Utusan Online - Dalam Negeri |
- Perjalanan ‘maut’, guru curah bakti
- SK Buayan 'kilang' modal insan terbaik
- "Guru tidak mengeluh, malah bersemangat"
Perjalanan ‘maut’, guru curah bakti Posted: Perjalanan 'maut', guru curah baktiOleh ABDUL RASHID ABDUL RAHMAN Rombongan kakitangan Kementerian Pelajaran dan wartawan terpaksa menaiki rakit buluh bertali semasa mengharungi sungai berarus deras untuk ke SK Buayan dan SK Terian di pedalaman Penampang, baru-baru ini. – UTUSAN/Ghazali Basri DAERAH Penampang terletak bersebelahan dengan bandar raya Kota Kinabalu. Namun, siapa sangka daerah itu masih mempunyai sekolah pedalaman yang begitu terpencil iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Buayan dan SK Terian. Untuk ke sekolah-sekolah tersebut cuma terdapat dua pilihan sahaja iaitu melalui jalan balak dan berjalan kaki yang mengambil masa sehingga enam jam. SK Buayan dan SK Terian yang terletak di Banjaran Crocker, masing-masing hanya mempunyai 43 dan 33 orang murid sahaja. Bagaimanapun, dasar pendidikan negara adalah amat jelas iaitu tanpa sebarang kompromi, akan tetap memastikan semua lapisan rakyat meskipun jauh di pedalaman diberikan pendidikan terbaik. Baru-baru ini, petugas media Sabah berpeluang bersama-sama dengan Timbalan Menteri Pelajaran, DR. MOHD. PUAD ZARKASHI berpeluang melalui pengalaman perit menggunakan dua jalan itu untuk ke sekolah berkenaan. PENAMPANG 25 Okt. – Pertama kali mendengar mengenai lawatan Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Mohd. Puad Zarkashi ke dua buah sekolah di Penampang, penulis merasakan ia pasti biasa dan kurang mencabar. Ini kerana pada firasat penulis, sekolah yang akan dilawat tidaklah terlalu jauh dan mencabar kerana terletak di Daerah Penampang, bersebelahan dengan Kota Kinabalu. Namun segala-galanya berubah apabila kami memulakan perjalanan pada pukul 1 petang, menaiki kenderaan pacuan empat roda penduduk Kampung Sugud yang bermula dengan merentas sungai dan melalui jalan balak. Malah tidak sampai 10 minit perjalanan, dua daripada lima pacuan empat roda yang disewa berkenaan mengalami kerosakan. Kerosakan awal yang tidak dijangka itu menyebabkan kira-kira 30 peserta lawatan terpaksa berhimpit-himpit termasuk duduk mencangkung di belakang pacuan empat roda lain bersama beg dan barangan keperluan. Keadaan ini membuatkan para petugas media berasa agak gusar kerana terpaksa melalui jalan berbukit, licin dan berisiko, menaiki kenderaan yang terlebih muatan pula. Degupan jantung semakin kencang apabila seorang pegawai kementerian memaklumkan bahawa tiada kenderaan sokongan kerana hanya pacuan empat roda penduduk kampung sahaja yang 'berani' melalui jalan balak berkenaan. Sepanjang melalui jalan balak menerusi cerun bukit selama dua jam itu, ia amat mencabar seumpama 'perjalanan maut' yang boleh mengundang risiko hanya pada bila-bila masa. Kegagalan kereta pacuan empat roda dinaiki penulis mendaki bukit dan hampir-hampir terbalik sebelum terbabas ke tebing, tambah merunsingkan kami. Pada masa itu, hanya kepada tuhan kami bertawakal dan berdoa agar tiada sebarang kesilapan pemanduan yang boleh mengundang tragedi yang tidak diingini. Namun, perjalanan dua jam yang membuatkan semua anggota badan peserta mula terasa sakit berakhir pada kira-kira pukul 3.30 petang apabila kami tiba di tebing sebatang sungai yang berarus deras. Bagaimanapun, perjalanan kami masih belum sampai ke destinasinya. Sebaliknya ia merupakan permulaan ujian berjalan kaki pula. Semua peserta terpaksa berjalan kaki melalui denai di tebing bukit, mendaki dan menuruni bukit selain melintasi beberapa batang sungai dengan rakit dan juga melalui jambatan gantung uzur. Berjalan kaki pada masa itu membuatkan semua peserta terpisah kepada beberapa kumpulan berdasarkan kepada stamina masing-masing. Pada masa itu, kumpulan Mohd. Puad mendahului peserta lain manakala kumpulan penulis yang disertai oleh jurugambar Berita Harian, jurugambar Jabatan Penerangan, wartawan New Straits Times dan beberapa wakil kementerian berada di belakang sekali kerana 'tidak cukup stamina'. Semasa perjalanan, penulis menyedari laluan kami pada masa itu amat berbahaya kerana melalui cerun bukit yang licin - sedikit sahaja kesilapan boleh menyebabkan terjatuh ke bawah yang pastinya boleh menukar perjalanan kepada tragedi. Sepanjang perjalanan menyaksikan ada antara kami yang tergelincir, malah seorang peserta kehilangan tapak kasut dan terpaksa berjalan tanpa tapak kasut. Perjalanan kali ini juga begitu meletihkan sehingga menyebabkan ada di antara kami yang mengalami kekejangan. Namun, setelah tiga jam berjalan kaki termasuk dalam kegelapan hutan, rombongan akhirnya sampai ke destinasi iaitu SK Buayan pada pukul 7.30 malam. Selain gembira dengan kejayaan itu, fikiran penulis pada masa itu terbayangkan bagaimana kesusahan dialami guru-guru yang juga terpaksa melalui laluan sama. Selain itu mereka juga berisiko bertembung dengan haiwan liar dan berbisa. Dalam satu majlis yang diadakan di sekolah itu pada sebelah malamnya, Mohd. Puad berkata, biarpun terpaksa melalui laluan berbahaya dan meletihkan, ia sebenarnya menjadi pembakar semangat kepadanya untuk terus melawat kawasan pedalaman. Katanya, dengan cara itulah beliau akan dapat menghayati dan melihat sendiri keadaan sekolah di kawasan pedalaman seterusnya berusaha memajukan tahap pendidikan di kawasan terbabit. "Jadi apabila mengetahui pelajar yang duduk jauh di sini terpaksa ambil periksa di SK Tampasak Tegudon, timbul tanggungjawab bagi saya untuk membela anak-anak tuan-puan. "Malah di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak kerajaan sentiasa memberi perhatian besar kepada pendidikan khususnya di kawasan luar bandar," katanya. Tegas Mohd. Puad, perjalanan yang mencabar dan berisiko itu tidak pernah mematahkan semangat warga kementerian untuk terus melakukan lawatan bagi meningkatkan prasarana luar bandar. Katanya, pada masa akan datang, pihaknya merancang melawat lebih banyak sekolah pedalaman di seluruh negeri. Full content generated by Get Full RSS. |
SK Buayan 'kilang' modal insan terbaik Posted: SK Buayan 'kilang' modal insan terbaikDR. MOHD. Puad Zarkashi bersama rombongan Kementerian Pelajaran bergambar dengan murid-murid SK Buayan di pedalaman Penampang, baru-baru ini. PENAMPANG 25 Okt. - Bangunan Sekolah Kebangsaan (SK) Buayan di sini tidaklah seindah sekolah di bandar, tetapi yang paling penting matlamatnya tercapai iaitu untuk memberi pendidikan terbaik kepada penduduk di kawasan berkenaan. Jadi tidak hairanlah anak-anak di kawasan berkenaan pandai membaca dan menulis malah ada yang mampu melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi. Antara infrastruktur yang wujud di sekolah itu ialah bangunan sekolah tunggal, rumah guru, pusat sumber dan pusat akses, pondok sekuriti, pondok generator, tandas dan parabola. Guru Besarnya, Robert Gubat berkata, kewujudan sekolah berkenaan telah banyak membantu memastikan generasi kampung berkenaan mendapat pendidikan yang sempurna. Katanya, ia telah membawa perubahan kepada penduduk apabila terdapat di kalangan mereka berjaya dalam pelajaran dan mendapat pekerjaan yang baik. "Malah ada di kalangan guru di sini merupakan bekas pelajar sekolah ini yang kembali untuk berbakti di kampung," katanya yang memberitahu sekolah itu diwujudkan pada 1967 atas inisiatif penduduk kampung. Robert berkata, pada mulanya sekolah itu hanya kecil dan ringkas sahaja - beratapkan zink, berdinding buluh dan berlantaikan simen. Katanya, pada 1971, bangunan sekolah yang kedua dibina oleh Kementerian Pelajaran bagi menampung murid yang semakin bertambah. "Pada 1982 memandangkan bangunan sekolah yang pertama sekali dibina mula retak, bangunan baru yang telah dipohon telah siap dan mula digunakan pada tahun yang sama," katanya. Dalam pada itu, Ketua Kampung Buayan, John Sabitang berkata, meskipun terletak jauh di pedalaman dan mempunyai hanya 464 penduduk, kampung berkenaan mendapat pembelaan sewajarnya khususnya dalam pendidikan. Katanya, selain bangunan sekolah, murid-murid di sini turut mendapat pelbagai bantuan untuk meneruskan pembelajaran. Bagi guru Zeabenia Mositol yang pernah belajar di sekolah berkenaan berkata, kewujudan sekolah itu telah membolehkannya mendapat pendidikan sehingga ke tahap yang lebih tinggi. "Saya pernah belajar di sini dan kini setelah menjadi guru di sekolah ini saya berazam untuk memastikan semua generasi muda di sini mendapat pendidikan yang sempurna. "Saya bersyukur kerana walaupun kami tinggal di pedalaman kerajaan tidak meminggirkan kami untuk mendapat pendidikan yang sempurna," katanya. Seorang pelajar, Michel Leann, 11, yang bercita-cita menjadi guru berkata, segala kekurangan yang ada di situ tidak melemahkan semangatnya untuk belajar bersungguh-sungguh. "Kami sudah biasa begini dan sebenarnya kekurangan ini membakar semangat kami untuk belajar bersungguh-sungguh bagi mengubah nasib kami sekeluarga," ujarnya. Sementara itu, Guru Besar SK Terian, Dainis Dahangat berkata, meskipun sekolah tersebut terletak di atas Banjaran Crocker yang bentuk muka buminya bergunung-ganang tetapi kerajaan tetap memberikan komitmennya dengan membina sekolah berkenaan sejak 1964 lagi. Katanya, walaupun sekolah itu hanya bangunan kayu dan kecil tetapi ia telah memberi sumbangan penting kepada warga kampung Terian yang mempunyai kira-kira 400 penduduk. "Tujuh orang guru yang mengajar di sekolah ini juga sentiasa menunjukkan komitmen tinggi meskipun terpaksa melalui pelbagai kekurangan dan cabaran seperti melalui jalan balak," ujarnya. Full content generated by Get Full RSS. |
"Guru tidak mengeluh, malah bersemangat" Posted: "Guru tidak mengeluh, malah bersemangat"ROMBONGAN kakitangan Kementerian Pelajaran dan wartawan menaiki kenderaan pacuan empat roda untuk ke pedalaman Penampang, baru-baru ini. PENAMPANG 25 Okt. - Cabaran dan kesusahan di kawasan pedalaman tidak mematahkan semangat guru-guru untuk terus menjalankan tugas terbaik bagi mendidik anak bangsa. Malah, cabaran itu telah menguatkan lagi semangat mereka untuk berusaha bersungguh-sungguh bagi memastikan setiap pelajar mendapat kejayaan cemerlang. Guru Besar Sekolah Kebangsaan (SK) Buayan, Robert Gubat berkata, meskipun berada di pedalaman guru-guru di sekolah itu sentiasa memberi tumpuan kepada usaha pengajaran dan pembelajaran. Katanya, keperitan hidup di sini sebenarnya telah membuatkan para guru berusaha bersungguh-sungguh memastikan semua murid berjaya. "Bagi kami, hanya dengan kejayaan murid inilah dapat mengubah nasib mereka dan inilah juga kejayaan bagi kami semua," katanya. Gubat yang berasal dari Tuaran berkata, sejak lima tahun berada di sekolah itu pelbagai pengalaman mencabar telah dihadapinya. Beliau berkata, antaranya ialah menemui binatang berbisa seperti ular dan binatang buas semasa melalui hutan berkenaan. "Malah, kereta pacuan empat roda yang saya naiki pernah terbalik dan saya bersyukur dan bernasib baik kerana tidak jatuh ke dalam gaung. "Bagaimanapun, semangat saya untuk mengajar di sekolah ini tidak pernah luntur dan padam demi mengubah masa depan anak-anak kita ini," katanya di sini baru-baru ini. Guru Penolong Kanan, SK Buayan Liew Mon Na pula berkata, pengalaman selama dua tahun mengajar di situ membuatkan dia sudah biasa dengan cara kehidupan penduduk kampung. Katanya, kesusahan yang dihadapi penduduk membuatkannya membulatkan tekad untuk terus berada di sekolah itu. "Saya kini menyedari betapa susah kehidupan di sini dan saya sama-sama merasai cabaran yang terpaksa dilalui penduduk termasuk berjalan kaki ke jalan besar selama lebih tujuh jam dan melalui kawasan berisiko. "Malah, pernah pada musim hujan lalu beberapa jalan tertutup akibat tanah runtuh dan air besar memenuhi sungai, namun ini semua tidak menjadi penghalang kepada saya," katanya. Full content generated by Get Full RSS. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Dalam Negeri To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan