Utusan Online - Selatan |
- Percepat luluskan projek
- NS mahu perangi pusat perjudian siber habis-habisan
- 12 rumah dilanda ribut dapat bantuan
Posted: Percepat luluskan projekOleh RIZANIZAM ABDUL HAMID MD. Yunos Husin (dua dari kanan) menyampaikan cenderamata kepada petugas yang telah berkhidmat lebih 20 tahun dengan Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah di Melaka, kelmarin. MELAKA 19 Okt. - Semua pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri ini digesa mempercepatkan kelulusan projek-projek hartanah di kawasan masing-masing yang akan memberi kesan terhadap 150 aktiviti hiliran seterusnya membantu merangsang ekonomi negara. Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Md. Yunos Husin berkata, PBT juga perlu gigih membantu mencapai sasaran Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) melalui projek-projek kecil di kawasan pentadbiran masing-masing. Projek-projek tersebut menurut beliau, adalah seperti membina perhentian bas, program pencahayaan, bandar selamat, pemasangan sistem kamera litar tertutup (CCTV) di samping memberi keutamaan kepada projek-projek bersifat 'pusat masyarakat'. "Sebagai barisan hadapan kerajaan, PBT juga perlu sentiasa berusaha menambah baik sistem penyampaian kerajaan untuk memastikan setiap maklumat dapat disampaikan kepada rakyat keseluruhannya. "Program-program yang mendekati rakyat sehingga ke peringkat akar umbi juga perlu diperbanyakkan lagi," katanya dalam ucapan sebelum merasmikan Sambutan Hari Inovasi Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) 2011 di Dewan Taming Sari MBMB di sini semalam. Turut hadir Datuk Bandar MBMB, Zainal Abu dan Setiausaha MBMB, Azmi Hussain. Mengulas lanjut Md. Yunos berkata, setiap PBT perlu peka kepada persekitaran dan keperluan rakyat di kawasan mereka. "Aduan-aduan remeh seperti longkang tersumbat, jalan berlubang, pokok yang tidak dicantas dengan sempurna dan pelbagai lagi isu-isu kecil perlu dikurangkan. "Tiada gunanya jika kita asyik bermegah dengan pelbagai anugerah yang dicapai di peringkat negeri tetapi masih gagal menangani masalah tersebut yang akan memberi kepuasan kepada penduduk," katanya. Pada majlis itu juga, dua kakitangan MBMB yang telah berkhidmat lebih 20 tahun menerima cenderamata selain Anugerah Khidmat Cemerlang 2010 kepada 82 individu. Full content generated by Get Full RSS. |
NS mahu perangi pusat perjudian siber habis-habisan Posted: NS mahu perangi pusat perjudian siber habis-habisanSEREMBAN 19 Okt. – Kerajaan negeri akan membawa cadangan kepada pihak Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan supaya mana-mana individu yang berada di pusat perjudian siber haram di negeri akan dikenakan tindakan tegas. Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, cadangan itu bakal dikemukan selepas pihaknya mendapati kewujudan pusat perjudian siber di beberapa buah kawasan termasuk di kawasan perumahan di negeri ini semakin berleluasa dan memerlukan pembanterasan secara berterusan. Malah, katanya, kerajaan negeri juga telah menubuhkan satu jawatankuasa khas bertindak bagi menangani masalah perjudian siber haram yang mana ia akan dianggotai oleh semua agensi penguatkuasaan meliputi Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan pihak berkuasa tempatan (PBT). ''Dalam jawatankuasa itu juga, kita akan libatkan bersama Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) yang mana mereka akan menguatkuasakan undang-undang di bawah enakmen syariah kepada mereka yang beragama Islam. ''Kepada mereka yang bukan beragama Islam pula merka turut dikenakan dibawah Akta Rumah Judi Terbuka seperti yang termaktub dalam undang-undang sedia ada dan ia akan bergerak secara serentak. Sekiranya mereka berada dipremis itu mereka boleh dikenakan tindakan ," katanya. Mohamad berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco di Wisma Negeri di sini, hari ini. Beliau menjelaskan, melihat situasi berkenaan, pihaknya memandang serius gejala berkenaan kerana ia jelas menjadi barah yang mampu memusnahkan masyarakat sekiranya ia tidak dibendung secara berterusan. Malah, Mohamad sendiri mendedahkan, ada dalam kalangan kaki judi siber ini yang hingga terpaksa berhutang kepada ah long ribuan ringgit kerana ketagihan berjudi menyebabkan kediaman dan kenderaan mereka di rampas serta dilelong selepas gagal menjelaskannya. ''Ada yang sampai berhutang dengan ah long mencecah RM 16,000 hingga RM 20,000 semata-mata untuk berjudi. Selepas itu ada pula yang datang berjumpa dengan pihak kerajaan negeri supaya mereka ini dapat diberikan bantuan. ''Kita mempunyai dasar untuk mensejahterakan rakyat di negeri ini yang mana ia bertujuan untuk membantu masyarakat yang memerlukan. Tetapi dalam soal ini, kita tidak akan berkompromi kepada mereka yang memanipulasi dasar ini untuk membayar hutang mereka," katanya. Full content generated by Get Full RSS. |
12 rumah dilanda ribut dapat bantuan Posted: 12 rumah dilanda ribut dapat bantuanZainal Abidin Ahmad (dua dari kanan) melihat keadaan salah sebuah rumah yang dilanda ribut sambil diperhatikan oleh beberapa penduduk di DUN Sungai Lui, Jempol, semalam. JEMPOL 19 Okt. - Sebanyak 12 buah rumah di sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Lui di sini rosak selepas dilanda ribut baru-baru ini. Kejadian yang berlaku pada pukul 4 petang itu menyebabkan beberapa atap rumah tercabut dan diterbangkan angin. Seorang mangsa, Hamdan Md. Daud, 56, berkata, ia merupakan kejadian pertama sejak menetap hampir 30 tahun di Felda Lui Selatan Dua. "Ketika kejadian, saya berada di dalam rumah bersama isteri dan anak-anak. Pada mulanya saya sangka ia hanya hujan lebat dan tidak mungkin akan berlaku sesuatu yang berbahaya. "Keadaan mula panik apabila kami mendengar bunyi angin yang kuat dari arah luar. Bimbang dengan keselamatan, kami segera berkumpul di ruang dapur rumah," katanya. Ujarnya, selang beberapa minit berada di dapur, bumbung di bahagian ruang tamu tercabut dan diterbangkan angin. "Hujan bertambah lebat dan semua barang di ruang tamu basah. Tiba-tiba satu atap zink jatuh dan terkena kepala dan lengan sebelah kanan saya. Mujurlah saya hanya cedera ringan sahaja," katanya. Seorang lagi mangsa, Rahima Dagang, 58, hanya mampu berserah kepada takdir apabila mendengar angin yang kuat. "Ketika itu, saya seorang diri di rumah, suami pula di Hospital Jempol mendapatkan rawatan. "Ketika itu, saya sangat takut jika berlaku sesuatu yang buruk. Akhirnya angin yang kuat itu menerbangkan atap dapur rumah saya," katanya. Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Lui, Datuk Zainal Abidin Ahmad berkata, pihaknya telah mengenal pasti rumah yang terjejas akibat kejadian itu. Beliau berkata, pasukan sukarelawan Barisan Nasional DUN Lui akan segera membantu membaik pulih rumah yang rosak. Full content generated by Get Full RSS. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Selatan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan