Utusan Online - Kota |
Posted: Boleh mohon PPR – Nong ChikOleh MD. AZRIN ROSLY Raja Nong Chik menyampaikan sumbangan kepada anak-anak yatim dari Asrama Darul Kifayah, Kuala Lumpur sambil diperhatikan oleh Yusof Hamdan Deigo pada Majlis Rumah Terbuka dan Penyampaian Sumbangan anjuran Persatuan Bekas Polis Malaysia di Hotel Kuala Lumpur International, semalam. KUALA LUMPUR 25 Sept. – Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar akan memberi pertimbangan khas dan keutamaan kepada pesara polis yang kurang berkemampuan bagi ditempatkan ke Projek Perumahan Rakyat (PPR). Menterinya, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin berkata, selain itu, bagi pesara polis yang berkelayakan dan inginkan tapak perniagaan dan kiosk juga akan dipertimbangkan agar mereka dan ahli keluarga dapat menyara kehidupan harian. "Walaupun jumlah PPR yang ada sudah tidak banyak, lebih kurang 2,000 hingga 3,000 sahaja, kami akan mempertimbangkan permohonan tersebut. "Justeru, Pihak Persatuan Bekas Polis Malaysia (PBPM) sebagai suara kepada bekas polis hendaklah membuat permohonan rasmi terlebih dulu," katanya kepada pemberita pada Majlis Penyampaian Sumbangan dan Jamuan Hari Raya Aidilfitri Bersama Anak Yatim di sini, hari ini. Dalam pada itu, Raja Nong Chik berkata, baru-baru ini dilihat pakatan pembangkang membuat kenyataan-kenyataan kontroversi sehinggakan dilihat sanggup menggadai maruah demi mencapai matlamat mereka. "Kita jangan terpedaya dengan dakyah jahat pembangkang yang merupakan politik sempit sehinggakan mahu mengubah sejarah negara seperti dalam isu Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu yang menyatakan komunis dalam peristiwa Bukit Kepong sebagai hero. "Kenyataan itu mungkin kerana dia sendiri tidak mengalami kesusahan dan kekejaman mereka (pengganas komunis) ketika itu. Inilah contoh orang yang tidak faham sejarah, sedangkan pihak polis dan tentera telah berkorban untuk memastikan keamanan dan kemakmuran yang dikecapi sehingga kini," ujarnya. Sementara itu, Pemangku Presiden Persatuan Bekas Polis Malaysia, Datuk Yusuf Hamdan Diego berkata, pihaknya sangat mengharapkan pihak kementerian memberikan bantuan khas kepada bekas anggota polis sebagai tanda menghargai jasa-jasa mereka dalam menjaga kebajikan rakyat. "Seramai 140,000 bekas anggota polis di seluruh negara berusaha untuk menambah pendapatan keluarga melalui pelbagai cara termasuk berniaga. "Bagaimanapun, kami juga mengharapkan sekiranya pihak kementerian dapat menyediakan bantuan kewangan kepada balu-balu polis yang ingin berniaga selain peluang untuk memiliki rumah di bawah PPR," katanya. Tambahnya, pihaknya juga mengambil kesempatan untuk mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, di atas pemberian anugerah kepada 16 anggota polis yang terkorban di Bukit Kepong. "Anugerah tersebut menunjukkan kerajaan sangat prihatin dan mengenang jasa polis yang terkorban semasa mempertahankan negara," katanya. |
Rumah Empat Musim dibuka semula Posted: Rumah Empat Musim dibuka semulaRumah Empat Musim di Taman Botani Negara, Shah Alam kini mula menerima tetamu selepas kerja menyenggara dan menaik taraf premis itu selesai baru-baru ini. SHAH ALAM 25 Sept. - Pengunjung Taman Botani Negara Shah Alam, Bukit Cerakah di sini berpeluang untuk merasai semula suasana iklim empat musim apabila kemudahan itu dibuka semula baru-baru ini setelah ditutup kepada orang ramai sejak tiga bulan lalu. Pembukaan semula Rumah Iklim Empat Musim itu dilakukan setelah pihak pengurusan Taman Botani Negara Shah Alam selesai menjalankan kerja-kerja penyenggaraan terhadap kemudahan itu yang merupakan salah satu daripada tarikan pengunjung ke taman alam semula jadi itu. Pengurus Taman Botani Negara Shah Alam, Mohamad Gaddafi Denis berkata, kerja-kerja menaik taraf dan penyenggaraan rumah iklim dilakukan oleh pihaknya pada Julai hingga awal September lalu, membabitkan kerja pembaikan semula bangunan, pengudaraan dan suhu di kemudahan itu yang sebelum ini telah beroperasi tanpa henti sejak 20 tahun lalu. Bagaimanapun, katanya, kerja menaik taraf dan penyenggaraan yang dilakukan tidak membabitkan perubahan terhadap kira-kira 68 spesies pokok di dalamnya yang mana ia masih dikekalkan sejak ditanam pada tahun 1991 kecuali spesies bunga yang ditukar setiap kali selepas musim sejuk. "Rumah Iklim Empat Musim ini telah beroperasi tanpa henti setiap hari selama 20 tahun ia dibuka kepada orang ramai. Bagaimanapun, kami tutup sementara dalam tiga bulan untuk menaik taraf persekitaran kemudahan serta penyenggaraan mesin. "Kerja-kerja menaiktaraf ini memakan kos sebanyak RM500,000. Namun, kerja-kerja dilakukan dengan teliti agar tidak menjejaskan pokok sedia kerana sebarang perubahan terhadap suhu atau persekitaran boleh menganggu kitaran hidup tumbuhan berkenaan," katanya. Tambah Mohamad Gaddafi, antara spesies pokok empat musim di kemudahan itu datangnya dari benua Asia Timur, Eropah dan Amerika seperti sakura, maple, peach , epal, ginko, magnolia serta pokok-pokok bunga seperti daisi, kekwa dan sebagainya. Orang ramai yang mahu mengunjungi Rumah Iklim Empat Musim boleh hadir bila-bila masa bermula pukul 8.30 pagi hingga 4.30 petang kerana kemudahan itu dibuka setiap hari kecuali pada hari Isnin. Bayaran sebanyak RM3 dikenakan bagi orang dewasa dan RM1 bagi kanak-kanak dan kadar itu adalah jauh lebih rendah daripada mana-mana taman iklim yang ada di negara ini. |
Penutupan lorong Lebuhraya Elite Posted: Penutupan lorong Lebuhraya EliteKUALA LUMPUR 25 Sept. - PLUS Expressways Berhad (PLUS) akan menutup secara berperingkat sebahagian lorong di antara persimpangan bertingkat Nilai Utara ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Lebuh Raya Utara-Selatan Hubungan Tengah (Elite) bagi membolehkan kerja-kerja pembaikan jalan dilakukan. PLUS dalam kenyataan akhbarnya memaklumkan, penutupan lorong tersebut akan bermula di Kilometer 37 hingga Kilometer 36.65 (arah utara) ditutup pada 26 September hingga 13 Oktober. Pada 14 Oktober pula Kilometer 36.65 hingga Kilometer 36.30 (arah utara) akan ditutup sehingga 31 Oktober. Tambah kenyataan itu lagi, PLUS menasihatkan semua pemandu supaya merancang perjalanan mereka serta mematuhi semua papan tanda serta arahan yang diberikan oleh pihaknya. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Kota To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan