Ahad, 9 Oktober 2011

Utusan Online - Rencana


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Rencana


Transformasi besar Felda

Posted:

Transformasi besar Felda

Transformasi besar Felda

DALAM pembentangan Bajet 2012, Jumaat lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan penyenaraian Felda Global Ventures Holdings (FGVH) di Bursa Malaysia sebelum pertengahan 2012 dalam usaha mengumpul dana untuk menjadi syarikat konglomerat global.

Walau apa pun, hak dan faedah peneroka akan terus dipelihara melalui pemilikan majoriti saham dalam FGVH oleh Koperasi Permodalan Felda (KPF).

Menurut Najib, setiap peneroka juga akan menerima 'durian runtuh' yang mana jumlahnya akan diumumkan nanti, sebelum penyenaraian dilakukan.

Dalam wawancara dengan wartawan Utusan Malaysia, NIZAM YATIM pada malam pembentangan Bajet 2012, Pengerusi Felda, TAN SRI MOHD. ISA ABDUL SAMAD menjelaskan segala transformasi besar yang dilakukan itu bertujuan mewujudkan budaya lebih cemerlang di Felda serta melonjakkan lagi kekayaan peneroka pada masa depan.

UTUSAN: Apakah komen Tan Sri terhadap penyenaraian FGVH seperti yang telah diumumkan oleh Perdana Menteri?

MOHD. ISA: Sebenarnya, kalau dilihat prestasi KPF yang dimiliki peneroka, ia telah meraih keuntungan sebanyak RM300 juta daripada penyenaraian MSM Malaysia Holdings Bhd. (MSM) di Bursa Malaysia pada pertengahan tahun ini. Jadi tidaklah hairan, para peneroka mahukan Felda mengulangi kejayaan ini lagi dan pengumuman Perdana Menteri tentang penyenaraian FGVH ini adalah bertepatan pada waktunya.

Ini bakal mendatangkan lagi keuntungan kepada para peneroka yang akan juga menjadi 'rakan perniagaan' Felda selepas penyenaraian ini.

Felda yang telah bangun seiring dengan kejayaan negara, kini bakal melonjakkan lagi pertumbuhannya pada 50 tahun kedua di mana Felda bukan sahaja pengusaha ladang yang terbesar di dunia tetapi juga akan menjadi pelaku glokal dalam perniagaan berasaskan perladangan.

Penyenaraian ini hanya melibatkan aset atau tanah milik Felda. Tanah peneroka tidak terlibat dan akan kekal milik peneroka.

Malah generasi baru akan menerima limpahan ekonomi dengan timbulnya peluang pekerjaan dan perniagaan yang bakal dijalankan di ladang hasil daripada penyenaraian ini.

Boleh Tan Sri jelaskan apakah yang dimaksudkan oleh Perdana Menteri bahawa peneroka Felda akan menerima 'durian runtuh'?

Dari segi durian runtuh ini, insya-Allah ia akan berlaku. Cuma dari segi angkanya, itu akan diumumkan Perdana Menteri bila sampai waktunya. Kepada para peneroka, saya minta mereka bersabar menanti pengumuman berkenaan.

Boleh Tan Sri jelaskan bagaimana bentuk transformasi besar yang dimahukan Perdana Menteri?

Datuk Seri Najib mahu warga Felda berfikir di luar kotak, berpandangan jauh untuk membawa kemodenan dalam struktur Felda secara keseluruhan yang mana manfaatnya akan dinikmati oleh mereka serta generasi akan datang.

Pertumbuhan 50 tahun kedua ini jauh bezanya daripada 50 tahun pertama di mana generasi pertama hanya memerlukan tulang empat kerat yang menyaksikan transformasi pertama Felda yang bukan saja telah membangkit kedudukan sosioekonomi malah turut merubah landskap geografi negara.

Transformasi yang sedang dan akan dilalui oleh generasi kedua Felda pula bakal merubahkan landskap landasan pendapatan - yang bukan hanya dijana daripada perladangan tetapi juga daripada hasil sampingan yang berkaitan dengan ladang seperti aktiviti pertengahan dan hiliran.

Jadi di sini, generasi baru perlu melengkapkan diri dengan kemahiran dan teknologi di samping anjakan minda yang akan menentukan hala tuju 50 tahun kedua Felda seiring dengan usaha kerajaan untuk menjadikan Malaysia sebagai salah sebuah negara berpendapatan tinggi yang turut meliputi penduduk di luar bandar.

Bagaimana pula kedudukan KPF dalam transformasi ini?

Buat masa sekarang, tiada pemisah di antara aktiviti komersil dan aktiviti sosioekonomi. Dengan adanya transformasi, peranan yang dimainkan oleh setiap entiti Felda telah disusun semula supaya cabang komersil dan cabang sosioekonomi akan lebih fokus dan khusus. Ini untuk kepentingan peneroka juga.

Cabang komersil Kumpulan Felda adalah FGVH sementara cabang sosioekonominya adalah Lembaga Felda. Dalam penstrukturan semula ini, KPF yang merupakan sayap pelaburan Kumpulan Felda telah dikenal pasti sebagai aktiviti komersil.

Transformasi ini akan membolehkan setiap entiti Kumpulan Felda memberi tumpuan khusus dalam aktiviti masing-masing, sama ada aktiviti komersilnya yang melibatkan pengurusan ladang termasuklah pelaburan di dalam dan luar negara ataupun aktiviti sosialnya seperti kebajikan warga peneroka, perumahan, pendidikan dan sebagainya.

Transformasi ini memerlukan peranan setiap entiti di bawah Kumpulan Felda diperkemaskan.

Apakah pelan transformasi untuk tempoh 10 tahun bagi menjadikan Felda Economic Powerhouse sebelum tahun 2020?

Kumpulan Felda bakal muncul sebagai organisasi perniagaan multinasional berasaskan agribisnes yang bersepadu dan dinamik dengan aktiviti huluan dan hiliran yang mapan yang akan memanfaatkan bukan sahaja warga peneroka malah masyarakat Malaysia dan negara.

Ini akan melibatkan penyusunan dan penstrukturan semula peranan, model perniagaan dan pegangan ekuiti dalam Kumpulan Felda yang bakal memberi manfaat yang lebih kepada warga peneroka.

Dengan populasi warga Felda yang makin meningkat, Felda sebagai Economic Powerhouse akan semakin relevan untuk menampung pertumbuhan ini.

Transformasi ini akan menggalakkan peningkatan pengeluaran dari aset perladangan serta menambah baik nilai Felda.

Generasi baru tidak perlu hanya menjadi golongan peneroka di rancangan tanah sendiri, mereka perlu keluar meneroka sumber dan sektor perniagaan dan perladangan baru di luar negara.

Ada pihak berpendapat tanggungjawab sosial korporat (CSR) Felda kepada peneroka terlampau banyak sehingga tidak masuk akal seperti menyediakan perumahan untuk generasi kedua?

Felda tidak lagi menerima bantuan daripada kerajaan dan tanggungjawab korporat yang diberikan Felda adalah hasil daripada usaha peneroka sendiri. Ini sama seperti Sime Darby atau Petronas yang menyediakan kemudahan kepada warga mereka.

Pemegang saham utama Felda ialah para peneroka jadi tidak hairanlah jika tanggungjawab korporat dipulangkan semula kepada pembangunan sosioekonomi peneroka serta generasi akan datang.

Setakat mana kejayaan pendidikan bagi menjana perubahan minda dan idea kepada generasi baru Felda termasuk menjadikan mereka usahawan berjaya?

Pembangunan modal insan amat penting dan anak-anak Felda diberikan peluang yang cukup luas untuk melanjutkan pelajaran sehingga ke peringkat tertinggi.

Ramai anak Felda yang telah berjaya dan kini mencurahkan bakti semula di tanah rancangan. Anak-anak peneroka ini bukan hanya bergantung hasil pendapatan dari perladangan sahaja tetapi turut mempelbagaikan aktiviti berkaitan perladangan yang dapat menambahkan pendapatan ataupun menggunakan teknologi terkini untuk mendapatkan pengeluaran yang efisien.

Ada juga anak peneroka walaupun berkelulusan ijazah tetapi kembali mengusahakan ladang kerana mereka dapat melihat potensi yang boleh diraih daripada hasil tanah.

Pendidikan mampu menjana perubahan minda serta idea dan dengan adanya Internet, banyak yang boleh dipelajari. Kejayaan kini menunjukkan, generasi baru Felda yang berjaya dalam pengajian tinggi adalah seramai 76,483 orang.

Mereka terdiri daripada 28,737 yang memperoleh pendidikan di peringkat ijazah dan seramai 1,567 di kalangan mereka memperoleh ijazah di peringkat kedoktoran (PhD). Seramai 47,688 generasi baru pula memperoleh pendidikan di peringkat diploma.

Tan Sri, ada pihak yang berpendapat anak-anak syarikat Felda perlu kekal dengan keadaan sedia ada?

Transformasi Felda yang akan melibatkan penyusunan dan penstrukturan semula peranan akan menyerlahkan potensi sebenar anak-anak syarikat ini yang manfaatnya bakal dinikmati para peneroka dari segi pekerjaan dan ekonomi.

Penyenaraian MSM adalah sebahagian daripada program transformasi Felda dan kejayaannya di Bursa Malaysia telah melihat ramai sama ada peneroka ataupun masyarakat Malaysia yang mahu Felda mengulangi kejayaan ini.

Keuntungan yang bakal diperolehi daripada transformasi ini merupakan pemangkin kepada pertumbuhan Felda.

Setiap warga Felda perlu melakukan transformasi ini untuk kelestarian Felda dalam 50 tahun kedua. Jika Felda kekal seperti sedia ada, ini bermakna Felda mengekang potensi pertumbuhan syarikatnya dan secara tidak langsung juga mengekangkan pendapatan dan pertumbuhan generasi baru.

Patutkah Felda memberi tumpuan untuk menjawab segala tohmahan yang dibuat parti pembangkang?

Ini berlaku kerana kejayaan peneroka Felda sebenarnya dicemburui oleh pihak lain. Selalunya kalau sesuatu rancangan yang berjaya, memanglah ada yang tak puas hati.

Bagi saya walaupun apa sahaja tohmahan, warga Felda sendiri tahu menilai antara emas dan kaca.

Bagaimanakah langkah transformasi Felda ini seiring dengan penglibatan kerajaan dalam perniagaan (GRIB) sektor swasta?

Penglibatan kerajaan dalam perniagaan sektor swasta ini adalah bertujuan untuk mencari peluang bagi menambah baik kecairan pasaran modal dan mengelakkan keadaan anti persaingan ataupun monopoli dalam sektor swasta.

Ini adalah penting untuk memastikan ekonomi Malaysia yang dipacu oleh sektor swasta adalah lebih kompetitif dan berdaya maju. Berdasarkan rasional ini, badan kerajaan yang kini menjalankan dwifungsi iaitu sebagai badan kawal selia dan juga perniagaan perlu dipisahkan.

Lebih 50 tahun lalu Felda ditubuhkan sebagai satu badan sosial kini telah menjadi satu entiti perniagaan yang berjaya.

Jadi, transformasi Felda yang memisahkan peranan antara komersil dan sosial bakal menyaksikan Felda memainkan peranan penting dalam menjayakan GRIB yang juga akan mempertingkat daya saing Kumpulan Felda.

Memakmurkan luar bandar

Posted:

Memakmurkan luar bandar

Memakmurkan luar bandar

Oleh ROHAMI SHAFIE
PENULIS ialah Pensyarah Kanan Perakaunan dan Kewangan, Kolej Perniagaan (COB), Universiti Utara Malaysia.

Fokus ketiga Bajet 2012 tertumpu pada program transformasi luar bandar yang mana ia selari dengan Dasar Transformasi Nasional (DTN). Pastinya yang akan menerima manfaatnya ialah masyarakat luar bandar.

Ketika negara bergerak menuju ke arah negara maju dalam tempoh tidak sampai 9 tahun akan datang, masyarakat luar bandar tidak boleh sesekali dipinggirkan. Masih ramai penduduk Malaysia dikategorikan sebagai masyarakat luar bandar.

Lihatlah di negeri-negeri seperti Kedah, Perlis, Perak, Johor, Kelantan, Terengganu, Pahang, hatta Sarawak dan Sabah terdapat ramai rakyat Malaysia yang boleh dikategorikan sebagai masyarakat luar bandar. Mereka ini perlu dibantu secara berterusan sehingga mereka boleh berdikari.

Mungkin ada yang berpendapat ia seolah-olah memberi tongkat kepada mereka. Pandangan sebegini tidak mengambil kira betapa masyarakat luar bandar masih jauh ketinggalan berbanding penduduk bandar.

Mereka masih daif dari segi menikmati kemudahan yang terbaik. Meminggirkan mereka akan menyebabkan jurang kemudahan di antara penduduk bandar dan luar bandar akan semakin besar dan seterusnya meningkatkan lagi jurang pendapatan di antara golongan kaya dan golongan miskin tegar.

Peluang pekerjaan yang lebih meluas perlu disediakan kepada mereka bagi meningkatkan pendapatan isi rumah masyarakat luar bandar. Umum mengetahui apabila disebut sahaja masyarakat luar bandar, apa yang terlintas di fikiran bagi setiap daripada kita ialah sektor pertanian.

Maka, melalui Bajet 2012, kerajaan akan melaksanakan Dasar Agro Makanan Negara 2011-2020 dan mewujudkan Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) yang berfungsi sebagai pusat integrasi perkhidmatan bagi sektor pertanian.

Bahkan RTC juga bertindak untuk sektor-sektor yang penting seperti perbankan dan insurans, khidmat nasihat perniagaaan, latihan dan kemahiran dan klinik serta ruang niaga.

Di samping itu, Program Lonjakan Mega Luar Bandar seluas 6,500 hektar di 11 kawasan Projek Agropolitan seluruh negara yang merangkumi tanaman komoditi, penanaman kontan dan ternakan ikan sangkar dengan melibatkan peruntukan sebanyak RM110 juta akan dilaksanakan.

Program tanaman getah serta kelapa sawit juga bakal dilaksanakan untuk 20,000 pekebun kecil.

Sebanyak RM5 bilion akan disediakan untuk memperkukuhkan pembangunan infrastruktur asas luar bandar merangkumi Program Jalan Luar Bandar dan Projek Perhubungan Desa untuk 1.76 juta penduduk bandar (RM1.8 bilion), RM2.1 bilion bagi memperluaskan liputan bekalan air bersih yang melibatkan 200,000 rumah serta RM1.1 bilion untuk menyalurkan tenaga elektrik khususnya di Sabah dan Sarawak.

Penyediaan bekalan air bersih di Sarawak juga melibatkan projek retikulasi dan kaedah tadahan hujan yang memberi faedah hampir 100 penduduk. Projek bekalan air bersih juga diperluaskan untuk kawasan-kawasan Felda di Pahang, Kedah, Kelantan dan Terengganu yang melibatkan peruntukan sebanyak RM400 juta.

Pengangkutan awam luar bandar juga menjadi salah satu agenda utama dalam menjayakan transformasi luar bandar. Sebanyak RM28 juta sebagai pinjaman diperuntukkan bagi pengusaha bas berhenti-henti, bas mini dan bas sekolah bagi meningkatkan kualiti pengangkutan awam di luar bandar.

Selain itu, Bajet 2012 tetap memberi perhatian pada masyarakat Orang Asli. Mereka bakal menerima habuan sebanyak RM90 juta dalam bentuk kemudahan asas yang lebih baik serta program penjanaan pendapatan.

Selain kemudahan asas yang lebih baik, sektor pendidikan dan perumahan juga diberi keutamaan. Sebagai contoh, bagi tahun 2012, pendidikan rendah dan menengah di sekolah-sekolah kerajaan disediakan secara percuma, manakala bantuan persekolahan sebanyak RM100 untuk pelajar Tahun 1 sehingga Tingkatan 5 serta baucar buku sebanyak RM200 untuk pelajar universiti akan meringankan beban ibu bapa yang dikategorikan sebagai masyarakat luar bandar.

Langkah ini membantu anak-anak mereka bagi mendapatkan pendidikan terbaik dan memperoleh kerjaya yang bagus seterusnya membantu mereka keluar daripada kepompong kemiskinan.

Inilah dikatakan sebagai tongkat yang tidak boleh sesekali dihapuskan untuk membantu masyarakat luar bandar agar berjaya di kemudian hari.

Kemudahan-kemudahan pendidikan yang lebih baik secara percuma perlu juga seiring dengan suasana pembelajaran yang kondusif di rumah bagi membolehkan para pelajar luar bandar menelaah pelajaran dengan lebih baik.

Justeru, Bajet 2012 akan meneruskan Program Perumahan Rakyat (PPR) di seluruh negara melibatkan 15,000 unit rumah dan Program Perumahan Mesra Rakyat oleh Syarikat Perumahan Nasional Berhad (SPNB) yang mana sebanyak RM20,000 ditanggung oleh kerajaan.

Sebahagian besar projek-projek perumahan ini bakal dinikmati oleh masyarakat luar bandar yang berpendapatan rendah.

Segala perancangan yang disediakan untuk masyarakat luar bandar dalam Bajet 2012 bertujuan untuk membantu memakmurkan mereka seiring dengan perkembangan ekonomi negara.

Sungguh pun begitu, usaha-usaha kerajaan tidak akan berjaya jika tiadanya anjakan paradigma di kalangan masyarakat luar bandar bahawa dalam dunia serba moden yang menitikberatkan daya saing dan ilmu pengetahuan, mereka juga tidak boleh sesekali mengharapkan tongkat buat selama-lamanya. Mereka juga perlu berubah dengan pantas seiring dengan peredaran semasa.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved