatur sebagai 'kepercayaan', 'keyakinan' atau 'harapan'; bersifat nilai positif. Membina nambikei memerlukan amanah dan rasa tanggungjawab dalam kalangan kepimpinan.

Sejak 2009, Najib menggunakan pelbagai pendekatan dan hadir bermacam-macam aktiviti serta program dalam usaha berterusan menjana ikatan 'kepercayaan' ini bersama masyarakat India.

Komunikasi langsung antara Najib dan masyarakat India bertujuan memulihkan semula sokongan yang terhakis sehingga memberi kesan dalam Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-12. Sehingga 2008, kedudukan masyarakat ini terpinggir walaupun beberapa polisi dirancang namun pelaksanaannya lemah dan tidak menampakkan sebarang hasil memberangsangkan.

Walaupun mempertahankan cubaan meningkatkan taraf hidup masyarakat India, nyata ia tenggelam terutama tindakan pihak tertentu yang lebih bersifat meruntuhkan moral masyarakat daripada menyemai tuntutan sahih.

Kemuncaknya adalah Perhimpunan Hindraf yang berjaya melahirkan krisis ke atas nambikei ini yang diterjemah dalam bentuk undi protes ke atas parti Barisan Nasional (BN) ketika itu. Pengundi yang sering memberikan sokongan tidak berbelah bahagi pada MIC menyatakan rasa tidak puas hati melalui undian sehingga BN kehilangan hampir 80% yang dinikmati sebelumnya walaupun ia turut berlaku ke atas BN secara menyeluruh.

Menyedarinya dan dinyatakan oleh Najib secara terbuka dalam beberapa siri ceramah dan pertemuan dengan masyarakat India, maka di bawah Jabatan Perdana Menteri, beliau memulakan pemasaran politik baru yakni mengambil inisiatif mengenalpasti isu dan masalah serta cabaran masyarakat India dan cuba menyelesaikannya.

Usaha Najib adalah untuk mendampingi masyarakat dan pemimpin akar umbi untuk menunjukkan beliau komited membawa pembaharuan berasaskan kepada nambikei ini.

Najib berjumpa pelbagai keturunan atau kumpulan keetnikan yang wujud dalam kalangan masyarakat India dan kaedah ini dilihat boleh menjejaskan perpaduan dalam masyarakat tersebut tetapi dalam konteks kepentingan sokongan, beliau bersedia berjumpa sesiapa sahaja agar tidak ada yang menganggap kelompok mereka dipinggir.

Lantaran itu, keupayaan dan tenaga yang digunakan oleh Najib sebenarnya memerlukan iltizam luar biasa malahan beliau mempertontonkan kemampuan 'kepelbagaian' dan dengan mudah bersemuka dengan sesiapa sahaja serta boleh berinteraksi dengan lenggok bahasa mereka adalah sesuatu yang sukar dilakukan oleh ramai pemimpin.

Beliau turun padang dan melakukan walkabout di merata tempat termasuk di Brickfields, Masjid India, Lebuh Ampang dan Jalan Tengku Kelana serta Sungai Petani dan Batu Caves ketika perayaan Thaipusam.

Sifat sedemikian sudah pasti akan menarik sokongan segelintir masyarakat India walaupun tidak semua. Najib membawa nafas baru kepada masyarakat India dalam usaha menangani permasalahan komuniti ini. Ada keputusan jangka pendek dan ada langkah atau tindakan yang akan hanya menampakkan hasil dalam jangka masa panjang.

Bersediakah masyarakat India terutama yang 'masih memerhati' gaya kepimpinan beliau memberikan peluang sekali lagi kepada BN yang banyak bergantung kepada beliau. Pembinaan imej Najib jika dikongsi ramai terutama pemimpin atasan parti dan pemimpin di peringkat negeri, bahagian dan cawangan, nescaya boleh memberi impak positif.

Yang penting adalah komitmen; keinginan dan kesungguhan bersama yang tidak boleh dilakukan secara paksaan tetapi hasrat dan ketokohan Najib untuk membawa anjakan baru barangkali memerlukan keikhlasan dari semua pihak terbabit.

Politik mementingkan diri dan menggunakan komuniti untuk mengembangkan politik penaungan kronisme sendiri mesti diubah jika mahu bersama dalam proses transformasi kerajaan.

Dalam karnival sambutan perayaan Deepavali baik di Jalan Tengku Kelana, Klang mahupun Lebuh Ampang, Najib memberi jaminan berterusan kepada masyarakat India agar memberikan peluang kepadanya untuk memastikan pelan transformasi beliau di bawah agenda besar kepimpinannya dilaksanakan dan ia hanya menampakkan kejayaan jika dimobilisasi sokongan bersama dengan memberi keutamaan kepada keperluan, kemahuan dan mendekati mindset rakyat India.

Adakah Najib berjaya? Apakah tindakan dan gaya Najib menerima sambutan dari masyarakat India? Mampukah ia diterjemah sebagai sokongan kepada BN dalam PRU Ke-13?

Pola penerimaan dalam kalangan masyarakat India agak berbeza jika dibandingkan antara bandar, separa bandar dan luar bandar. Pola pengundian dalam Pilihan Raya Kecil jika dijadikan rujukan menunjukkan sokongan masyarakat India kembali secara perlahan-lahan kepada Najib tetapi tidak boleh dianggap bersifat tetap terutama di bandar dan separa bandar.

Ini turut disokong oleh prestasi barisan pembangkang terutama kepimpinan atasannya yang masih tidak menunjukkan keazaman untuk menghargai sokongan pengundi India dalam bentuk pelaksanaan kecuali masih terus bercakap mengenai kuil dan sekolah Tamil yang juga menjadi agenda dominan kerajaan Pusat.

Yang diperlukan oleh masyarakat India adalah Dasar Induk Sosio-Ekonomi Baru Masyarakat India (DSEBMI) sebagai blueprint peluang pendidikan, membasmi kemiskinan bandar, pembangunan perniagaan, pengambilan jawatan awam, peluang pekerjaan, isu kebudayaan, kuil, peluang latihan skil, kebolehan dan kemahiran merangkumi kumpulan dewasa, muda, profesional, berskil dan bergaji bulanan rendah.

Ia boleh menjadi pelengkap kepada Special Implementation Task Force (SITF) di bawah Jabatan Perdana Menteri yang sudah melakukan pelbagai program termasuk program 'My Daftar' yang melibatkan sijil kelahiran dan pendaftaran perkahwinan.

Pemantauan operasional dengan kekuatan Najib untuk membantu boleh merungkai ikatan kumpulan yang melaksanakan dengan kumpulan sasar spesifik terutama yang berada dalam kumpulan terdesak iaitu 40% dalam kategori kelas bawahan stratifikasi masyarakat.

Pembentukan kaukus masyarakat India di beberapa lapisan kenegerian dan daerah boleh dibentuk untuk membantu MIC dan kerajaan pusat; penjana blueprint ini di bawah seliaan Perdana Menteri. Dengan perubahan kepimpinan dalam MIC yang kini turut cuba melakukan reformasi dalaman dan luaran; gaya kepimpinan Najib akan menjadi platform kepada persekitaran politik kerangka demokrasi dan kebebasan.

Ia akan ketara jika pelbagai pihak lain turut memain peranan bersama atas prinsip 'muhibbah' dan 'muafakat' untuk mengukuhkan pencapaian Dasar Induk Sosio-Ekonomi Baru Masyarakat India.

Deepavali disambut oleh masyarakat India minggu ini. Ia berprinsipkan untuk membawa kejernihan, kebaikan, nafas baru dalam gemerlapan cahaya kehidupan baru, keluar daripada lingkaran kegelapan, kejahatan dan kekeliruan insaniah.

Sambutan kali ini boleh dikongsi bersama semua masyarakat untuk menunjukkan usaha mencari titik cahaya nambikei; cahaya yang membawa kepada masa depan baru bagi rakyat India jika kesemua lapisan kepimpinan bersama memobilisasi nambikei ini untuk membawa kebangkitan agar mereka yang tergolong di dalam kepompong 40% di bawah garis kemiskinan terjamin kualiti kehidupannya dalam persaingan keduniaan yang semakin mencabar.

PROFESOR MADYA

DR. SIVAMURUGAN PANDIAN

Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan

Universiti Sains Malaysia

Full content generated by Get Full RSS.
Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved