Utusan Online - Johor |
Panchor 'diserang' selesema burung Posted: Panchor 'diserang' selesema burungOleh KAMIL MASLIH SEORANG kakitangan Jabatan Perkhidmatan Veterinar membuat semburan bahan kimia ke atas sebuah kenderaan milik jabatan tersebut ketika menjalani Latihan Simulasi Wabak Selsema Burung Kebangsaan. - UTUSAN/ISHAK RAHMAD MUAR 20 Okt. - Sebuah desa yang damai dan tenteram di Panchor tiba-tiba sesak dengan ratusan kakitangan dan puluhan kenderaan Jabatan Perkhidmatan Veterinar yang 'menyerbu' sebuah reban ternakan ayam di kawasan tersebut. Bukan setakat itu, sekatan jalan raya turut diadakan dan dewan serbaguna yang terletak tidak jauh dari situ turut dijadikan bilik gerakan untuk mengawasi sebarang risiko ancaman wabak selesema burung (Avian Influenza H1N1) yang boleh meragut nyawa penduduk. Kakitangan jabatan yang memakai penutup mulut dan bersarung tangan dilihat memeriksa ayam di reban serta mengambil sampel di samping menyembur bahan kimia untuk mengawal penularan wabak itu. Mengambil kira senario sebenar, kehadiran lebih 200 pegawai dan kakitangan jabatan tersebut serta agensi kerajaan yang lain di Panchor baru-baru ini adalah bagi menjalani latihan simulasi peringkat kebangsaan bagi menghadapi ancaman wabak selesema burung. Wabak yang sinonim dengan ternakan ayam dan burung itu bukan sahaja boleh melumpuhkan industri penternakan, malah penyakit itu boleh menular sehingga meragut nyawa manusia sekiranya tidak dikendali dan dicegah dengan sebaiknya. Bagi memantapkan latihan simulasi tersebut, penglibatan Jabatan Kesihatan, polis serta pihak berkuasa tempatan (PBT) turut diambil kira bagi memastikan kesihatan awam dan kepentingan negara terpelihara. Pengarah Bahagian Pengurusan Biosekuriti Jabatan Perkhidmatan Veterinar, Datuk Dr. Mohammad Azmie Zakaria berkata, latihan simulasi tersebut dapat menguji tahap kesiapsiagaan, kesefahaman garis panduan serta pengendalian komunikasi antara agensi-agensi berkaitan bagi menghadapi wabak itu. Beliau berkata, dengan mengadakan latihan simulasi bermula dari Kampung Sungai Ranggam dan Kampung Jawa di sini, kakitangannya bertungkus-lumus untuk melaksanakan tanggungjawab pengurusan bencana termasuk mengenal pasti punca wabak sehingga latihan pengawalan wabak dan pencegahan. "Dalam latihan ini, kita mengambil kira senario sebenar dan melakukan semuanya daripada pengambilan sampel, penyaringan dan simulasi pemusnahan ayam-ayam yang tercemar kerana wabak selesema burung. "Kami juga mendirikan bilik gerakan dan makmal ujian selain bekerjasama rapat dengan agensi-agensi kerajaan lain bagi memastikan segalanya berjalan lancar," katanya. Turut terlibat dalam latihan itu ialah Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar negeri, Dr. Kamarudin Md. Isa serta Ketua Bahagian Kesihatan Veterinar negeri, Dr. Lokman Hakim Idris yang bertindak sebagai Pengarah Operasi Simulasi. Mohammad Azmie memberitahu, latihan simulasi peringkat kebangsaan itu bukan sahaja sebagai persiapan untuk menghadapi ancaman wabak selesema burung, tetapi juga persediaan menghadapi sebarang wabak yang dibawa haiwan lain. "Kita melaksanakan simulasi ini mengikut standard prosedur yang ditetapkan dan saya berpuas hati apabila melihat kerjasama erat semua pihak, namun masih ada ruang untuk penambahbaikan terutamanya dalam sistem komunikasi," katanya. Jelasnya, latihan simulasi tersebut merupakan latihan berskala besar yang diadakan dari semasa ke semasa dan kali terakhir ia dilakukan di Kuala Kangsar, Perak pada 2008. Sementara itu Lokman memberitahu, latihan simulasi wabak selesema burung itu diadakan selama empat jam dari pukul 8 pagi hingga 12 tengah hari dan pihaknya turut mengadakan bengkel bagi membuat rumusan mengenai hasil latihan tersebut. "Secara keseluruhannya, latihan ini membabitkan kawasan kampung di Panchor yang terletak dalam lingkungan 10 kilometer dan kami membuat pemantauan dengan mengambil sampel dan kaji selidik di setiap kawasan. "Jabatan sentiasa mengambil langkah berjaga-jaga dalam menghadapi wabak ini dan menerusi latihan simulasi ini kita dapat mengkaji kelemahan dalam standard prosedur yang dilakukan," katanya. Full content generated by Get Full RSS. |
Posted: Alfariza cari kakak kandungPONTIAN 20 Okt. - Seorang wanita, Alfariza Ab. Aziz (gambar), 38, meminta bantuan orang ramai untuk mengesan dan mencari kakak kandungnya yang terpisah sejak 39 tahun lalu. Kedua-dua beradik tersebut terpisah sejak dilahirkan setelah mereka diserahkan kepada keluarga angkat Melayu oleh ibunya, Kiew Tai Yen, 79, dan bapanya, Loo Siau Chuan akibat kesempitan hidup. Alfariza anak kelapan daripada sembilan beradik berkata, maklumat yang ada mengatakan kakaknya itu bekerja sebagai jururawat di Batu Pahat. ''Tetapi, tidak tahu di hospital mana. Kami juga tidak mengetahui nama kakak kerana hingga kini ibu saya tidak pernah berjumpa dengan keluarga angkat kakaknya itu,'' katanya di sini hari ini. Dia yang kini sudah berkahwin dan mempunyai seorang anak berusia 22 bulan tinggal bersama keluarga angkatnya Ab. Aziz Othman di alamat No. 684, Lorong 3, Taman Merdeka di sini. "Adik bongsu kami juga diserahkan kepada sebuah keluarga Cina kerana kesempitan hidup," ujarnya. Menurut Alfariza, bapa mereka yang telah meninggal dunia merupakan seorang tukang besi di Tongkang Pecah, Batu Pahat suatu masa dahulu. "Walaupun telah beragama Islam, saya tidak melupai ibu yang telah melahirkan dan telah beberapa kali menemuinya di Batu Pahat. Begitu juga dengan adik-beradik yang lain," katanya. Oleh itu, beliau berharap pihak-pihak yang mengenali kakaknya dapat membantu mempertemukan mereka. Mereka yang mengetahui di mana kakaknya berada ataupun kakaknya sendiri membaca berita ini boleh menghubunginya di talian 012-3627764 atau 07-6876684 (Ab. Aziz Othman). |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Johor To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan