Utusan Online - Rencana |
Posted: Dilema kendali kes murtadOleh NORAZLITA MOHD. SIES ISU murtad perlu dilihat dari skop umat Islam itu sendiri iaitu bagaimana kita hendak membendung atau menangani gejala penyimpangan akidah dalam agama tersebut agar tidak terus menjadi suatu wabak penyakit. Mungkin ada dalam kalangan umat Islam yang menganggap mereka boleh menukar agama dengan sewenang-wenangnya dan golongan parasit ini umpama duri dalam daging. Jika dibiarkan tanpa dibendung ia akan merosakkan tiang agama dan mampu meruntuhkan institusi agama Islam itu sendiri. Tindakan menukar agama ini bukan sahaja berlaku di kalangan saudara baru yang memeluk agama Islam bahkan kepada penganut jati agama itu. Apabila ini terjadi, selain Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd. Jamil Khir Baharom yang pening kepala, peguam syarie turut tidak terkecuali. Ini kerana mereka terpaksa mengemukakan hujah-hujah bernas supaya Hakim Syarie dapat memberikan pertimbangan yang sewajarnya. Tetapi pernahkah kita terfikir bagaimanakah kesukaran atau dilema yang ditanggung oleh para peguam syarie yang terpaksa mengendalikan permohonan daripada orang Islam yang ingin meninggalkan agama tersebut. Dalam pengertian biasa, barangkali ia boleh diibaratkan umpama diluah mati emak ditelan mati bapa kerana pengamal undang-undang syarie (peguam syarie) sendiri beragama Islam. Masakan tidak, kita seolah-olah menyokong perbuatan untuk memilih jalan mereka sendiri. Namun itulah realiti yang perlu dihadapi oleh peguam syarie. Ketika diajukan persoalan tersebut, pengamal undang-undang syarie, Roshdan Sujak Rafie berkata, sepanjang 11 tahun beramal sebagai peguam syarie, beliau pernah didatangi oleh individu yang ingin keluar Islam tetapi menolaknya dengan penuh berhemah. ''Mungkin prinsip saya berbeza sedikit dengan peguam-peguam syarie lain. Saya sebenarnya merasa terbeban jika membawa kes-kes begini kerana dalam hati ini sedikit sebanyak akan tercetus rasa bersalah lantaran menolong orang yang mahu keluar daripada Islam. Walaupun mereka tidak lagi mengerjakan segala ajarannya namun ia nyata berbeza dengan keluar daripada agama Islam. ''Tidak mengerjakan ajaran atau amalan Islam adalah dosa antara si pelaku dengan Allah dan mungkin suatu masa nanti pelaku boleh bertaubat kerana masih kekal dalam Islam. ''Namun jika keluar Islam, pintu taubat dan segala amalan baiknya telah terputus kerana dia tidak lagi menganut agama tersebut. Hukuman bagi orang yang murtad tidak lain tidak bukan adalah bunuh setelah mereka ini diberi peluang untuk bertaubat tetapi enggan,'' ujar beliau. Dek kerana perasaan itulah, Roshdan berpendapat, jika menolong orang keluar Islam seolah-olah beliau juga menggalakkan mereka untuk memutuskan segala amalan dengan Allah. Secara tidak langsung terdetik juga di hati beliau, dirinya bersubahat membantu individu terbabit melakukan dosa tersebut dan keadaan itu mungkin memberi kesan ketenangan dalam kehidupannya. Hukuman itu sendiri menurut Roshdan, menggambarkan betapa besarnya kesalahan itu dan sudah tentu ia akan memalit sedikit dosa jika beliau terlibat sama dalam membantu mereka yang murtad. Setiausaha Agung Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) itu berkata, antara sebab yang paling ketara sehingga mendorong seseorang itu murtad adalah dia memeluk agama Islam bukan disebabkan kerelaan hatinya tetapi kerana mahu berkahwin dengan orang Islam semata-mata. Apabila berlaku perceraian atau masalah dalam rumah tangga, kata Roshdan, mereka akan kembali ke agama asal kerana tidak mengamalkan ajaran Islam. Sekiranya seseorang mahu keluar daripada Islam, suatu permohonan perlu dibuat di Mahkamah Syariah dan hakim syarie akan menilai setakat mana seseorang itu benar-benar murtad dan biasanya melalui pengakuan orang itu sendiri. Jika mahkamah berpuas hati, pemohon benar-benar mahu meninggalkan Islam biarpun selepas unjuran taubat diberikan maka mahkamah wajar membenarkan permohonannya. Lazimnya Jabatan Agama Islam akan meminta golongan ini bertaubat dan kembali kepada ajaran Islam dengan menghantar mereka ke pusat pemulihan akidah selama tempoh tertentu. Namun begitu, tiada prosedur khusus di setiap negeri kerana ia mengikut kehendak Mahkamah Syariah dan Jabatan Agama negeri tersebut. Setakat ini hanya Negeri Sembilan mempunyai undang-undang khusus bagi mereka yang ingin murtad. Berdasarkan pengalaman, beliau akan memperhalusi terlebih dahulu kedudukan dan fakta serta sebab musabab mengapa individu tersebut hendak keluar dari Islam. Jika ada jalan untuk membetulkan dan mengembalikan akidahnya, individu terbabit akan dinasihatkan dengan berhemah namun sekiranya tiada peluang untuk menanganinya, Roshdan berkata, beliau akan meminta mereka ke jabatan berkaitan termasuk Mahkamah Syariah ataupun Jabatan Agama Islam. Dari sudut undang-undang, satu ketentuan khusus perlu ada bagi menentusahkan murtad seseorang. Ia tidak boleh dibuat sewenang-wenangnya dan tanpa pengesahan serta pengiktirafan, seseorang itu belum lagi dikira telah keluar Islam. Ia penting kerana mahkamah akan menentukan adakah seseorang itu benar-benar telah murtad atau sebaliknya. Ini kerana murtad bukan sahaja lahir daripada perkataan malah boleh terbit daripada perbuatan dan kelakuan seseorang. Justeru, suatu peraturan dalam memilih dan menukar agama perlu ada kerana apabila seseorang telah membuat pilihan maka dia terikat dengan segala ketetapan dan peraturan agama tersebut agar tidak berlaku kecelaruan. Islam menjadi teras dalam menentukan sesuatu perkara dan tidak terkecuali dalam kes murtad. Apabila seseorang telah memeluk Islam kemudian berpaling daripadanya, maka peraturan agama Islam wajib dipakai. Mereka ini perlu diminta bertaubat, diberi peringatan akan hukumannya dan dibunuh jika terus murtad. Peraturan sesuatu agama perlu dipatuhi sebelum menukar agama lain dan secara jelas ia tidak bertentangan dengan konsep Perlembagaan Persekutuan tersebut. Sebagai kesimpulan ujar Roshdan, walaupun terdapat kaedah atau peruntukan untuk membenarkan seseorang itu keluar dari agama Islam namun sebagai peguam syarie beliau masih berpendirian, penglibatannya dalam kes demikian akan memberikan impak kepadanya dan juga masyarakat. Roshdan melihat ia sebagai suatu tanggungjawab yang berat dan harus dipikul kerana sudah tentu beliau tidak mampu menangani individu yang ingin keluar dari Islam tanpa ada suatu bentuk hukuman yang selari dengan kehendak syarak. Full content generated by Get Full RSS. | ||
Kisah Hudud I: Kaji, kaji, kaji...? Posted: Kisah Hudud I: Kaji, kaji, kaji...?Oleh Zaini Hassan
SAYA amat teruja membaca berita utama New Straits Times (NST) semalam (25 Oktober) mengenai langkah kerajaan Pas Kelantan menubuhkan sebuah jawatankuasa teknikal untuk mengkaji "kemungkinan melaksanakan" Enakmen Kanun Jenayah Syariah II Kelantan, atau hukum hudud di negeri itu. Jawatankuasa itu terdiri daripada panel 19 anggota. Saya juga cukup teruja kerana selepas Nik Aziz Nik Mat berhempas pulas membangkitkan isu itu (terutamanya menjelang ketibaan pilihan raya umum) sejak 1990-an (kira-kira 20 tahun lalu), baru kini ia mahu dikaji? Sepatutnya ia hanya menunggu untuk pelaksanaan sahaja dan soal teknikal telah diselesaikan sejak belasan tahun malah puluhan tahun dulu lagi. Saya dan mungkin jutaan lagi rakyat Malaysia amat hairan dengan kenyataan yang dikeluarkan oleh Exco Pembangunan Islam Kelantan, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah itu. "Ia (panel itu) akan mengkaji kemungkinan melaksanakan enakmen itu, kerana ia mempunyai pandangan perundangan yang ia (hudud) boleh dijalankan, tanpa meminda Perlembagaan Persekutuan. ''Jawatankuasa itu akan melihat sebarang ruang yang ada untuk pelaksanaan. Jika ada, jawatankuasa itu akan membuat syor kepada kerajaan negeri," kata Amar kepada pemberita selepas mesyuarat Exco kerajaan negeri itu kelmarin. Sekali lagi saya kebingungan. Mahu kaji lagi? Mahu cari ruang lagi, mahu mencari syor lagi. Saya cukup sedih kerana selepas lebih 20 tahun soal hudud digembar-gemburkan ia masih dalam kajian? Kajian apa lagi wahai Tuan Guru Nik Aziz? Sepanjang pengalaman saya membuat liputan di Kelantan dulu (semasa Nik Aziz mula menjadi MB), setiap kali isu hudud dibangkitkan, inilah bunyi ceritanya – kaji, kaji, kaji... Sekali lagi saya cukup bingung dan keliru. Apakah Nik Aziz mahu membingungkan rakyat Malaysia, terutamanya orang Islam? Sudahlah Tuan Guru. Cukuplah. Saya, yang mengikuti soal hudud ini sudah terlalu lama merayu Nik Aziz cepat-cepatkanlah melaksanakan hukuman hudud itu di Kelantan dan negeri-negeri pakatan pembangkang lain, terutamanya di Pulau Pinang. Sudah tentu Lim Guan Eng juga akan mengalu-alukan hukum hudud dilaksanakan di negerinya kerana ia boleh menjamin Pulau Pinang bebas daripada jenayah di negeri itu. Lagipun kan Guan Eng seorang pejuang (advocate) anti jenayah dan moral yang hebat. Sesiapa yang didapati melanggan GRO rakyat China yang terlalu ramai di negeri itu sekarang akan dihukum rotan di khalayak ramai, di hadapan Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar). Dengan sendirinya tugas polis pun akan lebih ringan dan sekali gus rumah-rumah persundalan dan kelab-kelab GRO akan dapat ditutup. Selangor juga, dikhabarkan sedang menghadapi masalah kebanjiran rumah urut yang semakin bercambah. Ia juga boleh dilaksanakan di Selangor. Wahai Tuan Guru Nik Aziz marilah kita berdoa supaya pelaksanaan hukum hudud dapat dilaksanakan dengan segera di Kelantan. Lagipun, Kelantan mencatatkan kes HIV/AIDS yang tertinggi di Malaysia, yang kini sudah mula menjangkiti isteri-isteri pasangan masing-masing. Bagi Karpal Singh, yang pernah berkata "langkah mayat" dia dulu jika undang-undang dan konsep negara Islam itu mahu diadakan juga perlulah akur. Hormatilah sedikit Nik Aziz yang merupakan orang berpengaruh dalam pakatan. Bagi negeri-negeri lain pula, perkasakanlah isu-isu ekonomi, muamalat dan munakahat kerana ia akan menjamin kesejahteraan hidup umat Islam. Apabila perut kenyang dan terhindar daripada kemiskinan maka tiadalah wujud jenayah dan kekufuran yang bukan-bukan. (Baca: Di antara Syariat Islam dan hukum hudud di bawah tulisan ini yang dipetik: Dari sekitar 500 ayat-ayat ahkam, hanya sebahagian kecil sahaja yang menyentuh hukum hudud dan selainnya menggarap isu-isu ekonomi, muamalat, munakahat, hubungan antarabangsa dan sebagainya.) Saya berharap Nik Aziz, ikhlaslah kali ini. Laksanakanlah segera hudud di Kelantan. Jika boleh luluskanlah cepat. Kami semua sudah penat dengan isu yang tidak habis-habis ini. Jangan biarkan orang lain gelak kepada kita. KISAH HUDUD II: DI ANTARA SYARIAT ISLAM DAN HUKUM HUDUD INI adalah perspektif kedua mengenai hukum hudud yang saya mahu berkongsi dengan pembaca. Ia ditulis oleh Ustaz Abdul Halim Abdullah, Ketua Biro Dakwah, Ikatan Muslimin Malaysia – ISMA (www.isma.com). Ikuti tulisan beliau: SEMASA saya belajar di University of Queensland 1984-1987 dulu, apabila pokok Jacaranda yang meranting kering di musim sejuk mula berbunga lebat berwarna ungu hampir di setiap jalan di universiti, di sebalik kecantikannya, jiwa para mahasiswa/i mula gundah gulana kerana ia menandakan peperiksaan hampir tiba. Begitu juga di Malaysia, di setiap penghujung empat tahun lalu apabila isu hukum hudud mula dilemparkan melalui media massa ke tengah-tengah para pengundi, ia menandakan musim Pilihan Raya Umum Malaysia hampir tiba, hanya menunggu bila tarikhnya ditetapkan, bergantung respons para pengundi di bandar dan kampung, tua dan muda, kafir dan Islam. Bagi golongan masyarakat yang faham dan beriman, mereka melihat dan menilai isu ini dengan pandangan Syarak dan pertimbangan realiti. Namun mereka adalah hanya segelintir dari masyarakat umum yang jauh lebih ramai dan tersebar di seluruh negara. Ada pun pada umum masyarakat, mereka kebingungan kerana sekali lagi isu ini diketengahkan dalam keadaan ilmu dan jiwa mereka yang tidak mampu memahaminya, dan ramai dari kalangan mereka yang akhirnya membuat pertimbangan dari neraca yang tidak Islamik lalu mengambil pendirian yang tidak tepat. Syariat Islam dan hukuman Hudud mempunyai perbezaan yang sangat jauh. Syariat Islam adalah satu sistem hidup rabbani, keseluruhannya berasaskan al-Quran, kitab Allah dan petunjuk peninggalan dari Sunnah Rasul-Nya, Muhammad SAW, bermula dari membina ilmu dan akidah, melahirkan ibadah dan akhlak pada diri dan masyarakat dalam sesebuah negara, kemudian mereka meluaskan dakwah Islam ke negara-negara jiran sehingga Islam memimpin dan membimbing seluruh dunia, tanpa meninggalkan seinci pun bumi yang tidak diperintah oleh Syariat Islam. Dengan ini Syariat Islam sifatnya membangunkan manusia dan dunia, lahir dan batin, manakala hukum menghukum seperti hudud, takzir dan seumpamanya boleh kita nisbahkan sebagai hanya 5% sahaja dari Syariat Islam yang sifat umumnya adalah membangun. Sebab itu al-Quran yang mempunyai lebih 6,000 ayat hanya mempunyai sekitar 500 ayat sahaja mengenai hukum hakam atau dipanggil "Ayat-ayat Ahkam". Dari sekitar 500 ayat-ayat ahkam, hanya sebahagian kecil sahaja yang menyentuh hukum hudud dan selainnya menggarap isu-isu ekonomi, muamalat, munakahat, hubungan antarabangsa dan sebagainya. Adapun hukuman yang digelar "Hudud", ia adalah tujuh hukuman yang telah ditentukan Allah dalam al-Quran dan As-Sunnah. Bagi mereka yang suka penerangan dengan angka, saya gambarkan di sini (sekadar mengemukakan angka yang tidak semestinya tepat, tetapi boleh memberi kefahaman yang lebih jelas), hukuman Hudud yang tujuh itu adalah seperti sekitar 5 peratus (%) dari undang-undang Islam yang 95% lagi adalah Takzir (denda) yang diserahkan kepada Dewan Rakyat di Parlimen menggubalnya dan hakim di kamar mahkamah menentukannya. Oleh kerana 7 hukuman tersebut (1. bunuh, 2. zina, 3. menuduh zina/qazaf, 4. curi, 5. minum arak, 6. samun/qat' tariq, 7. bughoh – menentang pemerintah dengan kekerasan) telah ditentukan Allah, dan tidak boleh diolah lagi oleh Parlimen atau hakim, maka ia disebut Hudud, di dalam bahasa Inggeris bermakna "already defined". Kalau begitu, hukuman dan denda (termasuk Hudud) hanyalah 5% daripada ajaran Islam yang bersifat membina umat dan negara, bukan meruntuh dan menghukum, manakala hukuman Hudud hanya 5% daripada undang-undang Islam dalam sesebuah negara yang lengkap dan membangun, maka dari segi matematiknya hudud hanya 5% x 5% = 0.25% daripada keseluruhan ajaran dan Syariat Islam sebenarnya. Ia bukan segala-galanya mahupun juzuk besar daripada ajaran Islam yang sangat luas, membangun dan membahagiakan umat manusia. Begitu juga yang kita maksudkan dengan rumah tangga Islam adalah ibu bapa yang berkeperibadian Islam, mendidik anak-anak dengan ajaran Islam, menjaga adab-adab Islam dalam rumah, suami isteri yang saling menghormati perjuangan Islam masing-masing, berdakwah kepada jiran-jiran, dan sebagainya, bukan semata-mata si ayah merotan anak (hukuman). Begitu juga apabila kita maksudkan dengan sebuah Negara Islam, ia adalah negara yanag tertegaknya Syariat Islam dalam setiap bidang kehidupan rakyatnya, dan bukan semata-mata melaksanakan hukuman Hudud dan cuai pelbagai aspek Syariat Islam yang lain. Ringkasnya, apa yang rakyat Islam di Malaysia mahu adalah penegakan Syariat Islam dalam semua bidang media massa terutamanya di siaran televisyen, pendidikan, pengurusan negara, kementerian dan jabatan, membebaskan rakyat daripada belenggu budaya Barat, membina umat yang berjihad dan punya kekuatan di rantau, menguatkan kesatuan umat dan membanteras perpecahan, menguatkan hubungan di antara negara-negara Islam, menyebarkan roh Islam ke dalam jabatan dan sektor kerajaan dan swasta, membanteras rasuah, membanteras pelacuran, arak, judi, dadah, kelucahan, pergaulan bebas, bidah, khurafat, syirik, mendorong hafazan al-Quran dan bahasa Arab terutama kepada generasi baru dengan berbagai insentif, kesihatan, ekonomi, akhlak, berjimat dengan wang rakyat dan menyuburkannya, meneroka kekayaan dan hasil bagi negara dan mengelakkan pemborosan dan pelaksanaan undang-undang Islam termasuk Hudud. Oleh kerana itu kita adalah rakyat yang lebih bijak dari terheret membincangkan isu hudud menjelang pilihan raya, sedang selama tempoh tenang 4-5 tahun di antara dua musim pilihan raya, media massa merosakkan umat dengan memaparkan budaya Barat yang negatif kepada anak bangsa kita, pelacuran, arak, judi, kelucahan, rasuah tersebar ke tahap yang sukar dibendung dan telah menghakis banyak tunggak-tunggak negara terutamanya akhlak dan jiwa rakyat serta wang dan kekayaan negara. Semangat roh jihad di kalangan belia dan bebas dari pengaruh dominasi Kuasa Barat merupakan tunggak penting yang masih di dalam keadaan yang minimum. Apa yang kita tuntut adalah Malaysia menjadi sebuah Negara Islam yang didefinisikan oleh Imam Hasan Al-Banna yang bermaksud "tidak akan tertegak Ad-Daulah Al-Islamiyah (Negara Islam) melainkan di atas asas Dakwah, sehingga ia menjadi Negara Risalah (negara yang mempunyai visi dan misi menyebarkan Islam ke seluruh dunia), bukan (semata-mata) ia berbentuk pentadbiran, atau kerajaan material beku pekak yang tidak mempunyai roh. Seperti mana juga dakwah tidak (dapat) tertegak melainkan dalam satu perlindungan (iaitu negara) yang menjaga, menyebar, menyampai dan menguatkan Dakwah tersebut)". Satu persoalan yang sering dibicara oleh golongan terpelajar. Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Kerajaan Negeri mempunyai kuasa kebanyakannya dalam hal ehwal tanah, adat resam dan hal ehwal agama Islam manakala Parlimen dan Kerajaan Pusat mempunyai kuasa dalam bidang jenayah berat lebih-lebih lagi yang membabitkan hukuman mati. Malah dikatakan sebarang penggubalan hukuman jenayah berat di DUN seperti hudud yang bertentangan dengan Parlimen, maka ia terbatal dengan sendirinya dan tidak boleh dilaksanakan oleh pihak negeri. Wacana ilmiah mengenainya perlu dianjurkan lebih meluas untuk memberi pengetahuan dan kesedaran kepada umat. Mereka yang benar-benar ikhlas bercakap mengenai hudud yang belum terjadi, seharusnya menegakkan Syariat Islam dalam bidang-bidang yang disebutkan di atas dalam masa yang sama yang sepatutnya telah lama terjadi dan mudah untuk dilaksanakan. Adapun berbicara mengenai Hudud yang berkait dengan penggubalan dan sebagainya, tetapi membiarkan banyak perkara yang bertentangan dengan Syariat Islam di dalam pentadbiran dalam negara dan penghayatan dalam masyarakat adalah sebenarnya merupakan permainan kata-kata untuk mengeliru dan meraih sesuatu daripada masyarakat awam yang kurang mengerti apa yang sebenarnya sedang dan akan berlaku. Adalah lebih baik membuktikan keikhlasan dengan perbuatan daripada cuba meyakinkan dengan perkataan. Full content generated by Get Full RSS. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Rencana To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan