Jumaat, 21 Oktober 2011

Utusan Online - Muka Hadapan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Muka Hadapan


Gaddafi terbunuh dalam serangan

Posted:

Gaddafi terbunuh dalam serangan

Gaddafi terbunuh dalam serangan


Gambar yang diambil dari video merakamkan keadaan Gaddafi berlumuran darah diangkat ke atas trak oleh tentera kerajaan sementara Libya di bandar Sirte, semalam. – REUTERS


SIRTE, Libya 20 Okt. – Bekas pemimpin Libya, Muammar Gaddafi terbunuh dalam serangan tentera kerajaan sementara Libya dibantu oleh tentera udara Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) berhampiran bandar Sirte, awal hari ini.

Gaddafi, 69, terbunuh setelah mengalami cedera parah dalam serangan awal subuh itu.

Turut terbunuh dalam serangan itu ialah Mutassim, anak kelima Gaddafi.

Kematiannya menamatkan pemburuannya selama dua bulan sejak beliau melarikan diri setelah kejatuhan Tripoli ke tangan tentera pemberontak pada Ogos lalu.

Pegawai Majlis Peralihan Kebangsaan (NTC), Abdel Majid Mlegata, sebelum itu melaporkan Gaddafi berjaya ditangkap ketika cuba melarikan diri secara berkonvoi dalam satu serangan itu.

Bekas pemimpin itu mengalami cedera parah di kedua-dua belah kakinya.

"Ketika ditangkap, dia (Gaddafi) turut dikasari dan dipukul di kepala (oleh tentera kerajaan sementara Libya)," kata Mlegata.

Gambar-gambar merakamkan keadaan pakaiannya berlumuran darah tersebar di Internet.

Seorang pegawai NTC, Mohamed Abdel Kafi berkata, jenazah Gaddafi dibawa ke satu lokasi rahsia atas faktor keselamatan.

''Jenazahnya dibawa ke lokasi yang dirahsiakan menggunakan sebuah kenderaan NTC," kata Mohamed.

Bekas Menteri Pertahanan ketika pemerintahan Gaddafi, Abu Bakr Younis turut terbunuh dalam serangan tersebut.

Gaddafi menghadapi penentangan daripada rakyatnya sejak Februari lalu sebelum melarikan diri dari Tripoli setelah ibu negara Libya itu jatuh ke tangan pemberontak dengan bantuan NATO pada Ogos lalu.

Sejak kejatuhan Tripoli, Gaddafi melarikan dan meneruskan perjuangan untuk kembali berkuasa, manakala sebahagian ahli keluarganya termasuk isteri dan anak perempuannya telah melarikan diri ke Algeria.

Sebelum ini, anak lelakinya, Khamis, 28, terbunuh dalam pertempuran di Tarhouna, selatan Tripoli, Libya pada 29 Ogos lalu.

Khamis merupakan komander Briged Elit ke-32 tentera yang dikatakan berjaya menumpaskan pemberontak di timur Benghazi pada Februari lalu.

Pada 30 April lalu, seorang lagi anak Gaddafi, Saif al-Arab dan tiga cucunya terbunuh dalam pertempuran dengan tentera NATO di Bab al-Aziziya, Tripoli.

– REUTERS

Full content generated by Get Full RSS.

Indonesia tarik balik pembekuan

Posted:

Indonesia tarik balik pembekuan

Indonesia tarik balik pembekuan

Daripada SAHARUDIN MUSTHAFA
saharudin.musthafa@utusan.com.my

MATARAM (Lombok) 20 Okt. - Kerajaan Indonesia akhirnya menarik balik pembekuan penghantaran pembantu rumah ke Malaysia berkuat kuasa 1 Disember ini selepas lebih dua tahun tertangguh.

Pengumuman penarikan semula moratorium oleh negara itu diumumkan Presiden Indonesia, Susilo Bambang Yudhoyono selepas mengadakan rundingan tahunan kelapan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di sini hari ini.

Menurut Susilo, keputusan menarik semula moratorium itu dibuat selepas Indonesia menyedari bahawa terdapat ramai rakyat negaranya mencari rezeki di Malaysia yang turut membantu perkembangan ekonomi negara jiran itu.

"Kita ketahui banyak saudara Indonesia yang bekerja di Malaysia. Oleh kerana itu kita sepakat untuk memberi perlindungan dan bantuan sebaik-baiknya kepada Tenaga Kerja Indonesia (TKI).

"Kita juga telah bersepakat bahawa dengan diadakan perubahan tentang pengambilan dan penempatan TKI yang ditandatangani pada 2006 mendatangkan perubahan positif kepada Indonesia. Insya-Allah pada 1 Disember, kita akan menormalisasikan kembali hal ini (menarik semula moratorium)," kata Susilo ketika mengumumkan berita tersebut pada sidang akhbar bersama Najib di sini hari ini.

Indonesia pada 26 Jun 2009 membuat keputusan membekukan sementara penghantaran pembantu rumah selepas beberapa kes penderaan dan penganiayaan ke atas amah negara itu terjadi di Malaysia.

Najib dan Susilo sebelum itu mengadakan pertemuan empat mata dalam rangka lawatan kerja sehari Perdana Menteri ke wilayah Nusa Tenggara Barat di sini sempena rundingan tahunan kali kelapan.

Sementara itu, Perdana Menteri menyambut baik keputusan kerajaan Indonesia menarik semula moratorium kerana negara itu merupakan pembekal utama pembantu rumah kepada Malaysia.

Persetujuan itu jelas Najib, dibuat oleh Indonesia selepas kedua-dua negara berjaya menyelesaikan beberapa isu yang selama ini menjadi persoalan kepada proses membawa masuk amah.

Pada masa sama, Najib memberitahu, Pasukan Petugas Khas Bersama yang ditubuhkan untuk mengendalikan urusan pengambilan dan penempatan amah antara kerajaan kedua-dua negara akan mengemukakan laporan penuh kepada beliau dan Susilo berhubung isu berkenaan pada bulan depan.

"Semua masalah dan rintangan dapat diselesaikan. Laporan Pasukan Petugas Khas Bersama akan dibuat kepada saya dan Presiden Susilo semasa Persidangan ASEAN di Bali pada 17 dan 18 November ini. Kalau semuanya selesai, Insya-Allah tarikh moratorium itu ditarik balik pada 1 Disember ini," jelas Najib kepada wartawan Malaysia selepas mengadakan sidang media bersama di akhir rundingan tahunan di sini hari ini.

Berita penarikan moratorium oleh kerajaan Indonesia itu turut disambut oleh Perdana Menteri dengan ingatan yang jelas disampaikan kepada bakal majikan di Malaysia agar jangan sesekali mengkhianati kepercayaan diberikan negara jiran yang membekalkan pembantu rumah.

Menurut Najib, keikhlasan dan ketulusan Susilo dalam membuat pertimbangan dan kebijaksanaan harus dibalas dengan kebaikan, bukannya dibalas dengan penganiayaan terhadap pembantu rumah.

"Yang penting tidak lakukan apa-apa penganiayaan, penderaan fizikal dan psikologi sebab ini akan membuat mereka terhiris hati. Walaupun satu dua kejadian yang menimpa tetapi kerana nila setitik rosak susu sebelanga. Saya meminta semua bakal majikan memahami perkara ini untuk menjaga persepsi Indonesia terhadap rakyat Malaysia," jelas beliau lagi.

Najib dalam ucapannya turut menjelaskan, isu pembantu rumah menjadi bahan perbincangan kalangan rakyat Malaysia termasuk ramai pengikut beliau di laman sosial Facebook dan Twitter yang meminta hal ini dibincangkan dengan secepat mungkin dengan rakan sejawatannya. - UTUSAN

Full content generated by Get Full RSS.

Penganjur jamin tiada provokasi

Posted:

Penganjur jamin tiada provokasi

Penganjur jamin tiada provokasi

Oleh MOHD. ASRON MUSTAPHA
mohdasron.mustapha@utusan.com.my

KUALA LUMPUR 20 Okt. - Penganjur Himpunan Sejuta Umat (Himpun) memberi jaminan bahawa perhimpunan terbesar umat Islam di negara ini pada Sabtu ini akan berlangsung dalam keadaan aman dan harmoni tanpa sebarang provokasi.

Pengerusi Bersama Sekretariat Himpun, Dr. Yusri Mohamad berkata, semua pihak yang menyatakan komitmen mereka untuk hadir pada Sabtu ini secara dasarnya telah berjanji untuk menjaga adab dan tatasusila masing-masing.

Malah, katanya, sehingga sekarang pun tiada sebarang unsur yang boleh mengaitkan perhimpunan itu dengan kekecohan dan ketegangan kaum, sebagaimana dibimbangi pihak tertentu.

"Sebagai penganjur yang bertanggungjawab, Himpun melarang sebarang sepanduk yang boleh mencetuskan provokasi selain menempatkan seramai 500 anggota keselamatan.

"Bagi melicinkan lagi soal keselamatan, sekretariat Himpun juga akan bekerjasama dan mengambil kira pandangan daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM), terutamanya dalam aspek lalu lintas.

"Perhimpunan ini akan berlangsung dalam keadaan aman dan harmoni tanpa sebarang unsur provokasi. Malah, kita mengalu-alukan seramai mungkin kehadiran rakyat Malaysia termasuk daripada mereka yang bukan beragama Islam.

"Saya mahu tegaskan perhimpunan pada Sabtu ini juga bukan anti mana-mana agama. Apa yang kami cuba usahakan adalah mencari platform bagi umat Islam bersatu dalam usaha mempertahankan akidah tanpa mengira ideologi politik,'' katanya pada sidang akhbar Himpun di sini, hari ini.

Menurut Yusri, perpaduan antara seluruh umat Islam pada Sabtu ini adalah kerana akidah.

"Sebagai seorang Islam, tiada yang lebih penting daripada mempertahankan akidah," tegasnya.

Pihaknya menyasarkan sekurang-kurangnya 100,000 umat Islam akan berkumpul di Stadium Shah Alam sebagai manifestasi bagi mewakili suara umat Islam di negara ini.

"Himpun yakin jumlah tersebut mampu dicapai memandangkan pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) telah menyatakan komitmen untuk menggerakkan ribuan ahli masing-masing selain sokongan pihak perseorangan,'' katanya.

Full content generated by Get Full RSS.
Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved