Utusan Online - Keluarga |
Posted: Yoda tapak pereka muda IslamOleh ZUHAYATI YAZID
YOUNG Designers Arena (Yoda) sekali lagi kembali mewarnai industri fesyen Muslimah tahun ini. Berbeza dengan sebelumnya, festival yang memasuki tahun kelima ini menyuntik perubahan dan pembaharuan yang secara tidak langsung mampu memberi kesan positif terhadap rekaan busana Muslim di masa hadapan. Agresif dan lebih berani. Lari daripada rekaan konservatif dan stereotaip mungkin itulah perkataan amat sesuai untuk digambarkan pada majlis tersebut. Mengetepikan segala kritikan serta salah tafsir mengenai fesyen Islam, Yoda terus berusaha mengukuhkan kedudukannya untuk dikenali sebagai tapak pembangunan fesyen bagi pereka muda Tahun kelima penganjuran Yoda yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) pada 16 Oktober lalu ternyata berjaya membuka mata pereka fesyen muda mengenai potensi besar industri fesyen tanah air untuk diterokai. Menghimpun 13 pereka muda dalam satu pentas mampu menghasilkan rekaan yang unik dan bergaya. Malah, pertandingan kali ini menampilkan idea kreatif pereka-pereka muda yang semakin moden dan berani. Istimewanya, pada peragaan tersebut, fesyen yang dipertontonkan meliputi semua acara daripada pakaian majlis rasmi, keraian sehinggalah pakaian harian serta santai yang mampu dan mesti dimiliki. Hadir menyaksikan peragaan tersebut ialah Tengku Puan Pahang, Tunku Hajjah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah bersama anakandanya. Pengasas Yoda, Baizura Tazri memberitahu, acara kali ini memberi peluang kepada pereka-pereka muda untuk mengetengahkan rekaan mereka. "Setiap tahun ramai pereka muda yang dilahirkan , lambakan golongan ini membuatkan ramai di antara mereka tidak mempunyai hala tuju. "Jadi melalui penganjuran ini memberikan jalan yang betul kepada mereka serta mencari peluang serta tunjuk ajar untuk mereka dalam mengharungi dunia fesyen tanah air,'' ujarnya ketika ditemui pada majlis tersebut. Katanya lagi, setiap pereka mempunyai konsep dan inspirasi dalam rekaan yang boleh dibanggakan. Walaupun mereka masih baru dalam fesyen namun jika diberi peluang dan didedahkan tidak mustahil satu hari mereka menjadi terkenal. Dalam majlis tersebut, pereka muda Din Annuar dinobatkan sebagai pemenang utama dan berpeluang membawa hadiah wang tunai bernilai RM3,000. Menggunakan tema D'klasik of Songket dan menggunakan warna putih pada rekaannya. Dia yang juga pemilik butik Ayuzenchtra Din Annuar ini, tidak menyangka rekaan tersebut mencuit hati hakim dan memberikan kemenangan kepada dirinya. Anak muda berusia 24 tahun ini memberitahu dia hanya mengambil masa empat hari untuk menyiapkan rekaan tersebut. Sementara itu pemenang kedua, Mohd. Asfar Abdul Rani, 24, pula bersyukur kerana dipilih sebagai pemenang apabila menggunakan tema Ratu Balqis dalam rekaan. Menggunakan warna biru firus dan hitam sebagai warna keseluruhan berdasarkan warna trend terkini aliran fesyen Islam dalam rekaan menjadikannya kelihatan eksklusif. Dalam pertandingan tersebut, Mohd. Asfar membawa pulang wang tunai RM2,000 dan juga hamper, manakala Mohd. Hafiz Sabrand memenangi tempat ketiga dengan menerima hadiah kemenangan RM1,000. Kesemua hadiah disampaikan oleh Tengku Puan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah. Full content generated by Get Full RSS. | ||
Posted: Sari penyeri DeepavaliOleh MARIATUL QATIAH ZAKARIA Satu lagi pakaian tradisional wanita India. MENYELUSURI kedai-kedai yang terdapat di Little India, Brickfields, Kuala Lumpur, pasti anda akan 'dihidangkan' dengan baru harum terhasil daripada setanggi yang dibakar. Bukan itu sahaja telinga juga turut 'disajikan' dengan irama muzik lagu Tamil dan Hindustan yang dipasang peniaga. Tidak cukup dengan senario tersebut, terlihat juga kelibat peniaga lelaki dan wanita yang sudah lanjut usia menjual segala kelengkapan bagi menyambut perayaan Deepavali atau Pesta Cahaya. Seperti perayaan-perayaan lain, Deepavali turut disambut meriah di kalangan penganut agama Hindu. Yang pasti, segala kelengkapan untuk menyambut Deepavali semuanya boleh diperoleh di Little India, Brickfields. Apabila berbicara mengenai hari-hari perayaan yang dirayakan masyarakat di Malaysia sudah pasti ia amat menyeronokkan kerana pelbagai topik boleh dibualkan. Sebagai contoh, pakaian tradisional. Jika baju kurung serta baju Melayu sinonim dengan masyarakat Melayu yang beragama Islam, Cheong Sam dan Samfu pula untuk masyarakat Cina, masyarakat India yang beragama Hindu pula terkenal dengan sari dan kurtanya. Sudah pasti di pagi Deepavali, sari dan kurtha menjadi pilihan untuk digayakan selain pakaian lain berkonsepkan Hindustan yang berpotongan moden seperti sut Punjabi. Yang pasti gaya fesyen tradisional dan moden turut mewarnai Deepavali bersesuaian dengan majlis yang dihadiri. Lazimnya, sari sesuai digayakan untuk majlis tradisi keluarga terutamanya pada pagi hari, pakaian moden sesuai pula dipakai ketika menghadiri rumah terbuka. Kesemua pakaian ini didatangkan khas dari India yang menampilkan rekaan daripada pelbagai fabrik. Menurut seorang peniaga di situ, Parvathy Kasban, 52, lazimnya sari dipakai oleh orang dewasa manakala bagi kanak-kanak dan remaja mereka lebih senang menggayakan sut punjabi ataupun gaun tanpa lengan beserta seluar. "Selalunya sari dipakai oleh orang dewasa dan mereka yang berumur 16 tahun dan ke atas. "Ini kerana kain sari terlalu panjang untuk kanak-kanak dan mereka lebih suka memakai sut punjabi atau baju T dan seluar," katanya. Tambahnya lagi, sari yang dijual semuanya diimport dari India. Dalam masa yang sama, sari selain boleh diperoleh dalam pelbagai warna dan corak, fabriknya juga boleh didapati daripada pelbagai jenis seperti kain kapas, sifon, gorget, sutera dan sebagainya. Begitupun, bagi yang inginkan sedikit keselesaan, mereka boleh memilih blaus labuh yang dipadankan dengan seluar. Ia tidaklah membataskan pergerakan tetapi sari tetap berada di hati masyarakat dan sudah pasti ia memenuhi cita rasa setiap wanita. Dalam pada itu, bagi Sujatha Krishnan, 30, pula, pemakaian sari tidak sempurna sekiranya tidak disuai padankan dengan aksesori seperti gelang tangan, anting-anting atau rantai leher. Apa yang menariknya, menurut Sujatha wanita India tidak akan memakai gelang tangan dalam kuantiti yang sedikit dan kebiasaannya jumlah gelang akan mencecah hingga ke paras siku. Lantaran itulah, di pasaran hari ini terdapat pelbagai jenis, corak dan warna untuk gelang tangan yang sentiasa mendapat permintaan tinggi terutama menjelang sambutan perayaan Deepavali. Tidak lengkap rasanya apabila tidak membicarakan juadah yang menjadi pilihan di pagi Deepavali. Ini kerana selain muruku, biskut dan manisan biasanya tosei, capati dan kuah kari menjadi menu utama. Selain itu sudah pasti biskut-biskut moden turut menjadi pilihan untuk dihidangkan kepada setiap tetamu yang hadir. Apa-apa pun Little India di Brickfields mempunyai keunikannya yang tersendiri malah ia akan dikunjungi pelbagai lapisan bangsa dan agama sejak mula dibuka seawal pukul 10 pagi hingga 10 malam. Full content generated by Get Full RSS. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Keluarga To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan