Utusan Online - Hiburan |
Maya temui cinta baru di Paris Posted: Maya temui cinta baru di ParisRencana dan gambar Maya Karin mengabadikan kenangan di bandar deauville, paris, perancis. SEPANJANG empat hari di Paris, Maya Karin nampak ceria. Senyuman pada wajah sentiasa terukir, maklumlah dapat berkunjung ke `kota cinta', Paris. Kunjungan ke Paris bukanlah pertama dan asing baginya, tapi kunjungan kali ini lebih bermakna bagi Maya. Maya yang menjadi bintang tamu dalam rancangan Travelog AirAsia bersama Edd Radze sempat ditemubual mengenai kisah lalu yang sedikit sebanyak masih tersimpan di kotak fikirannya. Kata Maya, semua gosip yang pernah dilempar dan dihadapinya biarlah berlalu. Walaupun tidak boleh dilenyapkan seratus peratus begitu sahaja, Maya percaya apa yang dialaminya adalah salah satu dugaan hidupnya. "Kalau boleh saya tak mahu bercerita tentang masa lalu saya, kisah perkahwinan yang tinggal kenangan, gosip liar yang mengata saya sebagai perampas kekasih orang, bercinta secara senyap dengan VIP dan sebagainya. "Perit sungguh semua itu, tidak semudah a,b dan c untuk melupakannya, tapi orang semua tidak tahu perasaan yang saya alami," kata Maya yang ditemubual sewaktu mengikuti rombongan Travelog AirAsia ke Paris, Perancis, baru-baru ini. Maka tidak hairanlah jika Maya Karin membawa diri sejak kebelakangan ini ke Amerika Selatan dan menghabiskan percutian ke pulau-pulau peranginan lain. Menurut Maya, lama jugalah dia makan angin ke luar negara sebelum ke Paris gara-gara nak lari dari segala gosip panas. "Ternyata ia berhasil, walaupun kenangan pahit masih berbekas di hati. "Saya tidak mahu lagi menyebut nama-nama individu tertentu, takut nanti semuanya akan berulang lagi. "Biarkan mereka gembira sekarang kerana dengan redanya gosip-gosip itu setidak-tidaknya diri dan nama mereka tidak disebut-sebut media lagi. Kasihan mereka kerana turut terlibat." Biarpun bergelar janda sekarang, dugaan yang dihadapinya semakin mencabar. Dalam waktu terdekat Maya masih belum memikirkan untuk mencari pengganti. Tidak menafikan dia tetap inginkan sebuah kehidupan sempurna, berumahtangga dan mempunyai anak, tetapi bukan dalam waktu terdekat. "Saya tidak pernah serik untuk berkahwin lagi. Saya biarkan ia berlalu dan serahkan kepada takdir dan akan terima siapa sahaja jodoh saya. "Saya pun tak pernah mengatakan serik untuk berkahwin dengan orang bukan Melayu, dan kalau itu jodoh saya, nak buat macam mana,'' sambungnya lagi. Mengambil kira hasratnya ingin cahaya mata, berlaku satu insiden di Paris. Kisah berlaku di istana lama, Chateau Versailles, Maya terpandang sepasang suami isteri yang menyorong kereta sorong dan di dalamnya ada seorang bayi berusia setahun. Dengan tiba-tiba Maya berkata; "Saya harap satu hari nanti saya akan jadi seperti mereka, bahagia dan mempunyai anak." Nampaknya Maya menyimpan hasrat untuk berumahtangga buat kali kedua dan berhasrat untuk mempunyai anak. Dalam mencari dan menyimpan hasrat murni itu, kota Paris telah menunaikan hajatnya itu. Ternyata kunjungannya ke Paris kali ini telah membuahkan hasil. Seperti sedia maklum lelaki Peranchis diidentitikan sebagai lelaki paling romantik. Ternyata kenyataan itu benar dan di kota Paris itulah seorang lelaki Peranchis telah berjaya menambat hati Maya. Tanpa diduga, Maya telah bertemu dan berkenalan dengan seorang pemuda Peranchis beragama Islam. Perkenalan singkat itu mungkin telah membuatkan Maya Karin jatuh cinta atau pun tertambat dengan renungan pertama lelaki Peranchis itu. Orangnya kacak dan berdarah Algeria. Apakah pemuda itu bakal membuka hati Maya Karin buat kali kedua sekali gus menyemai cinta dan diakhiri dengan ikatan perkahwinan? Paris yang dikatakan sebagai `kota cinta' berjaya membuktikan keajaibannya itu kepada Maya Karin. Bagaimanapun Maya Karin tidak mahu menghuraikan kisah itu dengan lanjut kerana ia masih baru dan terlalu awal untuk diceritakan. Biarpun hanya Allah yang mengetahuinya, diharapkan hubungan Maya dengan si dia dapat menceriakan hidupnya di masa depan. | ||
Posted: Bukan pengganti Anuar ZainOleh SHAZRYN MOHD. FAIZAL
RIAK wajah Stephen Rahman-Hughes berubah serta-merta saat diajukan tentang kebenaran di sebalik spekulasi yang mengatakan dia bakal menggantikan Anuar Zain untuk menyanyikan lagu Sedetik Lebih pada pertandingan separuh akhir Anugerah Juara Lagu Ke-26 yang akan berlangsung awal Disember ini. Malah, Stephen Rahman atau lebih mesra disapa Stephen ini berasa pelik dengan berita baru yang cukup mengejutkan itu. "Secara jujurnya, saya sendiri tidak tahu bagaimana cerita ini boleh timbul kerana saya langsung tidak tahu-menahu tentangnya. Tiada siapa pun termasuk KRU yang datang kepada saya untuk menceritakan perihal ini. "Seandainya benar saya ditawarkan untuk menggantikan Anuar dalam pertandingan itu nanti, tidak ada alasan untuk saya menolaknya," kata Stephen tanpa selindung sewaktu ditemui usai majlis pra dengar album Melayu sulungnya yang berjudul Stephen Rahman-Hughes di Solaris Dutamas, Kuala Lumpur, baru-baru ini. Hadir sama penerbit album tersebut, Kevin Chin dan Pengarah Urusan Sony Music Entertainment, Adrian Lim. Khabar angin tentang Stephen akan menggantikan tempat Anuar mula bertiup kencang sejak kebelakangan ini apabila lagu ciptaan Edry Abdul Halim itu dilihat sebagai salah sebuah lagu yang berpotensi untuk layak ke peringkat separuh akhir pertandingan lagu yang diminati ramai itu. Daripada sumber yang memberitahu, Hits difahamkan spekulasi itu mula menjadi bahan bualan selepas Anuar dikatakan enggan menyertai sebarang pertandingan nyanyian bersandarkan tiket lagu tema filem Hikayat Merong Mahawangsa itu. Kata Stephen lagi, seandainya dia diberi peluang untuk berbuat demikian, dia pasti akan melakukan yang terbaik sementelah lagu Sedetik Lebih begitu indah dan dekat di hatinya. "Saya sendiri pernah menyanyikan lagu itu dalam versi Inggeris yang berjudul The Memories Remains. Jadi, saya pasti tiada ada masalah untuk membawakan versi Melayunya," ujar Stephen penuh optimis. Dalam pertemuan itu, tiada apa yang lebih mengujakan dan menggembirakan jejaka kacak ini apabila membicarakan tentang album Melayu sulungnya itu. Sebagai seorang penghibur, Stephen sentiasa mencari ruang dan peluang baru untuk mencabar dirinya dalam mengembangkan sayap seninya. Dan, dia sendiri sudah membuktikan kemampuannya kepada masyarakat tempatan apabila dengan beraninya menyahut cabaran membawakan watak Hang Tuah dalam pementasan mega, Puteri Gunung Ledang the Musical selama tiga musim. Memang tidak dinafikan, Stephen memiliki pesona yang cukup mengagumkan dan berbekalkan dengan bakat luar biasanya itu, tiada apa yang mustahil mampu dilakukan oleh jejaka kacukan Inggeris-Melayu itu. Atas alasan itu jugalah, dengan pantas Stephen berupaya dapat mengumpul peminatnya di negara ini yang sering mendambakan sesuatu yang baru daripadanya. "Sokongan padu peminat yang tidak pernah lelah menyokong selama saya menembusi pasaran Malaysia membuatkan saya harus melakukan sesuatu untuk mereka. "Sesungguhnya saya berharap album Melayu sulung saya ini akan dapat memberikan kepuasan kepada mereka sebagaimana saya merasainya apabila dapat melihat album ini berjaya disiapkan," jelas Stephen yang mengambil masa hampir dua tahun untuk menyiapkan album Melayu sulungnya itu. Cetusan idea untuk menghasilkan album Melayu sulungnya itu datangnya daripada Kevin yang bertanggungjawab menerbitkan album 3 Suara gabungan Ning Baizura, Jaclyn Victor dan Shila Amzah. Album yang bergenre pop Melayu itu menyaksikan Stephen bekerjasama dengan komposer terkenal seperti Azlan Abu Hassan, Irwan Simanjuntak, Audi Mok, Andre Dinuth serta Kevin sendiri. Menyambung bicara, akui suami kepada Anjali Mehra Hughes ini lagi, proses merakamkan album Melayunya itu bukanlah sesuatu yang mudah. Ini kerana dia perlu menghayati dan memahami setiap perkataan serta maksudnya dalam mendapatkan hasil yang terbaik. Walaupun dia sedar bahasa Melayunya kurang fasih, namun, itu bukan satu masalah besar buatnya kerana pengalaman sebelum ini banyak membantunya. "Memang sukar apabila ada dua perkataan yang mempunyai maksud hampir serupa tetapi saya perlu tahu makna untuk setiap satunya agar ia kena dengan cerita lagu itu "Disebabkan itu, proses rakaman album ini mengambil masa yang lama selain perlu membahagikan waktu dalam kesibukan saya untuk menghabiskan rakaman," ujarnya yang turut menampilkan Jacyln Victor dalam lagu Hati Berbisik. Ditanya mengapakah genre pop Melayu menjadi pilihannya, Stephen menjelaskan dia mahu lagu-lagunya menepati pasaran muzik semasa yang boleh diterima dengan baik oleh semua lapisan masyarakat. Katanya lagi, dia juga perlu tahu kemampuannya dalam membawakan setiap lagu dan dia sama sekali tidak akan melakukan sesuatu yang tidak dapat dilakukannya hanya semata-mata mahu memuaskan hati orang lain. Album edaran Sony Music Entertainment itu memuatkan lapan buah lagu termasuk Sejuta Rasa, Di Ribaan Cinta, Bertemu Di Syurga, Bawalah Aku, Cinta Masih Ada, Expressi serta Ku Lepas dan akan berada di pasaran pada 6 Disember ini. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Hiburan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan