Utusan Online - Jenayah |
Posted: 138 warga Afrika ditahanOleh ZAINAL AZHAR MOHAMED Warga Afrika berkeliaran di sekitar rumah kedai pada waktu malam di Mantin, Negeri Sembilan, semalam. KUALA LUMPUR 20 Okt. - Seramai 138 warga Afrika yang merupakan pelajar di kolej swasta di negara ini telah ditahan sepanjang sembilan bulan pertama tahun ini kerana terlibat dalam sindiket penipuan antarabangsa yang mengakibatkan kerugian mangsa sebanyak RM940 juta. Statistik Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman mendedahkan jumlah kerugian mangsa itu meningkat berbanding RM731 juta pada sepanjang tahun lalu dengan seramai 196 warga Afrika ditahan. Kesemua mereka merupakan penuntut di 19 buah IPTS di sekitar Lembah Klang. Timbalan Pengarahnya, Datuk Tajuddin Md. Isa berkata, kemasukan pelajar itu ke negara ini juga dipercayai telah diatur oleh sindiket warga negara tersebut hasil siasatan yang dijalankan pihaknya. "Apabila ditahan suspek memberitahu mereka pelajar jurusan diploma dan ijazah namun terdapat dalam kalangan mereka tidak tahu membaca apatah lagi menulis. "Dalam pemeriksaan lanjut dengan kolej tempat suspek menuntut pula, pusat pengajian tersebut menafikan warga asing terbabit adalah pelajar mereka sedangkan masing-masing mempunyai visa pelajar untuk berada di negara ini. "Namun siasatan terperinci mendedahkan ada suspek telah memuat pendaftaran sebagai pelajar di kolej swasta dengan menggunakan nama palsu," katanya kepada Utusan Malaysia di sini, hari ini. Beliau berkata, antara jenayah yang dikesan dilakukan oleh warga Afrika ialah penipuan kiriman barang, phishing dan Black Money. Phishing boleh didefinisikan sebagai proses fraud jenayah dalam cubaan untuk memperoleh maklumat sensitif seperti nama pengguna, kata laluan serta butiran kad kredit dengan menyamar sebagai entiti yang boleh dipercayai menerusi komunikasi elektronik. Tajuddin memberitahu, dalam penipuan tersebut penjenayah bukan sahaja menjadikan penduduk tempatan sebagai mangsa tetapi rakyat di negara lain. "Negara ini dijadikan lokasi untuk melakukan penipuan sehingga melibatkan rakyat di negara lain dan akibat perbuatan itu, nama baik dan keselamatan negara terjejas. "Malah penjenayah itu juga menggunakan nama agensi kerajaan, bank dan rakyat tempatan sebagai alat dalam melakukan penipuan," ujarnya. Katanya, dalam siasatan JSJK sebelum ini pernah mendedahkan seorang daripada penjenayah warga Afrika berjaya membina sebuah hotel dengan kos jutaan ringgit di negara mereka hasil wang penipuan. Menurutnya, kebiasaannya penjenayah dapat membina rumah bernilai jutaan ringgit dan hidup mewah selepas melakukan penipuan sepanjang tempoh 'belajar' di negara ini. Full content generated by Get Full RSS. |
Dadah: Pelajar Afrika catat jumlah tangkapan tertinggi Posted: Dadah: Pelajar Afrika catat jumlah tangkapan tertinggiKUALA LUMPUR 20 Okt. - Warga Afrika merekodkan bilangan pelajar negara asing tertinggi yang ditahan di seluruh negara kerana terlibat dalam kegiatan dadah iaitu seramai 77 orang sejak Januari lalu sehingga kelmarin. Menurut statistik yang dikeluarkan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, daripada jumlah itu seramai 66 orang daripadanya, merupakan pengedar, manakala bakinya penagih dadah. Dalam tempoh sama, statistik turut menunjukkan 11 tangkapan pelajar asing dari pelbagai negara utama termasuk Iran, Bangladesh dan China juga ditahan atas kesalahan sama. Menurut Pengarah JSJN Bukit Aman, Datuk Noor Rashid Ibrahim, sindiket pengedaran dadah dari Afrika dikesan menggunakan modus operandi (MO) menawarkan upah yang lumayan kepada pelajar-pelajar asing untuk menyeludup masuk atau mengedar dadah di negara ini. "Selain menyeludup dadah menggunakan pas pelajar, mereka dikesan sebagai pelancong atau ahli perniagaan yang masuk melalui lapangan terbang utama negara. "Selain laluan udara, sindiket pengedaran dadah juga menggunakan jalan darat untuk menyeludup dadah terutamanya ganja. "Dalam tempoh itu, seramai 43 warga Afrika direkodkan ditahan kerana menyeludup dadah di lapangan terbang utama negara ini," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman di sini, hari ini. Noor Rashid memberitahu, mereka yang ditahan menggunakan pelbagai taktik termasuk menyembunyikan dadah di dalam peket tembakau, bekas penyembur rambut dan penyembur badan serta bahagian tiang besi belakang beg. "Kesemua taktik yang digunakan pengedar dadah ini berjaya dikesan dengan kawalan ketat anggota polis. Hasil tangkapan tersebut menunjukkan polis memandang serius dan komited untuk berusaha membebaskan negara daripada ancaman dadah dan dijadikan sebagai transit dadah di rantau ini," katanya. Dalam pada itu, Noor Rashid memberitahu, seramai 132,851 rakyat tempatan dan warga asing ditahan atas pelbagai kesalahan dadah bagi tempoh Januari lalu sehingga kelmarin, berbanding 129,225 orang bagi tempoh sama tahun sebelumnya. Katanya, jumlah rampasan pula dianggarkan bernilai RM201.11 juta dengan rampasan dadah paling popular seperti syabu sebanyak 679.34 kilogram berbanding 621.48 kilogram pada tahun sebelumnya. Sementara itu, statistik menunjukkan enam warga Afrika antara 14 warga asing ditahan kerana menyeludup dadah di sempadan negara, hampir setiap hari dalam tempoh 4 Oktober hingga 15 Oktober lalu. Full content generated by Get Full RSS. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Jenayah To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan