Utusan Online - Feminin |
Kanser bukan pengakhiran segalanya Posted: Kanser bukan pengakhiran segalanyaOleh NOOR FAZRINA KAMAL dan ROSLI MANSOR AHMAD RAZALI IA bagai satu mimpi yang mengerikan dalam hidup saya. Penderitaan yang saya tanggung satu pengalaman yang pahit. Walaupun ia dapat diatasi namun keperitannya akan dikenang sehingga akhir hayat saya." Begitulah kesengsaraan yang sukar digambarkan melalui kata-kata oleh penghidap kanser payu dara. Walaupun bibir mereka mengukir senyuman namun sinar mata mereka menceritakan segalanya. Kanser payu dara sebagai antara jenis kanser terawal yang dikenal pasti dalam dunia perubatan dan kanser paling meluas di kalangan wanita. Penyakit berbahaya ini ketumbuhan malignan yang terjadi daripada tindakan sel yang bermula dari bahagian payu dara. Kisah Mardianah Yusuf Mardianah Yusuf, 54, menerima ketentuan takdir penuh reda apabila disahkan sebagai pesakit kanser ketika berusia 45 tahun. Bagi Mardianah penyakit tersebut satu ujian yang harus dilalui dengan tenang dan bukanlah satu pengakhiran dalam kehidupannya. "Selepas mengetahui saya mengidap penyakit kanser, saya tidak merasa ia satu bebanan yang memusnahkan kehidupan saya. "Saya menjadi semakin reda dan kuat kerana sebelum ini saya pernah berdepan dengan pesakit kanser yang merupakan anak sulung saya sendiri. Saya kehilangannya ketika dia berusia 10 tahun akibat leukemia. "Daripada pengalaman itu saya bangun untuk membina kehidupan saya. Saya percaya masih ada lagi sinar dalam kehidupan saya untuk gembira bersama keluarga," katanya. Mardianah yang merupakan Presiden Persatuan Pink Champion, Perak, mula mengesan penyakit kanser payu dara setelah membuat pemeriksaan payu dara yang dilakukan sendiri. Apabila mendapati ada ketulan kecil pada payu dara sebelah kanannya, tanpa berfikir panjang dia terus berjumpa doktor untuk pemeriksaan selanjutnya. "Apabila saya diberitahu oleh doktor yang ketulan itu merupakan sel kanser yang semakin membesar pada tahap pertama, sebagai manusia biasa agak sukar menerima kenyataan ini. "Doktor memberi kata dua sama ada saya ingin membuang sebelah payu dara saya atau menjalani rawatan kemoterapi. "Mujur saya mampu menerima ujian ini dengan sokongan daripada suami yang banyak memberi semangat untuk saya terus melawan penyakit ini. "Suami saya tidak menghalang saya untuk membuang sebelah payu dara saya sekiranya itu jalan terbaik untuk saya kembali menjalani kehidupan seperti biasa," katanya. Keperitan menanggung kesengsaraan sewaktu pembedahan payu dara secara konservatif tidak berakhir di situ sahaja. Kesabarannya diuji lagi sewaktu menerima rawatan seterusnya iaitu radioterapi sebanyak 25 kali dalam lima minggu. "Setiap kali rawatan saya merasakan cukup tersiksa kerana kesan bahan panas radiasi. Kulit dan tisu di bawah kulit kelihatan merah dan mengelupas. Bengkak bahagian lengan akibat gangguan pengaliran cecair limfa serta kesakitan di kawasan payu dara tidak boleh dibayangkan," katanya. Menurut Mardianah, selepas menjalani rawatan beliau disarankan untuk meneruskan rawatan terapi hormon melibatkan penggunaan dadah anti estrogen bagi menyekat pertumbuhan sel-sel kanser. Dadah anti estrogen yang biasa digunakan ialah Tamoxifen. "Selama lima tahun saya menjalani terapi hormon ini, kesan dari itu tempoh menopaus saya menjadi cepat. "Walaupun saya mengalami menopaus pada usia lebih awal daripada sepatutnya tetapi saya merasakan kehidupan saya semakin tenang. "Saya memikirkan ruang keselesaan untuk saya memperbanyakan beribadat kepada Tuhan semakin terbuka luas, itu hikmah yang saya dapat," katanya. Kini kehidupan seharian Mardianah lebih bermakna apabila masanya dipenuhi dengan pelbagai aktiviti persatuan yang bertujuan menyampaikan maklumat murni kepada masyarakat senasib. Kisah Molly Mourin Molly Mourin, 78 , seorang wanita berbangsa Serani bersemangat kental dalam menangani penyakit kanser payu dara sewaktu berusia 60 tahun. Dia disahkan menghidap kanser pada tahap kedua. "Saya tidak menyangka sama sekali yang saya juga boleh mengidap penyakit kanser payu dara pada usia 60 tahun. "Seperti kebanyakan pesakit kanser lain, saya beranggapan harapan untuk saya mengecapi kebahagiaan sudah berakhir. "Namun kehadiran orang sekeliling pada waktu itu sangat membantu untuk saya bangkit dan bersemangat melawan penyakit ini. "Keluarga dan rakan-rakanlah yang memberi saya semangat untuk terus bersedia menerima rawatan demi rawatan dan saya bagai tidak percaya yang saya sekarang dapat menjalani kehidupan seperti biasa," katanya. Molly mengakui ia ibarat tamparan hebat selepas dikesan menghidap kanser payu dara pada satu ujian mamogram. Kesedihannya terus menular apabila doktor menyarankan untuknya menjalani pembedahan bagi membuang sebelah payu dara yang dijangkiti kanser. "Selepas pembedahan saya menerima rawatan radioterapi dan disusuli pula dengan terapi hormon Tamoxifen selama lima tahun. Kesengsaraan saya semakin bertambah apabila melalui rawatan seterusnya iaitu kemoterapi sebanyak enam kali setiap tiga minggu. "Sepanjang rawatan itu selera untuk menjamah makanan tiada langsung dan apa yang saya ingin cuma tidur dan terus tidur. Namun berkat sokongan keluarga dan rakan-rakan saya bersemangat semula dan kini saya kembali sihat bagi menjalani kehidupan seperti biasa," katanya. Molly turut menyertai Persatuan Pink Champion lebih lima tahun lalu dan penglibatannya menjadikan kehidupan lebih bermakna. "Saya mahu membantu rakan-rakan senasib. Bagi saya masih ada kehidupan selepas menghidap kanser payu dara, sungguh pun ada yang tidak boleh disembuhkan sepenuhnya. Sentiasalah berfikiran positif dan jangan sekali-kali mengalah pada keadaan," katanya. Kisah Mahalectchimi Disebabkan penyakit kanser payu dara tahap pertama yang dihidapinya, Mahalectchimi Palamappan, 48, melupakan kerjayanya sebagai jururawat. Ketabahan Mahalectchimi mengharungi kehidupan sebagai pesakit kanser teruji apabila pada peringkat awal terpaksa menyembunyikan daripada pengetahuan suami. "Pada waktu itu saya tidak mahu suami saya bertambah sedih memandangkan suami saya sudah dua kali mengalami serangan jantung. Saya khuatir kesihatan suami semakin buruk setelah mengetahui yang saya mengidap kanser payu dara. "Saya tidak pernah menunjukkan kesedihan saya di hadapan orang yang saya sayangi. Saya memilih untuk mengurungkan diri dalam bilik dan menangis sepuas-puasnya untuk meluahkan derita. "Namun lama-kelamaan saya gagahkan juga untuk menyatakan pada suami dan anak-anak yang saya mengidapi penyakit kanser payu dara dan harus menjalani rawatan. "Mujurlah mereka menerima dan memberi sokongan untuk saya terus tabah. Suami mengizinkan saya menjalani pembedahan demi masa depan saya," katanya. Seperti penghidap kanser payu dara yang lain, selepas tiga bulan menjalani pembedahan dia menerima rawatan kemoterapi sebanyak enam kali selama enam bulan. "Ujian saya tidak berakhir di situ. Saya terpaksa menjalani satu lagi pembedahan di bahagian kerongkong apabila doktor mengesahkan terdapat sel kanser di bahagian tersebut. Nasib saya baik ia tidak serius dan dapat diatasi," katanya yang juga ahli Persatuan Pink Champion. Dia menasihatkan semua wanita agar melakukan sendiri pemeriksaan payu dara selalu. Buangkan sikap negatif yang ada jika anda mendapati sebarang masalah dan pergilah membuat pemeriksaan lanjut dengan doktor. Kepada sesiapa yang berminat menjadi sukarelawan Persatuan Pink Champion, Perak bolehlah menghubungi Mardianah Yusof di talian 012-516 1240 untuk sebarang keterangan lanjut. Full content generated by Get Full RSS. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Feminin To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan