Khamis, 20 Oktober 2011

Utusan Online - Rencana


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Rencana


Perpaduan kaum di sebalik kisah Natrah

Posted:

Perpaduan kaum di sebalik kisah Natrah

Perpaduan kaum di sebalik kisah Natrah

DATIN FATINI YAACOB ialah penulis buku Natrah: Cinta, Rusuhan dan Air Mata

ESOK hari Sabtu 22 Oktober 2011, akan menjadi hari Himpunan Sejuta Umat (Himpunan) yang aman buat pertama kali bagi orang Islam setelah berlalu 60 tahun sejarah memurtadkan Natrah oleh penjajah. Kecuali isu murtad, banyak bezanya himpunan ini dengan apa yang ada dalam sejarah Natrah.

Apa hebatnya sejarah Natrah? Apa kaitannya sejarah agenda penjajah memurtadkan Natrah dengan perpaduan antara kaum? Sejarah Natrah sebenarnya adalah sejarah yang sangat istimewa - bukti cintakan agama bagi bangsa Melayu dan India Muslim ketika itu.

Sejarah Natrah juga adalah bukti perpaduan orang Melayu yang berbeza fahaman politik, berbeza latar belakang pendidikan dan berbeza status kedudukan - bergabung membela agama yang dihina penjajah sehingga sanggup mengorbankan kepentingan diri tahap tertinggi iaitu nyawa mereka sendiri.

Setelah 60 tahun berlalu, apa jadi kepada perpaduan orang Melayu ini? Nampaknya dalam isu murtad yang begitu aggresif terhadap orang Melayu kini, ia belum berjaya menghimpunkan atau menyatukan pelbagai perbezaan kedudukan orang Melayu hari ini untuk bersatu membela Islam.

Sehingga rencana ini ditulis - Parti Pas terang-terangan menolak untuk bersama Himpunan ini, padahal isu murtad jelas berkepentingan Islam yang dikatakan diperjuangkan oleh Pas.

Sejarah Natrah juga menjadi bukti gabungan semangat kerjasama dan perpaduan luar biasa kepada bangsa-bangsa yang bergabung dengan Melayu atas nilai-nilai murni sejagat dan hak asasi manusia. Ketika itu dengan rela hati, tanpa ada kepentingan diri bangsa-bangsa Cina, India dan Serani ikut berjuang menentang penjajah Inggeris yang menzalimi hak asasi anak kecil bernama Natrah.

Sekiranya kita menyemak kembali isu perpaduan bangsa ini, selepas 60 tahun sejarah itu berlalu, kita hairan melihat betapa biadapnya kini sesetengah bangsa bukan Melayu ini mempersoalkan hak kedudukan Melayu, hak kedudukan raja/sultan mahupun hak Islam sebagai agama rasmi yang ada di dalam Perlembagaan.

Kalau dulu kita pernah berlaku jujur dan bersatu menentang musuh yang satu yakni penjajah dalam sejarah Natrah. Kenapa bangsa Melayu kini diasak pula dan dianggap sebagai musuh? Padahal tiada bangsa sebaik Melayu yang memberikan hak kewarganegaraan semudah itu dan tiada bangsa semulia Melayu dalam hal kompromi dan tolak ansur.

Sebagai imbasan kembali betapa hebatnya penyatuan Melayu dan bangsa-bangsa lain dulu, lihatlah bukti semangat berkorban ketika rusuhan Natrah. Dalam senarai 14 kematian di tempat kejadian pada hari pertama yang dilaporkan oleh akhbar The Straits Times 13 Disember 1950 - lima kematian adalah daripada bangsa Cina dan India, tiga orang bangsa Melayu manakala selebihnya adalah bangsa Eropah. Dalam senarai 138 orang yang cedera dalam kejadian rusuhan itu - 52 orang berbangsa China, 19 Melayu, 14 India, 11 Serani sementara selebihnya seramai 42 orang adalah bangsa Eropah.

Bagi saya sebagai pengkaji sejarah ini, gabungan bangsa-bangsa yang sanggup mati dalam sejarah Natrah ini adalah perpaduan luar biasa dan cukup hebat bagi sebuah negara yang belum lagi merdeka ketika itu.

Unsur perpaduan yang jujur dan kukuh ini telah wujud begitu lama - 60 tahun lalu, lama sebelum kerajaan menjadikan slogan 1Malaysia, empat tahun yang lalu.

Gelombang globalisasi, dunia tanpa sempadan - internet, telefon tangan - telah menukar corak budaya hidup dan pegangan agama generasi kedua bangsa Melayu, Cina, India dan Serani yang tidak kenal hidup susah dan tidak pernah tahu pengorbanan dan perpaduan antara bangsa dalam sejarah Natrah dulu.

Musuh dari luar yang menggunakan media eletronik - tv, pawagam, internet dan komputer, dunia sukan dan hiburan sebagai agenda melunturkan pegangan terhadap akidah agama, termasuk Islam. Oleh itu struktur budaya, pemikiran dan pegangan terhadap agama berubah, kerana perubahan kemewahan hidup dan faham kebendaan yang mengambil tempat.

Hal ini meresap masuk ke segenap aspek dan institusi kehidupan bangsa-bangsa besar Malaysia ini - sama ada politik, ekonomi, sosial mahupun institusi agama. Agenda musuh dari luar yang datang bersama globalisasi dalam mencairkan pegangan agama, mengambil tempat dengan mudah untuk menawarkan hidup mewah dan kaya raya apabila nilai pegangan agama boleh ditukarkan dengan nilai kebendaan.

Jadi pada pandangan saya, inilah isu sebenarnya - sikap melampau dalam agama - sama ada Kristian, Islam, Buddha atau Hindu dan sikap pentingkan diri sendiri di kalangan bangsa-bangsa itu yang akhirnya bertukar menjadi musuh dalam selimut kepada perpaduan kaum - yang menjadi nilai hebat dan utama sejak zaman Natrah itu lagi.

Jadi musuh dalam selimut ini berusaha sehingga berlaku usaha-usaha aggresif memurtadkan orang Melayu sejak zaman Aishah Bukhari, Lina Joy hingga kepada usaha yang melampaui batas - kes gereja Damansara Utama sangat mendatangkan kemarahan orang Melayu.

Kita percaya banyak lagi usaha senyap yang berjalan terus untuk memurtadkan orang Melayu yang tidak dapat dihidu.

Mengapa sejak 20 tahun kebelakangan ini begitu menjadi-jadi agenda memurtadkan bangsa Melayu ini? Mengapa bangsa yang dulunya pernah bersatu dalam isu memurtadkan Natrah oleh penjajah kini beria-ia mahu berusaha memurtadkan sahabat dan saudaranya sendiri bangsa Melayu dengan taruhan wang ringgit dan air suci (holly water)?

Mengapa mahu menggadaikan perpaduan seluruh bangsa dengan nilai kepentingan diri kelompok minoriti daripada bangsa-bangsa tersebut?

Kita harus cermat menilai isu memurtadkan orang Melayu atau orang Islam ini untuk mengelakkan ia menjadi fahaman perkauman yang sempit yang merugikan semua pihak. Kita tidak mahu bangkit satu lagi tragedi seperti rusuhan Natrah yang musuhnya adalah sesama kita sendiri.

Alangkah ruginya rupa bangsa yang telah beratus tahun hidup bersatu padu dan harmoni jika saling menikam diri sendiri, saling bermusuh sesama sendiri atas kepentingan peribadi dan faham agama yang melampau dari kelompok minoriti bangsa-bangsa itu.

Faham kepentingan diri dan faham memperalatkan agama yang melampaui batasan ini juga ada di kalangan orang Melayu/Islam. Demikian juga mereka yang bernafsu besar terhadap wang ringgit, kebendaan dan kelazatan melakukan maksiat.

Teladan buruk peringkat pimpinan atasan membawa kesan buruk kepada rakyat pertengahan dan bawahan yang hidup sempit. Mereka menjadi peniru yang baik terhadap amalan buruk beragama peringkat atasan itu. Kesempitan hidup tidak lagi ditanggapi sebagai ujian Allah untuk memberikan erti redha dan erti ikhtiar hidup.

Kesempitan hidup dengan mudah pula boleh ditukar dengan iman untuk mendapatkan kesenangan dan kemewahan seperti orang lain daripada pendakwah-pendakwah Kristian yang menangguk di air keruh.

Jadi pada pandangan saya, inilah musuh utama semua bangsa di Malaysia hari ini. Oleh itu semua bangsa dan semua penganut agama terutama kelompok pimpinan agama seperti ulama, paderi atau sami mesti menyemak dengan serius unsur faham melampau agama dan faham melampau pentingkan diri sendiri yang ada dalam penganut agama masing-masing.

Kita mesti berusaha membendung fahaman yang melampaui batasan ini sebelum terlambat. Bunga-bunga ke arah kehancuran perpaduan kaum dan perdamaian antara bangsa di Malaysia sudah jelas kelihatan dengan usaha-usaha melampaui batas memurtadkan orang Melayu kini.

Dalam hal seberat ini, kelompok pimpinan tertinggi politik dan pimpinan agama dan pimpinan pertubuhan agama bukan politik harus duduk semeja menangani persoalan murtad yang melampaui batas ini. Ketepikan persoalan percaturan politik dan percaturan kuasa, demi keutuhan agama.

Undang-undang murtad yang baru harus diusahakan agar dengan tegas boleh mengambil tindakan kepada mana-mana pihak yang sengaja mendakwahkan orang Islam kepada Kristian atau kepada agama lain di negara ini.

Sesungguhnya Islam itu wajib dibela oleh semua pihak, terutama kepada pihak yang memegang kuasa. Bagi saya, Islam mesti diletak di atas segala-galanya melebihi kepentingan politik, melebihi kepentingan peribadi. Parti Pas atau UMNO sepatutnya menanggalkan kepentingan politik apabila isu murtad ini diketengahkan. Survival Islam sebenarnya adalah makna survival bangsa bernama Melayu. Hancur bangsa Melayu belum lagi menghancurkan Islam. Tetapi hancur Islam sudah pasti menghancurkan bangsa bernama Melayu ini.

Orang Melayu patut insaf akan nilai perjuangan mengorbankan kepentingan diri demi agama daripada sejarah Natrah. Kalau dulu kita berani dan kuat dalam ketiadaan kuasa, mengapa kini kita lemah setelah merdeka, sedangkan kerajaan dalam pegangan kita?

Semoga matlamat Himpunan Sejuta Umat ini membuka mata bangsa Melayu, terutama para pemimpin politik yang sedang lalai dan masih leka bermain politik dalam isu survival serius agama dan bangsa ini. Salam himpunan dari saya pengkaji sejarah Natrah.

Full content generated by Get Full RSS.

Ke arah minat sains yang mendalam

Posted:

Ke arah minat sains yang mendalam

Ke arah minat sains yang mendalam

PENULIS ialah Felo Pusat Kajian Sains dan Alam Sekitar, Institut Kefahaman IslamMalaysia (IKIM)

JIKA membaca akhbar-akhbar utama negara, berita-berita tentang Bajet 2012 dan Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU) merupakan antara topik yang mendapat perhatian.

Manakan tidak, kedua-duanya, secara langsung atau tidak amat berkaitan dengan kehidupan bermasyarakat di Malaysia. Namun, mari kita berehat sebentar dan alihkan perhatian terhadap perbincangan lain pula.

Perbincangan yang dimaksudkan adalah tentang dunia sains, yang sebenarnya penting tetapi kelihatan amat terasing dalam kehidupan bermasyarakat di Malaysia. Perhatikan sekeliling.

Bila bercakap tentang bajet mahupun PRU, semua orang merasakan mereka layak dan boleh berbicara tentang dua isu itu tetapi bila bercakap tentang dunia sains, ramai berasakan biarlah pihak pakar sahaja yang menguruskannya.

Ini satu cara berfikir yang salah kerana peranan ahli masyarakat sebenarnya penting dalam usaha melonjakkan dunia sains negara ke arah kejayaan dan dalam masa sama dapat dipastikan bahawa aktiviti sains berjalan pada landasan yang benar.

Dalam sebuah buku bertajuk Science and Ethics yang ditulis oleh Bernard E. Rollin, seorang profesor dalam bidang veterinar dan kini memberi tumpuan terhadap persoalan nilai dan etika dalam dunia sains, terdapat beberapa perkara menarik yang boleh dikongsikan bersama.

Di dalam buku ini dinyatakan bahawa satu ketika dulu, dunia sains merupakan satu dunia yang hebat dan dikagumi di Barat. Maka, tidak hairanlah, ada kumpulan yang menganggap sains sebagai satu "agama" baru. Namun, kehebatan dunia sains itu semakin terhakis dan tercemar.

Menurut Rollin, hal ini berlaku kerana pengabaian terhadap aspek-aspek nilai dan etika dalam sains. Beliau merujuk contoh permasalahan alam sekitar kini sebagai sebahagian daripada pengabaian terhadap nilai dan etika sains.

Oleh itu, Rollin menyeru ahli sains kembali kepada nilai dan etika kerana dengan cara ini, bukan sahaja dapat mengelakkan salah laku dalam kegiatan sains tetapi dalam masa sama dapat mengembalikan kepercayaan dan minat masyarakat terhadap sains.

Katanya, jika ahli sains tidak cuba membincangkan serta melibatkan nilai dan etika dalam kegiatan sainsnya, maka persoalan itu akan dibincangkan oleh "orang lain" yang bukan pakar dalam sains.

Perbincangan oleh orang lain ini akan hanya memburukkan keadaan, iaitu melemahkan imej sains dan saintis. Antara 'orang lain' yang dimaksudkan Rollin ialah golongan agama.

Dalam masa sama, Rollin melihat bahawa ahli sains perlu bergaul dengan pakar-pakar atau individu dari pelbagai bidang lain. Ini kerana kesepaduan pelbagai pakar atau ahli dalam pelbagai bidang boleh membentuk aspek check and balance dalam kegiatan sains.

Hal ini perlu kerana bagi Rollin, saintis kadang kala gagal melihat sesuatu perkara atau kegiatannya dari sudut etika, maka kumpulan dalam bidang lain itu akan bertindak sebagai 'tukang tegur'.

Berdasarkan penerangan di atas, elok juga kita lihat perbincangan Rollin ini dalam konteks negara Malaysia. Secara umumnya, penulis tidak nampak masyarakat Malaysia hilang keyakinan terhadap sains dan saintis. Ini kerana, pada asalnya pun, masyarakat Malaysia seolah-olah tidak peduli akan sains dan apa yang dilakukan oleh saintis.

Antara masyarakat dan dunia sains di Malaysia seolah-olah ada satu jurang. Malah boleh dikatakan bahawa masyarakat tidak tahu (dan mungkin tidak peduli) apa yang dilakukan saintis. Jika ini diterima maka persoalan hilang keyakinan sebenarnya tidak wujud langsung.

Namun, dari satu sudut lain, banyak perkara yang berlaku di sekeliling memerlukan penjelasan dan penyelesaian dari sudut sains. Malah, jika dilihat dalam konteks masyarakat Muslim di Malaysia, penjelasan dan penyelesaian sains demi kelangsungan dan kelancaran hidup masyarakat Muslim, adalah amat diperlukan.

Pada masa kini, dengan perkembangan sains dan teknologi yang pesat, penjelasan dan penyelesaian sains dalam aspek-aspek pemakanan dan perubatan amat diperlukan. Misalnya, isu makanan ubah suai genetik, biofarmaseutikal, pendermaan organ, kesan merokok, pengklonan, bank genetik, kaedah persenyawaaan tiruan dan yang terbaru Bank Susu Ibu, semuanya memerlukan penjelasan dan penyelesaian sains.

Penjelasan dan penyelesaian sains ini pula tidak seharusnya berdiri sendiri tetapi perlu dibantu dari sudut syariah Islam. Dengan itu, peranan ahli agama amat diperlukan.

Oleh itu, dalam konteks masyarakat Islam di Malaysia, golongan agamawan tidak boleh dianggap sebagai "memburukkan keadaan" seperti mana yang dijelaskan di atas.

Sewajarnya, golongan ini dianggap sebagai pelengkap kepada kegiatan dan dunia sains demi kesejahteraan umat Islam di Malaysia.

Malah, golongan saintis seharusnya melihat golongan agama sebagai salah satu 'rakan pergaulan dari pelbagai bidang' seperti mana yang disarankan Rollin.

Dalam hal ini, kerjasama saintis dan ahli-ahli dalam pelbagai bidang bukan bersifat 'sekali-sekali'. Malah, sewajarnya menjadi budaya dalam masyarakat kita, saintis dan ahli-ahli dalam pelbagai bidang berbincang dan berdebat tentang pelbagai persoalan sains pada setiap masa. Walaupun ini agak sukar dilakukan namun jaringan hubungan seperti ini wajar diusahakan, sama ada dalam keadaan formal mahupun tidak.

Akhirnya, kesepaduan seperti ini akan memberi manfaat besar kepada umat Islam terutamanya dari segi menyelesaikan masalah sains yang berkaitan dengan kehidupan masyarakat Muslim.

Di Malaysia, terdapat pelbagai isu berkaitan sains yang memerlukan pandangan dan penyelesaian dari sudut syariah Islam, misalnya dalam bentuk fatwa. Pada ketika ini, masyarakat bukan sahaja perlu mematuhi apa-apa fatwa yang dikeluarkan tetapi dalam masa sama memahami sebab-sebab fatwa tersebut dikeluarkan dan kesannya dalam kehidupan mereka.

Bukan itu sahaja, dengan perkembangan pesat dunia sains dan teknologi masa kini, perbincangan, penjelasan dan penyelesaian dari sudut sains dan syariah Islam dapat digerakkan secara bersepadu dan segera jika wujudnya kerjasama yang baik antara saintis, golongan agama dan pakar-pakar dalam bidang lain seperti sosial, ekonomi, budaya dan sebagainya.

Full content generated by Get Full RSS.
Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved