Utusan Online - Timur |
- 27 nelayan Vietnam ditahan
- 23 penghuni tinggal sehelai sepinggang
- Diselubungi keresahan rumah digenangi air
Posted: 27 nelayan Vietnam ditahanOleh SAPEE MAT JUNUS Adam Aziz (kiri) bersama 19 awak-awak warga Vietnam berumur antara 17 hingga 41 tahun yang ditahan di perairan Kemaman, semalam. KEMAMAN 14 Okt. - Dua bot nelayan Vietnam yang mengibarkan bendera Kelantan bagi mengaburi pihak berkuasa ketika menceroboh perairan negara ini ditahan kira-kira 114 batu nautika dari Pantai Kuala Kemaman pagi semalam. Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) turut menahan 27 nelayan asing dan merampas 20 tan metrik hasil tangkapan bernilai kira-kira RM20,000 serta peralatan penangkapan ikan. Ketua Penguat Kuasa Maritim Daerah Kemaman, Kapten Maritim Adam Aziz memberitahu, kejayaan itu hasil maklumat yang diterima oleh pihaknya. "Sehubungan itu, Kapal Maritim Malaysia KM Segantang dengan pegawai memerintah kapal, Leftenan Maritim Mohd. Marmizi Md. Nor bersama 20 anak kapal menemui sebuah bot nelayan Vietnam yang sedang menjalankan aktiviti menangkap ikan dengan menggunakan pukat tunda. "Bot berkenaan cuba beredar namun berjaya dikejar pada jarak tiga batu nautika dan tembakan amaran dilepaskan sebelum bot itu ditahan," ujarnya di sini hari ini. Kata beliau, bot itu membawa 19 nelayan warga Vietnam berumur antara 17 dan 41 tahun tanpa pengenalan diri dan permit yang sah di samping muatan 10 tan metrik ikan dan sotong bernilai lebih RM10,000. Adam memberitahu, pihaknya turut mengesan sebuah lagi bot nelayan Vietnam yang sedang menjalankan aktiviti menangkap ikan berhampiran kawasan tersebut. "Bot itu berjaya ditahan selepas mengejar selama 10 minit. Ia membawa bersama tujuh nelayan berumur antara 20 hingga 45 tahun tanpa sebarang dokumen pengenalan diri. "Kami turut merampas lebih 10 tan metrik pelbagai jenis ikan serta 100 kilogram sotong dari bot berkenaan," ujarnya. Menurut Adam lagi, bot yang bernilai lebih RM3 juta setiap sebuah itu dibawa masuk ke pangkalan maritim di sini untuk disita sebelum dilelong bersama semua hasil tangkapan. "Bot berkenaan bersama tekong serta awak-awak ditahan di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Perikanan 1985 kerana menangkap ikan di perairan Malaysia tanpa kebenaran. "Sabit kesalahan tekong bot boleh didenda RM1 juta manakala awak-awak didenda RM100,000.00 atau penjara tidak melebihi dua tahun," katanya. Full content generated by Get Full RSS. |
23 penghuni tinggal sehelai sepinggang Posted: 23 penghuni tinggal sehelai sepinggangAnggota bomba memadam kebakaran di sebuah rumah yang dihuni seramai 23 ahli keluarga di Bandar Ceneh Baru, kelmarin. - UTUSN/Sapee Mat Junus KEMAMAN 14 Okt. - Sebuah keluarga besar seramai 23 orang, tinggal sehelai sepinggang apabila rumah mereka musnah dalam kebakaran di kawasan perumahan Ketengah, Bandar Ceneh Baru, dekat sini semalam. Rumah milik pasangan Umar Ben Sik, 56, dan Aminah Che Ming, didiami bersama empat anak mereka dengan tiga daripadanya telah berkeluarga di samping menantu dan cucu-cucu. Kebakaran itu disedari oleh salah seorang anak pasangan terbabit, Nazma Hatulisma Dagang, 35, pukul 6 petang sebelum mengarahkan semua penghuninya keluar untuk menyelamatkan diri. "Ketika kejadian, ayah tiada di rumah. Saya lalu membawa keluar semua anak dan beberapa anak saudara keluar dari rumah berkenaan. "Selepas itu saya memanggil emak yang berada di rumah agar dapat bersama menyelamatkan barangan berharga. "Hanya Tuhan yang tahu betapa luluhnya hati kami sekeluarga apabila melihat rumah yang menjadi tempat berteduh selama ini musnah dalam sekelip mata," katanya ketika ditemui hari ini. Selain segala dokumen penting, turut musnah adalah sebuah van yang diletakkan berhampiran. Buat masa ini keluarga itu yang bergantung kepada pekerjaan di ladang menumpang di tadika Kancil Emas berhampiran. Sementara itu, Pegawai Bomba Kanan 1 dari Balai Bomba dan Penyelamat Bandar Ceneh Baru, Azhar Noh berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian tersebut daripada jiran mangsa. Katanya, pihaknya berjaya mengawal kebakaran daripada merebak ke beberapa buah rumah lain yang berdekatan. "Seramai 11 anggota dan sebuah jentera bomba dikejarkan ke tempat kejadian dan sejurus tiba kira-kira 90 peratus rumah mangsa telah hangus," katanya. Full content generated by Get Full RSS. |
Diselubungi keresahan rumah digenangi air Posted: Diselubungi keresahan rumah digenangi airSeorang penduduk, Mohammad Deraman menunjukkan perkakasan rumahnya yang ditenggelami di Kampung Binjai, Kota Bharu, semalam. KOTA BHARU 14 Okt. - Lebih 20 keluarga di Kampung Binjai dekat sini diselubungi keresahan apabila rumah mereka ditenggelami air bertakung sejak dua minggu lalu ekoran hujan tidak menentu sejak kebelakangan ini. Penduduk mendakwa masalah tersebut timbul berikutan pembinaan sebuah rumah banglo yang terletak kira-kira 300 meter dari kediaman mereka. Seorang penduduk, Hasnah Hanafi, 47, memberitahu, sebelum ini kawasan kediaman mereka tidak pernah menakung air lebih daripada dua jam kerana air akan dialirkan ke sebuah paya berhampiran dan kejadian ini merupakan yang pertama sejak 30 tahun lalu. Menurutnya, selepas pembinaan rumah berkenaan, pemiliknya telah menutup laluan air tersebut dengan menambak kawasan tersebut untuk dijadikan jalan tanpa memasang kolong air bagi menyalirkan air ke paya berhampiran. "Jangan kata musim tengkujuh, hujan beberapa jam pun rumah kami akan terus dinaiki air. Dulu, lepas dua jam air akan surut tetapi sekarang ini dah masuk dua minggu, tetapi air tetap tidak surut. "Bahagian dapur memang habis tenggelam, sudah dua minggu dapur kami tak berasap, terpaksa makan nasi bungkus. Bilik air dan tandas juga tidak dapat digunakan langsung," katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini. Tambah Hasnah, dia semakin runsing apabila memikirkan majlis perkahwinan anaknya pada 28 November nanti pasti akan berdepan dengan kesulitan berdasarkan situasi ketika ini. Seorang lagi penduduk, Mohamad Deraman, 48, berkata, masalah tersebut sebelum ini pernah dirujuk kepada pihak Pejabat Tanah Daerah Kota Bharu, namun tiada tindakan diambil sehingga kini. Katanya, dia dan beberapa penduduk kampung sebelum ini pernah mengadakan perjumpaan dengan pemimpin tempatan termasuk menemui pemilik banglo tersebut namun maklum balas yang diterima amat mendukacitakan mereka. "Dia tidak mahu membuat saliran air tersebut dan tidak membenarkan kami untuk membuatnya. Kami penduduk kampung sanggup mengeluarkan duit untuk membeli kolong air dan mengupah orang untuk memasangnya, cuma memerlukan kebenaran daripada tuan tanah. "Air yang bertakung di kawasan rumah kotor bercampur najis dan sebagainya. Lambat-laun ia akan menjejaskan kesihatan penduduk di sini. Sehubungan itu, kami minta jasa baik pihak berkenaan termasuk pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk menyelesaikan masalah ini," ujarnya. Full content generated by Get Full RSS. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Timur To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan