Utusan Online - Hiburan |
Posted: Fathia tidak gugat sesiapaOleh SHAZRYN MOHD. FAIZAL MEMBAWAKAN watak Qiss dalam filem Al-Hijab merupakan titik permulaan segala-galanya buat Nur Fathia. HADIRNYA ke persada seni berbekalkan pakej yang boleh dikatakan lengkap - dikurniakan dengan wajah jelita dan bakat lakonan yang tersendiri. Maka itu, tidak hairanlah apabila nama Nur Fathia Abd. Latiff atau mesra disapa dengan panggilan Fathia ini semakin mendaki puncak populariti dan menjadi sebutan di bibir peminat hiburan tempatan. Sehingga ada yang berpendapat Fathia merupakan pelapis baru yang mampu pergi jauh dalam industri dan berdiri setanding dengan aktres sedia ada. Walaupun pernah dihimpit kontroversi gara-gara kes membaling telefon bimbit tidak lama dulu sehingga mencalar sedikit nama baik Fathia, ternyata ia bukan satu halangan untuknya terus menjadi rebutan pengarah dan penerbit. Apatah lagi dengan kehebatan drama bersiri Stanza Cinta yang sedang ditayangkan di TV3 telah membuatkan graf populariti anak kelahiran Pulau Mutiara ini melonjak naik. Di sebalik Fathia berusaha keras untuk terus mengukuhkan namanya di persada seni, nampaknya seperti ada pihak yang kurang selesa dengan kemunculan gadis jelita ini. Angin sepoi-sepoi bahasa mula berbisik mengatakan kehadiran Fathia seolah-olah kurang disenangi terutama pelakon senior sehingga dilayan dengan kurang mesra. Apakah benar Fathia mula dicemburui oleh pelakon yang terlebih dahulu mencipta nama daripadanya? Dan apakah benar juga hadirnya Fathia dalam industri sudah dilihat sebagai satu ancaman kepada pelakon lain? "Jujurnya, saya rasa tidak mempunyai sebarang masalah dengan mana-mana pelakon senior. Malah, saya cukup menghormati dan kagum dengan kredibiliti mereka sebagai aktres. "Saya sendiri tidak melihat diri saya sebagai ancaman kepada mana-mana pihak yang merasakan kehadiran saya seperti mahu menggugat mereka. "Hadirnya saya ke sini bukan untuk bersaing dengan sesiapa terutama pelakon senior. Saya cukup sedar saya baru dan mentah dalam bidang ini. Perjalanan saya juga masih terlalu jauh," ulas Fathia yang ditemui usai majlis pratonton filem Al-Hijab arahan Pierre Andre di Cathay Cineleisure, Mutiara Damansara, Kuala Lumpur, baru-baru ini. Seperti mana yang pernah diberitahunya sebelum ini, bidang lakonan yang diceburinya hampir dua tahun lalu adalah semata-mata mahu mencari pendapatan sampingan selain menimba pengalaman baru. Jauh sekali mahu terus berasa selesa dalam limpahan cahaya glamor seperti mana yang diimpikan oleh bakat baru sepertinya, ternyata itu bukan yang dicari oleh Fathia. Dalam apa jua hal sekalipun kata Fathia, dia masih mengutamakan akademik dalam mengejar cita-citanya untuk menjadi seorang peguam selain mahu memenuhi permintaan kedua ibu bapanya yang mahu melihatnya berjaya dalam pelajaran. Bercuti Atas alasan itu, Fathia amat menitik beratkan soal disiplin dan tidak sesekali mencampur aduk antara lakonan dan pelajaran. Jika dalam tempoh empat bulan ini tiada sebarang perkhabaran terbaru tentang Fathia, jangan pula ada yang menyangka dia akan melupakan bidang lakonan. Ini kerana kata Fathia, dia akan kembali menyambung pengajiannya untuk semester empat dalam bidang undang-undang di Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam, Selangor. Sudah pasti dalam tempoh itu, dia akan sibuk dengan kuliah dan pembelajaran. Maka itu, jelas Fathia, dia akan menolak tawaran berlakon sepanjang empat bulan berada di universiti. Namun, Fathia hanya akan bersedia untuk menimbang tawaran iklan komersial yang tidak memakan masa yang panjang. Tetapi katanya, penggambaran perlulah dilakukan pada hujung minggu sahaja. "Bukan mahu bersikap bongkak atau sombong dengan menetapkan syarat-syarat seperti itu, tetapi, saya perlu fokus dan mengutamakan pelajaran saya terlebih dahulu. "Seperti mana yang saya katakan sebelum ini, saya hanya akan berlakon sewaktu cuti semester sahaja. Saya juga perlu menjaga hati dan menghormati kedua ibu bapa saya yang mahu saya menumpukan perhatian kepada pelajaran dan mendapat keputusan cemerlang. "Itu adalah syarat yang perlu saya patuhi sebaik sahaja mereka membenarkan saya menceburi bidang ini. Seperti mana yang semua sedia maklum, mereka memang menentang keras apabila saya mahu menjadi seorang pelakon," jelas Fathia yang mula dikenali menerusi drama bersiri popular, Nur Kasih. Hanya kerana dia mengeluarkan syarat dan permintaan sebegitu, Fathia disangka sudah bersedia untuk mengibar bendera putih sebagai tanda bahawa akan bersara daripada dunia seni. Apabila kenyataan disalah erti oleh sesetengah pihak sehingga tersebar luas di alam maya dan blog, ia membuatkan hati wanitanya sedikit terguris. Walhal, dia sendiri tidak pernah mengeluarkan kenyataan untuk bersara dan bagi Fathia, sebagai bintang baru, dia masih lagi mahu mendalami ilmu lakonan dan memperbaiki mutu lakonannya. Permulaan Walaupun sudah membintangi beberapa buah drama antaranya Laila Asyikin, Musang Berjanggut, Hani dan Hotel Hasanah yang mendapat perhatian ramai, Fathia merasakan ia masih belum cukup untuk menyakinkan peminat dengan bakat lakonannya. Begitu juga dengan filem pertamanya, Al-Hijab yang akan menemui penonton di pawagam tempatan bermula 6 Oktober ini. Membawakan watak Qiss dalam filem tersebut, jelas Fathia, Al-Hijab merupakan permulaan bagi dirinya sebelum mana-mana drama yang sudah dibintanginya. Tanpa sebarang pengalaman dan ilmu lakonan, Fathia memberanikan diri menerima tawaran Pierre selaku pengarah filem tersebut. Memang diakui, lakonan Fathia dalam filem tersebut bukanlah dikategorikan sebagai terbaik terutama aspek ekspresi, lontaran vokal dan penghayatan. Tetapi, sebagai bintang baru, percubaan pertamanya itu tidak mengecewakan dan masih boleh diterima. "Saya sudah bersedia untuk menerima segala kritikan daripada peminat dan penonton apabila filem ini ditayangkan nanti. "Al-Hijab adalah titik permulaan saya sebagai seorang pelakon dan saya sekadar mahu mencuba pada mulanya. Apatah lagi, ia adalah sebuah filem seram yang merupakan salah satu genre yang saya cukup minati. "Saya percaya mana-mana pelakon pun mahu mencuba dan mencabar diri mereka dengan membintangi filem-filem daripada pelbagai genre. Begitu juga dengan saya. "Saya akui lakonan saya dalam Al-Hijab ini masih banyak yang boleh diperbaiki. Saya berterima kasih kepada Pierre sebagai pengarah kerana memberi peluang dan tunjuk ajar kepada saya," jelas Fathia yang mengakui berkawan rapat dengan Neelofa dan Kilafairy. |
Posted: "Beri saya 100 hari" - NaguibOleh SHAZRYN MOHD. FAIZAL HARUS diakui pemilihan Mohd. Naguib Razak sebagai Ketua Pengarah (KP) Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) mengundang sedikit kejutan di kalangan karyawan seni tempatan. Barangkali tiada sedikit pun bayangan bahawa Mohd. Naguib (disebut Najib) akan menduduki kerusi panas itu memandangkan sebelum ini ada beberapa nama yang disebut-sebut akan memegang jawatan tertinggi itu termasuk pengarah prolifik, Ahmad Idham. Pasti akan ada cakap-cakap sumbang yang cuba hendak mempersoalkan kredibiliti Mohd. Naguib sehingga dia berjaya menambat hati Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan (KPKK) untuk memilihnya sebagai KP Finas yang baru. Namun, Mohd. Naguib tidak mahu memikirkan tentang perkara itu kerana baginya, sebagai seorang KP Finas, dia lebih mementingkan tentang misi dan visinya dalam memartabatkan industri hiburan tempatan. Sehinggakan, dia sendiri telah melepaskan semua jawatan dan kepentingan dalam syarikatnya, Blue In Green Productions bagi mengelakkan sebarang agenda politik yang timbul di kemudian hari. "Untuk pengetahuan semua, saya sendiri yang menawarkan diri untuk menjawat posisi tersebut kerana saya mempunyai strategi dan misi tersendiri. "Jadi, kalau ada yang hendak mempertikaikan tentang pemilihan saya ini, ia bukanlah satu masalah besar buat saya. Menjadi KP Finas bukan untuk kepentingan diri tetapi kepada semua pihak," ujarnya penuh optimis dalam satu pertemuan bersama pengarang hiburan dan pihak media di Hotel Ritz-Carlton, Kuala Lumpur, baru-baru ini. Turut hadir Timbalan Ketua Pengarah (Operasi), Mohd. Zulkifli Ab. Wahab dan Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan), Fatimah Ahmad selain beberapa warga kerja Finas. Pelantikan Mohd. Naguib mula berkuat kuasa sejak 1 September lalu namun, dia memulakan tugasnya secara rasmi pada 5 September. Pemilihannya itu juga adalah bagi menggantikan Datuk Mohd. Mahyidin Mustakim yang telah pun tamat kontrak perkhidmatan pada 30 Jun lalu. Belum pun setengah bulan menjadi KP Finas, Mohd. Naguib sudah pun mengatur pelbagai perancangan demi mahu melihat perubahan dalam industri perfileman yang merangkumi filem cereka, animasi dan dokumentari. Bukan mahu mendabik dada atau membangga diri dengan pengalaman yang dimilikinya sebelum ini, tetapi kata Mohd. Naguib, dengan kelebihan yang ada itu, dia mahu membawa industri seni tempatan berkelana jauh sehingga ke peringkat antarabangsa. Mungkin kedengaran cita-citanya itu cukup tinggi dan mustahil untuk dilakukan, namun, Mohd. Naguib cukup optimis dengan misinya itu. "Memang sudah lama saya mahu melakukan perubahan dalam industri kreatif ini dan saya mahu melihat dunia perfileman tempatan mampu mendapat perhatian di luar negara seperti mana Thailand dan Singapura. "Sudah pasti, peluang itu akan dibuka kepada penggiat filem tempatan untuk menjalinkan kerjasama dan menimba ilmu dengan pihak luar dalam membangunkan industri. "Semuanya ini tidak boleh dilakukan dalam masa terdekat tetapi secara berperingkat. Beri saya 100 hari sebagai tempoh percubaan untuk merealisasikan perubahan seperti mana yang telah saya rancang," kata Mohd. Naguib yang berusia 42 tahun itu dengan harapan menggunung. Dalam pada mahu membawa nama Malaysia ke pentas dunia, Mohd. Naguib menjelaskan dia sama sekali tidak akan melupakan keperluan untuk warga seni tempatan. Antara yang cukup menarik perhatian pembikin filem dokumentari Anak Duyung (Child Of Mermaid) dan Becoming A King ini adalah isu Skim Wajib Tayang (SWT) yang kembali menjadi sebutan di kalangan penggiat seni tanah air. Dengan penayangan sebuah filem tempatan setiap minggu, kata Mohd. Naguib, dia sememangnya sudah pun memikirkan tentang perkara tersebut. "Insya-Allah, saya akan cuba mencari jalan penyelesaian untuk mengatasi masalah SWT ini. Dalam masa yang sama, saya sebenarnya cukup bangga dengan perkembangan pesat dunia perfileman tempatan hari ini. "Bukan itu sahaja, saya juga mahu melihat perubahan dalam etika dan profesionalisme warga kerja filem kita demi kebaikan semua pihak. "Benar, ia mungkin sesuatu yang mustahil untuk dilakukan kerana bukan mudah untuk kita mengubah sifat dan sikap seorang individu dalam semalaman. "Tetapi saya percaya kalau dengan kesungguhan dan kena dengan cara serta masa yang sesuai, Insya-Allah, ia dapat dilaksanakan dengan baik. Dalam hal ini, saya suka mengambil contoh daripada salah seorang idola saya, Pak Dollah yang merupakan seorang pembuat bot di Terengganu," jelas Mohd. Naguib yang memiliki kelulusan dalam bidang undang-undang dari Universiti Leeds di United Kingdom. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Hiburan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan