Utusan Online - Politik |
UMNO serah writ saman kepada Guan Eng Posted: UMNO serah writ saman kepada Guan EngPeguam, Datuk Jaharberdeen Mohamed Yunoos (tengah) bersama Timbalan Ketua UMNO Bahagian Bukit Mertajam, Ramlan Ishak (dua dari kiri) berbincang sesuatu sambil diperhatikan Abdul Rauf Abdul Samad (kanan) selepas memfailkan saman malu terhadap Lim Guan Eng di Bangunan Komtar, Georgetown, Pulau Pinang, semalam. - BERNAMA PULAU PINANG 25 Okt. - UMNO negeri hari ini menyerahkan writ saman dan pernyataan tuntutan terhadap Ketua Menteri, Lim Guan Eng ekoran tindakannya menuduh parti itu terlibat dalam demonstrasi aman di sekitar Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar) di sini dan di atas Jambatan Pulau Pinang, 1 Julai lalu. Tindakan undang-undang juga dibuat berikutan dakwaan Setiausaha Agung DAP itu bahawa UMNO terlibat dalam kejadian cuba membakar pejabat DAP Pulau Pinang di Jalan Talipon di sini pada 17 Ogos lalu. Peguam Abdul Rauf Abdul Samad dari firma guaman, Tetuan Jahaberdeen & Co berkata, writ saman dan pernyataan tuntutan itu diserahkannya kepada seorang kakitangan Ketua Menteri itu kira-kira pukul 2.45 petang ini di Pejabat Ketua Menteri di Tingkat 28, Komtar. ''Kami pada mulanya memohon untuk berjumpa dan menyerahkan writ saman ini terus kepada beliau (Guan Eng) sendiri tetapi Guan Eng enggan dan sebaliknya hanya menghantar wakilnya sahaja,'' katanya pada sidang akhbar selepas menyerahkan writ saman dan notis tuntutan itu. Semalam, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pulau Pinang memfailkan saman fitnah berjumlah RM30 juta terhadap Guan Eng dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) serta dua yang lain kerana didakwa mengeluarkan kenyataan mengaitkan parti itu dengan demonstrasi dan cubaan membakar ibu pejabat DAP di negeri itu. Writ saman difailkan oleh Datuk Zainal Abidin Osman menerusi firma guaman tersebut di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. Zainal, 51, menamakan Guan Eng, 51, atas kapasiti peribadinya, PKR dan syarikat penerbitan portal berita rasmi parti itu, Keadilan Daily, Segmen Fleksibel Sdn. Bhd. dan Ketua Penyuntingnya, Fazalah Pit masing-masing sebagai defendan pertama hingga keempat. Menurut Abdul Rauf, mahkamah menetapkan 18 November ini untuk pengurusan kes tersebut. Full content generated by Get Full RSS. |
Laporan Audit negara tepis fitnah pembangkang Posted: Laporan Audit negara tepis fitnah pembangkangIPOH 25 Okt. – Prestasi memberangsangkan kewangan negeri Perak dalam Laporan Ketua Audit Negara 2010 yang diumumkan semalam dengan sendirinya menafikan fitnah pembangkang kononnya kerajaan negeri akan muflis dalam masa terdekat. Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir berkata, laporan tersebut juga merupakan satu pengiktirafan kepada pelbagai usaha kerajaan negeri untuk menambah pendapatan serta memperkasa sistem penyampaian perkhidmatan. ''Reaksi pertama saya ialah dakwaan pembangkang dalam Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak dan dalam akhbar-akhbar sebelum ini bahawa kerajaan negeri diambang bankrap adalah tidak benar sama sekali. ''Pada masa sama, kita akan terus usaha memperbaiki terutamanya dari segi penambahan perolehan dan memikirkan bagaimana apa jua hasil yang diperoleh dapat disalurkan kembali kepada rakyat," katanya kepada pemberita ketika ditemui pada Hari Bertemu Pelanggan di sini hari ini. Mengikut Laporan Ketua Audit Negara 2010 yang diumumkan semalam, Kumpulan Wang Disatukan kerajaan Perak pada tahun lepas merekodkan baki sebanyak RM762.33 juta iaitu pertambahan sebanyak RM73.08 juta berbanding 2009 yang hanya mencatatkan RM689.25 juta. Perak juga mencatatkan peningkatan sebanyak RM150.57 juta dalam kutipan hasil dan peningkatan sebanyak RM104.20 juta dalam pelaburan negeri. Laporan itu turut menyebut bahawa Rancangan Perumahan Awam (RPA) di negeri ini berjaya mencapai objektifnya untuk menyediakan rumah berkualiti dan selesa kepada golongan berpendapatan rendah. Zambry berkata, kerajaan negeri akan berusaha keras untuk memperbaiki kelemahan dan masalah dalam pengurusan Program Perumahan Rakyat (PPR) seperti dinyatakan dalam laporan tersebut. ''Saya berterima kasih kepada Jabatan Audit Negara atas cadangan-cadangan yang diberikan untuk memperbaiki kelemahan-kelemahan tersebut," katanya. Laporan Ketua Audit Negara 2010 menyatakan antara faktor yang mempengaruhi prestasi PPR ialah gejala vandalisme serta penguatkuasaan yang lemah dalam perjanjian sewa. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Politik To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan