Utusan Online - Utara |
Posted: Liku hidup pengayuh beca tuaOleh MALINDA ABDUL MALIK Bukan sahaja Mat terpaksa bermalam di dalam beca tetapi tinjauan mendapati lebih 10 orang pengayuh beca turut berbuat demikian pada setiap malam. PULAU PINANG 20 Okt. - "Siapa yang mahu hidup merempat macam ini. Kalau saya cakap dekat awak, mungkin awak tidak akan percaya, tapi inilah hakikatnya kehidupan kami sebagai pengayuh beca di negeri yang kian membangun ini." Itu yang diluahkan Mat Mat Dak, 86, yang menjadikan beca sebagai tempat untuk bermalam dan melepaskan penat lelahnya selepas berkayuh membawa pelanggan seharian. Mat yang berasal dari Nibong Tebal sudah 47 tahun mengayuh beca di sini dan tetap gigih mencari rezeki meskipun mempunyai 12 orang anak yang kesemuanya sudah besar.Dia memberitahu, walaupun anak-anak melarangnya bekerja lagi, namun dia tetap berkeras mahu terus mencari rezeki sendiri dan tidak mahu menyusahkan mereka yang sudah berkeluarga."Sudah 20 tahun saya macam ini. Tidur di bahagian depan beca dengan sebiji bantal dan selimut nipis."Tiada siapa pun yang hendak datang menjenguk. Tiba-tiba malam ini awak datang nak temuramah saya dan bertanyakan hal saya," katanya yang terkejut dengan kehadiran Utusan Malaysia yang mahu menemuramah baru-baru ini.Menceritakan tentang jadual hariannya, Mat berkata, dia bangun seawal jam 5 pagi sebelum membersihkan diri di tandas awam.Selesai mandi, dia akan mula meronda di kawasan tumpuan orang ramai bagi mencari pelanggan untuk dibawa ke tempat yang dituju."Selalunya saya dapat dalam RM20 hingga RM30 sehari. Itu pun bergantung kepada keadaan cuaca dan musim. Sekarang ini memang orang ramai yang bercuti namun bukan semua mahu naik beca."Kalau hujan, saya akan bawa beca saya ke Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar) dan berteduh di situ. Sekiranya cuaca baik saya akan berada di Jalan Penang yang merupakan kawasan tumpuan pelancong," ujarnya.Ditanya sama ada dia pernah diberikan bantuan oleh mana-mana pihak, Mat hanya menggeleng dan menundukkan kepalanya.Baginya, pengayuh beca seperti dirinya seolah-olah tiada nilai dan tidak perlu diambil berat."Kami umpama sampah masyarakat. Sepanjang 47 tahun mengayuh beca, tidak pernah seorang pun wakil rakyat yang datang menjenguk."Saya ada dengar kerajaan negeri sekarang berjiwa rakyat dan sedang berusaha membasmi masalah miskin tegar tapi kehidupan kami masih sama seperti dulu. "Hidup kais pagi makan pagi walhal kami juga penyumbang kepada pelancongan negeri ini," jelasnya.Menurutnya, jika kerajaan negeri benar-benar prihatin dengan nasib rakyatnya, semua golongan masyarakat kurang bernasib baik perlu dibantu dan bukan hanya ketika menjelang pilihan raya.Dia menambah, golongan sepertinya pasti gembira jika diberikan perhatian sewajarnya oleh pihak-pihak berkaitan."Kami tidak minta apa-apa, cuma diberi perhatian khususnya daripada kerajaan negeri kerana kami juga rakyat Pulau Pinang. "Kalau ada apa-apa bantuan yang boleh diberikan, apa salahnya mereka turun sendiri dan memberi dan tidak semestinya kami perlu pergi mencari mereka seperti peminta sedekah," katanya. |
Posted: 'Kampung Tanpa Sampah'Oleh ABDUL MUIN SAPIDIN IPOH 20 Okt. - Kerajaan negeri hari ini melancarkan program Kampung Tanpa Sampah yang akan dilaksanakan secara besar-besaran oleh Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) dengan matlamat mengukuhkan reputasi bandar raya tersebut sebagai antara yang paling bersih di negara ini. Pelancaran tersebut menjadikan Perak sebagai negeri kedua melaksanakan program bersepadu itu selepas kali pertama diperkenalkan oleh negeri Sabah di Kampung Cenderamata II, Likas pada 2010. Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir berkata, buat permulaan, Kampung Sungai Rokam, Sungai Rapat di sini, dipilih sebagai perintis program tersebut untuk dijadikan model atau contoh kepada kampung-kampung lain di negeri ini. ''Pelaksanaan program ini adalah manifestasi kesungguhan kerajaan negeri menjadikan agenda kebersihan sebagai keutamaan dalam merealisasikan pembangunan yang berteraskan konsep Bersih, Hijau dan Membangun. ''Bagi mencapai matlamat ini, program perintis ini akan diperluaskan di perkampungan lain selepas ini," katanya ketika berucap melancarkan program itu di Kampung Sungai Rokam sempena lawatan seharinya di sekitar kawasan Sungai Rapat, di sini hari ini. Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Rapat, Datuk Hamidah Osman; Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), Datuk R. Ganesan dan Setiausaha MBI, Datuk Abdul Rahim Md. Ariff. Mengulas lanjut mengenai program itu, Zambry dalam sidang akhbarnya memberitahu, MBI memperuntukkan kira-kira RM4 juta setahun untuk melaksanakan program perintis itu di Kampung Sungai Rokam yang meliputi tiga fasa. Menurut beliau, fasa pertama melibatkan pembersihan secara berkala dan diteruskan dengan kerja-kerja pengindahan pada fasa kedua sebelum fasa ketiga dilaksanakan dengan penyuburan aktiviti-aktiviti kebudayaan. ''MBI bersetuju untuk mengadakan pungutan sampah lebih kerap selain menjalankan kerja-kerja pengindahan dengan kerjasama penduduk setempat melalui Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) atau Kawasan Rukun Tetangga," tambahnya. Sementara itu, Zambry meminta MBI supaya menjalankan program pengindahan yang lebih sistematik di sekitar bandar raya ini termasuk menghiasi lokasi-lokasi strategik dengan bunga-bungaan selain memastikan kebersihannya. Katanya, walaupun dikenali sebagai bandar raya yang bersih, masih banyak boleh dilakukan untuk meningkatkan lagi tahap keindahan serta kebersihan bandar raya ini. Full content generated by Get Full RSS. |
USM sumbang peralatan bantuan banjir Posted: USM sumbang peralatan bantuan banjirPADANG TERAP 20 Okt. - Prihatin dengan masalah banjir yang sering melanda penduduk di kawasan ini terutama ketika musim tengkujuh, Universiti Sains Malaysia (USM) Pulau Pinang hari ini tampil menyampaikan sumbangan peralatan bantuan banjir. Program julung kali dilaksanakan melalui Pusat Kajian Kelestarian Global USM (CGSS-USM) itu adalah sebagai satu inisiatif mengurangkan beban penduduk ketika berhadapan bencana alam itu. Menurut Pemangku Pengarah CGSS, Prof. Madya Dr. Norizan Md. Nor, program tersebut merupakan kesinambungan daripada hasil penyelidikan pihaknya berkaitan banjir di kawasan berkenaan. "Penyelidikan ini bermula pada awal April lalu bertujuan mengenal pasti hubungan antara isu dan faktor berkaitan golongan mudah dilanda banjir seterusnya melakukan adaptasi untuk mengurangkan kesengsaraan mangsa banjir. "Hasil kajian antaranya mendapati kekurangan alatan bantuan banjir ketika banjir menjadi masalah utama, jadi bukan sekadar membuat kajian dan menyimpan data tersebut dalam rekod hari ini kami tampil menghulurkan bantuan tersebut," katanya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Peralatan Bantuan Banjir CGSS-USM di Dewan Tunku Putra Kuala Nerang di sini hari ini. Hadir sama, Timbalan Pengarah CGSS-USM, Dr. Salfarina Abdul Gapor dan Pegawai Daerah Padang Terap, Mohd. Helmi Haron. Antara peralatan yang disumbang ialah lapan unit bot bersama enjin yang dilengkapi lapan helai jaket keselamatan, jet wash (lapan buah), set janakuasa (lapan buah), kelengkapan dapur (empat buah) dan khemah (tiga unit). Menurut Dr. Norizan, USM membelanjakan sebanyak RM300,000 untuk melaksanakan kajian tersebut di bawah program Pendekatan Bersepadu Pembangunan Mapan Bandar-Luar Bandar oleh CGSS-USM yang diharapkan dapat memanfaatkan penduduk setempat. "USM berharap dengan sumbangan ini dapat membantu meringankan beban mangsa banjir yang memerlukan. "Dengan ini USM dapat mengembangkan misi dan visinya bukan sekadar gedung ilmu malah satu institusi yang melahirkan graduan ke arah kelestarian terhadap masyarakat," katanya. Dalam pada itu Salfarina yang juga Ketua Penyelidik CGSS-USM berkata, kawasan ini menjadi pilihan berdasarkan faktor lokasinya di kawasan pendalaman selain masalah banjir yang semakin serius sejak kebelakangan ini. "Tumpuan kajian termasuk mengumpul pangkalan data berkaitan banjir selain mengenal pasti kawasan yang mudah dilanda banjir. Selain itu kita turut melaksanakan program pembinaan keupayaan. "Ia bertujuan mengurangkan kesengsaraan mangsa kerana hasil kajian juga mendapati banyak mangsa tidak mempunyai persediaan untuk berhadapan masalah ini," katanya. Full content generated by Get Full RSS. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Utara To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan