Selasa, 18 Oktober 2011

Utusan Online - Sukan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Sukan


Terengganu, NS di ambang akhir

Posted:

Terengganu, NS di ambang akhir

Terengganu, NS di ambang akhir

Oleh MUHAMMAD DAYNE AZMIN dan iswan shafiq mat isa
sukan@utusan.com.my


Pemain T-Team, Indra Putra Mahayuddin (tiga dari kiri) mengasak penjaga gol Negeri Sembilan, Mohd. Farizal Marlias pada perlawanan separuh akhir pertama Piala Malaysia di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu, malam tadi. Negeri Sembilan menang 4-2. – UTUSAN/Shaifudin Mohd Nor


KUALA LUMPUR – Terengganu dan Negeri Sembilan mampu membayangkan pentas akhir Piala Malaysia selepas memperoleh bekalan selesa babak pertama separuh akhir Piala Malaysia, semalam.

Terengganu menewaskan Selangor 2-0 manakala satu lagi separuh akhir menyaksikan Negeri Sembilan menang 4-2 ke atas T-Team.

Di Stadium Shah Alam, Abdul Manaf Mamat menjulang Terengganu menerusi dua jaringannya.

Kemenangan itu meletakkan skuad Penyu itu kini bagaikan sebelah kaki ke pentas akhir buat kali pertama dalam tempoh 10 tahun sementara 'Misi 33' Selangor mungkin sekadar impian untuk dicapai pada musim ini kerana perlu mencari kemenangan sekurang-kurangnya 3-0 di Kuala Terengganu, Sabtu ini.

Tidak sampai seminit perlawanan bermula, Manaf berjaya mendiamkan 30,000 penyokong Selangor apabila meletakkan Terengganu di depan.

Berpunca daripada hantaran lintang Ashaari Samsudin di sebelah kiri, dia bijak melepasi perangkap ofsaid dan tanpa diduga penjaga gol Selangor, G. Jeevananthan, Manaf tanpa melihat ke arah pintu gol melepaskan sepakan melalui tumit belakang ketika bekas penjaga gol USM FC itu tergamam.

Tersentak dengan gol tersebut, Selangor segera bangkit dalam usaha mendapatkan gol penyamaan tetapi dua percubaan Safiq Rahim, satu melalui percubaan jarak jauh pada minit ke-13 dan tiga minit kemudian menerusi sepakan percuma jauh melepasi palang gol.

Ketika Selangor leka dalam usaha mencari gol pembakar semangat, Manaf sekali lagi menghukum kerapuhan benteng Red Giants pada minit ke-32 dengan sepakan leret dari jarak 25 meter bagi meletakkan Terengganu semakin kukuh bergelar pendahulu perlawanan.

Jurulatih Selangor, P. Maniam terpaksa membawa keluar Hardi Jaafar pada minit ke-36 dan digantikan dengan Rudie Ramli dalam usaha menghidupkan jentera tengah yang banyak dikuasai pasukan pelawat, namun perubahan taktikal itu tidak memberikan kesan buat Selangor di samping kecekapan Sharbinee Allawee turut menjadi penghalang kepada anak-anak buah Maniam mendapatkan sebarang gol untuk dibawa ke Kuala Terengganu pada separuh akhir kedua.

Peluang terbaik Selangor hadir pada separuh masa kedua di minit ke-51 melalui Bunyamin Omar yang melakukan rembatan kencang dari luar kotak penalti tetapi mudah ditampan keluar oleh Sharbinee.

Sementara itu, di Kuala Terengganu, Negeri Sembilan mencerahkan laluan ke perlawanan akhir apabila membenam cabaran tuan rumah, T-Team 4-2 di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah.

Skuad Hoben Jang Hoben tidak menunggu lama untuk membuka jaringan apabila Shahurain Abu Samah bijak menyudahkan umpanan cantik daripada S. Kunanlan seawal minit kelima.

Gol itu bagaimanapun tidak mematahkan semangat T-Team apabila tidak sampai lima minit kemudian, Indra Putra Mahayuddin kembali menyamakan kedudukan setelah menyambut bola lintang daripada Mohd. Fitri Omar.

Tersentak dengan jaringan tersebut, Negeri Sembilan terus melancarkan serangan balas ke kubu tuan rumah dan hasilnya, bekas penyerang kebangsaan, Hairuddin Omar menanduk masuk gol kedua pelawat pada minit ke-25 bagi membolehkan pasukannya mendahului 2-1.

Semangat melawan T-Team nyata tidak luntur apabila Nor Farhan Muhammad kembali menceriakan penyokong tuan rumah dengan gol penyamaan pada minit ke-40.

Gol itu bagaimanapun tidak bertahan lama apabila Hairuddin sekali lagi menjadi 'duri dalam daging' kepada pasukan T-Team apabila menjaringkan gol ketiga juga menerusi tandukan pada minit ke-42.

Masuk separuh masa kedua, skuad kendalian Mohd. Azraai Khor Abdullah terus menggandakan asakan untuk menambah jaringan.

Hasilnya, S. Kunanlan terus menambah derita tuan rumah apabila tidak mensia-siakan peluang di depan jaring untuk gol keempat pelawat pada minit ke-50.

Kedua-dua pasukan akan bertemu sekali lagi dalam separuh akhir kedua di Stadium Paroi, Sabtu ini.

Full content generated by Get Full RSS.

Harap tuah di Sepang

Posted:

Harap tuah di Sepang

Harap tuah di Sepang

Oleh AIZAWATI AHMAD
sukan@utusan.com.my


(Dari kiri) Hafizh Syahrin Abdullah, Mohd. Zamri Baba dan Muhammad Zulfahmi Khairuddin yang akan memikul cabaran Grand Prix Malaysia di Litar Antarabangsa Sepang hujung minggu ini.


SEPANG – Pelumba negara, Muhammad Zulfahmi Khairuddin mengharapkan tuah menyebelahinya apabila beraksi buat kali kedua di hadapan penyokong sendiri pada Grand Prix (GP) Malaysia di Sepang, hujung minggu ini.

Setelah kecewa pada saingan di Phillip Island, Australia minggu lepas, anak muda kelahiran Banting itu mengharapkan perlumbaan di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) berlaku sebaliknya.

"Saya amat berharap cuaca di Sepang pada hujung minggu ini baik dan motosikal saya juga dapat berfungsi dengan lancar," katanya kepada pemberita menjelang GP Malaysia di Litar Go-Kart di sini, semalam.

Pada sidang akhbar itu juga, sebuah syarikat alat ganti motosikal, Faito yang menaja Zulfahmi turut menghadiahkan sebuah topi keledar baru yang tertera logo Harimau Malaya atas permintaan pelumba itu.

Mengulas lanjut mengenai saingan di negara Kangaroo itu, pelumba Air Asia-SIC-Ajo Motorsports itu memberitahu, keadaan cuaca yang kurang baik jelas tidak memberi kelebihan kepadanya.

Tambahnya, dia tidak berhadapan masalah teknikal pada jenteranya, tetap keadaan cuaca telah menyebabkan pasukannya memutuskan untuk menggunakan tayar licin.

"Pada dua pusingan awal saya terpaksa berhati-hati kerana keadaan permukaan litar yang basah dan kami pula memutuskan untuk menggunakan tayar licin.

"Tetapi malangnya, apabila keadaan litar kembali kering, saya telah ketinggalan agak jauh di belakang pelumba lain," ujarnya.

Justeru, Zulfahmi amat berharap, dia dapat melakukan sesuatu untuk memberikan persembahan terbaik dan sekali gus mengutip mata berharga di tanah air sendiri.

Prinsipal pasukan, Aki Ajo pula berkata, anak didiknya itu telah mengambil satu langkah yang besar pada saingan musim ini, selepas menimba pengalaman berharga pada perlumbaan tahun lalu.

"Saya berharap Zulfahmi dapat mempamerkan potensi sebenarnya pada perlumbaan GP Malaysia kali ini," tambahnya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif SIC, Datuk Razlan Razali berkata, kehadiran empat pelumba tempatan pada GP Malaysia bakal menarik kehadiran pengunjung yang lebih ramai ke Sepang.

Katanya lagi, rakyat Malaysia lebih gemar membeli tiket pada saat akhir dan beliau yakin kehadiran penonton bakal mencapai sasaran seperti yang telah ditetapkan SIC sebelum ini.

Full content generated by Get Full RSS.
Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved