Selasa, 18 Oktober 2011

Utusan Online - Keluarga


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Keluarga


Terjebak akibat kurang perhatian

Posted:

Terjebak akibat kurang perhatian

Terjebak akibat kurang perhatian


Para peserta Program Tabung Kami Prihatin Karakter Bangsa anjuran ESQ Leadership Center Sdn. Bhd. (ESQ) dengan kerjasama Persatuan Pengguna Islam Malaysia, khusyuk mendengar amanat yang disampaikan oleh salah seorang penceramah.


"SAYA menjadi liar dan terjebak dengan pelbagai masalah sosial kerana tidak mendapat perhatian daripada ibu bapa malah selepas mereka mengetahui kegiatan saya, mereka tetap begitu (tidak ambil peduli)," ujar Sham (bukan nama sebenar), salah seorang peserta remaja Program Tabung Kami Prihatin Karakter Bangsa anjuran ESQ Leadership Center Sdn. Bhd. dengan kerjasama Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), yang ditemui di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Malah kenyataan mengatakan mereka tidak mendapat perhatian keluarga turut disuarakan empat lagi peserta program tersebut.

Walaupun hanya lima peserta program yang ditemu bual, ternyata alasan utama kenapa mereka terjebak dengan masalah sosial adalah disebabkan kurangnya perhatian daripada ibu bapa.

Apa yang menyedihkan, rokok menjadi teman setia kepada kelima-lima remaja tersebut seawal usia 13 tahun lagi.

Daripada lima remaja tersebut, empat daripadanya merupakan remaja lelaki.

Hasil daripada sembang-sembang dengan keempat-empat remaja itu juga mendapati melepak, minum arak, mencuri, meragut, menyamun, mengambil dadah dan bertukar perempuan adalah aktiviti harian mereka tanpa sedikit pun rasa bersalah.

Malah mereka bangga dengan apa yang dilakukan dan sedikit pun tidak takut sekiranya mereka ditangkap.

Sham yang turut berkongsi cerita dengan penulis sebenarnya merupakan seorang pelajar yang pandai tetapi kerana menurutkan kata hati dia akhirnya kecundang.

Tersilap langkah

Akibat tersilap langkah, Sham yang diberi pendidikan agama secukupnya oleh keluarga akhirnya terpesong jauh dari landasan.

Bukan setakat meneguk 'air kencing setan' bagai meneguk air putih, dia yang kini telah kembali ke pangkal jalan menyedari apa yang dilakukan selama ini, semuanya tidak berfaedah dan tidak ke mana.

"Saya merupakan bekas pelajar tahfiz dan akibat daripada tidak tahan dugaan dan apabila tinggalkan al-Quran, saya tidak boleh kawal diri dan tidak jumpa kekuatan diri.

"Itu adalah peringkat pertama perubahan diri saya dan seawal usia 14 tahun saya sudah pandai mabuk dan ambil dadah.

"Masa tu tak fikir apa malah makin seronok, tetapi apabila makin dewasa dan berfikir jauh sebenarnya baru tahu semua ini tidak ke mana-mana dan bila buat jahat pun sudah tidak rasa apa-apa lagi," katanya.

Walaupun hari ini Sham boleh dikatakan hampir pulih daripada dihantui kenangan silam, tetapi masih ada satu perkara yang membuatkan dirinya menyesal tidak sudah.

Menurut Sham, semasa zaman 'jahilnya', dia pernah membuntingkan anak dara orang dan dia berazam ingin menebus kesalahannya dengan menjadi seorang yang bertanggungjawab.

Tersalah pilih kawan

Dalam pada itu, Awie (bukan nama sebenar) yang kini masih merupakan pelajar sekolah menengah di sekitar ibu kota amat bersyukur kerana dirinya tidak terlalu lama terpesong daripada landasan sebenar.

Ini kerana menurutnya, dia cepat disedarkan oleh rakan-rakannya malah dia amat berterima kasih kepada mereka.

Bercerita lanjut mengenai dirinya, Awie menyatakan bahawa dia tersalah memilih kawan.

Akibat daripada itu dia mula menjadi liar dengan melakukan kegiatan menyamun, bergaduh dan juga terlibat dengan perempuan.

Malah rentetan daripada itu juga dia hampir-hampir menjadi hamba dadah.

"Segala-galanya bermula ketika saya berusia 15 tahun dan alhamdulillah apa yang berlaku tidak berpanjangan kerana kini saya telah disedarkan oleh rakan-rakan yang sayangkan diri saya.

"Tetapi boleh dikatakan sepanjang setahun menjalani kehidupan seperti seorang gangster ia banyak memberi pengalaman hidup.

"Usah ditanya sama ada saya menyesal atau tidak kerana sudah pasti jawapannya menyesal yang teramat sangat," tambahnya.

Katanya lagi, selain dibantu rakan-rakan untuk kembali ke pangkal jalan, dia turut bermimpi mengenai kematian.

Rentetan daripada peristiwa itulah, Awie tanpa menoleh ke belakang telah menyahut tawaran rakan-rakan untuk menyertai program yang anjurkan oleh ESQ ini.

Dikuasai arak

Seorang lagi anak muda yang ditemui, Wan (bukan nama sebenar) turut menyesali apa yang telah berlaku kepada dirinya sebelum ini.

Hanya disebabkan mempunyai masalah keluarga, dia tanpa berfikir panjang telah terjebak dengan pelbagai masalah sosial.

Seawal usia 14 tahun, Wan telah mula pandai menghisap rokok dan meminum arak.

Bukan itu sahaja malah sepanjang dia bergelar remaja yang bermasalah, keluar malam merupakan rutin harian dan tidak ketinggalan berkepit serta melakukan seks bebas dengan pelbagai wanita.

"Apa yang saya buat serta segala aktiviti harian saya, keluarga tahu malah mereka diam sahaja.

"Apa yang dicari adalah keseronokan dan masa itu sudah tidak fikir apa-apa lagi, yang penting apa dikehendaki masa itu mesti dapat," katanya jujur.

Kini, setelah menyedari apa yang dilakukan hanyalah membuang masa, Wan mengambil keputusan untuk keluar daripada kelompok tersebut dan membaiki diri.

Bakal menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun hadapan, Wan mengharapkan terbaik buat dirinya untuk bekalan di masa hadapan.

Akibat hasutan

Cerita yang dikongsi Man (bukan nama sebenar) bersama penulis tidak jauh bezanya dengan cerita-cerita Sham, Awie dan Wan.

Ini kerana penglibatannya dengan gejala sosial juga adalah hasutan daripada rakan-rakan sendiri.

Begitupun, Man tidak pernah menyalahkan rakan-rakan kerana menurutnya pokok pangkal diri sendiri.

"Apa yang terjadi kepada saya memang hasutan rakan-rakan tetapi saya tidak sekali-kali menyalahkan mereka.

"Kerana pokok pangkalnya diri saya sendiri dan saya boleh katakan 'tidak' kepada mereka tetapi saya dengan rela hati mengikut ajakan mereka.

"Yang pasti saya cukup menyesali dengan apa yang terjadi dan berharap dengan perubahan diri setakat ini akan terus berkekalan dan menjadi masyarakat yang berguna untuk negara," katanya sebak.

Hari ini dengan menyambung pelajaran di salah sebuah kolej di utara tanah air, Man mengharapkan yang terbaik buat dirinya.

Malah program ESQ tersebut merupakan kursus motivasi kedua yang dihadirinya.

Ini semua adalah untuk menambah ilmu pengetahuan selain menyediakan diri dengan perkara-perkara asas yang telah lama ditinggalkan.

Bagi Mona (bukan nama sebenar) pula, walaupun dilabelkan sebagai seorang remaja yang bermasalah tetapi dia masih tahu batas-batas agama.

Katanya, dia hanya seorang remaja liar yang suka keluar malam, melepak dan hisap rokok.

Tidak lebih daripada itu, Mona memberitahu semuanya berlaku akibat masalah keluarga.

"Saya sebenarnya anak angkat kepada keluarga yang membela saya sekarang ini.

"Saya merupakan anak bongsu. Akibat daripada masalah keluarga serta tiada perhatian daripada mereka, saya mula memberontak," katanya sambil bersyukur kerana ditawarkan untuk mengikut kursus yang dianjurkan oleh ESQ baru-baru ini.

Begitupun baik Mona, Sham, Awie, Wan dan Man mereka kini sepakat untuk memperbaiki diri malah ingin menjadi remaja yang berguna dan boleh dibanggakan negara.

Maka tidak hairan ketika ditemui masing-masing memberitahu agar cerita mereka ini seharusnya dijadikan pengalaman kepada remaja-remaja di luar sana untuk berubah.

Bukan itu sahaja malah mereka juga berpendapat tiada faedah serta manfaat yang diperoleh selain daripada keseronokan yang hanya bersifat sementara.

Full content generated by Get Full RSS.

ESQ bawa remaja ke pangkal jalan

Posted:

ESQ bawa remaja ke pangkal jalan

ESQ bawa remaja ke pangkal jalan

PROGRAM Tabung Kami Prihatin Karakter Bangsa anjuran ESQ Leadership Center Sdn. Bhd. (ESQ) dengan kerjasama Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) dilihat satu lagi jalan penyelesaian kepada gejala sosial golongan remaja.

Pengarah Besar ESQ, Marhaini Yusoff berkata, program tersebut yang diadakan untuk kali kedua adalah bertujuan membantu dan membimbing golongan remaja serta anak muda yang bermasalah kembali ke pangkal jalan.

Tambah beliau lagi, program kali ini merupakan program latihan untuk remaja mensasarkan mereka yang berusia 14 hingga 24 tahun.

"Program ini merupakan program kali kedua diadakan selepas yang pertama pada Jun lalu.

"Ia merupakan program untuk mencetus kesedaran terutama dalam memulihkan semula pembentukan karakter golongan remaja ini.

"Dalam program ini, tumpuan yang istimewa diberikan kepada mereka yang hard core dan apa yang diharapkan agar pengisian dalam program ini akan berjaya mencetus kesedaran dari hati mereka sendiri," katanya ketika ditemui selepas pelancaran Program Tabung Kami Prihatin Karakter Bangsa di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Menurutnya lagi, untuk mendapat keberkesanan selepas program, pihaknya dan PPIM akan saling berhubung bagi memastikan kumpulan itu dapat memulihkan diri sepenuhnya.

Malah jika dilihat keputusan yang diperoleh daripada tinjauan, sebanyak 97 peratus perubahan telah berlaku kepada para peserta program tersebut.

Sementara itu, menurut Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia, Hashnoel Murshim Hashim, inilah kali kedua pihaknya bekerjasama dengan ESQ dalam usaha memberi kesedaran kepada para remaja yang mempunyai masalah sosial.

Ini kerana selain ingin kembalikan mereka ke pangkal jalan, mereka juga berharap agar jumlah kes-kes yang melibatkan gejala sosial di kalangan remaja akan menurun.

"Mengikut statistik 2010, setiap 17 minit anak luar nikah akan dilahirkan dan dalam sehari 19 orang Melayu membunuh diri.

"Manakala di Malaysia terdapat lebih 400 ribu minah dan mat rempit serta bagi kelahiran anak sumbang mahram adalah sebanyak 150,000.

"Bukan itu sahaja, kerajaan telah membelanjakan RM550 juta untuk memberi makanan kepada banduan dan juga penagih dadah setiap tahun," ujarnya.

Jelasnya lagi, statistik tersebut adalah satu beban kepada negara dan program yang diadakan bersama-sama ESQ merupakan salah satu program untuk meringankan beban negara.

Oleh itu, Hashnoel berharap agar semua permasalahan ini dapat diselesaikan secara bersama dan penganjuran program-program sedemikian merupakan salah satu caranya.

Ini juga menurutnya, merupakan tanggungjawab semua dan jangan tuding jari pada mana-mana pihak malah.

Secara umumnya, tiada siapa mampu memberi jawapan tepat kepada persoalan mengapa anak-anak remaja hari ini semakin runtuh akhlaknya kerana yang pasti akhlak remaja-remaja ini semakin rosak dan liar.

Dalam pada itu ESQ memerlukan sumbangan berbentuk dana dan sumbangan kewangan daripada insan-insan mahupun sektor-sektor korporat untuk meneruskan segala usaha dalam menjalankan pelbagai latihan yang diperlukan untuk golongan remaja ataupun aktiviti-aktiviti berbentuk kerohanian lain.

Full content generated by Get Full RSS.
Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved