Utusan Online - Mahkamah |
Keputusan inkues Ahmad Sarbaini hari ini Posted: Keputusan inkues Ahmad Sarbaini hari iniKUALA LUMPUR 25 Sept. - Keputusan inkues menyiasat kematian Penolong Pengarah Kastam Selangor, Ahmad Sarbaini Mohamed yang mayatnya dijumpai di bangunan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Wilayah Persekutuan pada 6 April lalu akan diketahui esok. Koroner Aizatul Akmal Maharani yang mengendalikan inkues tersebut akan membuat keputusan tersebut di Mahkamah Majistret di sini pada pukul 10 pagi. Ahmad Sarbaini, 56, yang bertugas di pejabat Kastam Pelabuhan Klang ditemui mati di gelanggang badminton di Aras 1 bangunan SRPRM Wilayah Persekutuan di Jalan Cochrane di sini pada 6 April lalu. Allahyarham pergi ke pejabat itu secara sukarela untuk bertemu pegawai penyiasat SPRM berhubung siasatan kes rasuah yang membabitkan 62 pegawai kastam. Perbicaraan inkues mengambil masa 13 hari itu bermula pada 4 Julai lalu dan ditutup pada 4 Ogos lalu. Sepanjang perbicaraan, mahkamah merekodkan keterangan daripada 34 saksi termasuk beberapa pegawai SPRM Wilayah Persekutuan, dua pakar patologi, beberapa pegawai forensik, pegawai kastam, dan juga isteri Allahyarham, Masiah @ Maziah Manap. Pihak SPRM diwakili oleh peguam Datuk Seri Dr. Muhammad Shafee Abdullah manakala peguam Awtar Singh mewakili keluarga Allahyarham. Dalam hujahan oleh pihak SPRM, Muhammad Shafee menyimpulkan kematian Ahmad Sarbaini bukan kerana dibunuh atau wujud penglibatan pihak ketiga sebaliknya akibat terjatuh dari aras tiga bangunan agensi tersebut secara kemalangan. Menurut peguam itu, keterangan pakar patologi, Profesor Dr. Shahrom Abd. Wahid menyatakan, Allahyarham melompat keluar dari tingkap di pantri Aras 3 dengan sendirinya untuk pergi ke bumbung di bangunan sebelah. Menurutnya, pakar patologi forensik turut mendapati keadaan di pantri tidak menunjukkan tanda terjadinya sebarang pergaduhan malah kecederaan yang terdapat pada anggota tubuh Allahyarham konsisten dengan akibat jatuh dari tempat tinggi. Sementara Awtar berhujah pihaknya menolak teori Allahyarham melompat sendiri ke luar dan percaya ada pihak ketiga terlibat serta mendakwa teori ilusi optik tentang jarak pantri ke bumbung itu ditimbulkan SPRM untuk menyembunyikan fakta sebenar. Menurut Awtar, tiada sebab untuk arwah berbuat demikian memandangkan sebagai pelawat dia boleh keluar menggunakan lif atau tangga pada bila-bila masa dan jika dia ingin melompat, ia tidak akan membawa lelaki itu ke mana-mana. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Mahkamah To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan