Utusan Online - Timur |
Pemuda UMNO bantu kartunis sakit Posted: Pemuda UMNO bantu kartunis sakitSOHAIMI Shahadan (duduk tengah) melihat hasil kerja seni Fatah Ngah (berkerusi roda) ketika mengadakan lawatan ke rumah kartunis itu di Kampung Alur Tembesu, Dungun, kelmarin. DUNGUN 24 Sept. - Pemuda UMNO bersama Consortium Cartoonist At Work (CAW) akan membantu memasarkan lukisan kartunis terkenal tanah air, Fatah Ngah, 57, bagi menampung kos rawatan perubatan dan perbelanjaan kehidupannya. Pengerusi Biro Ekonomi dan Pembangunan Usahawan Pemuda UMNO, Datuk Sohaimi Shahadan berkata, ia bagi membolehkan kartunis itu yang terlantar sakit sejak beberapa tahun lalu mendapat saraan bulanan. "Nasib kartunis yang suatu ketika dahulu begitu terkenal dengan siri Lagak A. Mahmud melalui majalah Gila-Gila bagai dilupakan," ujarnya ketika menziarahi kartunis itu bersama ahli-ahli Pemuda UMNO Dungun di sini, semalam. Turut serta menziarahi Fatah yang tinggal bersama ibunya di Kampung Alur Tembesu di sini ialah beberapa kartunis termasuk Roslin, Zack Kapcai dan Cik Li. Sohaimi dan CAW turut menghulurkan sumbangan kepada kartunis tersebut. Katanya, Fatah antara kelompok kartunis tanah air yang memberi dimensi baru kepada seni itu pada zaman mereka dengan humor yang begitu dekat dengan masyarakat. Menurutnya, Fatah yang tidak lagi mampu berkarya telah menyatakan persetujuan untuk menjual sembilan lukisan terakhirnya yang pernah dipamerkan. Kata Sohaimi, beliau bangga dengan karya kartunis berkenaan yang sungguh berkualiti dan mempunyai nilai seni yang tinggi. "Saya percaya lukisan-lukisan dan watak kartun yang dilukis Fatah mempunyai nilai yang tinggi dan berharap ada syarikat atau badan korporat membelinya," katanya. Sohaimi yang juga Penaung CAW sedih apabila melihat Fatah yang begitu popular suatu ketika dulu menderita penyakit saraf dan kini hanya bergantung kepada kerusi roda untuk bergerak. "Kita akan berusaha mendapatkan kerusi roda hidraulik untuk memudahkannya baring dan bangkit. Kita juga akan membantu mencari pakar urat saraf bagi kartunis itu menjalani fisioterapi dan mendapat rawatan alternatif," katanya. Fatah kini bergantung hidup dengan bantuan bulanan RM300 daripada Jabatan kebajikan Masyarakat (JKM) yang diterima oleh ibunya. Sementara itu, Fatah yang terharu dengan kedatangan rombongan itu yakin sekiranya mendapat rawatan sempurna, dia masih boleh kembali melukis. |
Posted: UMK sedia dana usahawan RM20jKOTA BHARU 24 Sept. - Universiti Malaysia Kelantan (UMK) menyediakan tabung pembiayaan RM20 juta kepada para graduannya yang mahu terlibat dalam bidang keusahawanan. Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar & Alumni) UMK, Prof. Datuk Dr. Mortaza Mohamed berkata, pembiayaan yang diperoleh hasil kerjasama UMK dengan pelbagai pihak dan agensi itu akan membantu bakal usahawan keluaran universiti memulakan perniagaan mereka dengan asas yang kukuh. Katanya, pembiayaan itu dibuka kepada semua pelajar yang mampu mengetengahkan perancangan perniagaan yang boleh meyakinkan pihak universiti akan potensi perniagaan yang bakal diceburi. "Universiti ini berhasrat melahirkan graduan 'majikan' yang mencipta peluang pekerjaan sama ada untuk diri sendiri atau orang lain dan bukannya jenis graduan yang mencari atau menunggu peluang kerja datang ke riba mereka. "Hanya bidang keusahawanan boleh melahirkan graduan yang sedemikian, yang mempunyai kelebihan untuk melonjakkan lagi dunia kewangan negara dengan latar belakang akademik mereka," katanya berucap merasmikan Pertandingan Perancangan Awal Perniagaan 2011 di kampus universiti itu di sini hari ini. Mortaza berkata, beliau amat berharap para pelajar UMK tidak melepaskan peluang yang terbuka luas tersebut demi memastikan matlamat penubuhan universiti melahirkan usahawan gemilang menjadi kenyataan. Sementara itu, pertandingan menghasilkan rancangan perniagaan terbaik anjuran Pusat Pendidikan Keusahawanan dan Perusahaan (C3E) itu diwajibkan kepada semua siswa tahun akhir dan akan berlangsung bermula hari ini hingga 26 November ini. Kira-kira 400 siswa tahun akhir dari tiga fakulti terlibat iaitu Fakulti Keusahawanan dan Perniagaan (FKP), Fakulti Agro Industri dan Sumber Asli (FASA) dan Fakulti Teknologi Kreatif dan Warisan (FTKW) yang akan bersaing secara berkumpulan merebut trofi serta hadiah wang tunai berjumlah RM3,000 (juara), RM2,000 (kedua) dan RM1,000 (ketiga). "Dalam pertandingan ini, bukan hadiah yang kita utamakan tetapi pengalaman yang akan dikutip sepanjang menyediakan rancangan terbaik dalam sektor yang dipilih sama ada perniagaan, sosial atau teknologi. "Peluang untuk menonjolkan diri dan membentangkan rancangan terbaik di hadapan 'kapten-kapten industri' pada pertandingan pusingan akhir nanti adalah sesuatu yang amat bernilai bagi membentuk diri menjadi usahawan sebenar," kata Mortaza. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Timur To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan